Selasa, 9 Jun 2009

Ya Allah ! Terimalah Amal dan Taubat abangku ini...

Kali terakhir saya bertemu dengan ‘insan istimewa’ ini kira-kira 8 bulan yang lalu, sebelum saya ke sini. Ketika itu saya, abah dan abang saya serta beberapa pakcik-pakcik pergi kerumahnya untuk mengambil khemah kenduri beserta besi-besinya yang baru digunakan dirumah beliau untuk kenduri kahwin adik perempuannya. Semua barang-barang itu kami angkat naik ke lori untuk dibawa ke markaz PAS cawangan untuk digunakan pada majlis ceramah Ust Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pada malam esoknya.

Ketika mengangkat, bapanya turut serta. Beberapa waktu dia pula yang keluar sambil membawa talam hidangan berisi air dan biskut kering dalam keadaan agak ‘malu-malu’ walaupun wajahnya memang ‘otai giler’ (istilah anak muda). Dengan rambutnya yang agak panjang, sedikit berjambang, beliau melemparkan senyuman sambil menjemput kami minum setelah selesai mengisi barang-barang khemah kedalam kenduri. Selepas itu saya tidak bertemu lagi dengan insan terpilih ini.

Sekitar 3 – 12 April lalu sewaktu saya pulang ke Malaysia kali yang pertama menemani teman yang menjadi pemilih di Bukit Gantang, beliau kembali menghadap Allah. Saya lupa tarikhnya yang sebenar dan sangat menyedihkan kerana menziarahi serta solat jenazahnya pun tidak sempat saya sertai. Jika tidak salah, beliau meninggal dihospital dan jenazahnya dibawa pulang kerumah.

Subhanallah,saya dimaklumkan 5 hari sebelum kematian, beliau ada mendaftar masuk satu program yang disebut ‘Dana Taqwa PAS Pahang’. Bentuknya seperti caruman. Setelah peserta dana ini meninggal dunia, maka warisnya yang akan mendapatkan ‘keuntungan’ dari Dana ini dan sebahagian wangnya akan dimasukkan kepada PAS ditempatnya atas nama si mati itu sendiri. Beliau sempat mencarum sebanyak RM65.

Malam ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan menyampaikan ceramah di Darul Hikmah, Kerdau, Temerloh Pahang dan akan merasmikan Kompleks PAS Pahang disitu yang sedang dalam pembinaan sebagai pelancaran sumbangan dana. Malam ini jugalah beberapa waris si mati yang pernah mendaftar masuk program Dana Taqwa ini akan menerima hasil caruman yang telah mereka lakukan. Antaranya adalah bapa kepada insan yang saya maksudkan. Bapanya akan menerima wang sejumlah RM19,000 dari Dana Taqwa Takaful Etiqa-Pas Pahang. Sebanyak RM5,000 akan disumbangkan oleh bapanya untuk PAS cawangan Jengka 16 iaitu kampungnya sendiri.

Hari ini, insan yang mulia ini telah tiada setelah ‘menderita’ sekian lama dek kerana bertahun-tahun lamanya menjadi ‘doktor sendiri’. Saya sangat berkeyakinan bahawa kematian 2 adiknya sendiri sekitar setahun sebelum ini kerana menjadi ‘doktor sendiri’ juga menjadi asbab hidayah Allah kepadanya. Di Jengka terdapat 25 buah Felda bermula dari Felda Jengka 1 sehinggalah Felda Jengka 25. Sangat menakjubkan ! Dalam setiap Felda ini pasti ada anak muda yang meninggal kerana dadah. Begitu jugalah dengan jumlah anak luar nikah. Pasti disetiap Felda ini paling minima ada seorang anak luar nikah. Inilah kehebatan Jengka selain dari menjadi kawasan pelancongan untuk orang-orang yang tidak pernah melihat pokok getah dan sawit. Jika Felda itu tidak ada 2 jenis kerosakan ini, maka itu perkara luar biasa bukan biasa-biasa. Itulah dahsyatnya….

Beliau meninggalkan dunia kotor itu agak lama beberapa bulan sebelum menghadap Allah. Apakah beliau sudah menjangkakan riwayatnya sama seperti 2 adiknya? Wallahua’lam. Saya bersyukur…dia kembali kepada Allah setelah bertaubat dan sempat memberikan sumbangan besar untuk perjuangan Islam walaupun melalui bapanya sebagai wakil.

Namun, saya juga masih ingat akan keluhannya terhadap masyarakat sekeliling yang selalu meletakkan pandangan serong kepada orang-orang sepertinya yang ingin berubah. “saya tahu bagaimana keadaan saya sebelum ini…maka mereka masih mengingatinya..”. Cerita tentang jerih payahnya berhadapan dengan masyarakat setelah berubah pernah disiarkan oleh wartawan Mastika, Sdr Nasaie Ismail sekitar 1 tahun yang lalu ketika menemuinya di rumahnya di Jengka 16.

Biarlah saya simpan sahaja nama insan istimewa ini. Cukuplah kita menggelarnya ‘abang taubat’.

“Ya Allah ! Terimalah Amal dan Taubat Hamba Mu ini “.

Catatan : Berkenaan Dana Taqwa anjuran PAS Pahang dengan kerjasama Takaful Etiqa, bagi yang berminat untuk sertainya khasnya mereka yang menetap di Pahang, bolehlah berhubung terus dengan Ust Aris Fezol Ismail melalui : 019- 9855883 atau blognya http://tukulbesi.blogspot.com/

Tiada ulasan: