( Sebelum saya menulis tentang tajuk ini dengan lebih jauh, saya mohon kepada Allah agar artikel ini tidak menjadi sebab kebanggaan dalam diri saya, tetapi sebagai perkongsian pengalaman semata-mata yang saya yakin boleh dimanfaatkan oleh teman-teman sekalian-Penulis. )
“Akhi, boleh tak cerita atau ajar sikit kat ana camner nak bercakap depan orang ramai macam anta?” Subhanallah. Rasanya soalan ini sudah menyapa cuping telinga saya lebih dari 50 kali. Terakhir sekali kelmarin, dari seorang teman disini sewaktu sama-sama merasai roti canai yang dicanai oleh seorang anak muda Acheh yang pernah beberapa tahun bekerja di Malaysia sebagai buruh binaan. Hati terasa berat untuk jawab soalan ini. Manakan tidak, bukan saya sahaja yang dihadiahkan Allah anugerah mampu berdiri dikhalayak ramai. Namun, atas nama pengalaman, saya berkongsi juga sedikit sebanyak yang termampu. Mungkin perkara yang sama sahaja dengan pemidato yang lain yang menceritakan teknik, persiapan dan cabaran kepadanya yang saya sampaikan pada teman yang asyik menghirup teh tarik ini.
Baiklah, sekadar mengenang masa lalu. Saya berada di Kelantan buat kali yang terakhir pada 22 Ogos 2008 iaitu sehari selepas Konvokesyen setelah ‘bertapa’ di KIAS sejak 06 Jun 2005. Lama juga ya. Sekitar 3 tahun lebih. Secara peribadi, saya akui bahawa bumi Kelantan adalah bumi yang sangat subur kepada proses dakwah dan tarbiah. Disinilah kami belajar, mencari pengalaman, mencurah pengalaman, menerima pengisian dan siap memberi pengisian kepada sesiapa sahaja. Alhamdulillah, didalam organisasi mahasiswa, Allah hadiahkan kami para murabbi yang sangat tinggi kesabaran dan pengorbanan dalam membimbing. Mudah-mudahan Rahmat Allah sentiasa bersama mereka.
Selain memburu pengalaman di wilayah kampus, kami diberi kesempatan bergerak di luar kampus dengan program-program bersama masyarakat, fasilitator disekolah, program amar Ma’aruf bersama Kerajaan Negeri dan sebagainya. Paling memberi kesan kepada diri saya khasnya adalah peluang untuk memegang pembesar suara dan menyampaikan kuliah dihadapan pok cik dan mok cik di masjid-masjid. Disinilah saya berusaha sedaya upaya melatih diri walaupun telah ada sedikit basic di peringkat menengah dulu iaitu sejak di ting.2. Ketika itu, seorang senior yang mengendalikan program antara Maghrb dan Isya’ di Musolla asrama memanggsil pelajar ting 1 dan 2 secara spontan kehadapan untuk memberikan apa sahaja tazkirah bagi memenuhi kekosongan disebabkan ustaz yang menyampaikan kuliah tidak dapat hadir. Dalam seminggu, adalah sekitar 2 kali bersama ustaz dan malam-malam selebihnya di’monopoli’ oleh pelajar.
Entah mengapa, tangan saya macam kena karan sebaik mikrofon disentuh. Bergegar tanpa ada angin atau ribut, bahkan nyamuk pun tidak mengganggu ketenteraman saya ketika itu. ‘Marhalah’ berikutnya, tangan saya dipenuhi peluh yang turut mengalir membasahi mikrofon tadi. Kaki saya macam disengat-sengat miang lalang, terhuyung hayang dan tidak stabil. Dengan wajah penuh menagih simpati, pandangan ke karpet Musolla tanpa berani sedikitpun mengangkat kepala, akhirnya terkeluarlah juga dari mulut sebuah hadis Nabi ‘Solat Jama’ah lebih afdhal dari solat seorang diri dengan pahala 27’. Hadis tingkatan 2. Fuhhh..lega rasanya lepas habis baca dan meluru duduk.
Alhamdulillah, rahmat kehadapan pada malam itu, akhirnya selepas itu saya pula yang berada dihadapan pelajar muslimin dan muslimat yang melebihi 300 orang itu mengedalikn majlis. “Terima kasih khas kepada abang yang panggil aku ke depan dulu”. Entah siapa, tidak ku ingat lagi.
Kelantan VS Pahang@Jengka
Awal tahun pertama di Nilam Puri, tanpa dijemput atau diundang, dengan muka tak bersalah (memang tak salah pun), saya terus mengisi kekosongan di antara Maghrib dan Isya’ di Masjid Kg Laut@MKL yang terletak bersebelahan kampus. Hampir setiap minggu. Tajuk? Ikut terlintas, tapi khasnya isu semasa yang melanda umat Islam di Malaysia atau diluar. Sekarang, MKL adalah symbol solidaritas yang menghubungkan antara pelajar APIUM dan KIAS. Disinilah kami berta’aruf dan bertegur sapa. Dahulunya, hampir setiap malam, warga setempat akan mendengar suara anak-anak muda dari APIUM atau KIAS menyampaikan kuliah Maghrib. Sekarang? Wallahua’lam. Bila ditanya kenapa kosong, maka ikhwah dari KIAS akan jawab, “malulah kat sahabat-sahabat dari APIUM. Diorang cerdik-cerdik”. Bila ditanya pada sahabat-sahabat APIUM, jawapannya pun sama, cuma loghat je yang berbeza. Tetapi, disinilah lahirnya, pimpinan gerakan mahasiswa Malaysia sekarang. Abg Dzulkhairi, Ridhuan Muhammad, Sheikh wa ghairiha..
Di Kelantan, hanya ada sebuah tempat yang saya menjadi pengkuliah Maghrib tetap iaitu di Kg.Lubuk Jambu, Nilam Puri. Selain itu, semuanya hanya pengganti kuliah Maghrib pensyarah-pensyarah di KIAS sahaja jika mereka ada urusan lain. Biasanya menggantikan Ust Fadhli Sha’ari, Ust Ilias dan Ust Azhar Abdullah. Dari sekecil-kecil masjid sehinggalah yang terakhir di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Ya Allah, sangat mendebarkan. Tuan Imam masjid Muhammadi ketika menghubungi memaklumkan, “anta kena siaplah malam ni. Biasanya Tengku Mahkota datang dengar kuliah Ust Azhar kalau dia tidak sibuk. Jadi, nanti jangan lupa bersalam sikit dengan dia dan baru mula kuliah”. Hah! Anak sultan ! “Bantailah macam mana pun. Latihan juga ni”. Biasanya 2 sahaja kitab yang saya gunakan. Pertama, 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman dan kedua, untuk kuliah tidak tetap menggunakan buku الإسلام الذي ندعو اليه - Islam Yang Kami Serukan Kamu Kepadanya iaitu karangan Dr.Yusuf Al-Qardhawi yang diterjemahkan oleh Ust Abdul Karim Sidek (tenaga pengajar di Kulliah, Pekan, Pahang).
Isinya merupakan himpunan ucapan Al-Qardhawi dalam seminar di Kaherah pada 1993 mengenai catatan pengalamannya menghadapi golongan secular yang mahukan Islam menurut kesesuaian mereka. Pulang ke kampung di Felda, buku ini juga lah yang saya gunakan sehingga Pengerusi Masjid marah tuan Imam kerana membenarkan saya menyampaikan kuliah tanpa kebenaran dia. Sohih UMNO! (memang UMNO pun). Naik menguasai masjid dengan kaedah yang tidak telus ! Katanya, “keras sangat”. Menakjubkan ! Sebab malam itu dia tiada di masjid, tapi ‘keras atau tidak’ kuliah, dia boleh tahu. Berhati-hati ya…pendengar kuliah anda juga ada pelbagai jenis dan tujuan. ‘Penyampai berita’ ramai dalam kuliah anda. Terus terang saya katakan, saya dan teman-teman sangat rindukan bumi Kelantan yang membuka ruang yang bebas, latihan bagi kami berbanding area Felda ku. Kalau mahu kuliah tidak disebut keras, anda istiqamah menyampaikan kuliah tentang kelebihan puasa, solat, cara-cara berwudhu’ serta cara menyucikan haidh dan nifas (maaf, saya tidak bermaksud mengatakan tajuk ini tidak perlu diajar). Tetapi, sedihnya Islam apabila diterima beberapa perkara dan ditolak beberapa perkara.
Persiapan Ceramah / Kuliah / dan sejenisnya.
a) Ikhlaskan niat kerana Allah untuk dakwah,memberi kefahaman kepada mad’u dalam menyampaikan ilmu – jangan sesekali menjadikan penyampaian ilmu sebagai alat mencari duit. Bukan bermakna, kita menolak ‘saguhati’ pihak masjid atau penganjur. Penganjur juga perlu memahami keperluan penceramah yang datang dari jauh, kenderaannya, pengorbanan dan kesanggupannya, pekerjaannya dan sebagainya. Maka, rasionallah dalam menyampaikan saguhati.
Peringatan ! Saguhati (duit biasanya) bukan bayaran kepada ilmu tersebut, tetapi penghargaan kepada kesanggupan dan perkara-perkara yang saya sebutkan diatas tadi. Ilmu tidak boleh dibayar dan tidak mampu untuk dinilai. Tidak mungkin ilmu yang boleh menyelamatkan manusia sampai hari Qiamat mampu dibayar dengan wang RM30 – RM50.
b) Kenali mad’u – bercakaplah sesuai dengan tahap pemikiran mad’u samada mereka orang tua, kanak-kanak, kaum lelaki atau perempuan, golongan intelek atau penduduk kampung sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w : Berbicaralah sesuai dengan kadar tahap pemikiran mereka.
c) Bahan pengisian yang baik – jangan datang ke kuliah seperti seorang pakar pidato dengan hanya sehelai kertas yang dicatat acuh tak acuh ! bawalah buku atau kitab utama yang akan digunakan atau setidak-tidaknya, catatkan apa yang ingin disampaik secara tersusun lebih awal di rumah beberapa jam atau lebih lama lagi.
Cadangan: Cuba sampaikan ceramah dengan memberikan contoh-contoh semasa seperti isu semasa yang sedang hangat diperkatakan agar pendengar tidak terlalu boring kerana penceramah terlalu terikat dengan kitabnya sahaja. Contoh-contoh adalah ‘kredit’ yang bernilai untuk memberi penjelasan kepada mad’u.
d) Penampilan – Pakailah pakaian yang menyenangkan mad’u anda. ( Tidak semestinya berjubah). Tetapi sudut kekemasan, kebersihan dan kerapian khasnya didalam majlis-majlis yang ramai kerana pendengar bukan sahaja mendengar, tetapi melihat anda dari kepala sampai ke kaki (kalau boleh, tapak kaki pun nak tengok juga..:) Perlu wangi-wangian, silakan.
Teknik Menyampaikan Ceramah / Kuliah / dan sejenisnya.
a) Bacalah apa sahaja doa atau ayat-ayat yang boleh menenangkan anda agar tidak gementar – Rabbisyrahli (doa Nabi Musa bertemu Fir’aun) dan sumpamanya.
b) Duduk dengan posisi yang baik, stabil dan selesa – bagi mengelakkan anda bergerak-gerak membetulkan posisi ketika ceramah. Ini kerana, pergerakan anda kadangkala mengganggu pengisian anda bahkan bisa hilang konsentrasi.
