Ahad, 25 Januari 2009

Keruntuhan Khilafah Islam: Presiden-Presiden, Kesan Keruntuhan & Harakah Islamiyyah.

Setelah Sultan Abdul Majid II diturunkan dari jawatan khalifah dan Islam dibuang secara rasmi dari perlembagaan Turki, maka bermulalah Turki memakai system Republik dengan seorang yang menjadi Presiden. Dibawah ini adalah senarai presiden-presiden Turki bermula dari tahun 1924 – 2009 :


1) 1924-1938 : Mustafa Kamal Attaturk ( lahir 19 Mei 1881 – meninggal 10 Nov 1938 )

2) 1938-1950 : Ismet Inonu

3) 1950-1960 : Celal Bayar

4) 1960-1966 : Cemal

5) 1966-1973 : Cevdet Sunay

6) 1973-1980 : Fahri Koruturk

7) 1980-1989 : Ahmet Kenan Evren

8) 1989-1993 : Turgut Ozal

9) 1993-2000 : Suleyman Demirel

10) 2000-2007 : Ahmed Necdet Sezer

11) 2007-2009 : Abdullah Gul & Recep Tayyib Erdogan ( Perdana Menteri )


Catatan: Abdullah Gul & Recep Tayyib Erdogan adalah pimpinan dari parti yang berhaluan Islam di Turki iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AK Party). AK Party adalah lanjutan dari parti Islam sebelum itu iaitu Parti Refah ( 60-an ) dan Sa’adat yang diasaskan oleh Prof.Najmuddin Erbakan. Parti Refah pula adalah lanjutan dari Parti Milli Salamat. Usaha mengembalikan nilai-nilai Islam dan Syariat mula digerakkan oleh AK Party dengan penuh hemat berikutan kondisi Turki yang masih berbau secular khasnya para pemimpin tertinggi tentera yang menguasai Turki. Pelbagai pendekatan digunakan oleh AK Party agar usaha mereka dapat diteruskan secara konsisten.


Sebagai contoh, mereka berdua dengan berani menampilkan isteri yang bertudung dikhalayak ramai setelah pengisytiharan kemenangan pada tahun 2007 yang lalu. Kini, larangan memakai tudung dicabut semula dari undang-undang Turki sehingga menimbulkan keresahan kepada para Sekularis. Pengajian-pengajian Islam mula mendapat tempat semula dan university-universiti Islam mula berperanan.


Walaubagaimanapun, usaha-usaha yang baik dan berani dari gerakan Islam di Turki ini jangan sampai menjadikan kita lupa bahawa disana terdapat beberapa perkara yang perlu kita perhatikan. Ianya adalah soal sejarah kebangkitan, kegemilangan sehingga keruntuhan yang mengundang impak yang pelbagai baik positif ataupun negatifnya. Antara lain, kita juga mesti mengkaji secara bersungguh dan serius mengenai punca-punca mengapa semudah itu kerajaan Islam ditumbangkan. Teruskan kajian, pembacaan, diskusi dan sebagainya bagi meneliti segala anasir yang menjadi ‘bom jangka’ yang meletupkan Khilafah sedahsyat itu. InsyaAllah, sekurang-kurangnya pasti kita akan bertemu dua unsur iaitu dalaman dan luaran.


Mungkin, penulis tidak berhajat untuk mengemukakannya disini kerana ia memerlukan tempoh yang agak lama, pembacaan yang teliti dan fakta yang meyakinkan untuk dipaparkan. Namun, sekadar ‘menjentik’ sedikit agar kita terus melihat punca-punca ini dengan satu harapan agar ianya tidak berulang lagi dan persiapan dibuat untuk menghadapi situasi ini. Sebagai contoh, kita akan melihat betapa liciknya permainan dari Gerakan Freemasonry yang dinaungi Yahudi, peranan Negara-negara Eropah, rancangan Salib, kelemahan sebahagian khalifah-khalifah sendiri, fahaman kebangsaan yang tidak bertunjangkan Aqidah yang meragut fikrah umat Islam Turki sehingga membenci khalifah yang bukan berasal bangsa Turki, peranan Syiah serta kelemahan dari umat Islam sendiri dan lain-lain lagi.


Berikutnya, penulis mengutip sedikit catatan dari buku Gerakan Freemasonry-Musuh Dalam Menghancurkan Islam iaitu mengenai kesan-kesan kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu negatif dan positif.


Kesan Negatif :

1) Negara umat Islam menjadi lemah dan dijajah satu persatu.

2) Umat Islam berpecah dengan dahsyat mengikut negara masing-masing, identiti bangsa dan ideologi masing-masing.

3) Berlaku gejala riddah moden dengan pelaksanaan undang-undang Barat dan kebanggaan kepadanya dengan I’tiqad, ucapan dan perbuatan kufur.

4) Kerosakan dalam kehidupan : pemerintahan dan politik, ekonomi, pendidikan dan tarbiyah, sosial dan kemasyarakatan.


Kesan positif :


1) Kemunculan ulama’-ulama’ yang sedar yang menggerakkan Harakah Islamiyyah di negara masing-masing.


Alhamdulillah, disebalik tragedy berat yang menimpa dan mencabut izzah ummah ini, Allah s.w.t menyusun beberapa hambanya yang beriman dan bertaqwa untuk terus berjuang mengembalikan semula kemuliaan Islam yang tercalar. Sejak dunia Islam gelap tanpa berbapa, tanggal 1924, para ulama’-ulama’ yang sedar mula menyusun langkah, mengatur pergerakan, berbincang, berfikir siang dan malam, menangis mengadu kepada Allah akan ujian yang mencabar ini sehinggalah kesepakatan diputuskan agar sekularisasi dihadapi secara organisasi, jama’ah, kesatuan atau harakah.


Sheikh Bediuzzaman Said An-Nursi memulakannya di Negara Turki dengan Jama’ah An-Nur, diikuti dengan Ikhwan Muslimin di Mesir dan pelbagai lagi harakah-harakah yang tumbuh segar bagai cendawan semata-mata ingin melihat cahaya Islam kembali bersinar. Sahabat-sahabat boleh merujuk artikel saya beberapa bulan yang lalu tentang pengenalan ringkas lebih 10 gerakan Islam di peringkat antarabangsa yang muncul http://arruhuljadid86.blogspot.com/2008/09/harakah-islamiah-satu-pengenalan.html


Syarat – Syarat Harakah Islamiah


Ketika melalui satu program tarbiah beberapa tahun yang lalu, saya teringat antara pengisian yang disampaikan adalah mengenai syarat-syarat sebuah Harakah Islamiyyah. Syarat-syarat inilah yang sedikit sebanyak boleh dijadikan ukuran atau penilaian untuk kita menerima sesebuah organisasi atau pertubuhan yang memakai nama Islam itu sebagai Harakah Islamiyyah (Gerakan Islam).


Antaranya adalah:

a) Perlembagaan atau sumber rujukannya yang tertinggi adalah Al-Qur’an dan Hadith.

b) Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar dijalankan secara serentak – maksudnya gerakan ini bukan hanya mengambil amar ma’aruf, tetapi meninggalkan nahi mungkar atau sebaliknya.

c) Dakwah adalah program utama mereka – maksudnya setiap gerak kerja mereka semata-mata dilakukan untuk mengembalikan manusia kepada Allah dan mengenal Islam.

d) Melaksanakan jihad dan siasah – maksudnya gerakan Islam mestilah sentiasa terkehadapan dalam menangani isu-isu ummah dan melibatkan diri dengan siasah iaitu berusaha untuk memerintah.


Walaubagaimanapun, saya akur bahawa disana terdapat pelbagai kriteria yang dibuat oleh para ulama’ ul ‘Amilin (ulama’ yang bekerja/berjuang untuk Islam) tentang syarat-syarat sebuah Harakah Islamiyyah. Antaranya, Ust Fathi Yakan yang menulis buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Didalamnya juga dibahaskan mengenai kewujudan organsasi Islam yang pelbagai rupa bentuk seperti memperjuangkan ekonomi Islam, akhlak Islam, ibadah dan kesufian, politik Islam dan sebagainya.


Pun begitu, amat sukar untuk ditemui organisasi Islam yang memperjuangkan Islam yang syumul iaitu dari pelbagai sudut dan perkara dalam Islam yang melayakkan mereka digelar Harakah Islamiyyah. Sebab itu, untuk menilainya, kita mesti kembali kepada gerakan Islam yang dilancarkan oleh Rasulullah. Orientasinya kembali kepada 2 perkara yang berupa tugasan dakwah dan siasah, kerana memang dakwah adalah tugas umat Islam dan Islam perlu diberi kuasa memerintah dengan pendekatan Siasah (politik).


Hadaf dan Ghayah Harakah Islamiyyah


Kalimah ini sering kita dengar dan rata-ratanya cukup memahami. Sekadar ulangan sahaja. Hadaf boleh difahami sebagai objektif jangka masa pendek dan ghayah adalah objektif jangka masa panjang. Maka, hadaf kita boleh dipelbagaikan seperti untuk membentuk individu Muslim, Baitul Muslim, Masyarakat Muslim, Negara Islam serta Khilafah Islam dan lain-lain lagi yang terbatas di dunia. Adapun Ghayah kita kita sudah tentu semata-mata untuk mencari keredhoan Allah sebagaimana yang sering kita laungkan ‘Allah Ghayatuna’ iaitu Allah matlamat kami!.


Tiada khilaf lagi bahawa matlamat kita sudah jelas baik jangka masa panjang mahupun jangka masa pendek. Tinggal lagi, kita hanya berhadapan dengan masalah pendekatan, cara, metode, kaedah, wasilah atau manhaj pergerakan.


Ketika kita membicarakan soal keperluan mengembalikan system Khalifah, ada sebahagian organisasi Islam yang beranggapan kita perlu melalui pendekatan ceramah, seminar, edaran risalah, kempen dan seumpamanya. Disisi lain, ada yang mengambil pendekatan untuk memasuki wilayah politik sebagai parti politik Islam untuk mengambil alih kuasa dari mereka yang tidak berminat melaksanakan Islam. Ada juga yang mengambil pendekatan agresif dengan demonstrasi berpanjangan dengan nama Revolusi baik bersenjata atau tidak. Semua ini kita namakan sebagai pendekatan untuk mencapai matlamat yang sama iaitu mengembalikan ‘izzah Islam.


Harakah Islamiyyah dan Demokrasi


Saat ini, kita hampir-hampir kecewa dengan sikap segelintir kelompok yang sering melakukan ‘serangan-serangan’ sesama gerakan Islam semata-mata berbeza pendekatan. Apabila ada Harakah Islamiyyah yang menyertai area demokrasi, bergerak sebagai parti politik Islam, terlibat dengan pilihanraya dan semumpamanya, maka sangat ringan lidah kita mendakwa tindakan ini adalah bid’ah, tidak syar’ie, Rasulullah tidak pernah buat dan segala macam lagi. Lebih dari itu, menghukum berdosa kerana terlibat dengan demokrasi yang dibuat oleh orang kafir.


Secara peribadi, saya tidak akan menjelaskan disini tentang Demokrasi kerana terlalu banyak buku-buku yang telah membicarakannya. Antaranya buku Islam dan Demokrasi karangan Tn.Guru Hj.Abdul Hadi Awang. InsyaAllah, penjelasan didalamnya mampu menguraikan kekusutan. Benarkah demokrasi datang dari Barat dan jika dari Barat (kafir) adakah tidak boleh digunakan langsung oleh umat Islam untuk menghadapi pihak musuh yang juga menggunakan senjata demokrasi, sejauhmana kita boleh mengambil manfaat dari demokrasi, apakah dalil-dalil yang mengharuskan menggunakan demokrasi, apakah maksud ( Muwajahah bis Silmiyyah) dan (Muwajahah bil Quwwah), apakah tidak ada dalam sejarah Islam atau para sahabat yang memakai system yang dibuat oleh orang kafir dan sebagainya. Buku ini telah menjelaskannya. Saranan saya…bacalah.


Bahkan jika dikatakan melibatkan diri dengan demokrasi tidak syar;ie, bagaimana pula dengan Ikhwan Muslimin yang kini terlibat dengan plihanraya Mesir, Hamas dengan pilihanraya Palestin, Jama’ah Islami dengan plihanraya di Pakistan dan lain-lain? Tidak adakah ulama’ didalam mereka yang membahaskan isu ini jika ianya bid’ah atau tidak syar’’ie?


Selain masalah ini, timbul juga pertikaian isu tarbiah organisasi dan perekrutan anggota ke dalam organisasi. Sebagai contoh, ada yang mendakwa merekalah paling baik system tarbiah, paling baik system perekrutan anggota dan seumpamanya.


Pertikaian ini tidak akan selesai dan kita juga meyakini betapa sukarnya untuk menyatukan organisasi-organisasi ini dibawah satu payung. Hanya satu sahaja perkara yang boleh kita sebut iaitu jika mana-mana pihak meyakini pendekatannya baik dan efektif, ya silakan diikuti. Namun, sikap menafikan, memperlecehkan, merendah-rendahkan dan memburuk-burukkan organisasi Islam lain, bukanlah cara yang terbaik. Jika anda tidak mampu berdemonstarsi, jangan perlekehkan peranan orang yang sanggup berdemonstrasi. Jika anda tidak mampu berceramah, jangan nafikan peranan dakwah melalui ceramah dan sebagainya. Didalam 10 nasihat Al-Banna, salah satunya adalah beliau melarang untuk menyerang dan memburuk-burukkan mana-mana organisasi khasnya yang memperjuangkan Islam.


Jalankan tugas masing-masing dengan pendekatan yang diyakini, hentikan menafikan peranan mana-mana gerakan Islam jika kita mahu melihat Hadaf dan Ghayah kita tercapai. Titik utamanya adalah keikhlasan kepada Allah. Itulah yang boleh menyelamatkan sikap kurang baik diatas disaat kita terpaksa menghadapi gerombolan tentera Ahzab moden yang terlalu ramai.Wallahua’alam.

1 ulasan:

BLOG GENERASI FELDA berkata...

Assalamualaikum, blog saudara telah dimasukkan kedalam kumpulan Blog Generasi Felda, dan saya masih mencari seberapa banyak blog generasi felda, untuk dimuatkan didalam senarainya....jika ada maklumat tolong beritahu saya..
terima kasih .......