Malam tadi, pengajian bahasa Arab mingguan kami bertukar topic kepada persoalan Wahabi, bid’ah dan sejenisnya gara-gara seorang teman yang menimbulkannya dan didengari oleh ustaz, maka ustaz pun meminta pandangan kami. Kami hanya menjawab : maaf ustaz, kami pun banyak yang tak tahu..” Penjelasan, pandangan dan persoalan diberikan oleh ustaz kepada kami.
Antaranya :
1) Yang menggelar ‘wahabi’ kepada kelompok ini orang ramai atau mereka sendiri yang menggelar diri mereka Wahabi? Pernahkah mereka mengaku diri mereka adalah Wahabi ? dan siapakah yang mulakan pelabelan istilah Wahabi kepada mereka ?
2) Berapa ramai orang yang menyerang Wahabi, Salafi dan sebagainya, padahal mereka sendiri tidak tahu apa sebenarnya melainkan kerana terikut ( taqlid ) dengan orang lain yang mengkritik sedangkan mereka sendiri tidak pernah membaca dan mengkajinya.
3) Berapa ramai orang yang mengaku dia adalah Salafi, tetapi kehidupannya tidak mencerminkan bahawa dia golongan yang mengikuti jejak langkah Salafus Soleh. Boleh mengaku ‘saya Salafi’ , tetapi pastikan benar-benar mengikutnya. Jika tidak, diamkan sahaja.
4) Siapa Salafussoleh ? Mereka adalah golongan terdahulu diawal perkembangan Islam. Yang terbaiknya, kita berpegang kepada Hadith Nabi : Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku ( Nabi dan sahabat ), kemudian kurun selepas ku ( Tabi’in ) dan kemudian selepas itu ( Tabi’ Tabi’in )”. Maka inilah golongan Salafussoleh yang ‘asli’. Adapun selepas itu telah muncul pelbagai aliran dan kefahaman yang pelbagai yang bisa kita terima dan bisa kita tolak.
5) Imam-Imam Mazhab sendiri sebenarnya tidak mahu mereka itu dijadikan contoh ikutan. Maka istilah ‘ pengasas’ mazhab ini adalah Imam Syafie. Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Hanafi adalah tidak tepat kerana bukan mereka yang menjadi pengasas kepada mazhab tersebut. Namun ulama’-ulama (muridnya) selepasnya yang menisbahkan kefahaman itu dan ini adalah dari mazhab ini (mana-mana mazhab). Imam Syafie sendiri pernah menyebut : Sekiranya kamu bertemu dengan Hadith yang lebih rojih ( sohih dan kuat ) daripada Hadith yang aku riwayatkan, maka ambillah yang itu dan tinggalkan hadith dari ku ini.
6) Benarkah pembahagian bid’ah terbahagi kepada 2 iaitu hasanah (baik) dan sayyi’ah (buruk/tercela) itu dari ucapan Imam Syafie ? atau dari ucapan ulama’ lain lalu dinisbahkan kepada Imam Syafie? Didalam kitab Imam Syafie, pembahagian bid’ah disebut bid’ah duniawi dan ukhrawi. Sebagai contoh bid’ah duniawi adalah kewujudan kenderaan pada hari ini. Maka ia tidak menyangkut soal ibadah atau ukhrawi.
7) Tahlil adalah amalan yang baik kerana maksud tahlil adalah ‘mengucapkan kalimah Lailaha illallah’. Namun kaedah pelaksanaanya yang menyebabkan rosak dan bid’ahnya amalan tersebut. Contohnya: penetapan bilangan hari untuk mengadakan tahlil, tuan rumah yang sedang berduka yang menyediakan makanan (bahkan ada yang terpaksa berhutang), tuan rumah sendiri tidak turut serta, tetapi hanya menjemput orang yang datang kerumah. Maka yang terbaiknya, jiran yang menyediakan makanan kepada keluarga simati dan lebih baik ahli keluarga yang berkumpul bersam berdoa untuk simati baik bertahlil ( Lailahaillallah) atau berdoa.
8) Hadith Nabi mengenai ‘Kullu bid’atin dholalah…….” Itu jelas dan tidak perlu dita’wil dengan macam-macam lagi. Jika ada yang menyebut “saya melaksanakan amalan ini walaupun Nabi tidak buat semata-mata untuk tujuan baik “, maka dia perlu memahami hadith Nabi ini :
“ Tidak ada sesuatu kebaikan pun melainkan aku telah contohkan dan tidak ada satu keburukan pun melainkan aku telah larangnya. “ Maka amalan apa sahaja yang baru dimunculkan dengan tidak ada sumber, seolah-olah menggambarkan masih tidak cukup apa amalan yang Nabi telah contohkan dan laksanakan.
9) Terdapat juga satu ungkapan ( maaf, saya lupa statusnya hadith atau kata-kata ulama’-tolong disemak semula ) : “ tidak ada satu bid’ah yang timbul, melainkan disana adanya sunnah yang ditinggalkan”. Contoh mudah : Orang melazimi bacaan Yasin dimalam Jumaat, akhirnya mereka meninggalkan bacaan Surah Al-Kahfi yang sunnah (ada dalam hadith Nabi). Bukan tidak boleh membaca Yasin, namun penetapan hari dan menjadi pelik jika tidak dibuat, itu yang bermasalah. Mungkin baik jika sekali sekala ditukar dengan Al-Kahfi pula.
10) Doa Qunut bukan permasalahan bid’ah, ia adalah masalah khilafiah ( pelbagai pandangan ulama’ ) kerana ada hadith Nabi pernah melakukannya dan ada juga hadith yang Nabi pernah meninggalkannya. Maka terpulang kepada kita. Jika kita berada ditempat orang yang melakukannya, maka ‘raikanlah’ mereka dengan melakukannya. Begitulah sebaliknya.
11) Berzikir selepas solat adalah anjuran dari Nabi. Sebagai contoh : membaca Al-Ikhlas 3 x, Al-Falaq 3 x dan An-Nas 3 x, Tasbih 33 x , Tahmid 33 x dan Takbir 33 x. Adapun jika ada pelbagai penambahan-penambahan dalam bacaan zikir selepas solat, mungkin itu hanya amalan ulama’-ulama’ sahaja. Yang terbaiknya, kita mengikuti yang dibuat jelas oleh Nabi ( rujuk didalam mana-mana kitab bab solat atau zikir selepas solat yang sohih ).
12) Dalam soal men’jahar’
( Kerana maksud solat adalah : amalan ibadah yang dimulai dengan takbiratul Ihram dan disudahi dengan salam. Maka berzikir dan berdoa bisa secara sendiri-sendiri. Walaupun ia tidak termasuk rukun solat, janganlah ditinggalkan langsung kerana Nabi sendiri mengangkat tangan berdoa pada Allah )
13) Masalah di Malaysia dalam isu bid’ah ini adalah :
a) Teknik (uslub) para ustaz, da’ie dan sebagainya yang tidak baik dalam memberi penerangan tentang permasalahan ini kepada orang awam baik dikampung atau dikota. Drastik, keras dan terburu-buru. Sampaikan secara tidak langsung, perlahan-perlahan itu lebih baik. Jangan terus mem’bid’ah’
b) Segelintir orang yang sering berbicara soal bid’ah, salafi dan sebagainya, mereka sendiri tidak mencerminkan amalan yang benar-benar baik, bahkan sibuk soal bid’ah, yang wajib sendiri mereka tidak terjaga .(Bukan semua, segelintir sahaja).
Baik, inilah sahaja yang dapat saya kongsi dengan teman-teman pembaca hasil perkongsian dengan ustaz. Apa-apa pun, saya tidak memaksa pembaca untuk terus bersetuju dengan saya atau ustaz ini sepenuhnya. Yang saya mahukan hanya kita mengubah sikap daripada menyerang dan bermusuhan dengan sesuatu yang tidak kita ketahui kepada menyerang dan bermusuhan dengan sesuatu yang kit baca, kaji dan teliti, sumber yang jelas dan seumpamanya. Itu sahaja. Baik kepada Wahabi , Salafi atau sesiapa sahaja kerana inilah sifat penuntut ilmu yang tidak terus ‘beriman’ dengan sebuah sumber dan menafikan sumber yang lain. Elakkan sering mengungkapkan kalimah “menurut saya, menurut pandangan saya, saya beranggapan….gunakanlah “menurut Al-Qur’an, menurut Hadith, menurut ulama’…khasnya dalam soal hukum hakam agama..jika tidak tahu, katakan sahaja “saya tidak tahu” .
Bahkan, saya bersetuju jika ada teman-teman yang berbeza pandangan dan mengkritik Pres.Gamis contohnya, namun syaratnya anda mesti berhadapan dengannya dan dengar penjelasannya dahulu. Kemudian bantahlah dan kritiklah pandangannya itu jika tidak benar dan tepat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan