Selasa, 25 Ogos 2009

Wajah-wajah teroris ?




Wajah-wajah 2 pemuda yang terbunuh dalam serangan untuk memburu Noordin M.Top. Benarkah mereka ini teroris ? baca di sini

http://www.arrahmah.com/index.php/news/read/5342/tanda-syahid-insya-allah-pada-jenazah-air-setiawan-dan-eko-joko-sarjono


Darah merah masih mengalir dari telinganya setelah beberapa hari terbunuh sehingga saat ingin dimakamkan.


Baca lagi disini : http://www.arrahmah.com/index.php/news/read/5341/tanda-tanda-syahid-muncul-pada-jenazah-air-dan-eko-peyang


Lagi gambar pemakaman mereka disini http://www.muslimdaily.net/features/3878/galeri-foto-dan-perjalanan-air-setiawan-dan-eko-joko-menuju-syahid

Sabtu, 22 Ogos 2009

Mahasiswa KIAS dan MARSAH tiba di Aceh

Alhamdulillah, sekitar jam 2.00 petang (3.00 Malaysia) semalam, rombongan mahasiswa baru dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan dan MARSAH, Johor selamat tiba di Airport Bandara Sultan Iskandar Muda, Nanggroe Aceh Darussalam. Ketibaan mereka disambut oleh YDP PKPMI-CA, Al-Akh Muhammad Azzar Ismail dan sejumlah Pengerusi Biro-Biro PKPMI-CA 09/10.


Rombongan mahasiswa dari KIAS yang berjumlah 26 orang diketuai oleh Al-Fadhil Ust Ilias bin Ahmad yang merupakan Pegawai Pembangunan dan Kegiatan Pelajar KIAS. Jumlah mahasiswa dari MARSAH pula seramai 9 Muslimin dan 2 Muslimat.


Semua mereka ini akan melanjutkan pengajian ke tahun akhir sekitar 1 tahun setengah di IAIN Ar-Raniry, Nanggroe Aceh Darussalam di pelbagai fakultas seperti Ushuluddin, Syariah dan Dakwah.


Ketibaan mahasiswa dan mahasiswi dari KIAS dan MARSAH semalam, secara rasminya menjadi penutup kehadiran mahasiswa Malaysia ke IAIN Ar-Raniry secara rombongan untuk tahun ini bagi sesi pengajian 2009/2010. Sebelum ini, mahasiswa dari Ma’ahad Tahfiz Malim Nawar, Perak, Taman Pengajian Islam, Kemaman, Terengganu, UNITI, Negeri Sembilan dan KIPSAS, Pahang telah tiba lebih awal.


Kini, jumlah mahasiswa-mahasiswi Malaysia dari pelbagai pusat pengajian yang berada di IAIN Ar-Raniry menjangkau angka 200 orang.


Ahlan wa Sahlan diucapkan…

Selamat Belajar dan Berjuang

Selamat Menyambut Ketibaan Bulan Ramadhan di Bumi Aceh Darussalam.

Khamis, 20 Ogos 2009

Ciri-Ciri Terroris Ala Amerika

Kegilaan memburu individu-individu atau kelompok-kelompok yang didakwa terlibat dengan kegiatan terrorisme di Indonesia semakin hari semakin hebat digerakkan. Sejak 17 Julai 2009 sehinggalah hari ini, media massa tidak henti-henti membuat ulasan mengenai isu pengeboman hotel J.W.Marriot dan Ritz Carlton di Jakarta, melaporkan perkembangan terkini hasil siasatan pihak polisi, tangkapan-tangkapan yang berjaya dilakukan, individu-individu tersangka dalang pengeboman dan sebagainya.


Bahkan kelmarin, sebuah rombongan jama’ah tabligh juga ditahan gara-gara penampilan mereka yang berkopiah, berjubah, berjanggut dan menginap disebuah masjid di Indonesia.


Yang anehnya, ketika Amerika, Australia, Britain, bahkan Israel sebagai pihak dibelakang layar dan Negara-negara kuffar begitu serius ingin membendung kegiatan keganasan dan menumpaskan semaksima mungkin mana-mana individu yang dikatakan terlibat dengan terorisme, wajah-wajah dan sosok tubuh individu-individu yang ditahan pastinya terkait dengan hal-hal berikut :

1) Berkopiah atau berserban.

