Khamis, 21 Mei 2009

Kelab Umno bukan keperluan kami.

RESPON TERHADAP USAHA-USAHA PENUBUHAN KELAB UMNO DI ACEH


Muqaddimah :


Sejak kebelakangan ini, saya melihat terdapat usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak baik dari dalam Indonesia mahupun luar (Malaysia) untuk menubuhkan Kelab Umno di Aceh sebagaimana kewujudannya di tempat-tempat lain di Indonesia seperti di Jakarta, Medan dan sebagainya.


Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi Biro Dakwah & Pembangunan Insan – Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia Cabang Aceh (PKPMI-CA) bagi sesi 2009 / 2010 ingin memberikan sedikit respon (maklum balas) terhadap usaha-usaha ini. Berikut adalah kenyataannya :


1) Untuk makluman, di Indonesia telah ada pertubuhan yang menaungi pelajar-pelajar Malaysia yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia (PKPMI) termasuk wilayah Nanggroe Aceh Darussalam.


2) Di Aceh, PKPMI-CA baru sahaja dirasmikan penubuhannya tanggal 30 Okt 2008 oleh TYT Dato’ Zainal Abidin Zain, Duta Besar Malaysia ke Indonesia di Hotel Hermes pada Majlis Sambutan ‘Idul Fitri 1429.Majlis perasmian penubuhan PKPMI-CA turut disertai oleh Dr. Junaidi Abu Bakar , Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) di Indonesia.


3) Maka, usaha-usaha yang cuba dilakukan oleh beberapa pihak tersebut untuk menubuhkan Kelab Umno di Aceh yang seandainya berjaya, akan menyebabkan berlakunya beberapa hal. Berikut saya nyatakan hal-hal atau permasalahan yang sangat saya bimbangi akan berlaku :


i) Pelajar Malaysia yang kini menuntut di Aceh iaitu di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry hanya berjumlah 140 orang sahaja. Semua mereka adalah anggota rasmi kepada pertubuhan PKPMI-CA. Maka, seandainya Kelab Umno ditubuhkan di Aceh, perkara pertama yang akan berlaku adalah perpecahan dan keretakan hubungan harmoni di antara pelajar-pelajar Malaysia disini akan berlaku hasil dari kewujudan blok-blok politik tersebut.


ii) Kewujudan Kelab Umno nanti dibimbangi akan menimbulkan keresahan dikalangan mana-mana mahasiswa sehingga tidak mustahil akan munculnya mahasiswa yang akan menggagaskan idea penubuhan kelab-kelab parti politik lain seperti Kelab PAS, Kelab PKR dan seumpamanya sebagai bentuk perlawanan. Maka, natijahnya, perpecahan antara pelajar Malaysia disini akan terus marak.


4) Adapun, jika beberapa tahun kedepan nanti, bilangan pelajar Malaysia di Aceh ini bertambah sekalipun, saya merasakan sudah cukup dengan kewujudan PKPMI-CA untuk menaungi mereka kerana PKPMI juga adalah pertubuhan rasmi yang sah dan berada dibawah naungan Kedutaan Malaysia di Indonesia sendiri.


5) Maka, saya tegas menyatakan bahawa kewujudan Kelab Umno di Aceh adalah tidak menjadi sebuah keperluan yang mendesak kepada pelajar Malaysia disini. Namun, saya sangat berlapang dada sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar Malaysia disini baik berupa bantuan kewangan kepada pelajar atau bantuan kewangan kepada program-program pelajar, PKMPI-CA sedia menerima dan memanfaatkan sebaik mungkin apa-apa sumbangan tersebut tanpa perlu melalui pertubuhan seperti Kelab Umno untuk menyalurkan bantuan atau apa-apa peruntukan.


6) Saya merasakan cukuplah dengan kewujudan kelab-kelab Umno di wilayah-wilayah lain di Indonesia yang jelas telah memberikan impak yang sangat buruk untuk kesatuan dan perpaduan antara pelajar-pelajar Malaysia disini. Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat individu-individu dikalangan pelajar Malaysia disini yang cenderung kepada mana-mana parti politik di Malaysia samada Umno, Pas dan sebagainya, itu adalah hak mereka sebagai golongan terdidik yang bijak menilai dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan terhadap pelajar-pelajar Malaysia yang lain.


7) Untuk akhirnya, sekali lagi saya menyatakan bahawa, buat masa dan tempoh ini, sekiranya diberi pilihan atau tawaran untuk diwujudkan Kelab Umno disini, ianya tidak menjadi priority bagi kami kerana PKPMI-CA sudah wujud dan saling berusaha menjalinkan kerjasama dengan PKPMI di-wilayah-wilayah lain di Indonesia demi memelihara kebajikan pelajar-pelajar Malaysia.


Untuk itu, semua pihak diharap dapat mengambil dan memberi perhatian yang serius mengenai kesan kewujudan Kelab Umno di Aceh nantinya jika ia ditubuhkan.


Terima kasih,


Muhammad Fadhlullah Ismail

Pengerusi Biro Dakwah & Pembangunan Insan (PKPMI-CA)

2009 / 2010


Catatan: Berikut adalah website PKPMI-Pusat http://www.pkpmipusat.com/index.html

1 ulasan:

farid ramli berkata...

Respon yang bernas dan tak berat sebelah. Teruskan usaha dlm badan dkwah di aceh (sbenarnya baru tau je apa jwtn)..