Isnin, 2 Mei 2011

11 Syarat Saksi Dalam Tuduhan Zina

Media semakin galak menambahkan kejahilan ummat yang kurang tahap pengetahuan mereka terhadap aturan Islam dengan siri-siri pendedahan video seks, zina, liwat dan yang berkaitan dengannya. Saya antara warga Negara yang turut mengambil bahagian mengikuti satu persatu episod kotor dan keji ini dipaparkan. Jumaat kelmarin, saya turut berada di Masjid Amru bin Al’as, Bandar Baru Sentul, KL bagi mengikuti upacara sumpah laknat Datuk Eskay. Namun, tidak sempat menyaksikannya gara-gara ketidakhadiran beliau pada waktu yang dijanjikan. Menjelang Asar baru beliau dan dua kuncunya tiba dengan kawalan ketat pihak keselamatan disamping perlindungan khas dengan baju kalis peluru dipakainya.

Pagi tadi, dalam kuliah Subuh di Surau Ubidiyyah, Sri Gombak, membicarakan sedikit tentang ilmu Hadith, saya sertakan juga sebuah buku teks Pendidikan Syariah Islamiyyah Tingkatan 5 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP) dengan diperakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Di dalamnya terdapat sebuah tajuk kecil di bawah bab Hadith-Hadith Hukum iaitu bab Zina. Antara yang dibicarakan pada bab ini adalah mengenai tindakan seorang sahabat yang bernama Ma’iz bin Malik yang menghadap Rasulullah mengakui perbuatan zinanya, maksud zina dan hukumannya, pensabitan zina beserta saksi, iqrar, bukti (qarinah), syubhah (keraguan) yang menyebabkah gugurnya hukuman had (hukuman) zina dan lain-lain.

Dalam bab “Mensabitkan Zina Beserta Dengan Saksi”, dinyatakan di situ:

Zina boleh disabitkan dengan saksi yang menyaksikan sendiri berlakunya zina. Ulama’ telah menetapkan syarat-syarat saksi iaitu:

1) Islam

2) Lelaki

3) Adil (tidak fasiq)

4) Merdeka (bukan hamba)

5) Mukallaf iaitu baligh dan berakal

6) Bilangan saksi adalah 4 orang

7) Persamaan kes yang disaksikan oleh keempat-empat orang saksi iaitu perbuatan yang sama, masa yang sama dan tempat yang sama.

8) Persamaan majlis iaitu saksi-saksi hendaklah berkumpul dalam satu majlis ketika berlaku penyaksian

9) Orang yang menjadi saksi hendaklah menggambarkan persetubuhan itu.

10) Tidak berlengah-lengah tanpa keuzuran

11) Saksi itu berkelayakan sehinggalah dilaksanakan hukuman itu.

Iqrar: Jenayah zina boleh disabitkan dengan pengakuan atau iqrar penzina itu sendiri. Syarat-syarat iqrar adalah seperti berikut:

1) Aqil baligh

2) Pengakuan dengan pilihan sendiri atau sukarela

3) Orang yang membuat pengakuan, mampu melakukan zina

4) Pengakuan dibuat dengan ucapan

5) Pengakuan mestilah secara jelas, fasih dan tiada keraguan.

Catatan: Saya tidak tahu apakah pihak pemerintah hari ini, yang Kementerian Pendidikan Malaysia berada dibawahnya, merujuk atau tidak tentang hal-hal yang berkaitan dengan zina melalui buku yang mereka sendiri terbitlkan dan akui ini.