Rabu, 22 Julai 2009

Kami Akan Keluar 40 Hari..

Jam 4 petang tadi, kami semua baru selesai mengikuti program yang dikenali sebagai Latihan Pembekalan / Coaching Mahasiswa Peserta KPM IAIN Ar-Raniry Dari Malaysia Semester Genap Tahun Akademik 2008 / 2009. Program yang bermula tanggal 21 sehingga 22 Julai 2009 ini adalah berupa taklimat, persediaan, soal jawab dan sebagainya antara kami dengan pihak panitia pelaksana Kuliah Pengabdian Masyarakat (KPM).


KPM sebelum tahun 2000 dikenali sebagai KKN iaitu Kuliah Kerja Nyata. Ianya berupa program yang wajib diikuti oleh mahasiswa tahun akhir di sini dan mempunyai penilaian tertentu bagi memastikan kami berjaya menghabiskan pengajian di sini dengan mengikuti Wisuda (Konvokesyen). Kebiasaannya, KPM dibuat dengan beberapa kali gelombang. Gelombang pertama akan dihantar ke mana-mana desa di bawah mana-mana kecamatan. Selesai gelombang pertama, diikuti pula dengan gelombang kedua yang dihantar pula ke mana-mana tempat lain dan seterusnya.


Alhamdulillah, atas pertimbangan pihak IAIN, kami mahasiswa Malaysia di Fakultas Ushuluddin yang kesemuanya berada di Jurusan Tafsir & Hadith, seramai 39 orang iaitu 14 Muslimin dan 25 Muslimat diberi peluang mengikuti KPM khas untuk mahasiswa Malaysia sahaja. Disebabkan jadual KPM kami ini berada diluar jadual asal, maka perbelanjaan ke program ini menggunakan biaya sendiri sepenuhnya. Jika tidak, ia akan dibantu oleh pemerintah Aceh kerana KPM ini juga adalah kerjasama antara IAIN dan pihak pemerintah dalam rangka melakukan pemberdayaan kepada masyarakat. InsyaAllah, KPM kami akan bermula tanggal 24 Julai sehingga 7 Sept 2009 iaitu 45 hari dan sempat berada di bulan Ramadhan selama 16 hari.


Untuk kali ini, kami akan dihantar ke 9 buah desa yang terletak di Kecamatan Montasik, Aceh Besar, Nanggroe Aceh Darussalam. Jarak dari tempat kami tinggal iaitu Kec. Darussalam, Aceh Besar ke Kecamatan Montasik sekitar 30 minit sahaja. Setiap kumpulan bagi sebuah desa akan dipecahkan sekitar 4 – 5 orang iaitu 2 Muslimin dan 3 Muslimat.


Kami tidak turun ke desa-desa ini dengan membawa wang, tetapi membawa ilmu-ilmu dan bakti yang boleh dicurahkan kepada masyarakat di Aceh Darussalam. Antaranya dengan menganjurkan kelas-kelas pengajian anak-anak, kuliah untuk ibu bapa di masjid, menjadi imam, berkhutbah Jumaat, menggerakkan aktiviti-aktiviti anak muda, berkongsi kepakaran dalam sesuatu bidang seperti bersukan, membuat makanan dari Malaysia, hasil tangan dan sebagainya. Selain dari pemergian kami dalam rangka mengajar dan mendidik ummah, kami juga turun untuk menjadi pelajar kepada masyarakat. Bermakna, kami akan mengenal kehidupan rakyat Aceh, budaya mereka, aktivitas harian mereka dan sebagainya.


Sesampainya disana tanggal 24 Julai ini, kami akan diserahkan kepada Pak Kechik ( Tok Penghulu ) untuk diletakkan dimana-mana tempat samada di masjid atau rumah keluarga angkat khasnya mahasiswi. Kami juga didalam program 2 hari yang berakhir petang tadi di maklumkan mengenai kondisi masyarakat di Montasik, pekerjaan penduduknya, tahap kemajuaannya dan lain-lain. Difahamkan, Kecamatan Montasik adalah central (pusat) kepada Jama’ah Tabligh di Nanggroe Aceh Darussalam. Setiap tahun di kecamatan ini, masjidnya akan dipenuhi oleh Jama’ah Tabligh dari Malaysia, Sri Lanka, Thailand dan lain-lain.


Dalam tempoh ini, kami perlu merencanakan dan membincangkan dengan beberapa individu penting di desa-desa tersebut seperti Pak Kechik, Teungku Imam (Imam) dan sebagainya apa yang bisa kami bantu dan laksanakan di desa tersebut. Setiap aktivitas harian kami perlu dicatat dan pulangnya nanti perlu dibuat dalam bentu laporan bertulis yang akan dilihat oleh pihak IAIN.


InsyaAllah, mudah-mudahan ini menjadi medan latihan yang terbaik bagi kami yang turun dengan identitas mahasiswa bahkan lebih dari itu sebagai da’ie dan duta penyelamat ummah. Tema ‘Dari Kampus ke Lapangan Ummah’ mudahan-mudahan dapat direalisasikan dalam tempoh ini.