Ahad, 18 Januari 2009

Mahasiswa Islam : Fahamilah Tugas Anda !!!

Bacalah sahabat-sahabatku sekalian apa yang diimpikan oleh Pres.Gamis kepada saya dan kalian disini:


Perkongsian Oleh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor on Ahad 18 Jan 2009

"Agak-agaknya, jika Sheikh Ahmad Yassin masih hidup pada zaman sekarang, apa yang akan beliau lakukan?". Persoalan ini menuntut jawapan yang tuntas. Sebatang tubuh yang kurus, lumpuh tidak mampu berjalan, ditolak ke mana-mana sahaja, namun suaranya didengari dan mampu memberikan inspirasi kepada para pejuang Hammas.

Mereka hidup untuk ma
ti. Saya teringat kalam al-Banna yang sangat mencuit hati dan menggetarkan perasaan. Beliau menyebut, kita seharusnya bersyukur kepada Allah kerana dilahirkan dalam sebuah negara yang jauh dari kecamuk peperangan. Namun mereka yang lahir dalam kecamuk peperangan lebih patut bersyukur berbanding kita kerana mereka berpeluang untuk syahid pada jalan Allah.

Pada 28 Jan ini, saya bersama Azlan akan ke Jogjakarta Insya Allah. Bukan tujuan melancong. Saya dan Azlan bertekad ke sana meskipun kami akan kehabisan wang semata-mata untuk bertemu dengan pimpinan Kesatuan
Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI) dan beberapa pimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Beberapa sahabat saya termasuklah saudara Rijalul Imam yang hanya saya kenali melalui tulisan saya telah bertanyakan kapankah saya ke sana. Saudara Amika telah menguruskan segalanya di sana dan saya tidak sabar untuk berpeluk-pelukan dengannya.

Antara tujuan saya ke sana ialah untuk menziarahi sahabat-sahabat seperjuangan di sana. Saya ingin sekali berbincang dengan mereka tentang apakah strategi yang boleh digembleng bersama dalam isu Ghazzah. Kedua, saya ingin sekali merendahkan diri saya ke haribaan ilmu dan maklumat dengan berusrah bersama mereka. Lupakan jawatan saya sebagai orang nombor satu Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) sebaliknya ingin sekali saya ke sana sebagai orang-orang biasa, berpura-pura biasa. Asalkan saya mendapat ilmu dan info sebanyaknya.

Saya juga bercadang untuk beretemu seramai mungkin ahli gerakan Islam KAMMI dan PKS di sana. Saya yakin, berziarah dan berukhuwah merupakan amalan mulia yang dituntut dalam sunnah. Malaikat Insya Allah akan mendoakan saya dan Azlan sepanjang perjalanan kami ke sana. Justeru, kami tidak pernah memikirkan tentang duit meskipun sampai sekarang kami berdua belum mempunyai pendapatan.

Keempat, saya berhajat mahu bertemu dengan kumpulan Soutul Harakah. Saudara Amika akan menguruskan semuanya. Tujuan saya bertemu dengan pihak mereka bukan sahaja mahu menjalinkan hubungan malah kami mahu menjemput mereka ke Malaysia untuk mengadakan konsert Ghazzah yang akan diadakan pada bulan Mac atau Mei akan datang.

Saya kemudiannya bercadang mahu ke Acheh dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya yang belajar di sana. Pelajar KIAS. Saya mehu menerangkan kepada mereka apa yang berlaku di Malaysia pada masa kini dan apa persediaan mereka sebelum pulang ke Malaysia. Saya tidak mahu mereka pulang dengan dada yang kosong dan hampas. Saya mahu sekali mereka menjadi generasi ulama muda yang mampu mengocak suasana perubahan dan mampu mengembalikan semula keizzahan institusi ulama di Malaysia. Saya mahu tekankan kepada mereka, jangan bercita-cita menjadi guru JQAF sebaliknya mereka mesti mempunyai matlamat yang jauh lebih jelas dan tampak.


Adik saya ada belajar di Trisakti di Jakarta dan seorang lagi di Malang. Tapi rasanya saya tidak sempat menziarahi mereka. Apa lagi kebetulan adik saya yang belajar di Malang akan pulang bercuti pada 24 Jan ini.

Saya amat bercita-cita akan saya dapat berbincang dengan KAMMI tentang penubuhan satu gerakan yang lebih berpadu di peringkat Nusantara. Bubuhlah apa sahaja nama sekalipun. Kesatuan Malaysia dengan Indonesia mesti dibina bermula zaman kami. Kami mesti membina jalinan ini seberapa segera, apatah lagi masa depan Malaysia dan Indonesia sekarang adalah hampir-hampir di tangan kami. Kemenangan gerakan Islam dalam PRK Kuala Terengganu merupakan alamat-alamat kemenangan gerakan Islam pada masa akan datang. Maka seharusnya kami harus bersedia seawal mungkin bagi menghadapi saat-saat ini. Saya tidak sabar-sabar menantikan kewujudan Malaysia Raya yang menghimpunkan rumpun Melayu Nusantara.

Saya juga dalam proses untuk mengadakan Usrah Rentas Jamaah. Hajat saya, mahu bertemu esok dengan Abang Helmi Presiden PKPIM bagi membincangkan perkara ini. Kemudian saya juga mahu berbincang untk mengadakan konvensyen antara Jamaah-jamaah Islam di Malaysia yang terdiri daripada Gamis, PKPIM, Karisma dan lain-lain bagi melihat kepincangan ummah di Malaysia dan membincangkan revolusi bertindak yang praktikal.

Fuh, banyak betul kerja Islam ini. Tidak terkejar saya dibuatnya. Apa lagi saya terpaksa menguruskan Himpunan Pro-M malam esok di UM. Sekarang pun saya terpaksa menguruskan empat lima tamrin hanya dalam masa bulan. Moga-moga Allah mudahkan urusan saya dan mengampuni dosa kita semua.


Dipetik dari http://dzulkhairi.blogspot.com/


Catatan penulis blog: Mudah-mudahan yang tidak faham menjadi faham dan yang faham bertambah faham apa yang diharapkan dari pimpinan tertinggi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). Kalau tak faham-faham, tanya pada yang faham. Jangan buat-buat faham dan jangan buat-buat tak faham.

Tiada ulasan: