Bediuzzaman adalah salah seorang ulama’ yang bertungkus lumus berjuang menyedarkan rakyat Turki agar menolak fahaman Sekular dan kembali kepada Islam. Beliau lahir pada tahun 1878 iaitu era pemerintahan Khlalifah Abdul Hamid II ( 1876 – 1909 ).
Ketika Mustafa Kamal Attaturk naik menjadi Presiden pertama Republik Turki pada tahun 1924, Sheikh Bediuzzaman berusia 46 tahun. Beliau menyaksikan sendiri bagaimana jahatnya regim Kamal Attaturk menghentam Islam dan menyerangnya dari pelbagai sudut. Badai sekularisasi akhirnya disedari oleh umat Islam Turki yang sebelum itu mengangkat Kamal Attaturk sebagai ‘Mujahid Islam’ kerana berperanan memimpin beberapa kali peperangan menghadapi musuh-musuh Turki. Namun, semuanya telah terlambat. Unsur-unsur Islam dalam pemerintahan habis disapu bersih agar tidak tersisa sedikitpun.
Saat itulah, umat Islam tersedar mereka dikhianati oleh Mustafa Kamal yang sebelum itu dalam ucapan-ucapannya menjanjikan kegemilangan untuk Islam. Akhirnya, sebahagian umat Islam yang masih kukuh pegangan terhadap Islam bangkit melakukan jihad melawan Mustafa Kamal dan pendokongnya (Kemalis). Revolusi yang paling penting terjadi di wilayah Tenggara Turki pada tahun 1344 Hijrah, kemudian di Manyamin pada 1349 Hijrah. Perlawanan ini berhasil dipatahkan oleh orang-orang Kamal Attaturk (Kemalis) dengan cara yang paling untuk dibayangkan. Zalim, sadis dan dahsyat ! Dalam revolusi ini, terdapat sekian banyak ulama’ yang menjadi korban kekejaman pendokong Kamal Attaturl. Bahkan, beliau sampai melakukan kezaliman dan diskriminasi ke atas kawasan-kawasan yang terdapat umat Islam yang memberontak terhadap pemerintahannya. Mereka tidak mendapat perhatian dalam bidang ekonomi dan ilmu pengetahuan.
Kemunculan Jama’ah An-Nur selepas Khalifah Abdul Majid II (1922 – 1924) dijatuhkan, tambah merungsingkan regim Kemalis. An-Nur yang dipimpin oleh Bediuzzaman dan murid-muridnya yang datang setelah itu melakukan perlawanan dengan cara menuliskan beberapa buku-buku berunsur keIslaman dan Risalah An-Nur. Tujuannya untuk memberikan kesedaran Islam dan melawan prinsip-prinsip Kemalisme dan Sekularisme. Gerakan ini tidak menggunakan pendekatan bersenjata kerana melihat kondisi yang agak merumitkan saat itu. Jihad mereka adalah melalui lisan dan penulisan. Kebimbangan Kamal menjadi-jadi apabila melihat seruan Bediuzzaman disambut baik oleh sebahagian umat Islam yang memaksa beliau memanggil Bediuzzaman untuk berbincang serta memujuk agar An-Nursi berpihak kepadanya.
Bediuzzaman membantah keras pendirian golongan Kemalis yang mengaggap ajakan beliau kepada orang ramai untuk solat boleh menimbulkan perpecahan di dalam sesebuah majlis. Maka beliau menjawab, “ sesungguhnya hakikat yang utama yang muncul setelah Islam adalah solat dan sesungguhnya orang yang tidak solat adalah adalah pengkhianat, sedangkan pemerintahan seorang pengkhianat adalah ditolak !”.
Akibat ucapannya itu, beliau dipenjarakan dan kemudian diasingkan setelah dituduh melakukan konspirasi untuk menggulingkan pemerintah pada tahun 1935.Namun demikian, dakwah dan seruannya diteruskan langsung dan menyebar dengan cara rahsia di tengah-tengah golongan akademisi dan tentera serta pejabat-pejabat pemerintah. Bahkan, pernah dicatat bahawa Bediuzzaman pernah menulis risalah dakwah diatas beberapa kertas kecil, lalu dilipat halus dan diisi kedalam kotak mancis yang diseludup keluar oleh kakitangan penjara yang bersimpati terhadap dakwahnya. Akhirnya, sekali lagi beliau dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan mengatakan Kamal Attaturk adalah ‘Dajjal’.
Dihadapan muka pengadilan, beliau menyampaikan ucapan dengan menyebut, “ sungguh saya merasa hairan bagaimana manusia-manusia yang saling memberi salam dengan salam Al-Qur’an, bayan-bayannya dan mukjizat-mukjizatnya, dituduh mengikuti gerakan politik rahsia. Pada saat yang sama, orang-orang yang biadab itu diberi hak untuk memperlecehkan Al-Qur’an dan kebenaran-kebenarannya dengan cara yang sinis dan menjijikkan. Setelah itu apa yang mereka lakukan dianggap sebagai satu yang suci dengan alasan kebebasan. Sedangkan cahaya Al-Qur’an yang kini bersinar disekian juta kaum Muslimin yang terikat dengan undang-undangnya dianggap sebagai kejahatan, kehinaan dan kelicikan”.
“Dengarlah wahai orang-orang yang menjual agamanya dengan akhiratnya, yang terjerembab dengan kekufuran yang mutlak, sesungguhnya aku katakana dengan segala kekuatan yang Allah berikan kepadaku, “ Lakukanlah apa yang mungkin kalian lakukan, sebab puncak keinginan kami adalah menjadikan kepala-kepala kami sebagai tebusan dari sekecil apa pun hakikat dari kebenaran-kebenaran Islam…” Bediuzzaman pun dikembalikan ke pengasingan hingga tahun 1367 Hijrah tatkala pemerintah terpaksa harus memenuhi tuntutan umat Islam untuk melakukan aktiviti keagamaan mereka.
Jama’ah An-Nur ditekan begitu dahsyat dan sempat hidup sekitar 9 bulan sahaja setelah bersusah payah melakukan revolusi jihad ke atas pemerintahan Kamal Attaturk. Pendokong dan pengikut Jama’ah An-Nur kebanyakannya adalah mereka yang berbangsa Kurdis iaitu bangsa Bediuzzaman. Perjuangan mereka berakhir dengan ribuan dihukum gantung , selebihnya dipenjarakan dan dihalau keluar dari Turki oleh Mustafa Kamal. Beberapa pimpinannya dibunuh. Bediuzzaman menghembuskan nafas yang terakhir pada 23 Mac 1960.
Kejahatan pihak pemerintah tidak dapat dibendung lagi apabila menyaksikan dakwah Bediuzzaman diteruskan oleh anak muridnya. Akhirnya, pihak pemerintah mengarahkan agar makam Bediuzzaman dibongkar semula dan jenazahnya dipindahkan ke satu tempat yang tidak diketahui sampai sekarang.
Catatan : Bagi teman-teman yang ingin melakukan kajian dan meneruskan pembacaan tentang perjuangan Bediuzzaman Said An-Nursi, rujuk disini http://saidnursy.multiply.com/ beserta lain-lain gambar dan video yang menarik.
Gambar 1 - Bediuzzaman, 2 - Beliau dan murid-muridnya, 3 - Suasana pemakaman jenazah beliau, 4 - Makamnya yang sempat difoto.
InsyaAllah…dalam artikel berikutnya, penulis akan mengumpulkan sebanyak mungkin senarai kezaliman dan pengkhianatan Mustafa Kamal ke atas Islam dan ummahnya.
Sumber rujukan:
1) Gerakan Fremasonry-Musuh Dalam Menghancurkan Islam, Malaysia.
2) Sejarah Para Khalifah,Pustaka Al-Kautsar,Jakarta Timur.
3) Sebahagian foto dari http://saidnursy.multiply.com/
2 ulasan:
alhamdulilah.... syukur untuk artikel yg sungguh berguna ini.i
Terima kasih utk maklumat ini..
Catat Ulasan