2) Berjubah.

3) Berjanggut atau berjambang tebal.

4) Isteri-isteri berjilbab (tudung) labuh dan sering berwarna hitam atau agak gelap.

5) Kebanyakan isteri-isteri individu ini bercadar (berpurdah).

6) Anak-anak berpakaian menutup aurat, berkopiah, bertudung labuh.

7) Anak-anak berpendidikan agama yang baik, bahkan ramai yang menetap di mana-mana pesantren (pondok).

8) Kebiasaannya individu yang ditahan adalah mereka yang berstatus ustaz, imam masjid, dihormati dan disegani masyarakat dan sentiasa dijadikan tempat rujukan.

9) Kebiasaannya individu yang ditahan adalah lepasan pengajian Islam dari mana-mana pesantren di Indonesia atau Timur Tengah.

10) Kebiasaannya individu yang ditahan adalah mereka yang pernah berjihad di Afghanistan ( era penjajahan Soviet Union-komunis Rusia ), Selatan Thailand (Pattani, Yala, Narathiwat, Songkla dan Setun ), Moro dan Mindanao di Filipina, Ambon dan Maluku di Indonesia dan beberapa tempat lain.


Hasilnya :

1) Ketakutan kepada orang yang berjubah, berkopiah, berserban dan berjanggut menjadi-jadi. Maka takutlah umat Islam (yang memang penakut) untuk mengamalkan ajaran dan syiar agama sendiri.


2) Ketakutan kepada muslimat yang bertudung labuh dan berpurdah juga terjadi. Bimbangnya mereka kemungkinan dibalik jubah labuh tersebut tersembunyi bom dan bahan letupan. Maka, umat Islam ( yang memang penakut dan jahil terhadap agama sendiri ) lebih senang berpakaian ala-ala bertelanjang kerana pakaian itu tidak ditakuti oleh sesiapa dan tidak dicurigai sedikitpun. Orang yang menutup aurat akan terus dipandang Ghuraba’ (asing).


3) Pesantren, tempat-tempat pengajian agama dan lulusan agama dari mana sahaja menjadi ketakutan kepada masyarakat. Akhirnya, menghantar anak-anak ke tempat pendidikan yang dibangunkan oleh kuffar lebih disenangi berbanding menghantar anak untuk memahami Islam.


4) Apa itu JIHAD tidak lagi diketahui dan difahami kerana JIHAD telah diletakkan sama taraf dengan TERRORISME. Maka, untunglah Amerika, Britain, Australia, Israel dan sebagainya yang memerangi umat Islam dipelbagai Negara, kerana umat Islam tidak akan membantu mujahidin berjihad melawan mereka kerana JIHAD itu adalah keganasan. Membantu HAMAS di Palestin adalah keganasan, membantu MILF di Filipina adalah keganasan, membantu Hizbullah di Lubnan adalah keganasan, membantu PULO di Selatan Thailand adalah keganasan. Membantu Taliban di Afghanistan adalah keganasan. Memerangi umat Islam adalah upaya untuk melakukan keamanan dinegara tersebut dari kumpulan-kumpulan terrorisme.


5) Umat Islam bermusuh, curiga, takut, benci dan menyerang saudara seaqidah sendiri yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dibulan Ramadhan bersama dengan mereka sendiri. Anak isteri para tertuduh teroris dihina dan diasingkan begitu dahsyat didalam masyarakat seperti yang terjadi di Indonesia sekarang dan di Malaysia (keatas anak isteri para tahanan ISA).



Kepada saudaraku umat Islam dimana sahaja,

Cukuplah ! Jangan bermusuh dengan saudara seaqidah sendiri disaat tuduhan kepada mereka belum pasti benar. Jangan sampai daging-daging mereka dimakan oleh kita hanya kerana serangkai fitnah yang kemas dan teratur yang direncana oleh para musuh Allah. Jangan mengulas atau membuat apa-apa dakwaan terhadap saudara sendiri jika kita tidak mengetahui kebenarannya. Berhati-hatilah ! Disekeliling kita penuh denga intelijen kuffar yang terus merencana apa sahaja bagi memastikan Islam berjaya dijadikan sasaran permusuhan.


