[ Dalam artikel bertajuk ‘Siapa Bakal Pres dan Wakil Pres Indonesia ?’ , saya ada menyatakan mengenai sikap Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang mendukung calon no 2 iaitu SBY-Boedino. Saya berhasrat untuk mengkaji dan berdiskusi dengan beberapa teman-teman disini mengenai faktor-faktor PKS menyatakan dukungan kepada gandingan ini. Namun, sewajarnya, teman-teman pembaca perlu memahami dahulu sedikit sebanyak apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada partai-partai Islam di Indonesia termasuk PKS ]
Pengenalan Ringkas Partai-Partai Islam dan Berbasis Massa Islam di Indonesia
Kebanyakan partai-partai Islam atau yang berbasis massa Islam muncul pacsa-Reformasi 1998 iaitu tahun Suharto ditumbangkan oleh rakyat yang dipelopori oleh mahasiswa seluruh Indonesia. Namun ada juga partai-partai Islam ini yang telah wujud sebelum tahun itu lagi dengan nama yang lain dan selepas 1998 dilanjutkan semula dengan nama-nama atau pecahan-pecahan yang lain.
Dalam Pemilu 9 April lalu, partai-partai Islam berjaya juga mendapat peratusan suara walaupun sedikit. Berikut adalah peratusan bagi setiap partai Islam :
Bil | Nama Partai Islam | Peratus |
1 | Partai Keadilan Sejahtera (PKS) | 8.16 % |
2 | Partai Amanat Nasional (PAN) | 6.26 % |
3 | Partai Persatuan Pembagunan (PBB) | 5.24 % |
4 | Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) | 5.15 % |
5 | Partai Bulan Bintang (PBB) | 1.85 % |
6 | Partai Kebangkitan Nasional Ulama’ (PKNU) | 1.51 % |
7 | Partai Bintang Reformasi (PBR) | 1.08 % |
8 | Partai Matahari Bangsa (PMB) | 0.40 % |
9 | Partai Persatuan Nahdhatul Ummah Indonesia (PPNUI) | 0.14 % |
Catatan : Keputusan 10 partai yang mendapat peratus tertinggi dalam Pemilu 9 April lalu, rujuk disini : http://arruhuljadid86.blogspot.com/2009/05/08-julai-2009-pemilihan-umum-presiden.html Partai Islam yang termasuk dalam 10 senarai partai yang mendapat peratus tertinggi adalah PKS, PAN, PPP dan PKB.
Fenomena Partai-Partai Islam di Pemilu Pres dan wakil Pres 8 Julai ( Esok )
Partai Islam dimana-mana sahaja sering menggunakan istilah ‘strategi politik’ apabila berhadapan dengan ahli-ahli mereka yang mempersoalkan sesuatu tindakan pimpinan yang agak kurang sesuai atau agak jauh dari matlamat asal perjuangan mereka. Ini turut berlaku kepada partai-partai Islam di Indonesia termasuk PKS. Buktinya jelas, apabila saat ini PKS tidak mampu lagi berselindung bahawa mereka benar-benar terpecah kepada dua ‘kubu’. Maaf, saya tidak bermaksud untuk menyamakan fenomena yang berlaku dalam PKS saat ini sama seperti apa ‘keributan’ yang berlaku didalam PAS baru-baru ini.Tapi, jika diteliti, kejadiannya hampir sama.
Jika didalam PAS, munculnya (entah dari mana) istilah kubu ulama’ dan kubu professional dan setiap kubu ini ada penyokong dan pendokong kuat mereka. Di dalam PKS yang berlaku saat ini bukan isu perbzezaan dan pertentangan pendapat antara pimpinan tua dan pimpinan muda kerana rata-rata pimpinan PKS adalah orang-orang muda seperti Bapak Hidayat Nur Wahid dan Tifatul Sembiring (Pres.PKS). Namun yang berlaku saat ini adalah pertembungan antara golongan ‘awwalun’ yang masih setia dengan matlamat dan dasar perjuangan asal iaitu ideology parti adalah Islam dan mesti dipatuhi dengan baik dan kedua adalah golongan ‘akhirun’ iaitu pimpinan terkini yang dilihat mula mengamalkan dasar pragmatis dalam erti kata mahu cepat menang, matlamat telah menghalalkan cara dan seumpamanya.
Fenomena yang berlaku saat ini sudah agak merbahaya. Manakan tidak, insiden ‘mengasingkan’ mana-mana pimpinan yang tidak sehaluan jalan sudah mula berlaku. Akhirnya yang mengambil sikap ‘mufaraqah’ sebentar telah mula berlaku walaupun tidaklah sampai mereka membelot atau terus mengisytiharkan meninggalkan PKS. Namun,mereka masih setia menuggu adakah PKS mahu berubah segera kepada dasar dan jalan awal yang dirintis oleh ‘awwalun’ atau kekal dengan sikap sekarang yang makin bercelaru. Jika siap berubah, mereka ini sanggup teruskan bersama.
Antara Faktor 2 Firqah (pecahan) Berlaku Dalam PKS
Lihatlah dalam Pemilu Pres dan wakil Pres ini, walaupun PKS dan partai Islam lain mendapat peratusan yang kurang dari 20% dalam Pemilu 9 April lalu untuk melayakkan diri bertanding jawatan Pres dan wakil Pres hari esok,namun peraturan Pemilu di Indonesia membenarkan mana-mana partai membuat gabungan dan gandingan antara partai-partai lain agar cukup 20% dan layak bertanding. Sebagaimana SBY (Demokrat) bergandingan dengan Boediono, Mega-Prabwo dan Jusuf Kalla-Wiranto lakukan.
Tetapi, inilah fenomena yang berlaku kepada partai-partai Islam di Indonesia. Sepatutnya, jika benar-benar mereka mahukan Islam tertegak dan partai Islam digeruni oleh partai-partai secular, sewajarnya mereka melakukan gabungan antara beberapa partai Islam diatas dan jika digabungkan dan mereka sama-sama berbincang siapa calon Pres dan calon wakil Pres dari mereka, peratusan mereka mencapai 29.79 %. Sudah mencukupi untuk mereka meletakkan calon mereka kerana sudah melebihi 20% suara yang disyaratkan.
Inilah yang dikehendaki oleh beberapa pimpinan tertinggi didalam PKS sehingga akhirnya mereka ‘retak’ dengan pendekatan masing-masing. Dihadapan mereka telah terbayang jawatan Menteri, jawatan-jawatan penting dalam institusi Negara yang bakan pimpinan PKS dapatkan jika SBY-Boediono yang mereka dukung menang. Akhirnya, hilanglah izzah mereka sebagai partai Islam antara yang terkuat untuk menghadapi partai secular yang lain kerana masih sanggup ‘bergayut’ dengan Demokrat. Dikatakan bahawa ada beberapa perkara yang diminta oleh PKS kepada SBY-Boediono sehingga SBY menyatakan kesetujuan atas beberapa perkara tersebut dan akhirnya PKS sanggup mendukung mereka.
Sepatutnya partai Islam mampu bergabung dan harapan menang juga sangat berkemungkinan kerana ummah Islam memerlukan partai Islam untuk naik ke atas setelah melihat ancaman jika SBY atau Mega atau Jusuf Kalla yang naik. Jika kalah sekalipun, power mereka nantinya akan terserlah dan partai secular mula melihat akan ‘izzah’ partai-partai Islam dan kebersamaan antara mereka yang tidak boleh lagi dipandang ringan.
Berikut adalah partai-partai Islam dan calon yang mereka dukung dalam Pilpres esok:
Bil | Nama Partai Islam | Calon Yang Didokong |
1 | PKS | SBY-Boediono |
2 | PPP | SBY-Boediono |
3 | PBB | SBY-Boediono |
4 | PAN | SBY-Boediono |
5 | PKB | SBY-Boediono |
6 | PKNU | JK-Wiranto |
7 | PBR | JK-Wiranto |
8 | PPNUI | Mega-Prabowo |
Sangat menyedihkan apabila didalam PKS sendiri, kader-kadernya terpecah kepada 2 bahagian iaitu yang menyatakan dokongan pada SBY-Boediono, dan ada pula yang mendokong JK-Wiranto atas sebab jilbab isteri-isteri mereka kerana mereka tidak bersetuju dengan kebijakan PKS yang mendukung SBY. Begitulah yang terjadi kepada partai Islamlain dimana anggota-anggotanya juga ada yang menyokong calon lain yang bukan ketetapan pimpinan parti mereka kerana kecewa dengan keputusan-keputusan tersebut.
[ Perlu difahami bahawa kekecewaan ini bukanlah datang dari anggota PKS dibawah sahaja,bahkan termasuk pimpinan-pimpinan atasan mereka yang masih ‘istiqomah’ dengan matlamat asal perjuangan dan manhaj asal mereka. Maka, ini bukanlah masalah wala’ ahli atau tidak pada keputusan atas, namun diperingkat atas sendiri juga berbeza pandangan sangat ketara sebenarnya ]
Kritikan dan Kekecewaan
Jujurnya, sejak akhir-akhir ini saya yang sering membeli majalah Sabili agak sedikit terkejut dengan persembahan isi-isinya. Hampir 5 buah majalah Sabili yang terakhir ini sering sekali memaparkan judul-judul yang saya kira agak kontroversi seperti ‘Pasca Pilpres 2009-Politik Islam Sudah Mati’, Menegakkan Islam Melalui Parti Hanya Fatamorgana’, Menakar Sami’na wa Atho’na Kader Dakwah’, Partai Islam Abu Nawas Semua! Dan sebagainya.
Mengapa saya berhak terkejut ? Kerana majalah Sabili adalah antara majalah-majalah Islam di Indonesia yang digerakkan penulisan dan penerbitannya oleh ‘orang-orang’ PKS dari kader-kader dakwahnya. Isinya saya berminat kerana tidak Nampak berpihak kepada PKS atau pengisian-pengisian tentang PKS, tetapi umum dan terbuka dengan apa sahaja isu-isu yang melanda ummah. Namun, sejak akhir-akhir ini kelihatannya, kritikan Sabili kepada PKS semakin terserlah sehingga ianya diakui oleh penulis Sabili sendiri yang mengatakan bahawa mereka pernah ditegur oleh ‘beberapa pihak’yang tidak senang dengan paparan isi-isi mereka sejak akhir-akhir ini.
Ketika saya bertanya kepada seorang teman dari Indonesia tentang status Sabili sekarang, beliau tersenyum sambil berkata “bermakna orang-orang di Sabili ini pun mungkin yang kurang bersetuju dengan apa yang berlaku dan mereka mahukan pembaikan semula dilakukan segera”. Saya terdiam.
Kekecewaan terhadap partai Islam ini turut dizahirkan oleh Kiyai Haji Cholil Ridhwan yang merupakan Ketua Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) yang mengatakan partai-partai Islam telah knock out (KO) dan Ustaz Haji Fathuddin Jaafar, M.A , Direktor Spritual Learning Centre juga menyatakan kekecewaannya apabila melihat fenomena ini dengan mengatakan politik Islam di Indonesia telah mati. Bahkan Sabil kali ini memuatkan pengakuan beberapa individu penting didalam PKS yang mengaku mereka sebenarnya dipinggirkan kerana tindakan mereka yang tidak sehaluan dengan beberapa elit-elit dalam PKS ini.
[ Didalam PKS terdapat juga Majlis Syuranya yang disebut Dewan Syura dan diatasnya pula ada Dewan Syariah yang menjadi penasihat jika dilihat Dewan Syura telah berlaku penyimpangan.Kini beberapa individu didalam PKS telah mewujudkan Forum Kader Peduli (FKP) bertujuan mengembalikan semula partai ini pada khittah (rancangan/plan/jalan ) asalnya walaupun mungkin pertubuhan mereka ini akan dianggap memecahkan barisan jama’ah ]
Mudahan-mudahan kita dapat mengambil pengajaran atas apa yang berlaku dan PKS menyegerakan perubahan agar keyakinan umat Islam yang sudah hilang tidak terus hilang selamanya.InsyaAllah.
Sumber rujukan : Sabili, Indonesia – terbitan : 16 Juli 2009/23 Rajab 1430.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan