Khamis, 30 April 2009

Jangan harapkan apa-apa..

Di dalam sebuah filem yang dilakonkan oleh Stallone ( Rambo ) yang saya lupa tajuknya, ketika dipenjara, dia bertemu dengan seorang tahanan yang akhirnya menjad teman rapatnya dipenjara. Sewaktu sama-sama bertukang di bahagian bengkel kereta di belakang sel penjara, sambil merungut mengenai sikap pegawai-pegawai penjara yang melatih tahanan menjadi gangster dan memukul tahanan-tahanan lain, Rambo menyebut pada temannya itu “ berhati-hati..jangan percaya pada sesiapa..”dalam penjara ini.


Sebenarnya, kita sering mengharapkan kalau boleh setiap hari, jam bahkan detik, hidup ini sentiasa dalam keadaan best. Maksudnya, senang, tiada yang marah, semua orang suka, selalu dipuji, selalu dirai, selalu disapa, selalu dihargai dan sejenisnya. Tapi, percayalah..semua harapan itu hanya kerana kita orang yang berfikir pendek, untuk jangka waktu yang terbatas sahaja. Jika kita beriman pada Allah dan percaya pada KitabNya, pasti kita tidak bisa menafikan ayat Allah : berapa banyak perkara yang kamu suka, padahal ia buruk bagi kamu, dan berapa banyak perkara yang kamu benci, padahal ini baik bagi kamu. Dan Allah mengetahui, padahal kamu tidak mengetahui. ( Al-Baqarah )


Ketika anda mengharapkan agar senantiasa dipuji dalam hidup, dihargai, disantuni dan seumpamanya, apakah anda mengharapkan semuanya itu datang dari jiwa yang tulus, jujur dan ikhlas atau sekadar menyedapkan mata dan telinga anda ? Jika, anda mahu pujian dan semua itu hanya sekadar untuk menyeronokkan penglihatan anda, maka sebenarnya anda telah berjaya meraihnya, bahkan berlebihan.


Namun, suka saya menyoal anda, mampukah anda memberi jaminan, orang atau sesiapa sahaja yang memuji dan menyeronokkan anda secara berhadapan itu, dibelakang anda atau tanpa pengetahuan anda, dia juga menghargai anda, memuji anda, memuliakan anda, menceritakan kebaikan anda ? Jika, anda tidak mampu meyakinkan diri tentang ini, saran saya, berhati-hatilah.


Keduanya, apakah anda mampu memberi jaminan, seseorang individu yang jarang atau mungkin tidak pernah memuji anda, menghargai anda, meraikan anda, senang dengan anda secara berhadapan, maka confirm dibelakang anda, dia juga tidak senang dengan anda ? Jika anda tidak juga mampu membuktikan, maka pesan saya, jangan silap penilaian terhadap mereka.


Berapa ramai, orang yang terhampir bersama anda, sebenarnya mereka bukanlah bersama anda. Sebuah pepatah Arab menyebut : “berapa ramai orang yang berada disekeliling anda, padahal mereka tidak bersama anda dan berapa ramai orang yang jauh dari anda, padahal mereka bersama anda”.


Kadang-kadang, kita menganggap orang yang tidak bersama kita, sebagai musuh. Namun, tanpa kita sedari, dari kejauhan, mereka memerhatikan kita, menilai kita, menghormati kita, senang dengan kita, bahkan pada satu-satu waktu, mereka bisa menjadi pendokong yang paling gagah untuk kita. Bezanya, mereka tidak menzahirkan dihadapan kita penghargaan, senyuman dan apa-apa keseronokan yang kita harapkan. Lalu, kita tenang dan merasa bahagia dengan orang-orang terhampir yang sering memuji kita, melemparkan senyuman dan menzahirkan keseronokan ketika bersama kita, tanpa kita sedari kadangkala, mereka bukanlah bersama dengan kita bahkan menggigit-gigit kita tanpa disedari.


Kerana itu, jangan putuskan dan membina tembok dengan mad’u atau orang yang zahirnya tidak menghampiri anda, kerana mungkin, mereka orang yang sangat ikhlas menghargai anda dan jangan juga anda terperangkap dengan senyuman dan gelak ketawa serta gurauan senda orang-orang yang didekat anda, kerana anda tidak mengetahui segala yang dilakukan untuk menyeronokkan anda itu, keluarnya dari mana.


( Maaf, saya tidak mengajak anda menjadi jahat dalam berfikir sehingga sentiasa su’uz zhon membabi buta. Su’uz zhon dilarang dalam Islam, namun keberhatian-hatian ( hazar ), diarah oleh Islam )


Biarkan dan jangan impikan semua keseronokan itu hadir dihadapan anda. Orang yang memuji dihadapan belum tentu menceritakan kebaikan anda dibelakang dan orang yang mengkritik anda dihadapan, belum tentu menghina anda dbelakang. Jika kebaikan anda disembunyikan, namun satu kesalahan anda diwar-war dan didiskusikan, cukuplah ! Masih ada ruang untuk anda mencari 1000 teman yang lebih berakhlak. Penghargaan dibelakang anda mungkin lebih tulus dari jarak hadapan. Bukan juga saya mengajar anda “jangan hargai dan puji teman dihadapan, namun kadangkala itu lebih baik.


Kajilah pandangan saya ini. Boleh diterima dan boleh ditolak.

1 ulasan:

aza ni berkata...

Assalamulaikum
Pendapat anda memang bernas.