Jumaat, 15 Mei 2009

Khutbahlah Isu Yang Sedang Menimpa Ummah Pula !

Sebelum solat Juma’at hampir di semua masjid di Aceh, kebiasaannya ada 4 pengumuman yang akan disampaikan oleh urusetia masjid:

1) a)Jumlah kewangan terkini masjid, termasuk wang yang disumbang oleh mana-mana hamba Allah terus ke tangan pihak pengurusan masjid juga dinyatakan jumlahnya.

2) b)Mereka yang bertugas pada hari tersebut iaitu bilal, khatib dan imam Jumaat.

3) c)Pengumuman agar ahli jema’ah menggerakkan tabung

4) d)Pengumuman agar ahli jema’ah me’non-aktif’kan handphone..:)

Jika di Masjid besar seperti Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, ada sebuah pengumuman lagi: pengumuman solat jenazah untuk beberapa orang individu yang telah meninggal dunia pada hari itu atau telah beberapa hari sebelumnya disekitar Banda Aceh. Ianya adalah permintaan pihak waris si mati kepada pihak masjid..Ya, itulah kondisi Jumaat di Aceh. Biasa sahaja kan?

Hanya satu yang saya kira amat membanggakan. Rata-rata khatib tidak membaca khutbah menggunakan teks yang disediakan oleh pihak pemerintah. Rasanya memang tidak disediakan. Maka, khutbah mereka sangat hidup. Isinya benar-benar menyentuh permasalah yang berlaku kepada masyarakat. Jika masyarakatnya bermasalah dalam soal solat berjama’ah, maka minggu itu, inilah tajuk yang dikhutbahkan. Jika masalah judi dan akhlak anak-anak makin parah, maka itulah isi khutbah hari tersebut.

Jika mendengar khutbah-khutbah di Aceh, tentu orang Malaysia akan menyebutnya ‘Kuliah Maghrib’. Santai sekali. Kelihatan tidak rasmi. Tetapi, tumpuan ahli jema’ah sangat membanggakan tidak seperti disebahagian besar tempat di Malaysia. Maaf ya, saya pun orang sana juga sih…

Kadang-kadang, khutbah sudah sangat bagus, tegas, jelas dan lantang, namun isu yang dibawa pula sangat mengecewakan. Ada pula isi yang bagus, sesuai dengan kondisi semasa yang sedang menimpa ummah, namun khatibnya pula yang berjaya menidurkan para makmum.

Walaupun dahulu ada beberapa pihak yang mendesak agar jangan ‘baca khutbah’ , tetapi ‘berkhutbah’. Maksudnya, jangan terikat dengan membaca teks. Secara peribadi, saya kurang bersetuju idea ini. Mungkin di Bandar-bandar besar yang khatibnya memang baik, berilmu tinggi, hebat pidatonya, maka bagi khatib sebegini sangat wajar dan tidak bermasalah mereka yang mengarang teks khutbah tersebut. Namun, bagaimana pula dengan imam-imam dikampung? Mampukah mereka. Mungkin ada, tetapi peratusannya terlalu kecil.

Maka, paling kurang, cukuplah jika setiap Jabatan Agama Islam atau Majlis Agama Islam disetiap negeri yang menyediakan khutbah atau meminta mana-mana pihak yang mampu menyediakan khutbah. Khutbah itu yang diedar disetiap daerah atau kawasan dinegeri tersebut yang isinya perlulah memberi keutamaan terhadap permasalahan ummah terlebih dahulu yang sedang berlaku, akhlak ummah, kebangkitan ummah, serangan kuffar dan seumpamanya. Maka, beri keizinan juga kepada khatib untuk menambah sedikit isi khutbah tersebut yang mungkin ada permasalah yang berbentuk kedaerahan atau dikawasan tersebut yang berlaku dan perlu disampaikan.

Cukuplah dengan menyediakan khutbah-khutbah yang hanya mengampu pemerintah dengan cara mengajak makmum bersyukur kepada kerajaan atas nikmat yang diberi. Wah…macam tuhan ya.

Jika hari ini, waba’ flu babi merebak luas, maka bicarakan ia diminbar-minbar dan kaitkan ianya dengan peringatan Allah dan Nabi tentang akhir zaman, bukan hanya membicarakan soal perlunya menjaga kesihatan atau perlu ke pejabat memakai topeng menutup hidung. Ajaklah makmum supaya meninggalkan mungkar pula. Seringkali masalah mungkar ingin dihapuskan dari terkait dengan azab Allah. Inilah idea secular dan rasionalis dimana-mana.

Bagi saya juga, khutbah Juma’at bukan lagi medan atau platform berbentuk ‘mengajar’. Contohnya, khutbah Juma’at digunakan untuk menerangkan secara terperinci apa jenis-jenis zakat, berapa yang perlu dikeluarkan , puasa dan perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Cukuplah melalui pengajian-pengajian di waktu Subuh atau Maghrib di masjid. Namun, yang perlu dibangkitkan di ruang khutbah, mungkin lebih kepada laungan agar pendengar mengeluarkan zakat, menunaikan puasa, permasalah meninggalkan kewajipan ini, sebab, akibat dosa dan seumpamanya.

Maka, manfaatkan medan khutbah sebagai sarana terbaik untuk mendekatkan ummah kepada Islam, membangkitkan kesedaran dan kecintaan beragama, menimbulkan rasa juang yang tinggi. Jika tidak, ia hanya menjadi majlis pertemuan mingguan yang sangat tidak berarti.

Sekadar pandanganku..Wallahua’lam.

3 ulasan:

manusia biasa berkata...

setuju..setuju..setuju..

farid ramli berkata...

Salam..

Di jakartapun sama. Saya rasa memang tiada teks khutbah yang disediakan. Khatib bagi setiap jumaatpun sering berubah. Jadi penyampaian di setiap khutbah akan kelainan bagi setiap minggu dan isinya lebih dekat pada permasalahan umat.

Pernah suatu ketika, seorang hadirin bangun dan minta supaya khatib tak membahaskan hal khilafiah yang berat sebelah. Terkejut juga masa tu. Baru berapa bulan dtg,pastu tengok benda yang susah jumpa diMalaysia.

Sekadar perkongsian..

Abu Alak berkata...

Pengalaman menarik..jemput ke blog saya juga..