Jumaat, 30 April 2010

Jangan Bising di Kampus?

Setelah menyaksikan beberapa orang aktivis mahasiswa yang lesu, tidak bermaya dan terus hilang entah ke mana saat berada di tengah masyarakat serta sunyi sepi tanpa khabar, akhirnya muncullah sebuah statement “jangan bersemangat sangat di kampus..nanti keluar tak terlibat dengan perjuangan…jangan aktif sangat di kampus, nanti pulang tak senyap pula” dan lain-lain yang seumpamanya. Berkali-kali saya memikirkan kebenaran statement yang sering saya dan anda dengar ini. Izinkan saya menanggapi kenyataan ini:


Pertama: Benarkah ramai aktivis mahasiswa yang aktif dan bersemangat di kampus, akhirnya pulang hilang entah kemana baik disibukkan dengan pekerjaan masing-masing atau sengaja menyibukkan diri dengan urusan lain sampai tidak terlibat lagi dengan gerakan Islam? Jika dikatakan ada segelintir yang terjadi sedemikian, saya masih bersetuju. Jika digambarkan seolah-olah tersangat ramai, saya masih perlu mengkajinya. Soalnya, berapa ramai aktivis mahasiswa yang benar-benar aktif dan bekerja keras di kampus dalam urusan dakwah, akhirnya pulang dan terus memberikan komitmen yang sangat baik,mengapa tidak dibicarakan?


Kedua: Sesuatu hal yang sangat wajar bagi seorang yang aktif dan bersemangat dikampus kerana kampus adalah dunia mahasiswa yang jauh berbeza dengan di luar kampus yang dipenuhi pelbagai latarbelakang masyarakat. Sekurang-kurangnya, mereka yang sentiasa aktif, bersemangat, bersuara lantang dan bekerja keras di kampus, akan sentiasa berada dalam situasi berhati-hati, sedar diri dan sering berdoa agar Allah tidak menggelincirkan atau menjauhkan diri mereka dari perjuangan Islam apabila keluar dari kampus. Ia akan sentiasa berada dalam ‘zon’ kebimbangan setiap waktu dan berusaha mempertahankan kata-kata serta amalnya di kampus.


Sudah pasti berbeza dengan mereka yang mengambil sikap berdiam diri dikampus. Golongan ini merasakan seolah-olah tidak ada ujian kepada mereka saat keluar nanti. Bagi mereka, orang yang ‘cakap banyak’ dalam kampus, ini yang banyak diuji oleh Allah. Akhirnya mereka terus terlena dalam zon yang dirasakan aman tanpa pernah berdoa kepada Allah agar mereka akan bersama perjuangan Islam saat keluar kampus.


Ketiga: Bayangkan bagi mereka yang mengambil pendekatan ‘wait and see’ di dalam kampus, hanya menjadi ‘pengamat mahasiswa’, ke hulu ke hilir di dalam kampus, menghabiskan masa di kafe dan disibukkan dengan urusan lain tanpa mempedulikan langsung kewajipan berperanan terhadap gerak kerja dakwah di kampus, kerana bimbang aktif di kampus, keluar nanti tidak terlibat pula, apakah individu sebegini boleh memberi jaminan bahawa dirinya akan pasti terlibat dengan perjuangan saat keluar nanti? Baik, anda fikirkan betapa ramai individu yang anda katakan bersemangat di kampus, akhirnya keluar hilang entah ke mana itu, jika mereka yang aktif itu pun teruji dengan sedemikian, apa anda boleh menjamin anda yang langsung tidak berperanan di kampus, bahkan tidak tahu menahu langsung tentang keorganisasian, pulang nanti akan bersama organisasi Islam?


Keempat: Fikirkan sejenak, mereka yang aktif dan berperanan baik di kampus, lalu pulang dan teruji dengan hal-hal sedemikian (hilang entah ke mana), bagi mereka telah ada ‘saham’ untuk Islam dalam tempoh beberapa tahun berada di kampus. Bagaimana pula dengan diri anda yang penuh di kepala 1001 alasan untuk tidak berperanan di kampus, akhirnya keluar nanti diuji pula oleh Allah dengan tidak terlibat soal perjuangan, lalu mati dalam keadaan tidak ada ‘saham’ yang telah anda berikan untuk Islam?


Kesimpulannya, elakkan memberikan idea bengong agar tidak aktif di kampus kerana bimbang diuji nanti saat keluar kampus. Yang benar adalah terus berperanan dengan baik dalam gerak kerja Islam di kampus dan dalam masa yang sama terus berdoa kepada Allah agar dipelihara iman dan istiqamah serta ditetapkan hati dan pendirian sehingga menghadap Allah. Yakin akan istiqamah itu satu kemuliaan, namun keyakinan tanpa pergantungan dengan Allah, itu sebuah kejahilan. Yang pasti, tiada siapa yang mengetahui hal yang berlaku di esok hari. Maka bergantunglah dengan Allah saat memikul amanah perjuangan. Wallahua’lam.


Foto 1: Dari kanan – Ust Ilias Ahmad (Peg.Pembangunan & Kegiatan Pelajar Kias), Al-Akh Azzar Ismail (YDP PKPMI-CA), saya, Al-Akh Mujiburrahman Saleh (mahasiswa Kias asal Aceh-kini di Jordan) dan duduk adalah Teungku Muhibbuddin Waly (ulama’ Aceh – baru tiba di Aceh dari Sabah) Ogos 2009.


Foto 2: Rombongan mahasiswa Kias kali ke-2 yang tiba di Aceh pada bulan Ogos 2009 diiringi oleh Ust Ilias Ahmad. Kali pertama pada 25 Ogos 2008.Turut serta mahasiswa dari Marsah, Johor.

2 ulasan:

محمد حذوان بن حميدان berkata...

perkongsian yg amt berguna..pd masa kini begitu rmai mahasiswa yg hanya berperanann sbagai ajk 'wait&c',moga kite digolongkan dlm glongan yg sntiase mncri kredhaan dn brjuang dlm agamaNYA..amin

wasiat ARB berkata...

Terima kasih dan tahniah kerana pandangan saudara mungkin akan memberi sedikit panduan kepada para aktivis kampus.. Saya kira mungkin saudara boleh ulas sedikit tentang keterlibatan dalam dunia dakwah begitu luas dan kita boleh sewenang-wenangnya melabel seseorang itu tidak meneruskan perjuangan di luar, jika dia sekadar tidak berada dalam jamaah/posisi/organisasi yang sama dengan kita