Khamis, 30 April 2009

Jangan harapkan apa-apa..

Di dalam sebuah filem yang dilakonkan oleh Stallone ( Rambo ) yang saya lupa tajuknya, ketika dipenjara, dia bertemu dengan seorang tahanan yang akhirnya menjad teman rapatnya dipenjara. Sewaktu sama-sama bertukang di bahagian bengkel kereta di belakang sel penjara, sambil merungut mengenai sikap pegawai-pegawai penjara yang melatih tahanan menjadi gangster dan memukul tahanan-tahanan lain, Rambo menyebut pada temannya itu “ berhati-hati..jangan percaya pada sesiapa..”dalam penjara ini.


Sebenarnya, kita sering mengharapkan kalau boleh setiap hari, jam bahkan detik, hidup ini sentiasa dalam keadaan best. Maksudnya, senang, tiada yang marah, semua orang suka, selalu dipuji, selalu dirai, selalu disapa, selalu dihargai dan sejenisnya. Tapi, percayalah..semua harapan itu hanya kerana kita orang yang berfikir pendek, untuk jangka waktu yang terbatas sahaja. Jika kita beriman pada Allah dan percaya pada KitabNya, pasti kita tidak bisa menafikan ayat Allah : berapa banyak perkara yang kamu suka, padahal ia buruk bagi kamu, dan berapa banyak perkara yang kamu benci, padahal ini baik bagi kamu. Dan Allah mengetahui, padahal kamu tidak mengetahui. ( Al-Baqarah )


Ketika anda mengharapkan agar senantiasa dipuji dalam hidup, dihargai, disantuni dan seumpamanya, apakah anda mengharapkan semuanya itu datang dari jiwa yang tulus, jujur dan ikhlas atau sekadar menyedapkan mata dan telinga anda ? Jika, anda mahu pujian dan semua itu hanya sekadar untuk menyeronokkan penglihatan anda, maka sebenarnya anda telah berjaya meraihnya, bahkan berlebihan.


Namun, suka saya menyoal anda, mampukah anda memberi jaminan, orang atau sesiapa sahaja yang memuji dan menyeronokkan anda secara berhadapan itu, dibelakang anda atau tanpa pengetahuan anda, dia juga menghargai anda, memuji anda, memuliakan anda, menceritakan kebaikan anda ? Jika, anda tidak mampu meyakinkan diri tentang ini, saran saya, berhati-hatilah.


Keduanya, apakah anda mampu memberi jaminan, seseorang individu yang jarang atau mungkin tidak pernah memuji anda, menghargai anda, meraikan anda, senang dengan anda secara berhadapan, maka confirm dibelakang anda, dia juga tidak senang dengan anda ? Jika anda tidak juga mampu membuktikan, maka pesan saya, jangan silap penilaian terhadap mereka.


Berapa ramai, orang yang terhampir bersama anda, sebenarnya mereka bukanlah bersama anda. Sebuah pepatah Arab menyebut : “berapa ramai orang yang berada disekeliling anda, padahal mereka tidak bersama anda dan berapa ramai orang yang jauh dari anda, padahal mereka bersama anda”.


Kadang-kadang, kita menganggap orang yang tidak bersama kita, sebagai musuh. Namun, tanpa kita sedari, dari kejauhan, mereka memerhatikan kita, menilai kita, menghormati kita, senang dengan kita, bahkan pada satu-satu waktu, mereka bisa menjadi pendokong yang paling gagah untuk kita. Bezanya, mereka tidak menzahirkan dihadapan kita penghargaan, senyuman dan apa-apa keseronokan yang kita harapkan. Lalu, kita tenang dan merasa bahagia dengan orang-orang terhampir yang sering memuji kita, melemparkan senyuman dan menzahirkan keseronokan ketika bersama kita, tanpa kita sedari kadangkala, mereka bukanlah bersama dengan kita bahkan menggigit-gigit kita tanpa disedari.


Kerana itu, jangan putuskan dan membina tembok dengan mad’u atau orang yang zahirnya tidak menghampiri anda, kerana mungkin, mereka orang yang sangat ikhlas menghargai anda dan jangan juga anda terperangkap dengan senyuman dan gelak ketawa serta gurauan senda orang-orang yang didekat anda, kerana anda tidak mengetahui segala yang dilakukan untuk menyeronokkan anda itu, keluarnya dari mana.


( Maaf, saya tidak mengajak anda menjadi jahat dalam berfikir sehingga sentiasa su’uz zhon membabi buta. Su’uz zhon dilarang dalam Islam, namun keberhatian-hatian ( hazar ), diarah oleh Islam )


Biarkan dan jangan impikan semua keseronokan itu hadir dihadapan anda. Orang yang memuji dihadapan belum tentu menceritakan kebaikan anda dibelakang dan orang yang mengkritik anda dihadapan, belum tentu menghina anda dbelakang. Jika kebaikan anda disembunyikan, namun satu kesalahan anda diwar-war dan didiskusikan, cukuplah ! Masih ada ruang untuk anda mencari 1000 teman yang lebih berakhlak. Penghargaan dibelakang anda mungkin lebih tulus dari jarak hadapan. Bukan juga saya mengajar anda “jangan hargai dan puji teman dihadapan, namun kadangkala itu lebih baik.


Kajilah pandangan saya ini. Boleh diterima dan boleh ditolak.

Selasa, 28 April 2009

Mudahkanlah..Allah akan permudahkan anda.

Kelmarin saya dan teman-teman dapat ilmu baru apabila kali pertama menghadiri kelas tambahan bahasa Arab. Disebabkan kali pertama, kitab pun masih tidak ada, maka pertemuan itu hanya menjadi medan berta’aruf. Tapi, bukan cerita-cerita kosong yang tidak layak didengar.


Ust Nasihin asal dari Jawa Barat, melalui system pengajian tradisional ( pesantren ) dan juga rasmi. Pernah di pesantren terkenal di Bogor, Jawa Barat sehinggalah ke Madinah. Kini, diberi rezeki mampu membuka maktabah bahasa Arab sendiri dan kelas-kelas tambahan. Sekarang umurnya 29.


Begini ceritanya : “ ana ini orang susah juga..berapa kali hijrah tempat pengajian..pernah makan sepotong roti pada satu hari yang harganya 500rp (20sen) sebab tiada wang..pernah kerja berniaga di kaki lima, pernah jadi tukang cuci dikedai makan..malang, 1 bulan gaji tidak dibayar..tinggal..sambung pengajian..dapat tawaran ke LIPIA ( pusat pengajian terkenal di Jakarta)..dapat tawaran jadi TKI ( Tenaga Kerja Indonesia ) di Madinah..pulang..tiada apa-apa pekerjaan..wang tiada..” panjang ceritanya yang penuh liku-liku yang menyedihkan itu. Semua kami khusyu’ mendengar. Menarik dengan pengalaman orang.


“ ana pernah letak target..mesti menikah pada umur 25..tapi..ketika pulang..umur ana sudah 26..aduss..gimana nih ? udah lebih dari 25..akhirnya, ana menggunakan adik perempuan ana yang masih belajar untuk mencari seorang akhawat yang mempunyai criteria yang ana gariskan..maka, dialah yang mencarinya..dilihat dari sudut kefahaman agamanya, ibadahnya, akhlaknya..kesihatannya dan lain-lain..akhirnya, Alhamdulillah ketemu juga..adik ana memberi alamat dan lantas ana terus ke rumahnya keseorangan sahaja untuk bertemu bapanya..”


“ bapa, saya mahu jadikan anak bapa sebagai isteri..gimana pak? “ bapanya memanggil anak perempuannya yang ketika itu baru berumur 20 tahun..saya sudah 26..dihadapannya, saya menyebut “ ginilah, saya bagi kamu tempoh 3 minggu..untuk istikharah dan buat keputusan..kalau terima, maklum segera dan jika tidak maklum juga..mudah saya cari orang lain..” tersenyum kami semua. “ Alhamdulillah, dia terima…dan ana hanya ada masa 3 bulan sahaja untuk segera menikah..kerja tidak ada lagi..taqdir Allah..ana dapat kerja bantu orang meniaga dikedai buku..hasil wang 3 bulan itulah saya gunakan untuk buat nikah..kurang dari satu minggu..terus saya bawa dia ke Aceh..”


“ ketika mula berkahwin..itulah motor yang saya beli” ust mengisyaratkan kepada motornya yang baru dijual kepada seorang teman kami beberapa bulan lalu. Iaitu motor Honda 60..” itulah yang ana pakai dalam tempoh 1 tahun..awalnya, ana hanya beli sebuah kompur ( dapur gas kecil ) dan kuali..jadi, cukuplah untuk kami memasak..dan ana beli 2 pinggan sahaja..ana tiada wang waktu itu..Alhamdulillah, sedikit demi sedikit Allah bantu..sekarang sudah mampu beli motor baru..mampu usahakan maktabah ini..” katanya. Waduhhh..sedih amat kami mendengarnya..


Kata Ust :

“ elakkan nikah pada umur antum yang terlalu tua. Umur sekitar 25 sudah bagus. 29, 30 itu pun sudah lewat. Kenapa ust? Kami bertanya. “ bayangkan jika umur antum 30, maka anak pertama nanti ketika berumur 20-an dan mahu belajar tinggi, saat itu sudah berapa umur kamu ? 50 kan ? maka, umur yang tua itu sudah menyebabkan antum tidak mampu lagi bekerja keras…bayangkan pula jika anak itu dua, tiga…


jangan ambil wanita yang letak mahar yang mahal-mahal..kenapa ust? Kami menyoal lagi. “ wanita yang meletakkan mahar yang terlalu tinggi..itu hanya membebankan si lelaki..dan kadang-kadang timbul perasaan sombong pada wanita dengan nilai tinggi yang diletakkan itu..padahal, dalam Islam, mahar yang murah bukan bereti itulah harga diri si wanita ( maksudnya murah harga dirinya )…yang terlalu mahal itu, sepertinya mahu menjual anak pula..jadi, jangan persulitkan soal nikah…mudahkanlah..mahar ana ketika itu ( 3 tahun lalu ) hanya 2 gram (emas)..murah sahaja...jamuan (kenduri ) ana kecil sahaja..habis 1juta Rp ( sekitar RM 300 )..jadi, antum carilah akhawat yang memudahkan antum…” Baik Ust !


“ awalnya dulu..sengaja ana menguji dia (zaujah) dengan persoalan tentang poligami..ana tanya “apa pandangan kamu pada lelaki yang berpoligami ? Dia menjawab “ baik, tiada masalah..itu sunnah..” Alhamdulillah, pertanyaan itu sengaja ana ajukan..Kenapa ust ? “ Baiklah, jika dia menolak atau mengkritik, maka inilah tahap penerimaannya pada agama..maksudnya, ada perkara di dalam agama yang diterimai dan ada yang tidak..mana mungkin wanita yang tidak faham agama mahu mendidik anak-anak kita dengan agama juga..jadi, jika dia menolak ( poligami ) , ya udah..antum cari orang lain aja..bukanlah maksud ana mau poligami..tapi, mau tahu penerimaanya pada agama..tapi, kalau ada rezeki, InsyaAllah..ambil aja “ gurau Ust dengan kami.


" carilah wanita yang lebih muda..elakkan yang sebaya atau lebih tua. " kenapa Ust ? " biasanya dari sudut psikologi, jika wanita itu tua dari antum, dia akan terasa lebih hebat sedikit..tidak mahu dibimbing..payah mendengar nasihat..berbanding yang lebih muda..dia akan rasa dia perlu dibimbing..apatah lagi tua dari antum dan mempunyai pengalaman yang hebat, pengajian yang hebat, kerja..dan lain-lain." " Ust, bagaimana kalau dia tua dari kita, tapi dia orang yang faham agama, berakhlak..? " Oooo..itu nggak apa-apa, jika dia benar-benar faham agama, tidak timbul rasa mahu meninggi diri dengan umur yang berbeza atau pengalaman yang hebat,,dia terasa dia perlu dibimbing juga."


“ kenapa ramai orang rasa sulit untuk menikah ? sebabnya mereka sering disusahkan dengan berfikir masalah kewangan..tiada lagi kerjaan tetap..tidak habis belajar lagi dan sebagainya..padahal, berapa ramai orang yang menikah diwaktu belajar ( kampus ), bisa aja habiskan pengajian dengan baik..bahkan lebih awal dari orang yang mahu menunggu nikah selepas selesai kuliah..kalau kamu mahu nunggu kerjaan tetap, apa antum bisa yakini dapat kerjaan tetap, maka terus bisa nikah? Ngggak jugak kan..yakinlah pada Allah. Bukan bermakna tidak bekerja untuk mencari kewangan nikah...tapi, jangan sampai perkara-perkara itu jadi factor kesukaran menyegerakan nikah..”


“ kita merasai pelbagai masalah..sebab belum nikah..ketika itu, kita hanya fikir diri sendiri..padahal, nikahlah tempat sama-sama bisa berkongsi..berbincang..bahkan Nabi bersabda : Nikahlah, kamu akan menjadi kaya..maksudnya, pelbagai barakah dan bantuan Allah akan turun dengan hasil nikah..jadinya, jangan rumitkan..siapa yang bersungguh-sungguh mahu mengikut sunnah, menjaga nafsu…insyaAllah , Allah yang akan bantu urusan nikahnya”..


“ ana berdoa pada Allah agar mudahkan urusan nikah..Alhamdulillah, makbul..nikah ana tidak berlaku percampuran lelaki dan wanita..murah maharnya..senang sekali..isteri orang yang cukup memahami..”Jadi, antum segera ya, bisa kaya nanti “ kata Ust sambil tersenyum..” Sabar-sabar.


Pulang ke rumah, barulah saya terfikir..mungkinkah ini idea musuh Islam. Ajar pemuda-pemuda Islam dengan fikiran nikah itu susah. Perlu ada pekerjaan tetap dulu, habis belajar dulu ( agak2 bila habis?), bagi wang cukup untuk kegunaan selepas nikah nanti dan sebagainya. Akhirnya, hasil penelitian saya, mungkin masalah couple, zina, berseronok-seronok dengan wanita baik di kampus atau luarnya, salah satunya berpunca dari fahaman rumitnya mahu menikah. Perlu ada itu dan ini dulu. ( Maaf, bukan saya maksudkan nikahlah di waktu kuliah, itu tergantung atas individu ). Lebih baik menikah daripada tidak menikah tapi hidup sudah macam orang menikah !


Ok Ust, terima kasih ya atas peringatan-peringatan mahal ini. InsyaAllah, saya akan contohi apa yang termampu.

Isnin, 27 April 2009

Menunggu Malaikat menjadi penasihat ?

Dulu saya pernah menulis, bahawa kesalahan atau dosa-dosa silam jangan lagi dibuka untuk perkongsian dengan sesiapa jika tiada apa-apa kepentingan atau keperluan. Cukuplah, kita adukan kepada Allah mudah-mudahan diampunkan. Hari ini saya telah menyaksikan impak buruk yang berlaku kepada beberapa teman yang dahulunya ‘budak-budak pening’ dan kini berada di medan perjungan akibat mendedah kisah-kisah silam tidak memilih tempat dan pendengar. Bahkan, saya juga salah seorang yang turut merasai serpihan-serpihan tidak baik ini akibat kegopohan berkongsi ‘kenakalan’ masa lalu.


( pesan saya : ketika masih awal mengenali seseorang yang sangat baik dan ramah, jangan sampai kebaikan dan keramahan itu membuat anda terlena sehingga segala-galanya mahu dikongsi )


Maksud saya ialah, hari ini jika kita memberanikan diri, bahkan penuh dengan berhati-hati menyusun kata untuk menasihati teman-teman sendiri yang kelihatan agak jauh melencong, akhirnya lain yang kita hadapi.


Pertama, kita yang menegur tidak dianggap ingin menyelamatkannya, tapi dilabel ‘suka sangat mencari salah orang’. Bahkan keluar ucapan ‘yang korang sibuk apahal ? aku bukan menyusahkan korang pun”.


Kedua, apabila kita menegur dengan niat untuk sama-sama memperbaiki, akhirnya keluar ucapan “ eleh..macam lah kau tu baik sangat..kau dulu pun macam aku jugak..jangan cakap banyak lah..cek diri sendiri dulu..baru nak tegur orang”.


Inilah kemalangan yang sangat ngeri yang berlaku. Ia lebih ngeri dari kemalangan di jalanraya kerana orang yang kemalangan dijalanraya boleh diubati dalam masa sebentar sahaja, namun otak yang mengalami kemalangan dan tersumbat dengan 'fikrah' “ serupa sahaja orang lain macam aku…ada salah belaka” ini mengambil masa yang lama untuk diubati.


Ya, memang saya berhak untuk mengatakan peliknya saya kerana jarang kita meletakkan tanggapan bahawa si penasihat tujuannya ingin menyelamat kita. Bahkan kita mengungkit pula kesalahan silamnya sebagai boomerang untuk dilantunkan semula ke muka si penasihat itu. Mengapa tidak disebut sahaja, Umar dulu pun jahat, Hamzah pun jahat, Khalid Al-Walid dulu pun jahat ? Itu jika mahu diungkit.


Baiklah, tugas kita sebagai penasihat, lengkap melengkapi dan sama-sama berkongsi, silakan dijalankan terus. Allah lebih mengetahui matlamat tugas kita.


Adapun bagi individu yang masih keras kepala tidak mahu berubah dengan pelbagai hujjah-hujjah untuk merendah-rendahkan orang yang memberi nasihat semata-mata ingin mempertahankan maksiatnya, hanya saya mampu berpesan “ anda tunggulah sahaja sahabat anda yang ma’sum datang menjadi penasihat atau nantikan sahaja malaikat yang turun sebagai penasihat kerana mereka tidak melakukan maksiat “.


Jika tidak turun-turun juga, senantiasalah anda hidup dalam munkar tanpa ada penasihat-penasihat yang ma’sum yang anda nantikan. Jangan sampai, malaikat Zabaniah yang datang merenggut ubun-ubun dikulit kepala anda yang lembut itu dengan kasar dan keras.

Jumaat, 24 April 2009

Penjelasan Ust Nik Abduh

baca artikel bagus diblog ust nik abduh : http://nikabduh.wordpress.com ....penjelasan yang menarik bagi menjelaskan kekeliruan dan keraguan kepada kepimpinan ulama'. Artikel bertajuk 'kerja-kerja bodoh dalam pas'.

Khamis, 23 April 2009

Tarbiah PAS lembab, teruk !!!

“ PAS teruk system tarbiah…takde tarbiah..tarbiah hanya peringkat pimpinan…ahli tidak ditarbiah…solat jama’ah orang Pas pun bermasalah…ukhwah hampas…akhlak buruk…usrah takde…tamrin takde…qiyamullail jama’ie tak buat…mukhayyam pun tak buat…pimpinan tak thiqoh..ilmu kurang…pelapis takde…PAS MEMANG TERUK TARBIAH !!! “ “ Macam mana bercita-cita nak perintah Malaysia ?


“ Tengok jama’ah ni, bagus ! ada system tarbiah, tersusun, baik, sempurna, ahli baik-baik, orang-orangnya rajin membaca buku, cerdik pandai, akhlak bagus-bagus…”


Begitulah lebih kurang suara di balik pintu gerbang kampus menjerit marah. Ya, yakinlah bahawa mereka yang menginap di bangunan batu yang indah, dilengkapi aircond , hampir saban hari mengenal LCD dan laptop, setiap hari bertemu buku-buku hebat dan pelbagai pemikiran-pemikiran hebat itu, sebenarnya mereka adalah pasukan tentera yang cukup hebat dan tentera yang luar biasa yang mahukan ketuanya diluar lebih gagah dari mereka.


Namun, saya yang mungkin salah seorang generasi yang lembab, jahil tarbiah dan tidak melihat ke depan dengan lebih luas, ingin menjerit juga dengan lebih kuat sebagai pengumuman kepada orang-orang cerdik di bangunan-bangunan batu di tengah kota di mana-mana sahaja :


“ PAS adalah sebuah gerakan Islam ( Harakah Islamiah ) yang memegang dua tugasan besar iaitu dakwah dan siasah. Asalnya, ia bukan parti politik. Namun, atas kerana menyuarakan soal Negara, undang-undang, kehakiman, jinayah dan yang bersangkutan dengannya memerlukan kepada kekuasaan, maka PAS mendaftar menjadi parti politik. Islam tetap menjadi dasarnya. Maka ia disebut parti politik Islam. Namun, bagi sesiapa yang merasakan jalan untuk memulihkan Negara yang bersistemkan jahiliyah mustahil dapat dilakukan melalui politik yang alatnya demokrasi, silakan sahaja diikuti keyakinan anda itu kerana anda mempunyai ulama’ yang memberikan pandangan dan PAS juga mempunyai ulama’ yang diguna pakai ijtihad atau fatwanya “.


“ PAS tumbuh hasil kesedaran ulama’ yang berpendidikan di luar Negara dan alim ulama’ di dalam Negara juga. Ia tidak datang dari cetusan idea Pak Mat di warong kopi atau Mak Cik Minah penjual karipap “.


“ PAS adalah gerakan Islam. Sifat gerakan Islam adalah keanggotaan yang terbuka tanpa pengelasan-pengelasan tertentu. Namun, duduk tinggi dan rendah khasnya di dalam urusan kepimpinan gerakan Islam, itu sudah pasti memerlukan penelitian kepada tahap-tahap atau criteria khusus agar pergerakannya nanti menjadi lancar kerana dipandu oleh orang yang faham apa itu gerakan Islam dan apa itu peranannya .“


“ Maka, di dalam PAS ada ulama’, intelektual atau ahli akademik, pensyarah, guru, pegawai kerajaan, polis, tentera, artis, pemandu lori, pengutip botol dan tin, penjual surat khabar, penjual kicap dan budu, nelayan, tukang pomen, penembak kijang dan rusa, pengutip kulat dan cendawan, penanam pisang dan jagung, pak cik yang berhenti sekolah ketika darjah 6, mak cik yang sempat masuk Tadika kemudian berhenti kerana tiada duit, budak muda lepak simpang jalan dan segala macam “


