Isnin, 22 Jun 2009

Ya Allah, panjangkanlah umurku dalam kebaikan dan ketaqwaan..

Tanggal 23 Jun 1986 iaitu 23 tahun yang lalu saya dilahirkan ke dunia. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana keadaan saya sewaktu dilahirkan. Mungkinkah sedang tersenyum atau meraung-raung sambil menangis..yang pasti, emak saya sudah pasti menangis kesakitan melahirkan saya bercampur kegembiraan. InsyaAllah.


Ketika masih kecil, emaklah yang mengajar saya mengeja dan membaca. Kadang-kadang abah yang mengajar saya. Semuanya itu berlaku disaat teman-teman yang lain berada disekolah Tadika. Saya tidak bersama mereka..sekolah saya saat itu adalah dirumah. Emak dan abah adalah guru saya. Akhirnya saya mula mengenal apa itu Muqaddam ( waktu itu tidak ada lagi Iqra’ 1-6 ). Alhamdulillah, akhir darjah 6 saya pun berjaya mengkhatamkan Al-Qur’an.


Saya mula memasuki sekolah rendah pada tahun 1993. Hari pertama, beberapa orang guru membawa kami ‘round’ keliling sekolah untuk mengenal tempat-tempat dan nama-nama bangunan. Hari itulah saya mengenal ‘toilet’..sebab dirumah, saya memanggilnya ‘jamban’…:) Hari kedua disekolah, sebelum mula pengajian, saya tercari-cari dimana pensil saya. Adusss..tertinggallah..akhirnya tidak semena-mena tanpa ada angin dan ribut…air mata pun mengalir..macam budak kecil..menangis je..


Waktu sekolah rendah..saya ini mudah sangat berdarah hidung, baik disekolah mahupun dirumah. Entah sebab apa tidak tahu. Ubatnya ialah emak memasukkan daun sireh dipangkal hidung. Petua orang dulu-dulu. Kalau tidak silap, sewaktu masih kecil, saya ini mengidap penyakit jika menangis amatlah susahnya untuk berhenti dan sebelum berhenti, maka muncullah urat berwarna biru yang melintang diantara dua bulu kening. Kata pak cik dihadapan rumah yang mengubat saya, “budak ni penyakit sawan tangis”..hehe. Pelik je bunyi…


Pada bulan Ogos 1998, saya mula mengenal siapa Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu saya pelik dengan istilah ‘liwat’. Apa ya ? Lewat masuk pejabat ke Anwar nih ? Rupa-rupanya……Bertitik tolak dari peristiwa pemecatan Anwarlah, saya mula mengambil tahu tentang politik Negara. Akhbar Harakah yang memaparkan mata lebam Anwar dibawa ke sekolah. Mulalah didalam kelas saya wujud dua kubu : anak-anak orang Umno dan anak-anak orang PAS. Elok cikgu keluar, maka peperangan pun bermula ! Tidak cukup disekolah Kebangsaan pada waktu pagi, sambung perang di sekolah agama rakyat diwaktu petang..


Selepas selesai UPSR, saya terfikir mahu masuk ke mana-mana sekolah tahfiz Al-Qur’an. Entah mengapa, hajat tidak berkesampaian. Akhirnya awal 1999, Sek.Men.Agama.Jengka (nama lama sebelum rasmi) pun menerima kedatangan saya. Tidak ada perkara yang paling menakutkan melainkan dengar perkataan ‘disini ada belajar Bahasa Arab’. Aduhhh..Abah pun hantarlah masuk ke asrama. Menginaplah saya diasrama selama 5 tahun. Jadi, semua ragam pelajar asrama masih berada dalam kepala saya..macam-macam cerita..kaki ini entah berapa kali kena libas, sudah lupa. Sebab lambat sampai tapak perhimpunan, malam-malam main kejar-kejar diasrama sampai jam 1 pagi dan lain-lain. Al-Kisah kekejaman pada Anwar masih belum tamat. Disebabkan terlalu gilakan maklumat mengenai perkembangan isunya, maka setiap kali keluar solat Jumaat berama-ramai, pasti saya mencuri waktu untuk membeli Harakah. Sampai diasrama, maka berebutlah-rebutlah berkongsi untuk membaca. Ukhwah ketika itu memang mantap. Saya berlima (teman-teman rapat) akan berkongsi duit sebanyak RM0.50 seorang untuk cukupkan RM2.50 bagi membeli Harakah…


Antara perkara yang paling kurang enak diawal tingkatan 1 adalah bertemu abang-abang senior. Sebabnya, jika pergi ke Musholla wajib pakai kain pelekat. Dengan berat hati, adik-adik tingkatan 1 pun pakai. Maka, akan terserlah ‘kekemasan’ kami ketika memakai kain pelekat. Pasti tinggi sebelah kainnya…Sampai tingkatan 3, barulah kemas. Di belakang sekolah saya dikelilingi hutan termasuk hutan simpan kawasan Jengka. So, setiap pagi Sabtu atau Ahad, tanpa pengetahun warden, kami pun akan rancang aktiviti sendiri. Mandi sungai, merayau dalam hutan, buat rumah ran atas pokok, tidur pada waktu malam dicelah-celah bukit, mancing ikan, masak ikan dalam hutan…jumpa babi dan beruk ? Emm..babi dan beruk pun dah boring tengok muka yang sama masuk hutan.


Satu perkara yang masih saya ingat iaitu ketika tingkatan 2. Saya agak bermasalah dalam matematik. Tambah-tambahan apabila sampaikan kepada tajuk yang pelik-pelik dan macam-macam formula. Sampai kadang-kadang memasuki kelas matematik, menjadi ketakutan bagi saya. Pernah sampai satu tahap saya tidak faham apa-apa. Sebaik sahaja cikgu keluar, kepala saya yang terasa terbeban tadi diletakkan diatas meja dan wajah menghadap kebawah. Akhirnya setitik demi setitik air mata mengalir. Tetapi silap teknikal..:) air mata terkena seluar seorang teman disebelah. Akhirnya dia menyebut : “woi..rileks lah..wat pe nangisnya..aku pun bukan faham pun…”. Cerita ini hanya diketahui antara kami berdua. Sekarang baru saya akui…:)


Akhir 2004, hasrat dihati untuk ke sekolah tahfiz lagi. Saya pun mengisi borang Ma’ahad Tahfiz Kuantan dan Darul Qur’an, malangnya..disebabkan keputusan SPM ‘best’sangat, akhirnya gagal lagi. Aduhai Bahasa Inggeris….Alhamdulillah, rezeki Allah, saya ditawarkan menyambung pengajian di peringkat STAM. Maka bermulalah pengajian ditempat baru di Pekan, Pahang. ( Di Pahang hanya ada 2 tempat sahaja menyediakan STAM iaitu Kulliah, Pekan dan di Sek.Men.Agama.Jengka yang baru dimulai pada tahun 2008 ). Tahun saya mengambil STAM adalah tahun pertama dipendekkan dari tempoh 2 tahun menjadi 1 tahun. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa letihnya kelas sampai Maghrib dan selepas Isya’ disambung lagi semata-mata untuk menghabiskan silisbus bagi menghadapi STAM. Maaf, sampai sekarang saya membantah dan tidak bersetuju ! Idea dari siapa saya pun tidak tahu.


Selesai peperiksaan STAM, hasrat untuk ke mana-mana pusat Tahfiz sudah seakan-akan tiada lagi dikepala untuk difikirkan. Hati sebenarnya terasa sedikit lega apabila mengambil STAM sebabnya, selepas selesai sahaja SPM, nama saya pun terpampang didada akhbar sebagai generasi pertama yang wajib mengikuti PLKN. Kalau tidak silap tempatnya di Raub, Pahang. Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Selesai STAM, nama saya dipanggil lagi untuk menjadi peserta PLKN kali kedua. Maaf, bukan tidak mahu pergi. Saya seperti tidak ada kekuatan apabila mendengar pelbagai perkara ‘pelik-pelik’ dalam program ini. Kalau tidak silap saya, sebelum umur 25, akan dipanggil semula mana-mana nama yang terlibat PLKN tetapi menyambung pengajian. Kali ini, jika dipanggil lagi, InsyaAllah saya akan pergi !


Alhamdulillah, ketika bekerja beberapa bulan sebagai guru KAFA, seorang teman meminta saya mengisi borang KIAS setelah saya mengisi pendaftaran secara on-line untuk beberapa IPT. Syukurnya pada Allah, selepas mengetahui semua panggilan IPT ini tidak satu pun yang saya perolehi, taqdir Allah saya pun diterima masuk ke KIAS hanya melalui telefon sahaja oleh pihak pejabat disebabkan tidak sempat lagi untuk menghantar surat penerimaan masuk pada saya kerana saya orang yang paling lewat kerana sebelum ini tidak pernah terfikir pun untuk saya datang belajar di Kelantan. Alhamdulillah…banyak hikmahnya apabila saya sampai ke Kelantan. Disinilah secara rasmi saya mengenal sedikit sebanyak apa itu dakwah, tarbiah, organisasi, kepimpinan dan sebagainya. Di sinilah kali pertama saya bertemu MB Kelantan secara berhadapan, mengikuti kuliah mingguannya…Mudah-mudahan saya boleh sampai lagi ke bumi barakah,Kelantan. InsyaAllah.


Tanggal 25 Ogos 2008, saya dan teman-teman sampai ke Aceh setelah sebelumnya rayuan, harapan dan hasrat kami untuk ke Al-Azhar terbantut. Setelah berada disini, saya rasakan..inilah tempat saya belajar dengan tahap kemampuan individu seperti saya yang terlalu banyak kelemahan. InsyaAllah..ilmu Allah juga banyak disini. Jika tiada sebarang halangan, rasanya hati mahu sahaja menyambung lagi pengajian di Malaysia selepas pulang dari sini..itulah doa dan harapan saya.


Hari ini, tanggal 23 Jun 2009, bertambahlah satu tahun lagi umur saya daripada 22 menjadi 23. Banyak lagi amanah yang belum diselesaikan dan amanah –amanah baru yang mungkin perlu ditempuhi.


Saya mudah mengingati tarikh ini kerana tarikh inilah Al-Marhum Ust Fadzil Noor (Presiden PAS) kembali kepada Allah tanggal 23 Jun 2002 – Al-Fatihah untuk Ust Fadzil.



Ya Allah, panjangkanlah umurku dalam kebaikan dan ketaqwaan.

Salam ta’aruf dariku untuk kalian semua.


( Artikel ini hanya sekadar perkongsian catatan ringkas hidup saya sahaja. Mudah-mudahan tiada unsur-unsur berlebihan dalam perkongsian ini. Jika ada, maafkan saya )

4 ulasan:

AZANI berkata...

Semoga bertambah keberkatan dan kemakmuran pada anda.Amin.

Muhibbul_syaheed berkata...

selamat dgn bertambahnya umur...

semoga semakin mantap menghadapi perjuangan!! ALLAHU AKBAR!!

khaulah berkata...

Saya doakan ustaz terus thabat dalam perjuangan ini,

moga umur yg dipanjangkan tidak dipersia. doakan saya juga...

teuku@ceh berkata...

Lah....
sempena ulangthn kelahiranmu...
malam ni anda harus belanja kebab turki kat sume ahli rumah sewa ..wakakaka...

mu tua dari aku 4 hari je...
so terpakse aku panggil mu "Abg Lah".
huhu...

abg Lah..semoga hdp mu sntiasa dalam redha Allah...amin..