Kepada saudaraku para pemimpin Negara umat Islam,

Cukuplah ! Gunalah akal sebaik mungkin disaat menghadapi isu-isu sebegini. Kita tetap membenci keganasan dimana sahaja baik yang dilakukan oleh kuffar atau umat Islam sendiri. Namun, jangan sampai lidah dan jari kita terlalu mudah mendahului siasatan dengan menunjuk saudara sendiri sebagai dalang keganasan.


Firman Allah s.w.t : Dan kamu akan dapati, manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang yang bersama dengan mereka.

( Surah Al-Ma’idah : 82 )

Cerita Dari Medan

Sekitar jam 7.00 pagi tanggal 17 Ogos, saya dan Azrul melepaskan penat, berehat sambil minum pagi disebuah kedai makan berdekatan terminal bas Medan. Kepala masih terasa kepeningan akibat perjalanan yang berliku-liku merentas gunung ganang dan bukit bukau bermula jam 8.15 malam dan tiba di Bandar Polonia, Medan jam 6.50 pagi menggunakan bas yang agak deras pemanduannya dan amat membingitkan telinga bunyi honnya. Alhamdulillah, bas ini bebas dari asap rokok tidak sebagaimana kebiasaan bas-bas lain yang penumpangnya cerdik menghisap rokok didalam bas beraircond. Kota Bharu ke Kuala Lumpur baru 8 jam tempoh perjalanannya.


Sementara menunggu seorang sahabat datang menjemput, air teh hangat dihirup perlahan. Seorang lelaki sekitar 40-an datang ke meja minum kami dengan beg kecil tersandang dibahu. “Mau yang Cina?” Azrul menggelengkan kepala. “Anta dengar tak apa yang dia tanya?” Saya membalas “entahlah…dengar perkataan Cina je..kurang jelas lah..” “ Dia tanya kita, kita nak CD Cina ke? “jelas Azrul. Ishhh…ingat jual apa tadi. “Ini baru pagi..tunggu malam nanti..” tambahnya. “ Cermin kereta kita diketuknya nanti..mau 20, 30 (rupiah)…” “apa tu?” saya bertanya. “Waria (wanita/pria)…mak nyah lah…”


Bandar Medan agak pesat berbanding Banda Aceh. Bangunan tingginya lebih banyak. Di Aceh, bangunan kebiasaannya setinggi 3 tingkat sahaja. Kata seorang teman disini “peraturan di Aceh..bangunan tidak boleh dibina lebih tinggi dari menara Masjid Raya Baiturrahman”. Tapi ada persamaan juga antara Medan dan Aceh iaitu penyakit langgar lampu merah dan menunggang motosikal melalui jalan lawan arah. Tidaklah semua, segelintir sahaja.


Jika di Aceh penuh dengan anak-anak kecil meminta sedekah (mungkin benar atau mungkin digunakan orang) , maka di Medan lebih hebat. Peminta sedekahnya sanggup duduk bersila diatas jalan betul-betul berdekatan dengan lampu isyarat. Jadi, pemandu akan memberikan wang dengan melemparkan kepada mereka dari atas kenderaan. Di pasar-pasar pula baik tempat menjual pelbagai jenis pakaian batik, kain dan sebagainya, kita akan bertemu dengan anak-anak kecil seusia sekolah rendah yang kadang-kadang berkopiah, tetapi berseluar pendek, meminta sedekah. Kaedahnya lebih hebat. 2,3 orang akan mengelilingi kita, apatah lagi apabila mengetahui kita orang luar. Ditunjukkan kertas seperti sijil tempat mereka belajar yang dicopy dan tulisannya hampir pudar, tidak dapat dibaca dengan jelas lagi. “tolong pak…mau wang untuk belajar pak..”Itulah yang diulang-ulang. Jika diberi, maka akan bertambahlah bilangan mereka mengelilingi kita yang muncul entah dari mana. Selagi tidak diberi, selagi itulah mereka akan mengelilingi kita sampai ke kereta.


Begitu jugalah dengan peniaga-peniaga pejalan kaki yang membimbit plastic berisi pelbagai cenderahati seperti keycain, pen diperbuat dari buluh, dompet dan lain-lain. Selagi tidak dibeli, selagi itu dirayu sehinggalah kita perlu juga membeli satu. Jika tidak, akan diikuti rombongan kita sampai ke kereta.


Medan sebuah kawasan luas yang penuh dengan orang-orang Cina. Kadang kala wajah mereka sukar dibezakan dengan orang-orang Indonesia (Medan). Bahkan mereka juga berbicara didalam bahasa Indonesia. Kebanyakan kedai-kedai di Bandar Medan adalah milik Cina. Medan pesat dengan tempat-tempat perniagaan yang menjual kain batik, baju batik, pelbagai jenis kain, telekung dan pakaian. Kawasan terkenal yang menjual barangan ini dikenali sebagai Kedai Pajak Ikan.


Medan juga umpama ‘syurga’ makanan, kata setengah orang. Ya, benar. Pelbagai jenis makanan ada disana, pelbagai jenis masakan baik masakan Padang, Minang, Aceh dan sebagainya ada disana. Tapi, AWAS ! Berhati-hati memilih kedai-kedai kecil atau warong-warong ditepi jalan atau dicelah-celah lorong. Lebih baik mahal sedikit makan di restoran besar milik orang Islam daripada anda bertemu kepala babi ditempat memasak.


Alhamdulillah, dalam tempoh 3 hari 2 malam berada disana untuk menguruskan beberapa hal dengan pimpinan pelajar Malaysia di sana, mereka membawa kami makan dikedai-kedai berdekatan kampus yang ‘lebih selamat’. Pelajar Malaysia di Medan lebih dari 800 orang semuanya dan sebahagian besarnya adalah pelajar perubatan di Universitas Sumetara Utara (USU) dan sekitar 100 orang lebih di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Medan.


Dalam perjalanan pulang dari makan malam, sebelum tiba ke tempat kami menginap, beberapa jalan perlu dilalui. Waktu itu sekitar jam 11 malam. Benarlah apa yang dikatakan. Dipinggir jalan penuh dengan waria (wanita/pria) atau bencong (istilah di Medan) yang sedang membuat aksi-aksi tawar menawar. Ditangan tidak lepas dari alat solek yang digunakan untuk ‘merepair’ wajah sementara menunggu pelanggan. Beberapa jalan juga kelihatan perempuan-perempuan ‘betul-betul’ yang juga sedang ‘berniaga’. Alhamdulillah, pelacuran bebas dari bumi Aceh. Namun, lelaki lembut masih kelihatan juga bersembunyi-sembuyi dibeberapa jalan. Medan mungkin agak sama dengan ibu Negeriku, Kuantan dikala malam menjelma.


Jam 7 malam tadi, kami bertolak pulang ke aiport Bandara Sultan Iskandar Muda menggunakan Lions yang boleh berada di udara…sedikit kelainan antara Lions dan Air Asia, pramugarinya agak ‘lebih sopan’ kerana berkain panjang sehingga ke bawah berbanding Air Asia yang berskirt merah separas kepala lutut. Jam 7.50 sudah tiba di Aceh Darussalam – terima kasih pada sahabat-sahabat di Medan yang membantu urusan kami. Jazakallah.

Ahad, 9 Ogos 2009

Bukan Noordin M.Top yang ditembak ?

Kalau sejak pagi semalam, media melaporkan bahawa Noordin M.Top berjaya ditembak di rumah yang dikepung sejak sehari yang lalu, hari ini media melaporkan bahawa yang terbunuh bukan Noordin M.Top.


Pagi tadi disiarkan rakaman sepasukan anggota polis lengkap bersenjata dan baju kalis peluru mengusung sebuah bungkusan berwarna oren untuk dibawa ke ambulan. Mungkin rakaman pada hari semalam sekitar jam 10.00 pagi (11.00 Malaysia).


Polis mengakui bukan Noordin yang terbunuh. Namun mereka akan memanggil isteri dan 3 anak Noordin di Malaysia untuk pulang ke Indonesia bagi mengidentifikasikan (mengenal pasti) jasad terbunuh. Siapa yang ditembak tersebut ? atau ada orang lain yang dijadikan ‘kambing hitam’? atau memang ada orang yang perlu dijatuhkan hukuman bunuh diletakkan disitu untuk menjadi ‘Noordin’ ?


Cara liputan media semalam sangat merangsang minat penonton. Awalnya dimaklumkan bahawa rumah itu dipasang bom sekelilingnya oleh Noordin. Kemudian dikatakan Noordin melilit bom dipinggangnya. Kemudian diberitakan Noordin sedang bersembunyi dibilik mandi. Akhirnya beberapa letupan disasarkan kerumah sehingga ranap sebahagiannya. Berikutnya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa mereka yakini Noordin berjaya ditembak.


Pagi ini diwar-warkan pula bahawa kediaman SBY bakal dijadikan sasaran serangan teroris. Polis pula saat ini dimaklumkan sedang bekerjasama dengan polis Malaysia untuk mengenal pasti adakah jenazah itu jenazah Noordin yang dikatakan berasal dari Johor, Malaysia.


Semudah itukah rencana untuk melakukan keganasan terhadap kediaman SBY boleh dilaporkan terus kemedia ? padahal ia masih dalam siasatan samada benar atau tidak ? jika ia maklumat sulit, rahsia dan merbahaya, mengapa terus diwar-warkan kepada media ?

Sabtu, 8 Ogos 2009

Noordin M.Top tewas, SBY sasaran pengeboman ?

Sejak semalam media Indonesia menyiarkan secara langsung detik-detik pengepungan sebuah rumah yang terletak disekitar sawah padi yang dikatakan didiami oleh Noordin M.Top. Ratusan pihak keselamatan berkampung di kawasan itu sejak semalam dan kini telah melebihi tempoh 24 jam mereka mengepung rumah tersebut. Puluhan anggota unit pencegahan bom bersiap siaga dengan baju kalis peluru dan bertopi keledar hitam dengan senapang ditangan. Setiap sudut rumah dikepung mereka. Dimaklumkan, tempat ini terletak di Temanggong, Jawa Tengah.


Pagi tadi, siaran langsung diteruskan oleh beberapa media Indonesia seperti TV One dan Metro TV. Pihak polis dengan aksi-aksi yang cukup membuatkan penonton ternanti-nanti untuk mengetahui perkembangan selanjutnya mengenai keadaan Noordin M.Top.


Sekitar jam 10.00 pagi (11.00 Malaysia) sebentar tadi, pihak polis memaklumkan bahawa Noordin telah berjaya ditewaskan. Namun, sampai saat ini jenazah masih belum dikeluarkan dari rumah. Yang kelihatannya hanya sebuah ambulan yang mula menghampiri rumah yang telah dibedil sejak semalam.


Apakah benar Noordin M.Top berada didalam rumah tersebut ? awalnya media mewar-warkan kononnya Noordin melilitkan bom dipinggangnya. Namun sampai berita kematiannya tadi, sedikit letupan bom dari Noordin pun tidak kedengaran. Semudah itukah individu yang diburu membiarkan dirinya tertangkap tanpa sebarang aksi membela diri? Dalam masa yang sama, TV One juga melaporkan bahawa Noordin bersembunyi dirumah seorang temannya. Setakat ini jenazah masih belum kelihatan dibawa keluar.


Kita tegas menyatakan bantahan kita terhadap sebarang bentuk keganasan apatah lagi yang melibatkan orang awam yang dilarang keras didalam peraturan peperangan dalam Islam. Namun, soalnya, siapakah Noordin M.Top ini sehingga hampir 5 tahun namanya disebut-sebut setiap kali berlaku apa-apa letupan bom di Indonesia, tetapi masih gagal ditangkap sehingga pengeboman hotel J.W Marriot dan Ritz Carlton barulah dia diburu lagi ? TV Indonesia mula menghentikan penyiaran aksi-aksi pengepungan rumah Noordin M.Top. Lalu, jasadnya yang dikeluarkan dari rumah tidak disiarkan ? Benarkan dia dibunuh sebentar tadi ? atau nantinya manusia bertutup kepala dengan sarung hitam akan disiarkan di media sebagaimana Sirul Azhar di Malaysia yang sehingga kini kita sendiri tidak mengetahui siapakan sebenarnya mereka dan benarkah mereka yang dihukum mati baru-baru ini atau orang lain ?


Dalam masa yang sama, media juga melaporkan saat ini dikatakan berlakunya perancangan untuk melakukan pengeboman terhadap SBY yang sedang dalam perjalanan ke beberapa tempat di Indonesia. Misi apakah ini sebenarnya ? atau ingin memberi gambaran kepada SBY bahawa keganasan di Indonesia akan mengakibatkan beliau juga menjadi mangsa berikutan sikap SBY yang kelihatan tidak ‘menyerang’ Jama’ah Islamiyyah (JI) atau Al-Qaeda, bahkan mengatakan pengeboman ini mungkin berkait dengan politik Indonesia selepas Pemilu Presiden ?


Jam 11.50 pagi : Ambulan meninggalkan kawasan rumah tersebut. Namun, rakaman jenazah Noordin M.Top yang dikatakan tewas tidak disiarkan. Siaran media mula beralih kepada tayangan video detik-detik pengeboman J.W Marriot dan Ritz Carlton.



Mahasiswa Baru Dari KIPSAS Tiba di Aceh : Ahlan wa Sahlan…

Jam 3.00 petang (4.00 Malaysia) semalam, seramai 5 mahasiswa dari Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda. Mereka yang terdiri dari 1 orang mahasiswa dan 4 mahasiswi ini akan melanjutkan pengajian ke tahun terakhir di IAIN Ar-Raniry, Nanggroe Aceh Darussalam bagi sesi 2009 / 2010. Bersama mereka adalah Ust Fakhruddin Ishak yang berasal dari Kerdau, Temerloh, Pahang yang menjadi guru pengiring.


Ketibaan mereka disambut oleh YDP PKPMI-CA, Al-Akh Mohammad Azzar Ismail dan beberapa Pengerusi Biro PKPMI-CA yang lain.


Kelihatan dalam gambar dari kiri ke kanan : Ust Fakhruddin Ishak dan mahasiswa baru : Mohd Amin bin Zainol (bert-shirt biru) dan 4 muslimat di belakangnya.


Pada 20 Julai yang lalu, seramai 13 orang mahasiswa dari Malaysia telah tiba ke Aceh iaitu 7 mahasiswa dari Ma’ahad Tahfiz Malim Nawar, Perak, 1 mahasiswa dan 2 mahasiswi dari Taman Pengajian Islam, Kemaman, Terengganu dan 3 mahasiswa serta 1 mahasiswi dari Uniti, Negeri Sembilan.


Makluman yang diterima, InsyaAllah tanggal 21 Ogos, beberapa mahasiwa dari KIAS, Kelantan pula akan tiba. Ketibaan mahasiswa dari Marsah, Johor dan Kitab, Pulau Pinang dijangka akan tiba dalam tarikh yang berdekatan pada Ogos ini juga.

Ahlan wa Sahlan kami ucapkan.



Selasa, 4 Ogos 2009

Demo Anti ISA : Dalam media Indonesia

Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) mungkin boleh berbangga sekali lagi apabila media dunia menyiarkan keadaan demokrasi di Malaysia ala Umno dan BN. Tahun lalu, Malaysia telah melonjak namanya apabila Al-Jazeera menyiarkan demokrasi ala Umno dan BN dengan rakaman kekerasan anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditunggangi oleh penguasa dalam menghadapi rakyat yang berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menuntut hak mereka yang dinafikan dalam Himpunan Bersih.


Akhbar Serambi Indonesia yang merupakan antara akhbar harian yang utama di sini, kelmarin ( 2 Ogos 2009 ) telah memaparkan berita yang sangat menarik minat dan menimbulkan pelbagai pertanyaan rakyat Indonesia terhadap Malaysia. Dihalaman pertama terpapar penuh gah judul yang berbunyi “Kuala Lumpur Lumpuh”Ribuan Warga Malaysia Tuntut UU-ISA Dicabut. Dua foto besar diletakkan dibahagian hadapan iaitu foto pihak FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata dan foto orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri dari semburan air kimia.


Antara lain dinyatakan, jumlah demonstran hampir 20,000 orang dan yang ditangkap sekitar 438 orang termasuk 31 remaja bawah 18 tahun. Penyataan dari tim.ketua Polis Kuala Lumpur, Ismail Omar yang menyatakan bahawa “aksi demo itu illegal (haram)…kami hanya ingin membubarkan mereka, jadi kami menggunakan meriam air dan gas air mata”. Beliau menegaskan bahawa polis tidak bertindak brutal. Turut dimuatkan adalah kenyataan dari pimpinan pihak oposisi (pembangkang) iaitu Anwar Ibrahim yang menyatakan kritikan terhadap pihak polis yang menggunakan kekerasan dan tempelak terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak yang telah menghancurkan gambarannya sebagai pria (lelaki) yang baik. Anwar turut menegaskan bahawa usaha damai telah dilakukan sekian lama sebelum oposisi melakukan unjuk rasa. Pihak polis anti huru hara dikerahkan seramai 5000 orang untuk menghalang demonstrasi anti-ISA, lapor akhbar Serambi Indonesia.


Di dalam TV Indonesia juga turut disiarkan aksi-aksi kekerasan polis menyuraikan para peserta demonstrasi anti-ISA. Tahniah UMNO dan BN ! Kini dunia mengenalmu….




Isnin, 3 Ogos 2009

Buruh Kasar Ini Tahu dan Faham ISA Zalim !

Kali pertama melihat wajahnya terpapar di website malaysiakini dengan tangan terikat di belakang, hati saya terasa begitu kagum bercampur sebak. Di kanannya terdapat 2 lelaki dan di kirinya juga terdapat 2 lelaki yang masing-masing tangan terikat. Sekitar mereka tercegat beberapa anggota polis baik yang lelaki mahupun perempuan. Pemuda berumur 27 tahun ini terlihat dikepalanya ikatan kain berwarna merah yang hanya kelihatan kalimat “Akta Zalim”.


Dia bukan mahasiswa dari mana-mana university. Dia bukan pegawai yang bertugas di mana-mana pejabat berhawa dingin. Dia bukan pekerja di mana-mana kilang. Dia bukan tidak ada apa-apa jawatan di dalam masyarakat. Bahkan rata-rata masyarakat sekeliling mengenal bahawa dia seorang yang tidak pernah merasai duduk dibangku sekolah menengah dan hanya beberapa tahun sahaja merasai menulis di sekolah rendah. Sakit yang dialaminya disaat umur itu membuatkan keinginan untuk terus belajar terhenti.

Sejak kecil kerjanya hanya membantu bapanya di ladang getah sehingga jika bapa tidak ke ladang kerana apa-apa urusan, dialah penggantinya. Seawal pagi lagi sudah keluar dan menjelang waktu Zohor dia pulang dari ladang dengan pakaian seorang penoreh getah. Tentunya tiada yang wangi pada pakaiannya itu.Di waktu petang, kami bermain bola sepak atau badminton bersama-sama. Kadangkala masuk ke mana-mana ladang getah untuk menjalankan hobi memancing ikan. Dia antara ‘guru’ saya dalam hal menangkap ikan dan bersukan.


Dilihat orangnya, kurang bicara dan agak pemalu khasnya kepada teman-teman yang bersekolah atau orang-orang yang berpendidikan.


Entah mengapa, sekitar tahun 2004, setelah menyaksikan kekakalahan PAS dan rakan-rakan didalam pilihanraya tahun tersebut, semangatnya bertambah kencang. Ditambah lagi dengan hubungan antara pimpinan Pemuda PAS dicawangannya yang mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, Alhamdulillah, dia tidak kekok lagi untuk bersama. Usrah pemuda diperingkat cawangan dihadirinya setiap minggu. Jika Ust terlupa memaklumkan, dia yang akan bertanya samada usrah pada malam itu ada atau tidak. Bahkan, sering dia yang menjadi ‘pemaklum’ kepada anak muda yang lain.


Dulunya ke masjid agak sulit dan sedikit segan silu. Kuliah-kuliah di masjid tidak kelihatan. Kini saya akui dan berbangga dengannya. Jika tidak penuh 5 waktu di masjid sekali pun, Maghrib dan Isya’ pasti kami dapat bersama. Kuliah di masjid akan dipenuhinya. Kuliah mingguan Ust Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Bandar Jengka setiap hari Selasa malam Rabu dihadirinya bersama anak muda lain. Kenalan di dalam pemuda semakin ramai. Komunikasinya dengan sesiapa sahaja tiada malu-malu lagi.


Menjelang pilihanraya Mac 2008, hanya beberapa malam sahaja dia lekat dirumah. Selebihnya tidur di markaz PAS bersama teman-teman lain. 10 hari terakhir tugasannya memasang bendera dan sepanduk PAS sehingga lewat jam 3 pagi. Dia bukan pekerja yang bergaji besar. Hanya pemuda Felda yang membantu bapa menorah getah dengan gaji yang anda fahami berapa banyaknya. Di mana sahaja ada program-program rasmi PAS di sekitar Dun Jengka atau Parlimen Kuala Krau, dia dan teman-teman pemuda akan kelihatan dengan pakaian seragam berwarna merah, Unit Amal. Kawalan lalu lintas sentiasa terjaga. Memegang uncang kutipan derma didalam majlis-majlis ceramah sudah menjadi kebiasaanya. Himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur disertainya termasuk Himpunan Bersih.


Disaat kampong memerlukan anak-anak muda untuk berkawal sehingga jam 4 atau 5 pagi bagi membendung kejadian mencuri dan merompak yang kian parah di kawasan Felda, dialah antara yang terkehadapan menghulur tenaga dan masa. Secara rasminya, dia aktivis Unit Amal yang penuh berjasa.


Jika kita yang berpendidikan tanya kepadanya tentang ayat-ayat Al-Qur’an atau Hadith Nabi mengenai larangan melakukan kezaliman, menahan orang tanpa bicara, menyeksa tahanan dan sebagainya, dia tidak akan dapat mengemukakannya. Jika ditanya kepadanya mengenai peringatan dari para Sahabat atau tabi’in atau tabi’ tabi’in atau ulama mengenai larangan melakukan kezaliman, dia juga tidak mampu menjelaskannya. Jika ditanya kepadanya mengenai fatwa kontemporer atau kaedah Fiqh terkini dari Dr.Yusuf Al-Qardhawi mengenai haramnya menahan orang tanpa bicara, dia juga tidak mampu menyatakannya.


Namun, disatu sudut, pemuda penoreh getah yang tidak berpendidikan tinggi dan tidak sempat merasai apa-apa peperiksaan besar samada UPSR, PMR atau SPM ini apatah lagi menjejaki menara gading ini reti bahasa bahawa ‘kezaliman adalah haram dan berdosa’ , ‘doa orang yang dizalimi dimakbulkan Allah’ , ‘menahan orang tanpa bicara terkeluar dari batas kemanusiaan’ dan ‘ISA adalah sebuah kezaliman’.


Maka, pemimpin UMNO dan BN perlu merasa malu dan bersalah kepada anak muda, buruh kasar ini yang mengerti nilai kemanusiaan sedangkan tiada segulung ijazah pun pernah dipegangnya. Profeser dan pensyarah yang bersama UMNO mempertahankan akta kuffar ini perlu segan dan malu pada anak muda yang kerja hariannya memegang pisau toreh getah. Ulama’ yang masih diam dari mengisytiharkan haramnya ISA perlu malu pada anak muda Felda ini. Orang-orang yang terus bersama UMNO mempertahankan akta tinggalan kuffar yang telah merenggut hubungan suami dengan isteri dan anak dengan bapanya ini, malulah kepada anak muda ini.


Hari ini saya ucapkan tahniah kepadanya ! Dialah teman bersebelahan rumah saya yang bernama Rodzi bin Idris. Tahniah ! walaupun sehingga Maghrib , hari Sabtu dia sudah dibebaskan dan hanya beberapa jam sahaja merasai ‘melepak’ di pusat FRU di Cheras, namun cukuplah tangannya yang terikat menjadi inspirasi kepada kita, anak muda. Allahu Akbar !!!