“ Bagi golongan yang cerdik pandai, alim, mungkin mereka memahami bahawa intima’ bersama PAS bukan sekadar untuk melawan UMNO yang rakus dan zalim memerintah Negara, tetapi lebih dari itu, intima’ ini adalah tuntutan Allah dan RasulNya agar bersama didalam perjuangan Islam. Namun, anda dan saya tidak boleh menafikan bahawa di dalam PAS juga adanya mereka yang intima’ kerana ingin melawan UMNO semata-mata, marahkan minyak naik, marahkan ISA, marahkn Najib, bencikan TOL dan seumpamanya. Mereka ini adalah orang yang memang tidak tahu atau tidak mengambil tahu apa sebenarnya fungsi gerakan Islam. Ya, itu kelemahan semua pihak dan perlu diperbaiki oleh orang-orang yang sedar. Tetapi, jangan anda nafikan juga, membenci kezaliman UMNO yang mengekalkan ISA, mendera rakyat dengan TOL yang tidak henti-henti..itu juga sebahagian dari tuntutan yang perlu diperjuangkan oleh Gerakan Islam “


“ Jika anda mengatakan bahawa PAS tiada tarbiah, itu jelas pembohongan. Jika anda mengatakan system tarbiah PAS lemah, itu benar dan jika anda mengatakan, tarbiah tidak sampai kepada keseluruhan ahli dibawah, itu juga benar. Namun, mengatakan PAS tidak mementingkan tarbiah dan tiada usaha menyampaikan tarbiah sehingga ke akar umbi ( ahli bawahan ), anda tersilap perhitungan.”


Saya juga mencadangkan anda yang cerdik pandai dan lumat serta ‘faqihan jiddan’ di dalam tarbiah di kampus agar bermesyuarat dan lakukan acara ‘SWOT’ yang hebat yang anda kuasai pelaksanaanya, bincangkan satu plan tarbiah yang sangat sistematik kepada PAS yang boleh sampai kepada ahli bawahan, senaraikan naqib-naqib pemuda di setiap cawangan yang boleh membawa silibus usrah anda, rencanakan program qyamullail yang praktis untuk setiap kawasan, jangan lupa program tamrin, mukhayyam, symposium nuqaba’ dan semua yang berunsur tarbiah. Setelah siap, anda ajukan kepada PAS di peringkat negeri atau terus ke unit tarbiah Pusat “.


“ Saya berkeyakinan, masih ada ruang untuk anda menyalurkan idea. Terlalu banyak pintu untuk anda masuk jika pintu pertama ditutup atau ada tuan rumah yang malas menjemput anda masuk. Keduanya, bila masuk rumah orang, perlulah fahami tuan rumah tersebut. Jika meluncur laju, mungkin kena halau dengan tuan rumah. Sebab, tuan rumah itu tidak semua ditarbiah di kampus macam anda “


“ Jangan menilai dan membuat keputusan tentang PAS semahu-mahunya, sekiranya anda hanya pemerhati jarak jauh sahaja yang tidak bersama menyelami PAS. Jika anda tidak turun ke masyarakat kampung, jangan anda membuat andaian-andaian seperti tarbiah anda di kampus. Jangan anda baru mengenal seorang dua pimpinan PAS dan anda melakukan program keluarga angkat ke tengah masyarakat, anda sudah mengaku “aku sudah bersama masyarakat”. Aku kenal dah PAS”


“ Jika anda seorang pengkritik tarbiah PAS yang baik, tetapi pulang ke kampung, muka anda pun tidak nampak solat jama’ah di masjid, ketua cawangan dan YDP Kawasan anda pun anda tidak kenal, cukuplah berteori dari gerbang kampus. Jika pimpinan Pemuda ditempat anda pun anda tidak kenal, kemudian anda pulang ke kampung terperap dirumah menunggu orang PAS mencari anda atau kad jemputan rasmi dipos ke rumah, buanglah jauh-jauh mimpi anda untuk perkasakan tarbiah PAS.”


“ jika anda berharap orang PAS yang mula mengenali anda dan bukan anda yang memperkenalkan diri, anda juga sebenarnya sedang melakukan kesilapan. Apakah anda ingat dengan mendiamkan diri di rumah atau ke program PAS bersembunyi-sembunyi, orang PAS kenal anda pimpinan mahasiswa di kampus? Atau anda beranggapan ketua cawangan anda selalu buka website gerakan mahasiswa kampus dan kenal anda ? atau anda merasakan bahawa memperkenalkan diri sebagai mahasiswa, ikut usrah, naqib usrah dan segala-galanya di kampus, menyebabkan penyakit riya’ yang perlu dihindari ? Sohih, anda tidak faham apa itu riya’ dan bila boleh memperkenalkan diri “


Akhir , jika semua masalah ini pun masih membaluti diri anda, akurlah dengan kelebihan dan kekurangan PAS. Kelebihan, gagahkan lagi, kekurangan, tambah baik segera sedaya upaya anda dalam lingkungan kemampuan anda sebagai mahasiswa. Jika tidak, jangan hanya pandai mengusulkan teori itu dan ini, pemikiran orang itu dan orang ini.


Salam Perjuangan

Selasa, 21 April 2009

Inilah pendirianku...

Sejak mula mengasah bakat dengan berlatih menulis di blog ini, entah berapa kali saya terpaksa mengedit isi kandungan artikel, mengedit tajuk, menukar tajuk bahkan sampai ada artikel yang terpaksa saya padamkan semula dari tatapan pembaca. Semuanya gara-gara kelemahan saya yang ada tersilap dalam penyampaian fakta, mengikut kehendak pembaca dan cuba untuk memahami kepelbagaian latarbelakang pembaca. Mungkin CIA, FBI atau Mossad pun ada yang singgah di teratak buruk ini.


Menulis tidak sama dengan berbicara, bicara tidak sama dengan menulis. Ada orang yang mampu menyusun kata dengan baik saat berbicara, namun ketika menulis, merapu tak tentu hala dan ada orang yang ketika menulis, Subhanallah, bahasanya, balaghahnya, kiasannya, kata-kata hikmahnya dan seumpamanya bisa menusuk kalbu pembaca bahkan memberi kesan untuk merubah karakteristik manusia, namun ketika berbicara, mikrofon yang asalnya kering pun, mengalir air jernih dari peluh tangannya yang menggeletar ketakutan.


Inilah kelebihan Allah kepada pelbagai manusia. Maka, bersyukurlah kerana anda juga mempunyai kelebihan yang Allah berikan sesuai dengan diri anda. Jadi, jangan marah dan mengeluh jika ada beberapa kelebihan yang tidak ada pada anda. Jika semua orang pandai berceramah, siapa pula yang mahu menjadi pendengar ?


Alhamdulillah, kini saya sedang belajar lagi dan siap menerima teguran dari sesiapa sahaja bagi membaiki penulisan-penulisan saya ini baik dari sudut tajuk, isi atau apa yang berkaitan. Namun, jangan sesekali ada yang mengarahkan saya “ akhi, anta berhentilah menulis ! “ orang ini memang nak kena sekeh..:)


Perlu saya ingatkan, janganlah anda takut untuk menulis, bertanya dan memberikan apa sahaja idea. Jika dibilik kuliah, anda berhak bangun membantah kenyataan pensyarah anda ( dengan cara beradab dan menghormatinya dalam lingkungan sebagai seorang guru ) jika pandangannya kelihatan jauh dari keputusan Islam, atau tidak sebagaimana yang pernah anda pelajari sebelumnya, kerana pensyarah bukan Nabi yang tahu segala perkara. Jangan takut tersalah ketika memberikan idea, atau menyoal.


Fahamilah bahawa, salah tidak bererti berdosa. Namun, dosa itu sudah pasti kesalahan. Ketika anda menjawab soalan peperiksaan di dewan, lalu tersalah jawapan anda, berdosakah anda? Apatah lagi anda berada dalam ruang lingkup manusia yang sedang belajar. Tetapi, mengulang kesalahan yang pertama pada kali kedua, adalah kerja gila.


Jika anda tidak pernah tersalah, itu mustahil. Jika anda ditegur kerana tersalah, itu rahmat kerana anda menjadi manusia yang matang dan hidup dengan kedewasaan, apabila sentiasa belajar dari kesilapan. Maka, jangan takut berbuat silap apatah lagi saat anda belajar.


“ Lebih baik orang yang tersilap ketika bertanya atau berbicara daripada orang yang tidak bertanya dan berbicara kerana takut tersilap “. Itulah pesan bapak dosen ku, Bapak Fauzi namanya.

Isnin, 20 April 2009

Bumi sedang memberontak !

Perubahan cuaca yang semakin memanas melanda Aceh sudah melebihi seminggu. Saya tidak tahu ditempat lain bagaimana. Di mana-mana sahaja bertemu teman-teman, hampir kesemuanya mengeluh mengadu kepanasan. Tidaklah sampai terbakar. Tapi, agak lain dari kebiasaan. Saya pun tak berkesempatan untuk menghubungi pengkaji cuaca untuk menanyakan suhu terkini Aceh :)


Angin yang bertiup pun terasa kehangatan. Hujan sudah lama tidak turun. Kalau yang biasa ke kuliah di waktu pagi dengan berjaket, tidak berminat lagi memakainya. Pengajian di bilik kuliah agak tidak selesa ditambah dengan bilangan mahasiswa disesebuah kelas yang agak ramai, menambahkan suhu kepanasan. Tidur malam berpeluh-peluh. Ruang tamu di manfaatkan semaksima mungkin di kala malam menjelang. Selamat tinggal bilik.


Selepas selesai kuliah sebentar tadi, sempat kami berbual dengan seorang abang yang pengajian di satu Fakultas. Masrul Aidy namanya, orang Aceh. Katanya “ selepas Tsunami, cuaca di Aceh agak tidak menentu lagi. Pokok-pokok besar di tepi laut sudah musnah. Ditambah pula dengan sikap segelintir anggota masyarakat sekarang yang menebang hutan sesuka hati…manfaat peribadi, mudarat ramai..” keluhnya.


Apakah kondisi akhir-akhir dunia hari ini yang lintang pukang, cuaca yang tidak seperti kebiasaan, musim-musim yang sudah terbalik, hujan lebat bukan pada bulannya lagi, musim panas bukan pada musimnya lagi dan sebaginya, ada kaitan dengan peringatan Nabi s.a.w mengenai suasana-suasana menjelang Qiamah? Wallahua’lam.


Antara khabar dari Nabi s.a.w bahawa cuaca akan menjadi panas, hujan menjadi panas, gempa bumi, runtuhan dan seumpamanya. Apakah bumi sedang memberontak geram dan marah melihat perilaku manusia yang sudah tunggang terbalik, maka bumi dan alam lainnya pun bertindak ‘protes’ dengan menunggang balikkan musim-musim ini ? yang pasti, mereka juga makhluk Allah yang siap bertindak mengikut aturan Allah.


Berdoalah agar ujian-ujian kecil ini menambah kesabaran untuk mengharap keampunan dari Allah, yang mungkin ianya penghapusan dosa dari Allah pada kita dan lindungilah dari Allah, agar ini bukan azab atau muqaddimah azab bagi kita.

Ahad, 19 April 2009

Mari memahami..

Sebenarnya, beberapa waktu dahulu, saya pernah berhasrat untuk ambil sedikit masa membuat kajian mengenai bahasa-bahasa SMS. Mungkin kerja ini kelihatan membuang masa atau bahasa kasarnya ‘kerja bodoh’. Nggak apa-apa sih…bicara aja apa-apa pun..saya tahu tujuannya.


Ketika anda menerima SMS dari seseorang, maka perhatikan dan amati berkali-kali setiap kalimat yang sampai tersebut. Kadang-kadang tanpa kita sedari, mesej tersebut mempunyai maksud yang tersendiri. Contohnya : Jika seorang teman menghantar sebuah SMS mengajak kita keluar makan, lalu kita menolak dan menjawab “maaf, lain kali je lah..ana sibuk” , maka dia pun membalas “ok lah..takpelah..lain kali je..ana gi makan sorang-sorang je lah…” Ketahuilah bahasa itu adalah bahasa kekecewaan. Jika kita menghantar sebuah mesej pada seseorang, lalu dibalasnya dengan bahasa yang diakhiri dengan tanda “ !!!!!!! “ , maka ketahuilah, ia menunjukkan ketegasan atau kemarahan.


Bahkan, kadangkala, jika kita bergurau melalui SMS atau YM sekalipun, symbol-simbol yang disediakan seperti senyum, marah, sinis, ketawa dan sebagainya perlu digunakan sebaik mungkin dan jangan tersilap. Anda bergurau, tapi tidak meletakkan tanda smile , akhirnya penerima memikirkan maksud lain. Jika mesej-mesej sebegini ditujukan kepada sahabat-sahabat yang sudah memahami anda memang suka bergurau, tidaklah bermasalah. Masalahnya kepada individu yang anda baru kenali atau orang yang lebih tua dari anda dan sebagainya.


Jadi, selesai menaip mesej, baca dulu berulang kali sebelum disend dan fikirkan baik-baik samada si penerima boleh memahami bahasa anda atau tidak. Jika berbentuk makluman program, fikirkan orang memahami atau tidak. Jika berbentuk arahan, fikirkan penerima boleh memahami atau tidak arahan tersebut. Walaupun namanya short message system, janganlah anda sesuka hati menshortkan semua jenis mesej sehinggan tidak sampai maksud atau dimaksudkan dengan pemahan lain.


Pesan saya, berhati-hatilah dan fikirkan dahulu siapa penerima mesej anda. Maksudnya , orang yang macam mana. Sengaja saya lontarkan artikel pendek ini sebab saya salah seorang yang pernah menjadi mangsa kesilapan dalam memahami mesej. Jadi, kalau anda tidak pandai nak meringkas bahasa anda dengan baik, penuhkan kredit tel anda setiap masa dan terus tel sahaja..:)


Tapi, untuk si penerima, anda pun faham-fahamlah bila sebut SMS atau YM, mestilah ringkas. Kalau panjang-panjang, itu namanya karangan.


Emmm..nantikan kita buat kajian tentang bahasa-bahasa SMS dan YM ok tak..

Sabtu, 18 April 2009

9 Hari Selepas Pemilu : Kedudukan Peratusan Setiap Partai

Komisi Pemilihan Umum ( KPU ) sehingga hari ini telah mengeluarkan kedudukan sementara peratusan yang berjaya diraih oleh setiap partai-partai Nasional di Indonesia tidak termasuk Aceh. Berikut adalah kedudukan terkini :


Nasional:

1) Partai Hati Nurani Rakyat 3.6 %

2) Partai Karya Peduli Bangsa (PKPB) 1.6 %

3) Partai Pengusaha dan Pekerja Indonesia (PPPI) 0.7 %

4) Partai Peduli Rakyat Nasional (PPRN) 1.1 %

5) Partai Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA) 4.4 %

6) Partai Barisan Nasional. 0.7 %

7) Partai Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKP) 0.9 %

8) Partai Keadilan Sejahtera (PKS) 8.2 %

9) Partai Amanat Nasional (PAN) 6.3 %

10) Partai Perjuangan Indonesia Baru (PIB) 0.3 %

11) Partai Kedaulatan. 0.4 %

12) Partai Persatuan Daerah (PPD) 0.6 %

13) Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) 5.1 %

14) Partai Pemuda Indonesia (PPI) 0.3 %

15) Partai Nasional Indonesia Marhaenisme (PNI) 0.3 %

16) Partai Demokrasi Pembaruan (PDP) 0.9 %

17) Partai Karya Perjuangan 0.2 %

18) Partai Matahari Bangsa (PMB) 0.4 %

19) Partai Penegak Demokrasi Indonesia (PDI) 0.2 %

20) Partai Demokrasi Kebangsaan (PDK) 0.6 %

21) Partai Republik Nusantara (RepublikanN) 0.5 %

22) Partai Pelopor 0.3 %

23) Partai Golongan Karya (GOLKAR) 14.6 %

24) Partai Persatuan Pembangunan (PPP) 5.4 %

25) Partai Damai Sejahtera (PDS) 1.1 %

26) Partai Nasional Benteng Kerakyatan Indonesia (PNBK) 0.5 %

27) Partai Bulan Bintang (PBB) 1.8 %

28) Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) 14.3 %

29) Partai Bintang Reformasi (PBR) 1.1 %

30) Partai Patriot 0.4 %

31) Partai Demokrat 20.3 %

32) Partai Kasih Demokrasi Indonesia (PKD) 0.3 %

33) Partai Indonesia Sejahtera (PIS) 0.3 %

34) Partai Kebangkitan Nasional Ulama’ (PKNU) 1.4 %

41) Partai Merdeka 0.1 %

42) Partai Persatuan Nahdlatul Ummah Indonesia 0.1 %

43) Partai Sarikat Indonesia (PSI) 0.1 %

44) Partai Buruh 0.2 %


Jumlah rakyat yang keluar memilih diperkirakan sebanyak 11, 157,216 orang daripada 51 juta yang layak memilih dalam Pemilu kali ini. Jutaan yang lain yang tidak keluar memilih adalah kerana nama mereka didapati tiada dalam senarai pemilih dan selain itu, ditambah lagi dengan Golongan Putih (Golput) iaitu mereka yang tidak mahu melibatkan diri dalam pemilihan atas pelbagai hujjah dan alasan yang tersendiri.


Di Aceh, lebih 80% berjaya dikuasai oleh Partai Aceh (PA) @ Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Hanya 6 buah sahaja partai local (tempatan) yang berada di Aceh. Namun, seluruh partai Nasional meletakkan calon-calon mereka di Aceh.


Catatan: 10 partai yang diwarnakan adalah partai yang mendapat peratusan tertinggi dari perolehan suara diseluruh kawasan di Indonesia.

Jumaat, 17 April 2009

Pensyariatan Menutup Aurat: Penghalang Tugasan?

Gambar-gambar polis wanita Iran saat menjalani latihan. Benarkah Islam mendiskriminasikan wanita ? pakaian menutup aurat penghalang pekerjaan ? alangkah indahnya syariat Islam jika kita ( Ahlus Sunnah wal Jama’ah ) mengamalkannya…

Jadi, pramugari didalam Air Asia yang tidak memanjat dinding kapal terbang atau berjalan sambil memegang pistol tidak ada alasan untuk membuka lurah dada dan peha. Kasihan kalian, sami’na wa atho’na pada bos yang tidak berminat dengan Islam…

Semuanya gara-gara kepala tersumbat dengan doktrin kuffar yang bernama kemodenan dan ‘up todate’…


Daripada:

Sertai Segera : Pendaftaran Baru ILHAM Pahang

Assalamualaikum Wbt.

ILHAM atau nama sebenarnya Institut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah adalah merupakan satu institut yang menawarkan program pengajian Islam yang hanya dikhususkan kepada ahli PAS [Parti Islam Semalaysia] sahaja.

ILHAM kini menawarkan pakej kursus yang lebih mantap dan sesuai dengan tuntutan perjuangan bagi menyediakan barisan pejuang dakwah yang bersedia menghadapi cabaran dan kepayahan perjuangan masa kini.

Melalui alternatif pendidikan islam secara formal ini, maka ILHAM telah menawarkan program pengajian Diploma Kepimpinan Islam (DKI) untuk setiap ahli PAS yang mana berminat untuk mahu menyertainya.

Tempoh pengajiannya adalah selama satu tahun (3 semester) dan yuran pengajiannya pula adalah sebanyak RM 250 per satu semester (beserta dengan modul).

Sebanyak 12 modul yang akan dipelajari sepanjang satu tahun pengajian ini. Pada setiap semester, terdapat 4 modul yang akan dipelajari. Antara modul modul yang akan dipejari adalah seperti berikut :
Semester 1

  • Pengantar Pengajian Al Quran
  • Aqidah Islamiyyah
  • Politik Islam
  • Sejarah Gerakan Islam Di Malaysia (i)

Semester 2

  • Pengatar Pengajian Hadith
  • Fiqh Islami
  • Ekonomi Islam
  • Sejarah Gerakan Islam (ii)

Semester 3

  • Fiqh Jihad
  • Pengajian Pengurusan Islam
  • Fiqh Dakwah
  • Sirah Nabawiyyah

Maka dengan itu, ILHAM Cawangan Negeri Pahang sekali lagi akan membuka pendaftaran baru bagi kemasukan sesi ke 2 yang akan bermula pada Bulan Jun 2009 ini.

Akademi Ar Rasyidin http://arrasyidin09.blogspot.com/, Kuantan Pahang selaku pengajur dengan secara sukacitanya mengalukan-alukan kepada seluruh ahli PAS yang memenuhi kretiria-kretiria dan syarat-syarat tertentu agar dapat mengikuti program pengajian ini.

Sesungguhnya, melalui ILHAM ini, ia sekurang kurangnya mampu untuk melahirkan pejuang yang kental disamping melahirkan ahli yang memahami gerakan islam dan PAS.

Sepertimana ucapan pengarah ILHAM Pusat, al Fadhil Ustaz Idris Ahmad semasa merasmikan ILHAM cawangan Negeri Perak baru baru ini, beliau berkata :

" Dengan adanya ILHAM dan program pengajian Diploma Kepimpinan Islam ini, kita mahu melahirkan peribadi pejuang dan pendakwah yang mantap dari sudut sahsiah, ilmu, disiplin dan menjadi teladan yang baik kepada masyarakat. "

Kepada sesiapa yang berminat dan untuk keterangan yg lebih lanjut, anda boleh menghubungi kami di talian 09-5688182 (Pejabat Akademi Ar Rasyidin) atau boleh menghubungi terus kepada saya di talian 014 - 5008769 (En Nik Hafizul)

Sekian Terima Kasih.

"Perjuangan Ini Adalah Berasaskan Ilmu &
Tiada Alasan Bagi Kita Untuk Menuntut Ilmu"

Allahu Akbar!

Copy dari : http://nikhafizul.blogspot.com/