Sejak mula mengasah bakat dengan berlatih menulis di blog ini, entah berapa kali saya terpaksa mengedit isi kandungan artikel, mengedit tajuk, menukar tajuk bahkan sampai ada artikel yang terpaksa saya padamkan semula dari tatapan pembaca. Semuanya gara-gara kelemahan saya yang ada tersilap dalam penyampaian fakta, mengikut kehendak pembaca dan cuba untuk memahami kepelbagaian latarbelakang pembaca. Mungkin CIA, FBI atau Mossad pun ada yang singgah di teratak buruk ini.
Menulis tidak sama dengan berbicara, bicara tidak sama dengan menulis. Ada orang yang mampu menyusun kata dengan baik saat berbicara, namun ketika menulis, merapu tak tentu hala dan ada orang yang ketika menulis, Subhanallah, bahasanya, balaghahnya, kiasannya, kata-kata hikmahnya dan seumpamanya bisa menusuk kalbu pembaca bahkan memberi kesan untuk merubah karakteristik manusia, namun ketika berbicara, mikrofon yang asalnya kering pun, mengalir air jernih dari peluh tangannya yang menggeletar ketakutan.
Inilah kelebihan Allah kepada pelbagai manusia. Maka, bersyukurlah kerana anda juga mempunyai kelebihan yang Allah berikan sesuai dengan diri anda. Jadi, jangan marah dan mengeluh jika ada beberapa kelebihan yang tidak ada pada anda. Jika semua orang pandai berceramah, siapa pula yang mahu menjadi pendengar ?
Alhamdulillah, kini saya sedang belajar lagi dan siap menerima teguran dari sesiapa sahaja bagi membaiki penulisan-penulisan saya ini baik dari sudut tajuk, isi atau apa yang berkaitan. Namun, jangan sesekali ada yang mengarahkan saya “ akhi, anta berhentilah menulis ! “ orang ini memang nak kena sekeh..:)
Perlu saya ingatkan, janganlah anda takut untuk menulis, bertanya dan memberikan apa sahaja idea. Jika dibilik kuliah, anda berhak bangun membantah kenyataan pensyarah anda ( dengan cara beradab dan menghormatinya dalam lingkungan sebagai seorang guru ) jika pandangannya kelihatan jauh dari keputusan Islam, atau tidak sebagaimana yang pernah anda pelajari sebelumnya, kerana pensyarah bukan Nabi yang tahu segala perkara. Jangan takut tersalah ketika memberikan idea, atau menyoal.
Fahamilah bahawa, salah tidak bererti berdosa. Namun, dosa itu sudah pasti kesalahan. Ketika anda menjawab soalan peperiksaan di dewan, lalu tersalah jawapan anda, berdosakah anda? Apatah lagi anda berada dalam ruang lingkup manusia yang sedang belajar. Tetapi, mengulang kesalahan yang pertama pada kali kedua, adalah kerja gila.
Jika anda tidak pernah tersalah, itu mustahil. Jika anda ditegur kerana tersalah, itu rahmat kerana anda menjadi manusia yang matang dan hidup dengan kedewasaan, apabila sentiasa belajar dari kesilapan. Maka, jangan takut berbuat silap apatah lagi saat anda belajar.
“ Lebih baik orang yang tersilap ketika bertanya atau berbicara daripada orang yang tidak bertanya dan berbicara kerana takut tersilap “. Itulah pesan bapak dosen ku, Bapak Fauzi namanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan