Jumaat, 29 Mei 2009

Pahit getir saudara baru dalam Islam

8 tahun yang lalu pemuda India lingkungan 30-an ini melafazkan kalimah Syahadah dihadapan Al-Fadhil Ust Shahril Azman bin Abdul Halim Al-Hafiz, Mudir Ma’ahad Tahfiz Ar-Rahimiyah, Bandar Jengka yang kini diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krau, Pahang dan Tim.Ketua DPP Pahang (2009-2011). Rumah Al-Fadhil Ust Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Rantau Perintis, Bandar Jengka sering diziarahinya, tujuan menuntut ilmu dan meminta pelbagai nasihat sebagai saudara baru dalam Islam.

Jika mendengar dia berbicara, pasti orang tidak menyangka pemuda berkulit hitam manis ini adalah bangsa India. Bahasa Melayunya fasih sekali. Manakan tidak, terlalu lama beliau hidup dikelilingi masyarakat Melayu.

Diawal pengisytiharan keIslamannya, tekanan dari keluarga khasnya ibu bapa sangat menguji ketabahan beliau. Dimaki hamun, dimarahi dan dihambur pelbagai kata sudah lali baginya. Namun, prinsipnya yang tegas dan jelas membuatkan ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain akhirnya akur dengan pendiriannya. Walaupun telah menjadi seorang Muslim, namun saat ibu bapanya sakit dan terlantar dihospital, beliau tetap datang menziarahi kerana meyakini beliau juga mempunyai hak dan kewajipan sebagai seorang anak. Bahkan apabila berlaku kematian neneknya sendiri, beliau tetap mengambil cuti dari bekerja semata-mata ingin menghadiri rumah neneknya itu. Dengan tidak berkopiah, beliau terus masuk ke bilik menghadap mayat neneknya, bahkan apabila ahli keluarga lain bertungkus lumus memikul tong-tong air ( dengan pelbagai jenis adat ), beliau turut memikul tong berisi air tersebut. Katanya “ bagi saya memikul air untuk memandikan mayat, itu tidak bermasalah, yang masalah apabila mengikut adat-adat lain seperti wajib memakai kain putih sebelum mengangkat air ditambah dengan jampi mentera yang syirik..maka, yang itu saya tidak sertai”.

Beliau yang kini masih bekerja di kilang ALPS, Bandar Jengka mengakui sedikit kekecewaannya terhadap sikap dan salah faham segelintir umat Islam terhadap saudara baru. Sebagai contoh katanya, ada seorang temannya yang kematian bapa. Lalu apabila bertemu dengan seorang ustaz, temannya itu diminta untuk datang menziarahi sahaja dan tidak dibenarkan masuk untuk melihat mayat bapanya apatah lagi menyentuh jasadnya bapanya yang bukan Muslim itu. Beliau yang turut hadir pada hari kematian bapa temannya itu terkejut melihat temannya hanya termenung dibawah pokok dihadapan rumah tanpa masuk ke dalam. Lalu dia terus bertanya puncanya. Setelah diterang, beliau pun faham apa yang sedang berlaku dan terus mengarahkan juga temannya itu masuk ke dalam. “ kamu duduk diluar, ini bukan dakwah..masuk ke dalam itu yang jadi dakwah..” Sedikit pertengkaran kecil berlaku antara beliau dan ustaz yang memberi arahan pada temannya itu.

Tambah beliau “ Alhamdulillah..saya ini memang jenis mudah bergaul..jadi tidak ada masalah untuk bersama orang-orang Melayu Islam..mereka mudah menerima saya”. Namun, beliau juga tidak menafikan antara masalah yang sering berlaku adalah sikap saudara baru itu sendiri yang selepas memeluk Islam, sukar untuk beramah mesra dengan orang Melayu, mengasingkan diri…dan juga sikap orang Melayu yang sering menjadikan saudara baru merasa terasing…biasalah kadang-kadang masalah bahasa..dan sebagainya…” Beliau juga merasa hairan apabila disebut Islam, seolah-olah Islam itu kepunyaan Bangsa Melayu sahaja.

