Selasa, 23 Februari 2010

Kapitan Pattimura: Kristiankah Beliau?

Jika anda berkunjung ke Indonesia, anda akan bertemu dengan wang bernilai 1000 rupiah (sekitar RM0.30 Sen. Pada bahagian hadapan wang tersebut terdapat gambar seorang lelaki yang memegang sebilang parang. Beliau dikenal sebagai Kapitan Pattimura. Di Indonesia, rata-rata anak-anak disekolah diperkenalkan bahawa Pattimura adalah seorang lelaki Kristian kerana beliau berasal dari kawasan Maluku yang identik dengan penduduk Kristian.


Ini adalah sebuah pemalsuan dan pembohongan yang besar bagi menutup fakta sebenar bahawa Kapitan Pattimura adalah pejuang Islam.


Nama sebenar beliau adalah Ahmad Lussy. Namun pada buku biografi Pattimura versi pemerintah, namanya ditulis Thomas Mattulessy.


Antara maklumat yang tidak benar itu boleh dibaca disini http://id.wikipedia.org/wiki/Pattimura dan http://id.wikipedia.org/wiki/Kapitan_Paulus_Tiahahu .


Cuba bandingkan dengan maklumat di sini http://swaramuslim.net/more.php?id=535_0_1_18_M


WALLAHUA’LAM.

Sabtu, 20 Februari 2010

Masjid Indrapuri: Dulu Kuil Hindu

Tanggal 16 Feb baru-baru ini, saya bersama Akhi Taufiq, Azzar, Zaim dan Aizam berkunjung ke Masjid Indrapuri. Masjid ini terletak di Desa Indrapuri, Aceh Besar. Dari Banda Aceh ke Indrapuri mengambil masa sekitar 30 minit menggunakan pacuan 4 roda. Apa yang menarik tentang masjid tua ini?


Masjid ini dibina pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Beliau lahir pada tahun 1590 Masihi dan memerintah Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1607 sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1636. Masjid ini dibina di atas sebuah candi (kuil) Hindu yang telah dibina pada masa Kerajaan Indrapuri. Untuk lebih memahami, di sini saya akan catatkan secara ringkas kerajaan-kerajaan yang wujud di kepulauan Sumatera (Aceh juga dalam kepulauan Sumatera) sebelum terbentuknya kerajaan Islam Aceh Raya Darussalam (1514-1903):


Pertama: Kerajaan Sriwijaya (Buddha) – 684 sehingga 1377 Masihi. Terletak di Palembang, Sumatera Selatan.


Kedua: Kerajaan Perlak – 840 sehingga 1263 Masihi. Terletak di Aceh Timur.


Ketiga: Kerajaan Samudera Pasai – 1042 sehingga 1427. Terletak di Aceh Utara.


Keempat: Kerajaan Pidie / Poli. Sekitar tahun 400 Masihi. Terletak di Aceh Pidie.


Kelima: Kerajaan Lingge / Lingga. Tidak pasti tahun sebenar.


Keenam: Kerajaan Tamiang. Tidak pasti tahun sebenar. Terletak di Aceh Tamiang.


Ketujuh: Kerajaan Jaya. Tidak pasti tahun sebenar.


Kelapan: Kerajaan Lamuri. Ada pendapat mengatakan kerajaan ini telah wujud 2000 tahun sebelum Masihi dan ada yang berpendapat pada abad ke 9 Masihi. Mereka adalah kerajaan Hindu. Kerajaan ini di Islamkan oleh Sheikh Abdullah Kan’an pada Jumaat, 1 Ramadhan 601 Hijrah. Kerajaan inilah yang disebut sebagai Kerajaan Indrapuri.


Kesembilan: Kerajaan Darussalam. 1205 sehingga 1511 Masihi. Lanjutan dari Kerajaan Lamuri.


Sebenarnya masih banyak lagi kerajaan-kerajaan kecil yang terdapat di kepulauan Sumatera ini samada Kerajaan Islam, Hindu, Buddha dan sebagainya. Akhirnya, pada tahun 1511 atau 1514, semua kerajaan-kerajaan ini digabungkan bagi menghadapi kekuatan Portugis yang mula merempuh Aceh setelah masuk ke Melaka pada tahun 1511. Semua kerajaan ini disatukan menjadi Kerajaan Islam Aceh Raya Darussalam.


Sultan Iskandar Muda yang masyhur dalam pemerintahan Kerajaan Islam Aceh Raya Darussalam membina masjid di atas candi ini tanpa merosakkan binaan candi tersebut. Hanya binaan masjid yang dibangunkan ditengah-tengahnya. Masih ada singgahsana (tempat duduk) rajanya yang bertingkat-tingkat seperti tangga. Kini dihadapannya dibangunkan minbar Jumaat. Candi ini mempunyai sekitar 4 tembok atau dinding. Di belakangnya mengalir sebatang sungai. Seni bina masjid ini pada bumbungnya bertingkat-tingkat persis Masjid Kampung Laut di Tumpat, Kelantan (dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu).


Catatan sejarah menunjukkan candi ini dibina sekitar tahun 1075 – 1206 Masihi bersamaan dengan dibinanya benteng (kota) Indrapurwa, di Masjid Peukan Bada dan Benteng Indrapatra di Desa Ladong, Aceh Besar. Untuk melihat Benteng Indrapatra, pembaca boleh merujuknya disini: http://arruhuljadid86.blogspot.com/2009/07/jaulah-ke-nanggroe-aceh-darussalam-vol_18.html


Khamis, 11 Februari 2010

Kejayaan dan Cabaran Pelaksanaan Syariat Islam di Aceh

Gambar penguatkuasa Wilayatul Hisbah (WH) di Aceh Barat yang menahan beberapa wanita dalam operasi busana Muslim di lintasan Meulaboh-Calang di kawasan Desa Suak Raya, Kecamatan Johan Pahlawan pada hari Rabu, 10 Feb kemarin kerana tidak berpakaian yang Islami. Penghujung 2009 yang lalu, bupati (wakil rakyat) Aceh Barat, Sdr. Ramli inilah yang menggemparkan Indonesia dan dunia apabila mengumumkan bahawa, bermula 1 Jan 2010 beliau akan mengadakan aturan berpakaian yang Islami kepada Muslimin dan Muslimat di wilayah kekuasaannya (Aceh Barat). Mana-mana warga yang hadir ke pejabat wakil rakyat dengan berpakaian mendedah aurat, ketat dan sebagainya, tidak akan dilayan. 7000 kain sarung wanita dibawa ke Aceh Barat bagi menggantikan seluar ketat wanita yang ditangkap. Pengisytiharan itu mendapat respon berbentuk dokongan juga kecaman dari pelbagai pihak yang mengaku sebagai ‘pejuang hak asasi manusia’ dan ‘hak asasi wanita’.

Gambar seorang mahasiswi yang menjadi korban pemerkosaan. 2 lelaki yang memperkosanya mengaku sebagai anggota Wilayatul Hisbah (WH). Akhirnya mahasiswi di pusat pengajian tinggi di Takengon, Aceh ini diminta oleh ketua Wilayatul Hisbah (WH), Satuan Polisi Pamung Praja (Satpol PP) dan Pemadam Kebakaran Aceh Tengah, Sdr Syukuruddin ke pejabat mereka untuk proses pengecaman wajah 70 orang anggota mereka pada 10 Feb, kemarin. Ternyata tidak ada anggota mereka sebagaimana yang dilaporkan oleh mahasiswi ini. Mahasiswi ini diperkosa pada 3 Feb lalu. Kejadian pemerkosaan ini berlaku di Kecamatan Bebesan, Aceh Tengah. Saat itu mahasiswi ini sedang berdua-duaan. Lalu kedua-duanya ditangkap oleh 2 lelaki yang mengaku sebagai anggota WH. Akhirnya lelaki itu dibebaskan dan hanya mahasiswi ini yang ditangkap. Malangnya 2 lelaki yang mengaku anggota WH ini memperkosanya.


Pada awal Januari lalu, 3 anggota WH ditangkap kerana telah memperkosa seorang mahasiwi yang ditahan kerana berkhalwat di Kota Langsa, Aceh. Kejadian mengaibkan pihak WH ini benar-benar berlaku dan sampai dibicarakan di minbar-minbar Jumaat.


Hasilnya, serangan pelbagai pihak dihalakan kepada penguatkuasa Syariah ini. Ditambah lagi dengan pihak-pihak yang memang anti pelaksanaan Syariat Islam di Aceh. Berkemungkinan besar, dengan berlakunya isu di atas, ada pihak-pihak yang sengaja menangguk di air keruh untuk memberikan lagi gambaran buruk pada WH dengan melakukan pemerkosaan dan sengaja mengaku sebagai anggota WH dan akhirnya ternyata tidak ada apabila sesi pengecaman wajah dilakukan.


gambar: Scan dari akhbar Serambi Indonesia dan Prohaba 11 Feb 2010.

Selasa, 9 Februari 2010

Pelaksanaan Syariat Islam di Bumi Aceh Darussalam

Di bumi Aceh Darussalam saat ini masih tidak berjalan hukum Hudud. Yang ada setakat ini baru sebatas hukum Ta’zir. Hudud adalah hukuman terhadap pesalah yang melakukan dosa atau jinayah yang mana hukumnya telah dinyatakan di dalam Al-Qur’an atau Hadis. Contohnya: murtad, berzina, menuduh orang berzina, minum arak, berjudi, mencederakan atau membunuh, mencuri atau merompak.


Adapun, hukum Ta’zir adalah hukuman terhadap pesalah yang melakukan dosa atau jinayah yang mana hukumnya tidak dinyatakan di dalam Al-Qur’an atau Hadis. Contohnya: Tidak berpuasa di bulan Ramadhan, meninggalkan solat Juma’at, berkhalwat dan sebagainya. Maka, hukuman Ta’zir adalah atas kebijakan dari pihak pemerintah Islam atau melalui Mahkamah Syariah Kerajaan Islam tersebut.


Pelaksanaan Syariat Islam (Ta’zir dan lain-lain) ini diisytiharkan pada tanggal 01 Muharram 1423 Hijrah bersamaan 15 Mac 2002. Penguatkuasa Syariah di Aceh dikenal sebagai Wilayatul Hisbah (WH). Antara tugasan mereka termasuklah melakukan operasi-operasi ke tempat-tempat salon bagi memastikan tiada kegiatan pelacuran yang dilakukan secara tertutup berselindung dibalik kedai Salon (sering terjadi), melakukan operasi busana Muslim dengan menahan wanita-wanita yang tidak berjilbab (tudung) atau berpakaian ketat dan sebagainya. Di bawah ini adalah contoh-contoh hukuman Ta’zir yang diwartakan di bumi Aceh Darussalam ke atas beberapa kesalahan:


Pertama: Menyalurkan zakat secara tidak sah dihukum Ta’zir berupa cambuk (sebatan) di depan umum paling banyak 4 kali, paling sedikit 2 kali atau hukum denda paling banyak Rp.2,000,000, paling sedikit Rp.1,000,000 atau kurungan maksimal 6 bulan, minimal 2 bulan.

(Qanun No 7 Tahun 2004)


Kedua: Tidak membayar zakat atau membayar tetapi tidak menurut tata cara sebenarnya, didenda paling banyak 2 kali nilai zakat yang wajib dibayar, paling sedikit 1 kali nilai zakat yang wajib dibayarkan, juga membayar seluruh biaya sehubungan dengan dilakukan audit khusus.

(Qanun No 7 Tahun 2004)


Ketiga: Memberikan fasilitas, kemudahan atau melindungi orang yang melakukan khalwat / mesum, dapat dihukum berupa kurungan paling lama 6 bulan, paling singkat 2 bulan dan atau denda paling banyak Rp.15,000,000, paling sedikit Rp.5,000,000.

(Qanun No 14 Tahun 2003)


Keempat: Menyediakan fasilitas atau peluang kepada orang Muslim untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dapat dipenjara paling lama 1 tahun atau denda paling banyak Rp.3,000,000 atau hukum cambuk (sebatan) didepan umum paling banyak 6 kali dan dicabut (ditarik) izin usahanya (perusahaannya).

(Qanun No 11 Tahun 2002)


Kelima: Makan atau minum ditempat umum disiang hari bulan Ramadhan dapat dihukum berupa hukuman penjara paling lama 4 bulan atau hukuman cambuk (sebatan) didepan umum paling banyak 2 kali.

(Qanun No 11 Tahun 2002)


Keenam: Perusahaan pengangkutan umum yang tidak memberi kesempatan dan fasilitas kepada pengguna jasa (penumpangnya) untuk melaksanakan solat fardhu dapat dicabut izin usahanya (perusahaannya).

(Qanun No 11 Tahun 2002)


Kegagalan untuk melaksanakan hukum Hudud di Aceh adalah atas beberapa faktor. Antaranya termasuklah kelemahan di peringkat pemerintah Aceh sendiri dibawah Gubernor Aceh, Irwandi Yusuf dari Partai Aceh (PA) – dulunya Gerakan Aceh Merdeka (GAM) , terpaksa menghadapi tekanan-tekanan dari negara-negara Eropah (yang terlibat dalam perdamaian Aceh – Mou Helsinki di Helsinki, Finland antara wakil GAM dan pemerintah Indonesia pada 15 Ogos 2005) dan tekanan dari golongan-golongan ‘hak asasi manusia’ dan sebagainya.

Mudah-mudahan hukum Allah ini akan segera dilaksanakan dan Aceh menjadi contoh pelaksanaan Syariat Islam secara kaffah (seluruhnya). InsyaAllah.