Dulu saya pernah menulis, bahawa kesalahan atau dosa-dosa silam jangan lagi dibuka untuk perkongsian dengan sesiapa jika tiada apa-apa kepentingan atau keperluan. Cukuplah, kita adukan kepada Allah mudah-mudahan diampunkan. Hari ini saya telah menyaksikan impak buruk yang berlaku kepada beberapa teman yang dahulunya ‘budak-budak pening’ dan kini berada di medan perjungan akibat mendedah kisah-kisah silam tidak memilih tempat dan pendengar. Bahkan, saya juga salah seorang yang turut merasai serpihan-serpihan tidak baik ini akibat kegopohan berkongsi ‘kenakalan’ masa lalu.
( pesan saya : ketika masih awal mengenali seseorang yang sangat baik dan ramah, jangan sampai kebaikan dan keramahan itu membuat anda terlena sehingga segala-galanya mahu dikongsi )
Maksud saya ialah, hari ini jika kita memberanikan diri, bahkan penuh dengan berhati-hati menyusun kata untuk menasihati teman-teman sendiri yang kelihatan agak jauh melencong, akhirnya lain yang kita hadapi.
Pertama, kita yang menegur tidak dianggap ingin menyelamatkannya, tapi dilabel ‘suka sangat mencari salah orang’. Bahkan keluar ucapan ‘yang korang sibuk apahal ? aku bukan menyusahkan korang pun”.
Kedua, apabila kita menegur dengan niat untuk sama-sama memperbaiki, akhirnya keluar ucapan “ eleh..macam lah kau tu baik sangat..kau dulu pun macam aku jugak..jangan cakap banyak lah..cek diri sendiri dulu..baru nak tegur orang”.
Inilah kemalangan yang sangat ngeri yang berlaku. Ia lebih ngeri dari kemalangan di jalanraya kerana orang yang kemalangan dijalanraya boleh diubati dalam masa sebentar sahaja, namun otak yang mengalami kemalangan dan tersumbat dengan 'fikrah' “ serupa sahaja orang lain macam aku…ada salah belaka” ini mengambil masa yang lama untuk diubati.
Ya, memang saya berhak untuk mengatakan peliknya saya kerana jarang kita meletakkan tanggapan bahawa si penasihat tujuannya ingin menyelamat kita. Bahkan kita mengungkit pula kesalahan silamnya sebagai boomerang untuk dilantunkan semula ke muka si penasihat itu. Mengapa tidak disebut sahaja, Umar dulu pun jahat, Hamzah pun jahat, Khalid Al-Walid dulu pun jahat ? Itu jika mahu diungkit.
Baiklah, tugas kita sebagai penasihat, lengkap melengkapi dan sama-sama berkongsi, silakan dijalankan terus. Allah lebih mengetahui matlamat tugas kita.
Adapun bagi individu yang masih keras kepala tidak mahu berubah dengan pelbagai hujjah-hujjah untuk merendah-rendahkan orang yang memberi nasihat semata-mata ingin mempertahankan maksiatnya, hanya saya mampu berpesan “ anda tunggulah sahaja sahabat anda yang ma’sum datang menjadi penasihat atau nantikan sahaja malaikat yang turun sebagai penasihat kerana mereka tidak melakukan maksiat “.
Jika tidak turun-turun juga, senantiasalah anda hidup dalam munkar tanpa ada penasihat-penasihat yang ma’sum yang anda nantikan. Jangan sampai, malaikat Zabaniah yang datang merenggut ubun-ubun dikulit kepala anda yang lembut itu dengan kasar dan keras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan