Selasa, 13 Januari 2009

Tahun 2009 : Gerakan Islam Kuasai Kampus

Catatan ringkas pemilihan raya (PEMIRA) di IAIN…

Laungan takbir bergema di ruangan lantai bawah bangunan Fakultas Ushuluddin, IAIN Ar-Raniry, Nanggroe Acheh Darussalam tengah hari tadi (Isnin). Kelihatan teman-teman dari Lembaga Dakwah Kampus (LDK) dan simpatisan memenuhi kerusi-kerusi yang teratur rapi di ruang tempat parking motosikal yang telah dikosongkan sejak awal pagi tadi. Lebih seratus orang mahasiswa dari Fakultas Ushuluddin muslimin dan muslimat turut serta memeriahkan majlis yang disusun oleh Komisi Independen Pemilihan Raya (KIPR). Fungsi KIPR sama seperti SPR. Semua mahasiswa siap untuk mendengar ucapan-ucapan berbentuk kempen, tawaran, janji-janji, harapan dan slogan-slogan yang akan dibicarakan oleh 2 orang calon yang telah mendaftar untuk bertanding merebut jawatan sebagai Gubernor Fakultas Ushuluddin untuk sesi 2009.

Sdr. Miswar anak kelahiran Acheh aktivis dakwah kampus yang dihantar sebagai calon oleh Lembaga Dakwah Kampus (LDK) untuk berhadapan dengan Sdr. Zahrul, anak Acheh yang menyebut-nyebut dirinya sebagai suara mahasiswa terbanyak. Bunyi sorak dan pekikan pelbagai jenis dan gaya untuk menyokong calon masing-masing mewarnai ruangan dibawah bangunan tersebut. Sekitar jam 11.00 pagi, pihak KIPR memulakan acara dengan menjemput Ketua KIPR menyampaikan ucapan alu-aluan dan diikuti oleh ucapan daripada Bapak Damhuri, pembantu Dekan Fakultas Ushuluddin. Beliau tegas memberikan harapan agar acara Debat Kandidat Calon Gubernor Fak.Ushuluddin IAIN Ar-Raniry berjalan dengan tenang, aman, damai dan profesioanal. Sesekali kedengaran laungan ‘hidup mahasiswa’ dilaungkan oleh pihak lawan kepada LDK.

Acara terus berlangsung dengan dimoderatorkan oleh pihak KIPR yang dianggotai oleh beberapa mahasiswa Fak.Ushuluddin hasil lantikan dari pihak pentadbiran kampus. Moderator langsung memperingati setiap calon dan mahasiswa mengenai peraturan-peraturan Debat Kandidat yang akan berlangsung serta membawa biografi calon. Sejurus kemudian, tampil Ketua KIPR untuk membacakan ikrar dan diikuti oleh kedua-dua calon. Setiap calon mempunyai seorang wakil yang ditugaskan sebagai juru kampanye (baca:kempen) atau ringkasannya JURKAM. Mereka inilah yang kehadapan menyampaikan pidato mewakili suara calon-calon yang mereka dokong. Seperti biasa, saat JURKAM bagi Sdr.Miswar calon yang diketengahkan oleh LDK tampil kehadapan untuk memulakan pidato, laungan Hidup Mahasiswa dan Allahu Akbar menenggelamkan hingar binger suara para penyokong. Dalam masa yang sama, pihak lawan yang terdiri dikalangan mahasiswa yang berpakaian ‘ranggi-ranggi’, berseluar jeans, berambut panjang, bergelang dan rantai sambil menghembuskan asap rokok secara serentak menjerit ‘booo’, mengejek-ejek juru kampanye, laungan ‘retorik’ dan lain-lain.

Sangat menarik. Sangat tenang dan penuh senyuman Sdr. Ismu Redho, juru kampanye bagi aktivis dakwah kampus saat dibooo bertalu-talu. Tidak mendatangkan kesan langsung. Giliran berikutnya adalah pidato dari juru kampanye pihak yang bersaing dengan aktivis dakwah kampus. Jeritan dan sorakan penyokong tegarnya membingitkan telinga. Sesekali, anak-anak muda berambut panjang dan berpakain ‘ganas-ganas’ ini mempermainkan penyokong LDK dengan turut melaungkan takbir sambil ketawa. Kami pelajar Malaysia di Fak.Ushuluddin tenang, duduk mendengar sambil mencatat point-point penting yang dikutip dari ucapan juru kampanye yang berapi-api menawarkan khdimat yang akan dilaksanakan jika menang nanti. Point-point penting inilah yang akan kami gunakan untuk dijadikan ‘bomerang’ kepada mana-mana calon yang kelihatan ‘agah’ mengemukan janji-janji. Siap korang..:) Soalan-soalan ini akan dijawab oleh calon-calon sendiri.

Alhamdulillah, sampai sesi soal jawab kepada calon, teman-teman dari Malaysia di Fak.Ushuluddin memohon agar saya menjadi wakil untuk bertanya. Selepas beberapa mahasiwa keluar kehadapan menggenggan mikrofon untuk bertanya, saya terus mengangkat tangan memohon giliran. Ketar? Memang ketar bangat sihhh..kalau soalan berbentuk kritikan kepada calon yang menghadapi LDK, kena bersiaplah. Ramai betul penyokong mereka memenuhi ruang belakang. Jadi, persoalan hanya disampaikan secara umum dan setiap calon berhak mengulas nanti. “ Saya mohon penjelasan, siapa dikalangan anda berdua yang mampu menghentikan budaya merokok yang sudah keterlaluan di IAIN ini atau paling ringan dapat menjadikan Fak.Ushuluddin zon bebas rokok?” saya bertanya. Apa yang dijangkakan pun berlaku. Abang-abang di belakang pun menjerit-jerit “ini hak asasi manusia lah”. Inilah masalah besar di Indonesia. Ancaman liberalisme mula berkembang masuk diseluruh IPT-IPT termasuk yang berorientasikan Islam. Dalam hati saya hanya mampu menyebut, “betul la hak asasi korang..tapi jangan sampai menyusahkan orang lain. Di kantin rokok, dikoridor rokok, dibilik kuliah pun rokok..paling bestm pensyarah sambil mengajar pun hisap rokok. Aduss..seorang sahabat memaklumkan, “akhi,ana rasa penghisap rokok di Indonesia ini sudah sampai 90%”..saya hanya tersenyum. Negara pengeluar tembakau dan rokok pun murah.

Soalan kedua, “sebentar tadi Sdr. Zahrul menyebut tentang satu kes tangkapan mesum (zina) berlaku disini. Saudara mengatakan bahawa terbukti pelakunya seorang yang berpakaian alim dan dikenali baik. Saudara juga membuat kenyataan, “lihatlah apa yang berlaku, terbukti orang yang berpakain alim pun belum boleh dijamin baik. Soalnya, mengapa satu kes ini dijadikan contoh oleh saudara sedangkan ribuan kes mesum ini melibatkan wanita yang berpakaian tidak syar’ie. Jadi,mudahnya saudara menilai satu kes, lalu terus keluarkan kenyataan bahawa pakaian bukan jaminan baik atau tidak seseorang. Terus terang saya katakan, kami cukup bimbang jika saudara menang nanti dan pakaian muslimat yang sangat bermasalah disini (dengan jeans ketat dan baju ketat) bukan menjadi agenda saudara untuk diselesaikan. Sedangkan diawal tadi, bioografi saudara di bahagian moto hidup berbunyi ‘Hidup Mulia Atau Mati Sebagai Syahid’”. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar !!! Laung teman-teman dari aktivis dakwah kampus.

Sesi mendengar jawapan dari setiap calon pun bermula. Kami terus setia menunggu soalan kami tadi dijawab. Ya, itu sahaja yang kami mahukan. Tempoh tinggal disini hanya sebentar. InsyaAllah. Jadi, harapannya adalah sumbangan yang dapat kami berikan. Sangat penting! Bi’ah Sholehah atau Islamic Invorenment mesti diusahakan kewujudannya disini dan mesti dimulakan di Fak.Ushuluddin. Bagaimana mungkin mahasiswa yang keluar dari sini nanti bercita-cita memimpin ummah jika hidup dalam suasana yang sebegini. Kami mesti bertanggungjawab membantu. Mesti mendokong aktivis dakwah di kampus. Sudahlah bilangan mereka kecil, tiada dokongan pula. Tidak boleh dibiarkan. Jawatan kepimpinan mesti diberikan kepada individu yang memahami Islam, menghayati Islam dan sentiasa merancang dan berfikir untuk masa depan Islam khasnya dalam lingkungkan kampus.Jika mendengar jawapan dan penerangan calon-calon, mungkin kita boleh bersetuju. Manakan tidak, kedua-duanya berbicara sering bersulamkan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadits. Ya, sebab disini penuh pesantren. Bahkan ketika dibilik kuliah, kami tergamam melihat mereka yang rokok kerap ditangan, seluar jeans style lusuh dan koyak, topi dikepala dan bergelang tangan fasih dan ligat berhujjah dengan Al-Qur’an. Ya, Allah..

Selepas tamat sesi Debat Kandidat menjelang waktu Zohor, kami terus meletakkan keputusan. “Akhi, kita ada Lembaga Dakwah Kampus (LDK). Di Malaysia, mungkin peranannay dimainkan oleh PMI-PMI disetiap kampus. Jadi, kita mesti usahakan agar teman-teman aktivis dakwah terus kuasai kampus. Ini lah alat atau wasilah untuk memastikan masalah-masalah yang kita bangkitkan tadi dapat difikirkan oleh mereka yang benar-benar menggerakkan dakwah di kampus.” InsyaAllah kita mesti usahakan. Kesilapan kita memilih 14 Jan (Rabu) ini, akan menyebabkan naiknya pimpinan yang tidak layak dan setahun mereka berkuasa dan kita tinggalkan tempat ini dengan meletakkan mereka yang bermasalah sebagai pimpinan. Ingat, memilih pimpinan ada kaitan dengan dosa dan pahala, halal dan haram dan setiap tindakan sekecil zarrah pun akan dihisab di Yaumil Mahsyar. Hanya satu sahaja pandangan yang menyebut, pilihan raya melantik pemimpin tidak ada kaitan dengan dosa pahala iaitu pandangan Sheikh Najib Abdul Razak, tim.PM Malaysia. Itupun kalau antum mahu ambil.

Fak.Ushuluddin menjadi antara fakultas terakhir bersama Fak.Adab menjalankan pemilihan raya (PEMIRA) setelah beberapa fakultas lain selesai menjalankannya pada penghujung 2008 yang lalu. Kebimbangan agak terasa melihat Fak.Syariah dan Fak.Dakwah, gagal dikuasai. Hanya Fak.Tarbiyyah sahaja yang baru dimenangi oleh aktivis dakwah untuk memegang jawatan Gubernor Fakultas. Mudah-mudahan, kami berjaya mengekalkan kemenangan di Fak.Ushuluddin Rabu ini setelah berjaya dipegang tahun sebelumnya. Setelah selesai semua PEMIRA Fakultas, kami semua akan mengikuti PEMIRA untuk melantik Gubernor Badan Eksekutif Mahasiwa (BEMA). Syukur, kader-kader dakwah masih mendominasi BEMA di IAIN Ar-Raniry.

Perjuangan di bumi Malaysia


Alhamdulillah, kami sentiasa mengikuti perkembangan gerakan mahasiswa di Malaysia. Tarikh-tarikh PRK hampir kesemuanya dalam mingu-minggu terdekat ini. Di UM, 19 Jan, UKM, 15 Jan, UIA, 19 Jan, USM, 15 Jan, UTM, 13 Jan dan lain-lain. Tidak ada harapan lain yang dapat kami berikan melainkan agar kita sama-sama dapat meletakkan target besar supaya tahun 2009 menjadi tahun penting, gerakan dakwah kuasai kampus. Bukan sekadar soal kebajikan yang diketengahkan, tapi juga usaha membentuk golongan mahasiswa yang berilmu, tinggi akhlak Islamiyyah, siap menjadi barisan hadapan menghadapi sebarang isu-isu yang menerjah maruah ummah. Allahu Akbar!

Salam perjuangan.


Catatan: Gambar 1 - Dari kanan - Pembantu Dekan Fak.Ushuluddin (berucap), Sdr.Miswar (calon LDK), Ismu Redho (juru kempen LDK), Sdr.Zahrul (calon ke-2) dan juru kempennya.

Tiada ulasan: