Jumaat, 19 Jun 2009

Ujian Berat Pada Gerakan Islam : Berdoalah Pula !

Jika saat ini ada 1000 orang yang sedang bersedih atas sedikit ujian Allah kepada PAS sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia dek kerana berlakunya jurang perbezaan pendapat dan kefahaman tentang isu Kerajaan Perpaduan diantara para pimpinan PAS, saya yakin dikalangan 1000 orang itu adalah saya.


Saya sedih kerana media sudah menjadi tempat paling ‘menyeronokkan’ beberapa pimpinan untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk pandangan peribadi dan serang menyerang. Saya sedih kerana beberapa orang terus menjadi ‘lidah’ pihak musuh dengan huraian-huraian dan takwilan sendiri terhadap isu ini diblog peribadi masing-masing tanpa memikirkan berapa banyak maslahah dan manfaat dan berapa banyak mafsadat dan mudharat yang bakal diraih oleh Gerakan Islam disaat ini. Seolah-olah huraian-huraian tersebut terlepas dari pertanggungjwaban Allah di padang Mahsyar.


Saya sedih apabila orang-orang yang mengomentari Tuan Guru Presiden, seolah-olah hina dan jahilnya ulama’ gerakan Islam ini terhadap kezaliman UMNO dan seolah-olah terlalu ceteknya ilmu Tuan Guru ini soal Siyasah Islam dan Fiqh Dakwah. Saya sedih kerana disaat beberapa orang menjunjung tinggi ‘kritikan’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz terhadap Ust Nasarudin Mat Isa beberapa hari kelmarin, akhirnya caci maki bertalu-talu dilempar kepada beliau. Hilang sungguh keizzahan beliau yang memimpin Gerakan Islam. Hati kecil memang agak tersentuh menonton klip video ‘kritikan’ Tuan Guru pada Ust Nasha. Tetapi, husnozzhon terhadap pimpinan dan para ulama’ ini jangan sampai hilang dari diri anggota serta pendokong gerakan Islam.


Saya masih tertanya-tanya, adakah para wartawan dari pelbagai media yang memprovokasi Tuan Guru dengan soalan-soalan yang sampai menyebabkan ‘kritikan’ yang tersangatlah keras dituju pada Ust Nasharudin. Saya berkeyakinan istilah ‘penasihat-penasihat jahat’ yang digunakan oleh Ust Nik Abduh diblognya yang lalu, tidak ada lagi dalam isu ini. InsyaAllah. Tunggu sahaja Tuan Guru Hj Hadi pulang dan pertemuan ‘ukhwah’ sesama mereka segera dilakukan nanti.


Saya tetap dengan pendirian tidak akan mengulas langsung mengenai kerajaan perpaduan ini. Hati saya juga seolah-olah mahu sahaja menyoal kepada beberapa makhluk ‘blogger’ yang seronok menjadi pengulas-pengulas ini, benarkah mereka benar-benar memahami isu kerajaan perpaduan ini dengan baik sehingga ulasan-ulasan mereka menggambarkan seolah-olah semua data atau maklumat ‘diwahyukan’ seluruhnya kepada mereka ? Wajarkah dengan maklumat ‘kutip’ dari sana dan sini lalu digabungkan yang akhinya disimpulkan dengan gaya cerdik melebih Tuan Guru Presiden? Di dalam ilmu hadith, hadith yang diriwayatkan sebegini pasti tertolak !


Akhir kalam, rayuan saya dan harapan saya agar yang tidak tahu maklumat sebenar, dari mana punca perselisihan dan kefahaman isu ini, cukuplah menambah barah. Jika yakin bahawa komentar-komentar dan penulisan kita tidak menjadi peluru untuk pihak musuh, maka teruskan menulis dengan pelbagai gaya yang anda sukai. Namun, jika kita menjadi ‘kredit-kredit’ berharga buat pihak musuh untuk menyerang gerakan Islam, silakan menunggu perhitungan dihadapan Allah. Cukuplah !


Dalam kesibukan kita serta kecelaruan kita dalam memikirkan permasalahan yang sedang diuji oleh Allah ini, marilah pula mengangkat tangan merayu kepada Allah. Perdengarkanlah pada Allah harapan dan permintaan kita. Berdoalah agar gerakan Islam dipelihara oleh Allah, ukhwah antara pimpinan terjaga, ukhwah antara ahli terjaga, Allah zahirkan golongan-golongan Munafiq dan hancurkan rencana mereka pula dan tetapkan kaki golongan yang ikhlas dan istiqamahkan mereka. Angkatlah tangan, berdoalah agar Allah tidak senaraikan kita didalam daftar nama para musuh Allah atau tangan-tangan atau lidah-lidah musuh Allah. Kita tetap akan bersama Gerakan Islam selagi hadaf dan ghayahnya tidak berubah. Uslub ? Tiada larangan dari Nabi menggunakan uslub apa pun melainkan yang tidak bercanggah dengan Islam !


Berdoalah..berdoalah…atau kita mahu ujian semakin berat yang tidak mampu kita hadapi bertimpa-timpa datang ? atau kita mahu Manek Urai benar-benar terurai dan terburai ? Jika mahu…sila panaskan lagi keadaan dan hentikan berdoa ! Biarkan isu ini menjadi bom yang terkuat dan paling ampuh bagi Umno di Manek Urai !


Salam perjuangan untuk seluruh aktivis gerakan Islam dari saya yang lemah ini.Mudah-mudahan bermanfaat kalam ringkas ini.

4 ulasan:

Nurhaslin Zaharudin berkata...

Salam. Saya setuju dengan pendapat ustaz. media2 sekular mula dah tambah 'gula' dalam penulisan mereka. Blogger pun harus hati2 dgn isu ni. Jangan teruja sgt nak menulis pasal isu UG ni, kerana semuanya masih dalam perbincangan. Klau tak tahu, baik diam. Wallahualam~

abu qutaibah berkata...

Salam.. ana pandang kadang kala pengulas dalam kalangan jemaah kita sendiri yang banyak menimbulkan pecah belah dalam Jemaah. mana adab-adab mereka terhadap pemimpin? dan kalau kita muhasabah dalam diri kita sendiri, berapa ramai dari kita yang menadah tangan dan meletak dahi di sejadah memohon supaya Allah membantu segalanya?
mungkin kita lupa kalam Allah itu lebih baik dari kalam kita..

Abdullah berkata...

Ustaz....sebenarnya ana rasa inilah yang dinamakan politik. PAS dahulunya apabila ada dibawah, tiada perpecahan seperti ini. Namun apabila tsunami melanda, munafiq-munafiq dalam jemaah sudah tidak mampu menutup bayang mereka. Lihat saja isu kuasa, betapa pimpinan sekarang lebih lantang menyuarakan isu kuasa untuk mereka monopoli berbanding isu keagungan Islam dan kebajikan ummah. Ceramah PAS sekarang sudah tak macam dulu. Kebanyakannya lebih banyak bunyi hasutan dari ke ilmiahannya.
Seorang saudara ana begitu seronok apabila "Keadilan" memegang tampuk pimpinan Selangor. Namun kini, beliaulah antara orang paling lantang menyuruh PAS berjaga-jaga dengan PKR. Mana tidaknya, sikap kebanyakan wakil rakyat kita ini begitu buruk. Tidak ubah seperti UMNO dahulu. Sehinggakan satu jabatan saudara ana di "kambing hitamkan" dek hendak memonopoli kontrak dan tender di Selangor. Sekarang ini saudara ana dan sahabatnya sedang disoal siasat oleh BPR kerna fitnah yang di lontarkan. Sama-sama kita doakan mereka yang teraniaya itu dilindungi Allah. Ternyata perjuangan Islam ini begitu asing dan berat cubaannya. Musuh datang merobek dari dalam dan luar. Ana sangat berharap Tuan Guru kita yang berdua itu tabah menghadapi perjuangan ini.

Tanpa Nama berkata...

Saya rasa kalau Dr.Harun Din ambil alih jadi Mursyidul Am PAS boleh mengubah corak pemikiran tradisional Nik Aziz kepada pemikiran ilmiah saintifik kontemporari. Ini akan membuka ruang kepada sikap toleransi sesama muslim dan melayu. Tak kira PAS atau UMNO kerana asasnya kita adalah muslim. Hal politik biarlah sesama ahli politik selesaikan sendiri. UMNO zalim dengan PAS ka atau PAS kafirkan UMNO ka atau Manhaj Islam Hadhari sesat atau Malaysia negara sekular ka, biar ahli politik yang selesaikan. Muslim wajib bina ukhuwwah sesama muslim samada melayu, arab, orang putih dsb.