Bahkan, beliau merasa sedikit kecewa setelah masuk Islam, barulah beliau tahu penggunaan nama ‘Abdullah’ kepada bapa yang tidak masuk Islam, tidak perlu pun. Kata beliau, “ Ikrimah pun masih binkan bapanya iaitu Abu Jahal”. Isu ini pernah dibahaskan dan dipersetujui oleh Tn.Guru Nik Abdul Aziz pada tahun lepas kerana melihat isu menukar nama bapa menjadi Abdullah menjadi antara masalah yang merumitkan non-Muslim untuk memeluk Islam. Padahal, menggunakan nama bapa yang asallah menyebabkan ianya menjadi dakwah kepada ibu bapa tersebut apabila melihat keterbukaan Islam.

Saudara baru ini juga mengakui bahawa setakat ini, lebih daripada 30 orang non-Muslim yang berjaya ‘dipegang’ olehnya dengan matlamat untuk diIslamkan. Seronok dan bangga kami mendengarnya. Ust Farid Ravi, Shahkirit, Lim Joi Soon dan Ust Farhan Abdullah (Mudir Ma'ahad Tahiz di Sabah) adalah orang-orang yang beliau sering menjalinkan hubungan dalam menggerakkan dakwah kepada non-Muslim. Beliau kini aktif bersama mereka melalui program-program pengajian ‘Perbandingan Agama’ melalui sebuah pertubuhan saudara baru yang saya kurang ingat namanya.

Kemesraan jelas terpancar diwajah pemuda berbangsa India ini. Beliau lantas menghulurkan kepada saya sekeping CD yang berisi penuh dengan pelbagai jenis program Power Point, kertas-kertas kerja dan sebagainya mengenai sejarah-sejarah semua agama, perbandingan-perbandingan dan yang berkaitan setelah mengetahui saya berada dibidang Ushuluddin. “Kalau kamu mahu bantu kami, hubungi sahaja saya..bagus kamu dalami Ushuluddin..”

Beliau yang agak tertarik dengan helaian kertas yang saya edarkan kepada ahli jama’ah surau di Felda Sg.Tekam Utara, Jerantut ketika kuliah Maghrib malam tadi mengenai Konsep Syahadah & Tuntutannya , lantas bertanya “ boleh saya ambil kertas ini ? saya mahu gunalah…bagus isinya..ini yang penting..kadang-kadang selepas kita mengIslamkan orang..kita tidak ajar dia apa itu tuntutan Syahadah dan kewajipan-kewajipan terhadap Syahadah…ini yang masalah..” Saya hanya menjawab “ maaf bang…kertas ini ringkas sangat..saya pun ringkaskan dari sebuah buku..”

Alhamdulillah, kebetulan buku yang saya ringkaskan itu terdapat didalam beg yang saya bawa. “ Ambillah buku ini bang..saya ada lagi dirumah..maaflah..buku ini diterbitkan oleh PAS ..yang diguna untuk proses tarbiah dalam Pas..” Beliau hanya tersenyum dan mengambil buku itu sambil melihat tajuk-tajuknya yang bermula daripada Bab Aqidah, Syahadah, Perkara Membatalkan Syahadah, Islam dan Ciri-Cirinya dan lain-lain. Dihadapan kulit buku berwarna ungu itu tertera tulisan “ terbitan Lajnah Tarbiah PAS Pusat..peringkat Ta’arif..

Setelah agak lama berbual dengan beliau selesai solat Isya’ disurau berkenaan, saya mohon izin untuk pulang sambil berpelukan dengannya. Kata-kata semangat dan harapan darinya menusuk kelubang telinga saya supaya terus belajar.

Anak muda yang menukar namanya daripada nama India kepada nama ‘Muhamad Azizi Iqmal saling bertukaran email dan no tel untuk saya hubungi. Teman-teman pembaca boleh melayari blog peribadinya : http://iqmal-slaveofallah.blogspot.com atau menghubungi beliau melalui email azizi.iqmal@yahoo.com atau g-mail sorgam3@g-mail.com

Mudah-mudahan Allah membantu beliau dan seluruh saudara baru untuk melebarkan sayap dakwah keseluruh Malaysia. InsyaAllah.

Tiada ulasan: