Setelah menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Ketari, Bentong semalam berkisar mengenai peringatan-peringatan Allah diakhir zaman, petang tadi sekali saya diamanahkan menyampaikan Kuliah Mingguan untuk muslimat ( makcik – makcik ) di Felda Jengka 16. Rasanya sudah kali ke-3 saya bersama ibu-ibu yang merupakan muslimat Pas dicawangan ini. Kali ini dihadapan sekitar 20 orang ibu-ibu dibawah markaz yang sedang dalam pembinaan. Perbahasan mengenai ‘Konsep 2 kalimah Syahadah & Tuntutannya”.
Awalnya agak kekok untuk saya berhadapan dengan mereka. Kuliah dihadapan pelajar atau mahasiswa berbeza dengan kuliah secara khusus dihadapan muslimat apatah lagi kaum ibu. Agak rumit, tetapi menyeronokkan. Rumit kerana ibu-ibu adalah golongan yang telah berumur. Maksudnya , mereka orang-orang tua. Jadi, tidak semua perbahasan ilmu boleh disampaikan secara umum kepada mereka. Untuk menceritakan soal tarbiah, fikrah dan seumpamanya perlu dikurangkan sedikit. Konsep dakwah adalah da’ie wajib memahami tahap pemahaman dan pemikiran mad’u. Seronok kerana kebiasaannya ibu-ibu tumpuannya sangat bagus.
Namun, saya juga terus berusaha untuk membuang ‘khurafat’ yang mengatakan golongan wanita khasnya ibu-ibu tidak boleh menerima tajuk-tajuk kuliah berkisar tentang tarbiah, aqidah, perjuangan dan sebagainya dan hanya mampu menerima pengisian berbentuk kewanitaan seperti hokum Fiqh semata-mata.
Kita mesti memecahkan kepercayaan ini kerana mana mungkin ilmu Allah terbatas kepada sesuatu kaum sahaja dan satu kaum lagi tidak boleh menerimanya. Ya, benar ! Mungkin wanita kurang atau sedikit sahaja yang menceburkan diri atau berusaha memahami urusan kepimpinan, dakwah, tarbiah dan perjuangan, namun saya juga yakin ibu-ibu ini juga bisa menerima bab-bab ini. Yang penting adalah soal ‘uslub’ iaitu bagaimana teknik atau cara penyampaian kita khasnya dalam tajuk-tajuk yang agak ‘berat’ ini.
Antara yang saya boleh kongsi sedikit dengan teman-teman pembaca sekalian yang akan atau mungkin sudah berada ditengah masyarakat dan sering berperanan sebagai pengkuliah khasnya, tips-tips ini boleh diguna pakai :
1) Sebaik-baiknya, jika kita kuliah kali pertama disesebuah tempat, maka perkenalkan sedikit latarbelakang diri secara ringkas selepas Muqaddimah. JANGAN TERPERINCI dari A sampai Z. Cukup pengenalan umum sahaja. Berhati-hati dalam memperkenalkan sesuatu yang tidak perlu disampaikan kepada umum.
2) Apabila menyampaikan kuliah dihadapan ibu-bapa (orang tua) khasnya dikampung-kampung yang mungkin tahap ilmu mereka agak rendah, maka jangan menyampaikan kuliah terlalu ilmiah. Ilmiah pada maksud saya adalah, elakkan menyampaikan terlalu banyak pandangan-pandangan ulama’ itu dan ini. Apabila berbicara soal hokum, cukup nyatakan satu sahaja pandangan ulama’ yang lebih rojih (kukuh) khasnya yang kita amalkan. Jangan sebut “ ini pandangan ulama’ ini..yang ini pula begini…yang itu pula begitu..jadi, pakcik pilihlah mana-mana yang pakcik mahu..” .Ucapan sebegini tidak wajar kerana ibu bapa sebegini lebih suka mengikuti apa yang diamalkan oleh pengkuliah tersebut. Maka nyatakan apa yang kita amalkan dan sebab kita mengamalkan yang itu.
3) Apabila sampaikan tajuk-tajuk yang sedikit ‘berat’ , maka pastikan suara kita jelas, bahasa kita jelas dan mudah difahami dan penjelasan kita tidak terlalu ringkas dan acuh tidak acuh dalam menghuraikannya. Jangan sampai ibu bapa ‘tidak senang’ dan bertambah kusut mendengar penyampaian anda.
4) Apabila ingin menambah minat ibu bapa, selitkan contoh-contoh berbentuk cerita-cerita ( Nabi, sahabat, ulama’ dan sebagainya ) atau pengalaman-pengalaman kita. Mendengar kisah-kisah sebegini kurang membosankan mereka.
5) Waktu kuliah jangan terlalu lama. Elakkan kuliah dihadapan ibu bapa melebihi tempoh 1 jam. 45 minit adalah masa yang sudah baik. Apabila melihat ibu bapa atau sesiapa sahaja mad’u kita majority sudah ‘duduk tak senang’ , bergerak kesana kemari, gelisah dan sejenisnya, maka usahakanlah berhenti segera mungkini kerana reaksi-reaksi tersebut menandakan pendengar sudah bosan dan terasa terlalu lama. Kesimpulannya, ‘jangan syok sendiri’.
6) Jangan gunakan bahasa-bahasa atau istilah-istilah yang terlalu tinggi kecuali jika anda menghuraikannya. Penyampaian dihadapan ibu bapa dikampung-kampung santai-santai sahaja, jangan terlalu ‘skima’ dan terikat dengan buku / kitab.
7) Seboleh-bolehnya, usahakan agar memandang keseluruhan wajah-wajah ibu dan bapa sepintas lalu. ( Jangan tenung sorang-sorang ye..:) Melihat mereka seolah-olah kita menghargai dan kita senang dengan mereka. Ini bab sikologi sahaja. Sebagaimana kita berbual dengan sahabat sendiri, lalu dia menjawabnya dengan tidak memandang muka kita, kita tentu merasa tidak senang.
Adapun, menyampaikan kuliah dikawasan bandar, dihadapan golongan terdidik seperti pensyarah, guru-guru atau pegawai kerjaan, kita bincang dalam bab lain.InsyaAllah. Saya rasa itu sahajalah yang dapat saya sampaikan sekadar perkongsian pengalaman peribadi. Boleh diterima dan boleh ditolak. Ambillah yang anda rasakan baik. – Salam perjuangan..jumpa lagi:)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan