Isnin, 3 November 2008

Pemilu April 2009 : Terjaminkah Masa Depan Acheh ?

Petang semalam Akh Mujiburahman bertolak pulang ke rumahnya di Pidie, Sigli yang perjalanannya memakan masa 2 jam dari Banda Acheh setelah dua hari bersama kami, pelajar Malaysia. Lebih 3 tahun bersama beliau di Kelantan dalam misi menuntut ilmu di Bumi Serambi Mekah itu. Anak kelahiran Acheh yang baru berumur 20 tahun ini telah sekian lama tinggal dan belajar di Malaysia sejak peringkat sekolah menengah lagi. Usianya lebih muda berbanding kami, namun dari sudut ilmu, penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, kami surrender.

Jadi, untuk diajak berbicara mengenai politik dan masa depan Acheh secara khusus dan Indonesia secara amnya, memang beliau mampu. Kebetulan pula bapanya salah seorang aktivis dalam sebuah partai Islam di Acheh yang sekarang agak sibuk membuat persediaan menghadapi Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) pada bulan April 2009 nanti.

………………………………………………………………………..

Beliau mengakui tidak turut serta menyaksikan kepulangan Dr. Hasan Tiro di Banda Acheh tempoh hari, bahkan kunjungan Hasan Tiro ke kampung asalnya di Sigli yang juga merupakan kampung beliau juga tidak menambah sedikit pun minat beliau untuk turut serta. Ishhh..pelik juga anta ni ye..saya memberi komentar. Ada masalah ke ? Akhi, bukan ana seorang yang berpendirian sebegini, bahkan orang GAM sendiri berapa ramai yang ‘tidak mempedulikan’ sambutan ini.

Dulu waktu awal perjuangan, Teungku Dawud Beureuh memang betul-betul berjuang untuk jadikan Acheh Darul Islam. Memang Acheh layak berpisah dari Indonesia saat itu akibat kezaliman pemerintah Soekarnao dan diikuti dengan Suharto. Namun GAM yang didirikan oleh Hasan Tiro penghujung tahun 70-an tidak lagi bermatlamatkan Darul Islam. Perjuangan mereka sekadar perjuangan menuntut hak ekonomi yang dinafikan semata-mata. Di awalnya, memang GAM dipimpin oleh kiyai-kiyai, tuan-tuan guru dan para alim ulama’. Tapi, suasana begitu tidak bertahan lama.

“Cuba anta tengok, saat Hasan Tiro pulang dan menetap selama 16 hari di Acheh serta menziarahi beberapa tempat bagi menyampaikan pidato, pernah anta dengar beliau menyebut ‘marilah kita pertahankan dan perjuangkan Syariat Islam di Bumi Acheh, “soal Mujib pada saya. Soalan yang membuatkan saya terfikir ada benarnya juga kata-kata ini. Akhi, selama beliau melawat ke semua tempat, beliau tidak mampu untuk bercakap kecuali hanya beberapa patah perkataan seperti bertanya khabar sahaja akibat keuzuran beliau. Jadi, ucapannya hanya di baca oleh Malik Mahmud, mantan PM zaman GAM disetiap tempat yang dikunjungi. Soalnya, benarkah semua isi kandungan ucapan ini adalah ‘idea’ atau isi hati Dr.Hasan Tiro sendiri atau memang wujud team penulis ucapan?

Jadi, mengapa sedikit pun tentang Syariat Islam tidak disebut ? Semua ucapan hanya berkisar ‘marilah bersatu padu, marilah menjaga keamanan dan kedamaian’. Apakah yang menyebabkan terhalangnya Hasan Tiro untuk memasukkan kata-kata ‘marilah kita pertahankan Acheh sebagai Negara Islam, marilah kita tegakkan dan pertahankan Syariat ? Akhi, saat beliau tiba di Banda Acheh, berapa banyak wakil-wakil dari Negara Eropah (EU) yang turut serta. Mereka inilah yang terlibat dalam mengatur dan mencatur proses perdamaian melalui MoU Helsinki yang lalu. Jadi, tidak mustahil ucapan Hasan Tiro ‘ditapis’ dahulu sebelum disampaikan.

Tapi, jika benar demikian, untuk apa Negara-Negara Barat tersebut ‘campur tangan’ dalam urusan Syariat Islam di Acheh ? Ya, perlu diingat, sebenarnya GAM kini telah bertukar kepada Partai Acheh (PA). Barat memang ‘berminat’ membantu Acheh kerana yang memegang Acheh adalah PA. Mereka bukan lagi memperjuangkan Islam. Jadi, jika Acheh berpisah dari Indonesia, ia juga satu keuntungan bagi Barat kerana Acheh tidak akan terlaksana juga Syariat Islam selagi PA yang memerintah. Arghhh..pening juga saya nak faham..Akhi, anta bayangkan hampir sebulan lalu diadakan ujian membaca Al-Qur’an untuk semua calon-calon pilihanraya di Acheh, hampir semua gagal membaca Al-Qur’an dengan baik hanya untuk beberapa ayat sahaja. Tetapi, mereka menyebut mereka yang mempertahankan Syariat Islam di Acheh. Kebanyakan yang gagal adalah dari Partai Acheh dan beberapa partai sekular yang lain. Anta bayangkan kalau orang yang tak faham Al-Qur’an memerintah Acheh ??? Hari ini mereka jugalah yang mendesak agar ujian Al-Qur’an kepada calon ini dimansuhkan.

Partai Acheh sekularkah ? Akhi, dulu ana tak nafikan mereka dipimpin ulama’. Sekarang tidak. Perjuangan sekarang sekadar kepentingan politik untuk mempertahankan kedudukan semata-mata. Di Indonesia sekarang telah ada dua pertubuhan ulama’ iaitu Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) dan Majlis Permesyuaratan Ulama’ (MPU) yang kedua-duanya bebas dari pengaruh pemerintah. Soalnya, mengapa Partai Acheh menubuhkan pula Majis Ulama’ Nanggroe Acheh (MUNA) ? Mengapa yang merasmikannya Malik Mahmud sendiri ? Semuanya semata-mata untuk mengelabui mata rakyat Acheh bahawa mereka adalah partai Islam. Maka para kiyai-kiyai dan ustaz-ustaz pesantren yang tidak mendapat maklumat dan tahu matlamat sebenar Partai Acheh, terperangkap apabila di ‘jemput’ masuk kedalam MUNA.

Apa bukti PA sudah sekular ? Akhi, anta boleh rujuk undang-undang tubuh PA. Dimana letak Al-Qur’an dan Sunnah kalau itu matlamat mereka ? Undang-undang partai mereka adalah undang-undang dasar 1945 Negara Indonesia sendiri. Jadi, benarkah mereka ingin berpisah dan mampukah mereka berpisah ? Rata-rata rakyat dan partai-partai Islam semuanya tidak mahu berpisah. Ini bukan era kezaliman Soekarna dan Suharto lagi. Jadi, laungan ‘pemisahan’ dan pemerintahan sendiri adalah alat Partai Acheh untuk mereka terus berkuasa semata-mata.

……………………………………………………………………

Kepulangan Hasan Tiro juga dilihat oleh banyak pihak sebagai alat kempen untuk memenangkan Partai Acheh dalam Pemilu akan datang. Dengan gelombang dan kibaran bendera merah putih Partai Acheh di Banda Acheh saat kepulangan Hasan Tiro cukup untuk menggerunkan parti lawan. Padahal, pihak keamanan telah memberi arahan agar bendera parti tidak dibenarkan bawa, tetapi hanya bendera Indonesia sahaja. Sampai mereka sanggup turunkan bendera merah putih Indonesia yang berkibar dihadapan Masjid Baiturahman dan menggantikan dengan bendera merah putih Partai Acheh.

Masalah berlaku insiden-insiden penculikan, rompakan dan sebagainya turut diulas oleh Akh Mujib. “ Sebenarnya ini provokasi dari banyak pihak. Tapi tidak mustahil tindakan orang-orang GAM / PA sendiri. Sebagai contoh, berlaku penculikan 2 anggota polis di Acheh Timur. Maka atas ‘kebijakan’ pihak polisi, mereka menangkap ketua GAM di Acheh Timur. Akhirnya tidak sampai sehari , 2 anggota polisi ini dibebaskan semula. Menunjukkan ada keterkaitan.

Kini, bekas-bekas anggota GAM berpecah kepada 2 kumpulan. Ada yang masih taat pada pimpinan dan ada yang memilih jalan sendiri. Sebagai contoh, menjelang Pemilu untuk memilih gabernur Acheh pada tahun 2006 yang lalu,pimpinan GAM telah mencadangkan nama Humam Hamid dan Hasbi Abdullah sebagai calon gabernur dan timbalannya. Mereka adalah golongan cerdik pandai didalam GAM yang dilihat mempunyai hubungan baik dengan orang Acheh dan pemerintah Jakarta walaupun mereka tidaklah turun ke lapangan mengangkat senjata. Tetapi, sampai saat akhir, Irwandi Yusuf (sekarang Gabernur Acheh -berbaju putih) ‘mengangkat’ dirinya sebagai calon sehingga beliau menang dalam Pemilu yang menyaksikan Humam dan Hasbi tersungkur. Inilah gambaran sebenar cara mereka naik memerintah.

Alhamdulillah, jawatan timbalan Gabernur berjaya dimenangi oleh Muhammad Nazar, wakil Partai Suara Independen Rakyat Acheh (SIRA) yang merupakan salah satu partai Islam di Acheh.

……………………………………………………………………..

Bagi orang awam yang berhak menjadi pengundi, mereka juga berpecah kepada dua kelompok. Bagi yang tinggal di bandar-bandar , yang mempunyai maklumat yang cukup, mereka sedar sudah sampai masanya pemerintah dari Partai Acheh diturunkan segera. Bagi masyarakat kampung, mereka seperti biasa, kerap terperangkap dengan kempen-kempen Partai Acheh yang melaungkan pemerintahan sendiri dan membina kedamaian serta kemerdekaan Acheh.

Di Indonesia, partai terbahagi kepada 2 jenis. Pertama, partai-partai Nasional iaitu partai-partai yang wujud di seluruh Indonesia termasuk Acheh. Kedua, Partai Lokal (Parlok) iaitu partai-partai yang hanya ada di Acheh sahaja. Senarainya seperti berikut :

Senarai Partai-Partai Lokal di Acheh-

a) Partai Islam

- PAAS : Parti Acheh Aman Sejahtera

- PBA : Parti Bersatu Acheh

- PDA : Parti Daulat Acheh

- SIRA : Suara Independen Rakyat Acheh

b) Partai Sekular

- PA : Partai Acheh

- PRA : Partai Rakyat Acheh

Adapun, semua Partai-Partai Nasional yang lain ada di Acheh seperti Demokrat (SBY), Golkar (Yusuf Kalla), PKS, Gerindra dan lain-lain. Menjelang Pemilu April 2009, apakah nasib dan masa depan Acheh ? Sudah sampaikah partai-partai Islam di Acheh bergabung kekuatan untuk mengambil alih pemerintahan dan bergerak ke ‘Putrajaya’ di Banda Acheh ? InysaAllah. Syukran akhi atas penerangan yang panjang lebar untuk ku.

1 ulasan:

Ibnu Hasyim berkata...

Suatu ulasan yang menarik.. Saya setuju. Lihat juga catatan perjalanan saya di Aceh. Terutama semasa kehadiran Tengku Hasan Tiro...