Rabu, 27 Mei 2009

Antara harapan & amanah

Beberapa hari berada di Kelantan, kami sempat bersama dengan beberapa individu-individu penting dalam rangka membincangkan hala tuju dakwah dan perjuangan Islam di Malaysia khasnya yang melibatkan pergerakan mahasiswa selain dari membantu urusan kehadiran bakal-bakal mahasiswa baru dari Kias yang akan melanjutkan pengajian ke IAIN Ar-Raniry. Makluman terkini yang kami terima, Jordan telah membuka peluang kepada mahasiswa Kias untuk melanjutkan pengajian kesana bermula tahun ini dan Madinah kemungkinan tahun hadapan. Inilah usaha-usaha yang terpaksa dilakukan oleh kolej-kolej Islam sebagai alternative selepas pembatalan Mou Al-Azhar.

Ketika kami bertemu Ust Dzulkhairi, Pres.Gamis di Kota Bharu, Ahad yang lalu, sambil minum berhampiran Masjid Muhammadi, kami langsung bertanyakan khabar mengenai idea beliau yang disampaikan melalui artikel diblognya seminggu yang lalu untuk menggerakkan konvensyen gabungan antara mahasiswa diseluruh kolej-kolej Islam di Malaysia. Subhanallah. Idea beliau dan Gamis sangat kami hargai. Rencananya, mahasiswa dari seluruh kolej-kolej Islam menjadi suara yang kuat bersama Gamis dalam menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan ummah. Mahasiswa dari kolej-kolej Islam persis ulama’ muda dibelakang Gamis. Walaupun masih diperingkat perancangan, kita harapkan ada kampus-kampus ini yang bersedia dan sanggup menerima pelawaan Gamis untuk menjadi tuan rumah jika konvensyen ini diterima pelaksanaannya.

Beliau turut berkongsi sedikit sebanyak perkembangan terkini aktiviti-aktiviti Gamis seperti konsert mega yang bakal diadakan sekitar Jun ini di Stadium Shah Alam. Ini meupakan lembaran baru dalam usaha Gamis memperkenalkan alternative kepada hiburan Islam yang digerakkan oleh mahasiswa. InsyaAllah. Sedikit sebanyak mengenai perkembangan dunia Indonesia dan kemahasiswaannya turut kami kongsi bersama beliau disamping harapan-harapan yang tinggi menggunung dari beliau kepada mahasiswa Islam yang disuarakan.

Semalam (Isnin), dalam perjalanan pulang dari rumah seorang sahabat di Kelantan bersama seorang Ust yang agak aktif didalam Dewan Ulama’ Pas Kelantan, terus saya mencungkil pandangannya mengenai perkembangan Pas dan politik Malaysia. Antaranya mengenai kenyataan Ust Nik Abduh tentang ‘kerja-kerja bodoh dalam Pas’ yang disiar melalui artikel diblognya serta kenyataan terbaru dari Ust Mohamad Daud Iraqi (Ketua Dewan Ulama’ Pas Pusat) mengenai kewujudan budaya menggunakan wang didalam pemilihan pimpinan Pas dibeberapa peringkat. Alhamdulillah, saya semakin jelas mengenai kondisi yang sedang berlaku. Cukup sebagai pengetahuan sahaja yang saya tidak akan sampaikan disini. Saya hanya mampu berdoa agar Allah terus melindungi Pas dari sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan-kepentingan agar Pas benar-benar dilihat sebagai Gerakan Islam, bukan parti politik untuk menghadapi Umno semata-mata.

Sekitar waktu Asar, kami yang singgah di kedai buku Jaffar Rawas ditengah Kota Bharu bertemu dengan YB Ust Abdullah Yaakob, Adun Air Lanas, Jeli. Beliau masih mengingati kami yang pernah mengadakan program keluarga angkat dikawasan beliau pada tahun lepas seramai lebih dari 100 mahasiswa tahun 2 dan 3. Selepas diajak minum bersama di hadapan hotel Ansar sambil berkongsi pengalaman pengajian diAceh, kami diajak mengikuti sebuah program anjuran kerajaan negeri. Kami sangat senang dengan wakil rakyat Pas di Negeri Kelantan. Mereka mudah ditemui dimana-mana dan tidak ‘mahal’ untuk duduk bersama siapa sahaja diwarong. Y.B Solahudin Ayob juga kelihatan minum di sebuah warong berhadapan hotel Ansar dan malamnya beliau menaiki bas di Jalan Hamzah, KB Mall untuk pulang ke KL. Saya menanti-nanti untuk melihat YB Umno menaiki bas...

Jam 05.15, kami memasuki Hotel Raudah mengikuti majlis perasmian Sukarelawan Pendidikan Rakyat yang dirasmikan oleh Dato’ Ahmad Yaakob (TMB). Turut menyampaikan ucapan Al-Fadhil Ust Abu Bakar Chik sebagai ‘pembawa’ idea perancangan ini. Sukarelawan ini bertujuan menggerakkan usaha menyelamatkan anak-anak muda di Negeri Kelantan dari budaya-budaya tidak sihat seperti Mat Rempit, kegiatan jenayah dan sebagainya dengan metode mendekati mereka membawa nasihat.

Malamnya, kami bertolak pulang ke kampong asal masing-masing setelah selesai menguruskan beberapa tugasan. Akhir minggu ini mungkin kami berpeluang menonton lagi suasana menarik di airport LCCT, KL iaitu orang-orang bertopeng putih pasca selesema babi. Kasihan..babi pun kena selesema. Kalaulah babi berkumpul beramai-ramai mencari ubat selesema di klinik……Islam sahaja penyelesaian masalah ini. Jangan angkuh bila Allah sudah syariatkan sesuatu perkara.

1 ulasan:

pendamba hidup mulia dan mati syahid berkata...

Allahummasuril ikhwanana fie kulli makan...

smg segala bentuk perjuangan yang murni krn Allah taala dan demi meneg akan kembali kemuliaan Islam akan mendapat mndapat bantuan Allah swt... semoga antum tetap tsabat akhi!! fie ayyi zaman wa kulli makan..