c) Jika anda sedikit kekeringan leher, minum dulu air yang ada dihadapan atau yang disediakan penganjur – Elakkan minum ketika sedang rancak menyampaikan kuliah khasnya dihadapan orang tua.
d) Jika ada sesuatu yang menghalang wajah anda seperti botol air atau bunga yang terlajak tinggi dihias, alihkan sahaja kerana bukan sahaja anda yang tidak enak, pendengar anda lagilah pula.
e) Mulakan penyampaian dengan muqaddimah yang baik – anda boleh meniru (untuk kali pertama) mana-mana muqaddimah para penceramah yang anda minati termasuk gayanya, nadanya, isi dan huraiannya atau penutupnya.
Makluman: Bagi yang suka memulakan ceramah dengan membaca Ayat Al-Qur’an, sangat baik. Tetapi, bacalah ayat Qur’an atau hadis yang berkaitan dengan isi ceramah atau program, tersebut.
Jika waktu terlalu singkat, pendekkan muqaddimah anda – cukup dengan salam, puji dan syukur pada Allah, teruskan pengisian.
f) Nada penyampaian mestilah ada tinggi dan rendah sesuai dengan isi-isi yang disampaikan- jika sampai tetap masalah jihad, maka bersemangatlah. Jika menceritakan masalah umat Islam yang ditindas, nampakkanlah anda benar-benar serius dan simpati sehingga mampu memberi kesan pada mad’u. Namun, jangan lantang tidak tentu tempat kerana akan menyakitkan telinga pendengar.
g) Memek muka anda juga adalah perkara yang perlu diberi perhatian – jika kali pertama mad’u memandang anda dengan tidak seronok, maka pengisian anda mungkin gagal dihayati mereka. Maka, awwalan, senyumlah dahulu. Selepas itu, jika ada bab yang perlu serius, seriuslah.
Perhatian Penting
a) Waktu – tolong tepati waktu yang dijanjikan. Jangan sampai penganjur terpaksa menunggu anda terlalu lama sehingga sampai satu tahap ahli jama’ah masjid beransur pulang kerana boring tunggu anda yang tidak sampai-sampai. Maklumkan segera jika anda terpaksa sampai lewat sebab memudahkan penganjur untuk isi dengan perkara lain dulu.
b) Janji – jangan sesekali anda khianati janji sebagai penceramah. Contohnya: Akhir-akhir waktu anda memaklumkan kepada penganjur anda dijemput ke masjid lain semata-mata kerana anda dijemput ke masjid yang lebih ‘best’ dan ramai pendengar serta imbuhan yang mungkin lebih bagus. Perbuatan ini akan mengkaramkan dakwah anda. Anda sanggup meninggalkan ‘pendengar setia’ anda kerana jemputan yang dikira lebih bagus menanti, sedangkan mereka yang pertama menjemput anda. Ketika itu, anda tidak akan dihormati lagi.
Makluman: Kecuali anda benar-benar bertembung dengan program tarbiah yang memerlukan anda. Program tarbiah tidak ramai yang dapat bantu dan tidak menjanjikan apa-apa imbuhan, sedangkan kuliah ramai tenaga. Namun, pastikan anda memaklumkan secepat mungkin jika tidak dapat hadir atau lebih baik, anda dapat mencari penggganti untuk kuliah tersebut.
c) Gunakan bahasa yang baik ketika ceramah khasnya dihadapan orang-orang tua.- jangan melawak macam berada dihadapan budak-budak.
Latihan Ceramah
a) Berlatihlah secara berseorangan – duduk dalam bilik sorang-sorang dan berceramah kuat-kuat atau paling bagus berdiri dihadapan cermin kerana anda boleh melihat sendiri memek muka anda dan gaya anda.
b) Atas kenderaan – AWAS! Jika menaiki motosikal atau memandu, jangan buat gaya, cukup dengam suara sahaja, dibimbangi anda akan melepaskan kedua-dua tangan anda diatas motosikal atau kereta.
c) Dihadapan teman-teman yang berbakat – minta mereka dengar dan komen anda. Jangan malu pada teman-teman itu kerana selepas ini mungkin anda terpaksa berdiri dihadapan ‘anak sultan’ pula.
d) Cari kaset atau VCD – dengarlah ceramah mana-mana pemidato yang hebat yang anda minati. Contoh : Tn Guru Hj Hadi, Anwar, Mustafa Kamil Ayub, Ezam, Tn Ibrahim Tn Man, Ust Riduan Moh Nor atau sesiapa sahaja yang anda rasa best. Tiru gaya mereka untuk permulaan.
Kongsi Pengalaman:
Saya pernah sampaikan kuliah pagi Jumaat di Machang. Lepas itu tuan Imam mint abaca khutbah Jumaat. Saya tolak kerana memang betul-betul tiada persedian, ditambah lagi dengan khutbah yang tidak guna teks. Hari itu saya dapat ilmu baru. Ilmu apa?
Bagaimana mahu pandang mad’u ketika ceramah?
Bak kata Imam ini pada saya, “bayangkan anta ceramah, anta yang pandang orang ramai, tetapi waktu khutbah, ribuan mata makmum tengok anta. Anta mampu tak?” Betul juga ya. Inilah antara perkara yang menyebabkan ramai yang takut bila dijemput berdiri dihadapan sampaikan ceramah.
Tips dari Tuan Imam:
a) Jangan pandang muka pendengar/ makmum yang serius atau tidak menyenangkan anda. Mungkin bengis, muka mengantuk dan lain-lain.
b) Pandanglah muka-muka yang anda tenang melihatnya. Mungkin yang suka senyum, bersih dan tidak serabutkan anda.
Setelah saya praktikkan, rupa-rupanya betul sangat-sangat. Wajah mad’u mampu ‘menggagalkan’ ceramah anda dan mampu memberikan suntikan semangat pada anda. ( Jadi, kalau anda mahu gagalkan ceramah mana-mana ‘orang jahat’, maka duduklah tempat paling depan khasnya depan meja dia dan pandanglah muka dia dengan muka yang paling serius..:)
Cabaran Da’ie
a) Kita bimbang tidak dapat berama dengan ucapan kita. Maka tidak ramai yang mahu berdakwah melalui wasilah lisan. Semuanya benar-benar takut akan peringatan Allah dalam surah As-Shoff kepada orang yang bercakap, tetapi tidak beramal. Baguslah..Namun perlu diingat, ancaman ini bukan bererti Allah melarang anda berceramah, tetapi ianya adalah berupa peringatan agar berhati-hati.
b) Masalah ini tidak ada ubat melainkan daie memang perlu siap untuk merubah diri kepada yang baik.
c) Bahkan, Nabi s.a.w sendiri memberikan pula ‘motivasi’ dengan Hadis: Barangsiapa yang menunjukkan kepada satu kebaikan, maka baginya pahala sebagaimana pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut (Mafhum Hadis).
d) Bahkan, sering kita dengar kata-kata ‘Islah nafsaka wad’u ghairak’ – perbaiki diri kamu dan serulah orang lain. Kalimah ‘dan’ disini membawa maksud ‘ dalam masa yang sama’. Maka perbaiki dirimu dan (dalam masa yang sama) seru orang lain. Bukan bermaksud tunggu kamu jadi baik dulu sampai sempurna, barulah kamu berdakwah. Agak-agak bila nak sempurna?
Baiklah, saya berhenti setakat ini dulu untuk kali ini. Jika ada lagi tambahan, saya akan kongsi selepas ini. Akhirnya, saya mohon keampunan dari Allah agar tulisan ini tidak menjadikan saya riya’ dan penyakit-penyakit hati yang lain. Anda boleh rujuk lagi kepada mereka yang lebih berpengalaman dan mahir. Sekadar perkongsian pengalaman sahaja yang saya yakin anda boleh manfaatkan untuk perjuangan Islam. Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan