Rabu, 14 Januari 2009

Mendedah Aurat : Profesionalisme?

Dalam kesibukan Pemilihan Raya (PEMIRA) di Fak.Ushuluddin untuk menaikkan Gubernor Fakultas yang baru yang berlangsung pada hari ini dan esok, saya sempat menaiki motosikal untuk menuju ke bank berhampiran mengeluarkan wang. Kedudukan Bank Mandiri ini terletak dihadapan Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH). Jaraknya dengan IAIN Ar-Raniry sekitar 500 m sahaja. Dalam perjalanan pulang ke IAIN, sempat saya rakamkan satu pemandangan yang saya kira sangat menarik. Ianya berupa banner yang dipasang antara pepohon ditepi jalan sekitar kawasan kampus UNSYIAH. Kata-kata yang tertera di atas banner tersebut, menarik perhatian.

‘ Hai ngen…ke kampus tu kuliah, bukan pacaran’ dan ‘idiiiih…udah gede ga pinter milih baju…malu ah’. Teman-teman di Malaysia faham tak maksud kata-kata ini ? Kalau tidak semua pun, saya yakin sepatah dua kalimah tentu difahami. Maksudnya adalah ‘hai kawan…ke kampus itu untuk kuliah, bukan berdua-duaan’ dan ‘idiiih…sudah besar (dewasa), tidak pintar memilih baju…malu lah’. Itulah lebih kurang mafhumnya. Kedua-dua banner ini tertera nama Lembaga Dakwah Kampus (LDK) Al-Mizan, Universitas Syiah Kuala. Bermakna, ianya dipasang oleh mahasiswa-mahasiswi yang terlibat dengan LDK di UNSYIAH. Mereka aktivis dakwah kampus. Mereka mahasiswa, bukan pihak pentadbiran. Mereka penuntut, bukan pihak pengurusan. Namun, dengan kondisi kampus yang bukan berorientasikan pengajian Islam, bi’ah (suasana) pelajar yang bermasalah dalam soal berpakaian, bertudung tetapi masih dengan jeans serta baju ketat dan rapat, anak-anak muda dari aktivis dakwah kampus ini terus laksanakan tugas tanpa mempedulikan kritikan dari sesiapa. Ini tanggungjawab mereka yang faham dan tugas bersama. Sekali lagi saya tegaskan, mereka ini mahasiswa ! bukan pihak pentadbiran atau pengurusan kampus!

Jelas dihadapan kita, usaha mulia mereka ini memang terbatas dan kemungkinan kurang keberhasilan untuk diakuri oleh mereka yang masih berpacaran dan berpakaian ketat. Namun, dakwah tidak memaksa kita menyoal tentang keberhasilan, tetapi soal tindakan, pelaksanaan dan kesungguhan.

Baiklah, bagaimana kalau soal urusan ummah, Islam, dakwah, amar ma’aruf dan nahi mungkar, akhlak atau moral mahasiswa ini dibicarakan dari mulut-mulut pihak pengurusan, pentadbiran kampus dan yang sebaris dengannya, kira-kira bagaimana keberkesanan arahan tersebut ? Apatah lagi jika pentadbiran itu dipegang oleh seorang Muslim yang beriman kepada Allah, faham Islam sebagai ‘way of life’ dan memahami Islam sebagai elemen pencegahan masalah akhlak yang paling efektif. Lebih lumayan dan menguntungkan dari sudut keberkesanan arahan atau penguatkuasaan tersebut. Lebih-lebih lagi, pembicaranya adalah kepimpinan tertinggi disebuah kampus atau institute pengajian tinggi. Ini bertepatan dengan Sabda Rasulullah s.a.w: Manusia (orang ramai) itu mengikut agama penguasa-penguasa mereka.

Sekarang, kita renung sejenak apa yang sedang berlaku di institute pengajian tinggi di Malaysia. Beberapa hari kelmarin, saya mengunjungi website http://mahasiswamerdeka.blogspot.com/ . Disitu tersiar satu artikel ringkas bertajuk ‘HEP UiTM sudah tidak relevan?’. Setelah mengamati beberapa waktu, barulah saya fahami bahawa tajuk ini sengaja dibuat bagi mempersoalkan tindakan pihak HEP yang membuat sebuah poster garis panduan berpakaian kepada mahasiswi di UiTM. Dibahagian atas poster ini ditulis ‘Langkah awal Mahasiswi UiTM kearah Profesionalisme’. Jika anda seorang yang mempunyai deria rasa yang masih baik dan sihat sebagai seorang Muslim, pasti anda juga akan tergamam melihat gambar etika berpakaian ini dan huraian mengenainya. Jika, tidak terkesan apa-apa setelah membaca, sohih anda bermasalah dalam deria rasa.

Timbul beberapa persoalan dalam benak hati saya saat melihat poster ‘profesional’ ini. Pertama, sangat malang disebuah IPTA yang dikuasai oleh bangsa Melayu yang beragama Islam, tetapi 2 gadis bertudung tenggelam dikelilingi oleh 4 gadis tidak bertudung. Kesimpulan yang ingin dibuat ialah ‘berpakaianlah, namun ikutlah kesesuaian’. Mungkin itu yang ingin dimaksudkan. Ketika bersukan, berpakaian sukanlah. Ketika tidur, berpakain tidurlah. Ya, bahasa yang mudah difahami adalah ‘moral’. Suka saya menyebut bahawa, anda menilai moral ini dari kaca mata Islam atau ‘profesionalisme’ kuffar ? Jika anda membedah pemikiran kuffar, maka berseluar pendek ketika bermain bola sepak, itu adalah bermoral. Berenang dikolam terbuka memakai seluar dalam sahaja, itu bermoral. Namun, Islam tidak semudah itu menentukan bermoral atau tidak. Sebab itu istilah moral dan akhlak adalah dua benda yang sangat berbeza. Bagi Barat, berpakaian mengikut trend terkini walaupun pusat terkeluar, lurah punggung kelihatan dan belahan dada terpampang, itu adalah bermoral. Syaratnya jangan keterlaluan. Jauh sekali dengan berakhlak.

Dalam beberapa point berikutnya, anda menyebut ‘memakai pakaian sukan yang sesuai semasa bersukan, seluar pendek boleh dipakai jika sesuai dengan jenis sukan atau permainan’. Wah, mudahnya anda membuat anjuran atau cadangan. Jika tidak silap mata saya memandang, diatas tadi ditulis garis panduan ini untuk mahasiswi. Soalnya, anda buktikan bahawa pakaian yang sesuai dengan Syariat Islam itu mengganggu aktivitas sukan atau permainan? Ruqaya Al-Ghasra dari Bahrain itu telah menunjukkan bukti dia mampu menjadi juara pecut dengan menutup aurat mengalahkan mereka yang berseluar dalam dan secabik kain menutupi dada kerana menjaga moral sukan. Atau sengaja anda membutakan mata melihat bukti-bukti yang Allah zahirkan ini?

Sangat pelik dan memeningkan! Sah pelik ! Pada point sebelumnya, anda menulis ‘boleh mamakai seluar pendek jika sesuai dengan sukan’. Tiba-tiba dibahagian berikutnya, anda menetapkan ‘tidak memakai pakaian yang terdedah’. Pakaian yang terdedah ini, bukan sahaja tidak boleh pada waktu kuliah, bahkan ditempat sukan sekalipun. Jangan anda mengira bahawa wanita sama wanita boleh sesuka hati melihat semua anggota tubuh wanita yang lain. Tetapi yang pasti, hampir kesemua IPTA, mahasiswi yang bersukan dengan mendedah aurat disaksikan oleh pelajar lelaki. Ataupun anda mempunyai pemikiran yang berbeza dengan yang lain tentang apa makna terdedah? Anda pihak pentadbiran yang ‘profesional’ yang mampu menjawab soalan ini.

Tambah membimbangkan apabila dipoint hampir kebawah, anda menetapkan ‘digalakkan memakai tudung atas kemahuan individu sendiri tanpa sebarang paksaan’. Kesimpulannya, praktik Islam itu hak individu pada pandangan anda yang profsional. Jika begitu, tiada siapa yang boleh mengarahkan atau menguatkuasakan peraturan Islam keatas kita kerana ia adalah hak individu. Na’uzubillah, terus terang saya katakana bahawa menganggap agama adalah urusan individu adalah fahaman Sekularisme.Mengi’tiraf secular bermakna anda telah membuang Islam dari leher anda. Atau anda masih mempunyai ta’wilan tersendiri lagi tentang peraturan yang anda lakukan ini?

Kalau sudah terlupa, dengan senang hati saya ingin berkongsi mengingatkan semula anda tentang tujuan dari penghijrahan Rasulullah ke Madinah. Saat berada di Makkah, Islam itu hanya mampu dibicarakan oleh Rasulullah dengan kadar yang sangat terbatas tanpa ada penguatkuasaan Syariah. Puncanya kerana pentadbiran saat itu dikuasai oleh Musyrikin. Hijrah ke Madinah merupakan ruang yang sangat baik untuk perkembangan Islam kerana Nabi memegang tampuk pemerintahan dan Syariat itu dikuatkuasakan. Kesimpulannya, Islam memerlukan kuasa dan umat Islam wajib berusaha untuk pastikan Islam berkuasa dan bukan dikuasai. Namun, seperti yang saya sebutkan diawal tadi, sangatlah mudahnya ruang untuk Islam bergerak, ditegakkan dan diamalkan jika penguasa itu adalah seorang Muslim yang melihat Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin.

Anda mentadbir pusat pengajian, anda seorang Muslim. Bukan seorang Muslim yang memenuhi pejabat-pejabat besar di UiTM itu. Puluhan atau lebih. Dengan penuh perasaan berbaik sangka, saya cukup yakini bahawa dikalangan anda sering bertemu dengan ayat Allah yang bermaksud : Orang-orang yang kami berikan kedudukan kepada mereka diatas muka bumi, mereka mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyeru kepada yang ma’aruf dan mencegah kemungkaran dan kepada Allah lah kembali setiap urusan ( Al-Hajj: 41 ). Sekurang-kurangnya jelas disini ada 4 objektif utama mereka yang memegang kendali kepimpinan iaitu menjaga urusan berkaitan solat samada kepada dirinya mahupun orang dibawahnya, menjaga kewajipan berzakat terhadap dirinya dan juga mereka yang dibawahnya, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sekaligus memahamkan orang dibawahnya agar hidup dengan membenci kemungkaran dan siapa sahaja penganjur mungkar.

Baiklah, mungkin anda yang membaca artikel ini berkomentar menyoal siapa saya untuk mengkritik. Ya, siapalah saya. Bukan golongan professional. Soalnya, anda yang diwar-warkan golongan professional tetapi masih kabur soal urusan dan kepentingan ummah bagaimana? Atau terlalu bimbang jika penguatkuasaan pakaian yang Islamic mengundang respon negative mahasiswa? Setakat yang saya tahu di kampus ini, lebih 90% adalah mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Berlaku tentangan diluar jangkaan, itu bukan yang kita harapkan. Namun, jika dari awal lagi kitalah yang menjadi ‘penganjur’ membuka ruang bebas untuk memilih berpakain atas nama hak individu, dimanakah profesionalisme tersebut? Jika anda beranggapan pakaian bukan ukuran atau kebebasan individu, sohih anda salah seorang yang terperangkap dengan istilah profesionalime yang digagaskan oleh kuffar.

Cukuplah IPT-IPT digempar dengan isu pembuangan bayi, berpelukan diatas motosikal tanpa segan silu dan segala macam kesesatan yang boleh jadi hasil sumbangan kita. Pakaian adalah elemen penting yang tidak boleh diketepikan dalam usaha membentuk akhlak mahasiswa walaupun kita tidak nafikan terdapat juga beberapa kes terpencil maksiat yang melibatkan mereka yang berpakain baik. Sekarang, diahadapan anda ada dua pilihan samada terus mengekalkan etika yang dianggap bermoral ini atau segera lakukan perubahan. Jika tidak anda perlu malu dengan moto university ‘Usaha, Taqwa, Mulia’ yang diketahui umum. Buatlah perubahan agar anda tidak tersenarai sebagai mereka yang turut serta memerangi arahan Allah untuk dilaksanakan disaat anda memegang kendali pentadbiran dan anda mampu laksanakannya. Sekiranya komentar ini berharga, pakailah. Jika tidak, ruang untuk mengkritik tersedia diruang bawah ini. InsyaAllah, perubahan anda diiringi Rahmat Allah untuk kita bersama.

1 ulasan:

Ummu Solehah Muhammad berkata...

hmm.. itu lah yg terjadi dan yg sedih banyak juga kawan2 masa di SEKOLAH AGAMA kita yg mengikuti..

*tangungjawab*