Ahad, 28 Jun 2009

Sejarah Perjuangan Umat Islam Pattani ( vol 1)

[ Setelah berlaku tragedi berdarah Masjid Al-Furqan, Kg. Air Tempayan yang terletak 50 km dari Bandar Sg.Golok baru-baru ini, saya terus mengumpulkan sedikit maklumat berkenaan perjuangan umat Islam di Selatan Thailand khasnya wilayah Pattani dari pelbagai sumber untuk dikongsi dengan pembaca-pembaca sekalian. Kebetulan, saya diamanahkan oleh seorang teman untuk menulis artikel mengenai isu Selatan Thai untuk dimuatkan di dalam Majalah Ar-Risalah, iaitu sebuah majalah yang diterbitkan oleh Sekretariat Tanzim Usrah Pelajar-Pelajar Pahang (SETUP) yang memulakan operasi awal tahun ini bagi membantu seluruh Badan Dakwah di sekolah menengah Negeri Pahang. Untuk itu, saya akan paparkan juga disini hasil maklumat mengenai isu umat Islam Selatan Thai sebagai perkongsian ]


Fakta Sejarah Pattani & Perjuangan Umat Islam Selatan Thailand


Selatan Thailand terdiri dari 5 buah negeri yang besar iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Setun. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. Secara etnik atau budaya, warga dikelima-lima buah negeri ini lebih dekat kepada Melayu daripada Siam ( Thailand ).


Sekitar penghujung tahun 2004 iaitu selepas tragedy berdarah Tak Bai ( 24 Okt 2004 ), pihak regim Bangkok telah mengisytiharkan kawasan Selatan Thailand adalah Daerah Operasi Militer ( DOM ) dengan alasan untuk menjaga keamanan dan ketertiban masyarakat. Namun, hakikat sebenar adalah sebaliknya. Hari demi hari kekerasan terus berlaku, pembunuhan saban hari, para ustaz menjadi korban penculikan dan pembunuhan orang-orang yang tidak dikenal. Semuanya ini berlaku terutama di wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.


Fakta Sejarah Pattani


Di dalam catatan sejarah, berlaku perbezaan pendapat mengenai bila wujudnya dan dari mana asalnya kerajaan atau kesultanan Islam Pattani. Namun, fakta-fakta berikut boleh membantu kita untuk memahami sejarah Pattani dan mengapa bangsa Melayu Muslim di Pattani bangkit menghadapi pemerintah kuffar Buddha,Thailand :


a) Para Pengembara China yang sering ke neger-negeri Asia Tenggara pada abad ke-2 Masihi : sebuah negeri bernama Lang-ya-Shiu atau Langkasuka wujud ketika itu.


b) Ahli sejarah Eropah : dari catatan para pengembara China ini menunjukkan bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora ( Songkhla ) dan Kelantan adalah lokasi asal Pattani.


c) Ahli sejarah, Paul Wheatly : kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan Timur-Barat Tanah Getting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan semenanjung sehingga ke Teluk Benggala.


d) Ahli sejarah, A.Teeuw & Wyatt : Pattani telah muncul sekitar pertengahan abad ke-14 dan ke-15 berdasarkan tulisan Tomes Pires dan lawatan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1404 Masihi.


e) Sejarah Hikayat Pattani : kerajaan Pattani bermula dari kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai yang diperintah oleh Phya Tu Kerab Mahayana. Disebabkan kota ini terlalu jauh dari ke pedalaman dan sukar didatangi oleh para pedagang menyebabkan Phya Tu Antara, anak Phya Tu Kerab memindahkan kerajaannya ke sebuah perkampungan nelayan yang kemudian diberi nama ‘Pattani’. Kampung ini ditengarai berpusat di Kampung Grisek, wilayah Pattani sekarang.


Pattani terletak di kawasan strategic secara geografi di Semenanjung Siam menyebabkan wilayah ini menjadi tumpuan para pedagang dari Barat atau Timur untuk singgah berniaga. Dalam waktu yang singkat, Pattani menjadi sebuah kerajaan yang penting dan maju disudut ekonomi dan stabil dalam politik serta pemerintahan.


f) D’Eredia, pengembara Portugis : Islam masuk ke Pattani lebih awal dari Melaka. Antara yang masuk Islam adalah Phya Tu Antara melalui seorang ulama’ dari Pasai , Sheikh Said. Akhirnya namanya ditukar menjadi Sultan Ismail Syah Zillullah Dil Alam. Sejak itu, Pattani menjadi tumpuan para pedagang Islam yang akhirnya menjadikan Pattani sebagai pusat perdagangan Timur-Barat yang terkenal ( tulisan D’Eredia pada 1613 )


Berikut adalah catatan sejarah mengikut tahun-tahun pula :


Kurun ke-8 : Pattani adalah sebuah kerajaan termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan merupakan kota pelabuhan yang penting.


1603, 1632, 1634 & 1638 : Pattani bukan sahaja hebat dan terkenal dengan perdagangan sahaja, bahkan terkenal dengan kekuatan tenteranya. Tahun-tahun berikut adalah tahun kerajaan Pattani berjaya mengalahkan serangan kerajaan Siam.


1651 : Kekuatan Pattani merosot baik dibidang ekonomi, politik juga ketenteraan. Daya tarikannya sebagai pusat perdagangan mulai menurun seiring dengan perkembangan pusat perdagangan di Johor, Melaka, Aceh, Banten dan Batavia ( Jakarta ).


1785 : Seiring dengan kemerosotan tersebut, akhirnya Pattani dijajah oleh Siam dan berjaya ditakluk kerajaan Islam ini. Sejak itulah Pattani berada dibawah cengkaman Siam. Namun, umat Islam baik rakyat biasa mahupun ulama’ , terus bangkit melawan penjajah Siam. Antaranya adalah Sheikh Daud Fathoni, seorang ulama’ besar saat itu. Akhirnya, Siam meminta bantuan Inggeris dalam menumpaskan gerakan kebangkitan umat Islam.


1842 : Inggeris keletihan dan tidak mampu lagi membantu Siam menghadapi umat Melayu Muslim. Akhirnya Inggeris meminta Siam menyerahkan semula Pattani untuk diperintah oleh orang Melayu kerana dibimbangi suasana tidak aman akan berterusan, bahkan boleh menggangu gugat kepentingan Inggeris di Pulau Pinang dan Selat Melaka terutama dalam hal perdagangan jika pejuang-pejuang Pattani terus mengganggu dan melancarkan serangan ke atas aktiviti perniagaan di Selat Melaka.


Namun, penyerahan semula Pattani kepada Sultan Melayu bukan diberi percuma begitu sahaja. Setiap 3 tahun, kerajaan Pattani terpaksa membayar ufti berbentuk emas dan Perak kepada kerajaan Siam sebagai tanda kesetiaan dan bakti. Maka, pihak Siam tidak akan mencampuri urusan dalaman Kesultanan Pattani.


1899 : Raja Siam, Chulalongkorn mulai mencampuri urusan kesultanan Pattani. Ia berusaha menghapuskan kesultanan Pattani serta menjadikan negeri itu sebahagian dari kerajaan Siam. Seorang gubernor dilantik oleh beliau di Pattani sebagai kepala pemerintahan yang bertanggungjawab langsung ke atas dirinya. Gubernor itu bukanlah orang Melayu, tetapi Siam yang tidak boleh berbicara bahasa Melayu dan tidak mengerti adat istiadat atau budaya Melayu-Islam.


1902 : Raja Pattani yang terakhir, Tengku Abdul Kadir ditangkap oleh kerajaan Siam kerana menentang keputusan Chulalongkorn melantik gubernor ini. Tahun inilah bermulanya penjajahan rasmi Siam ke atas Pattani dan permulaan konflik Siam-Pattani. Nama kerajaan Siam pun berubah menjadi Thailand selepas Pattani dimasukkan dibawah pemerintahan mereka.


1906 : Wilayah utara Melayu ( Pattani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan Setun ) diserahkan oleh pemerintah colonial Inggeris kepada Siam. Akhirnya 5 wilayah ini dimasukkan dibawah Thailand.


1909 : Inggeris membuat persepakatan dengan Siam yang dikenal sebagai ‘Perjanjian Bangkok’ untuk memisahkan Pattani dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung. Akhirnya Inggeris mengambil Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu dan dijadikan negeri naungan mereka. Manakala Pattani, Yala, Narathiwat dan Setun diserahkan kepada Siam dan keputusan tersebut kekal sehingga hari ini.


[ Dalam perjanjian ini, raja-raja Melayu tidak pernah dilibatkan langsung. Orang-orang Melayu Kelantan bernasib baik kerana mendapat ‘ibu’ yang baik iaitu Inggeris yang tidak mencampuri urusan rumahtangga Kelantan, adapun Pattani mendapat ‘ibu’ yang tidak baik iaitu Siam kerana Siam inginkan orang Melayu-Pattani menjadi sama dengan diri mereka ]


1938 : Thailand mula dikuasai oleh pemerintahan tentera iaitu bermula dengan naiknya Jenderal Luang Pibulsongkram yang memerintah sehingga tahun 1944.


1958 : Kekuasaan tentera diteruskan oleh Marshal Sarit Thanarat sehingga tahun 1963. Selepasnya beberapa jenderal lain lagi yang naik memerintah.


[ Di bawah pemerintahan tentera, dasar nasionalisme (kebangsaan) Thailand menjadi agenda utama pemerintahan mereka. Disitulah bermulanya proses ‘Thailandisasi / Siamisasi’ iaitu proses men’Siam’kan ( penggunaan budaya dan Bahasa Thai dipaksakan ke atas seluruh Thailand termasuk Selatan Thailand ). Maka berlakulah pertembungan budaya yang keras antara Melayu Muslim dan Siam yang akhirnya menciptakan bantahan yang kuat dari Muslim Melayu di Selatan Thailand ].


Tragedi Terkini :


2004 : Kemuncak kekerasan pemerintah Thailand ke atas umat Islam Selatan Thailand berlaku dibawah regim Thaksin Shinawatra dengan aksi serangan ke atas Masjid Krisek ( Kre Se ), Pattani tanggal 28 April 2004 yang mengorbankan 106 remaja dan pemuda Muslim dan 34 orang yang lain di dalam masjid Krisek.


2004 : Berlakunya tragedy berdarah Tak Bai ( Ta Ba ) tanggal 24 Okt 2004. Laporan rasmi dari pemerintah Thailand menyatakan seramai 79 orang yang terkorban, namun umat Islam tetap meragui angka itu kerana sejak kejadian sehingga saat ini, seramai lebih 60 orang masih tidak pulang ke rumah mereka.


2009 : Tragedi Masjid Al-Furqan, Sg.Golok yang berlaku tangga 09 Jun 2009.


Gerakan Perlawanan Rakyat Pattani & Umat Islam


Dalam menghadapi kekejaman pemerintah Thailand, rakyat Pattani bangkit berjuang melalui pelbagai pertubuhan. Antaranya adalah seperti berikut :


1) Pattani United Liberation Organisation ( PULO )

2) Gerakan Mujahidin Islam Pattani ( GMIP )

3) Gerakan Islam Pattani ( GIP )

4) Barisan Nasional Pembebasan Pattani ( BNPP )

5) Barisan Revolusi Nasional ( BRN ) – di bawahnya terdapat BRN Congress dan BRN Coordinate.


Namun, agak menyedihkan kita apabila mereka masih gagal mengusahakan ‘kesatuan’ antara mereka. Masing-masing bergerak dengan hala tuju perjuangan pertubuhan mereka sendiri. Ada yang perjuangan lebih kepada menyelamatkan bangsa Melayu Pattani atas nama nasionalisme, ada yang berjuang di atas nama perjuangan Islam melalui pergerakan jihad dan sebagainya.


Pada tahun 2006, pernah mereka melakukan sebuah pertemuan antara kelompok-kelompok perlawanan ini untuk menandatangani perjanjian nota rekonsiliasi Joint Peace and Development Plan for South Thailand ( Perdamaian Bersama dan Rencana Pembangunan Selatan Thailand ). Pertemuan ini dihadiri oleh PULO, BRN Congress, GMIP dan Barisan Pembebasan Islam Pattani ( BPIP ). Namun, ianya tidak menghasilkan apa-apa yang kukuh demi terciptanya perdamaian. Akhirnya masing-masing gerakan perjuangan mengangkat senjata dan terus melakukan perlawanan. Sehingga kini, yang terlihat aktif melakukan serangan kepada kuffar Siam adalah PULO dan BRN melalui pendekatan underground dan serangan gerila.


Bersambung….


Sumber rujukan: Majalah Islam Sabili , Indonesia : edisi Sept, Okt, Nov 2008 dan edisi Mei & Jun 2009.

Tiada ulasan: