Ahad, 18 April 2010

Pilihanraya Kampus: Bagaimana Kita Memahaminya?

Berlabuhlah sudah pemilihanraya (Pemira) di semua fakultas di tempat kami belajar yang meliputi Fakultas Ushuluddin, Syariah, Dakwah, Adab dan Tarbiah (Pendidikan) pada tarikh-tarikh yang berbeza. Kini, semua mahasiswa yang peka mengenai urusan dan keperluan memegang tampuk kepimpinan mahasiswa, menghitung hari untuk menuju ke Pemira Kampus. Dalam hal ini, suka saya berkongsi dengan teman-teman mahasiswa beberapa perkara menyangkut perkara yang asas dalam urusan memilih pimpinan mahasiswa.


Pertama: Memegang urusan kepimpinan adalah sebuah hal yang sangat penting. Ini kerana segala aturan, sikap atau dasar-dasar di sesebuah tempat, negara, kampus dan sebagainya diatur oleh kepimpinan dan merekalah pelaksananya. Jika orang yang baik pemahamannya terhadap keperluan memimpin ummah dan tanggungjawab terhadap mereka, maka ke situlah arah kepimpinan yang mereka bawa dan sebaliknya. Maka, Islam adalah amanah pertama di atas bahu kita melebihi hal-hal yang lain.


Kedua: Jika ada yang memandang enteng atau bermudah-mudah dalam soal memilih kepimpinan, maka ketahuilah bahawa Rasulullah lah antara insan yang bertungkus lumus inginkan kepimpinan. Bahkan salah satu dari tujuan Hijrah adalah kerana Madinah merupakan ruang yang terbaik untuk Baginda berada di tampuk kepimpinan dalam menyebarkan Islam. di Makkah hanya sebatas berteori mengenai haramnya zina, arak, judi dan lain-lain. Namun, Baginda tidak dapat bertindak dalam bentuk penguatkuasaan kerana bukan Baginda yang memimpin Makkah. Di Madinah, semua teori tersebut dapat dipraktikan dan dikuatkuasakan apabila Baginda yang menguasai kepimpinan.


Ketiga: Memilih kepimpinan adalah hal yang sangat besar kerana mereka dipertanggungjawabkan memimpin ummah termasuklah dalam ruang lingkup kampus. Maka, memilih dengan benar dan tepat, ada pahalanya dan memilih dengan salah, ada juga balasannya. Jika ada yang membuat kenyataan bahawa memilih atau mengundi tidak ada kaitan dengan dosa dan pahala, ini adalah gambaran sebuah kejahilan yang terlampau. Contoh mudah: Mandi bukanlah hal yang wajib sebagaimana, makan, tidur, minum dan sebagainya. Namun, mandi itu boleh mendatangkan pahala apabila diniatkan untuk membersihkan anggota badan, menyegarkan dan sebagainya. Maka, sudah tentu ia berpahala. Jika tidak mandi sehingga merosakkan kesihatan dan memudaratkan, maka tindakan tidak mandi menjadi haram. Jika soal mandi, buang air, makan minum atau tidur yang kecil itu pun ada kaitan dengan dosa dan pahala, mana mungkin soal memilih kepimpinan untuk menguruskan ummah bisa diangggap kecil dan tiada kaitan dosa dan pahala. Rujuk Surah Az-Zalzalah : 7-8.


Keempat: Dalam soal pemilihan terhadap pemimpin atau calon dalam pilihanraya, sudah tentu kita mencari yang terbaik dan bertepatan dengan kriteria yang dikehendaki oleh Islam. Antara seorang Muslim dengan seorang kafir, maka kita utamakan yang Muslim. Antara seorang Muslim yang taat pada Allah dengan durhaka pada Allah, maka keutamaannya yang taat pada Allah. ( berkenaan seorang Muslim yang sholeh, tetapi tidak ada kekuatan dan tidak tahu memimpin dan mengurus dengan seorang Muslim yang bermaksiat, tetapi ada kekuatan dan mampu memimpin dan mengurus, itu ada perbahasannya yang khusus ).


Kelima: Jika sebelum memilih, kita sudah mengetahui individu itu orang yang bermasalah, seperti kaki rasuah, judi dan sebagainya dan mengetahui selama dia berada di tempat kepimpinan nanti, dia akan melakukan kerosakan, lalu kita memilihnya juga, kita menanggung dosa selama ia memerintah dalam maksiat kepada Allah. Jika kita mengetahui seorang yang baik, soleh dan yakin bahawa apabila berada di atas nanti, dia juga akan melaksanakan kebaikan, lalu kita memilihnya, maka kita mendapat pahala kebaikan selama mana ia memimpin. Jika seseorang yang dari awalnya kita tahu kebaikan dan kesholehannya, tetapi sebaik dia dipilih dan berada di atas, langkah dan tindakannya bertentangan dengan Islam, saat itu kita terlepas dari dipertanggungjawabkan.


Keenam: Dalam konteks kemahasiswaan, kebiasaannya calon-calon dinaikkan dari mana-mana pertubuhan atau pergerakan mahasiswa, maka kita mengutamakan calon dari pergerakan Islam walaupun mungkin pergerakan mereka masih ada kekurangan, tetapi hala tuju mereka jelas. Elakkan mendukung calon atau pergerakan-pergerakan yang tidak jelas hadafnya. Andai kita melihat ada kekurangan atau sedikit cacat cela calon dari pergerakan Islam seperti soal akhlak, maka fahamilah bahawa ia naik bukan atas dasar individu melainkan keputusan yang telah disepakati dari pergerakan Islam melalui pertimbangan demi pertimbangan yang matang dan wajar. Namun, tidak mungkin sesebuah pergerakan Islam menaikkan orang-orang yang bermasalah khasnya masalah yang besar yang mudaratnya nanti mengenai orang ramai. Kaedahnya, seseorang yang bermaksiat hanya dirinya sahaja tanpa melibatkan atau memudaratkan orang lain, maka itu dibenarkan untuk memilihnya berbanding dengan seseorang yang melakukan maksiat yang turut melibatkan dan mendatangkan mudarat kepada orang ramai. Maka, memahami waqi’ (Fiqhul Waqi’) sebuah hal yang penting. Dalam hal ini, kita meyakini kapasiti sesebuah pergerakan Islam yang matang dalam menentukan calon-calon mereka.


Ketujuh: Jika ada individu yang menjadi calon bukan dari mana-mana pergerakan Islam, tetapi juga bermatlamatkan Islam, dan ada pula calon yang dinaikkan dari pergerakan Islam, maka kita utamakan calon yang datang dari jama’ah (pergerakan Islam). Kerana ia naik hasil keputusan jama’ah dan berada di tampuk kepimpinan nanti dengan bimbingan jama’ah. Individu yang memperjuangkan Islam, tapi bukan dalam jama’ah dan menjadi calon, maka sulitlah untuk membimbingnya kerana dia sendiri bukan berjama’ah. Namun, memahami waqi’ sebagaimana hal-hal diatas juga adalah perlu. Sebagai contoh: ada kampus yang belum ada pergerakan Islam, akhirnya dalam pilihanraya individu yang inginkan Islam ini bertanding walaupun bukan dari keputusan jamaah (kerana tidak ada), maka wajar sahaja tindakannya.


Kelapan: Jika kita (mahasiswa) pergi ke sebuah tempat pengajian atau kampus diluar negara yang kita benar-benar belum memahami kondisi atau waqi’ perjuangan Islam di kampus berkenaan, lalu saat pemilihan calon dalam pilihanraya, kita sulit untuk menilai mana pilihan kita dari beberapa calon yang ada, maka jangan sampai kita mengambil sikap tidak memilih. Dalam menghadapi hal ini, ada beberapa kaedah mudah, antaranya ruang sebelum sampai betul hari pemilihan, kita boleh mendengar, membaca, soal jawab dengan calon-calon (dalam tempoh berkempen). Dari situ sedikit gambaran mengenai mereka akan kita ketahui. Adapun jika semua hal itu sukar juga dilakukan, bertemulah dengan orang-orang yang baik, berakhlak, sholeh (mahasiswa) dan mintalah pandangan mereka mengenai siapakah yang mereka memilih. Maka, ikutilah ‘ijtihad’ orang-orang seperti mereka ini kerana seorang yang baik, berakhlak dan sholeh, akan menaikkan orang yang seperti itu juga dan sebaliknya.


Kesembilan: Soal pemahaman terhadap pilihanraya dan demokrasi kampus adakah syar’ie atau tidak, ini adalah hal yang masih belum selesai-selesai dibahaskan sampai saat ini. Ada yang menerima pilihanraya dan demokrasi, ada yang menolaknya terus dan ada pula yang sampai meletakkan label-label tertentu pada orang yang melibatkan diri dalam sistem demokrasi. Dalam hal ini, saya tidak berhajat untuk membahaskannya kerana memerlukan tajuk yang khusus dan para ulama’ul Amilin pun sudah membahaskannya. Buku ‘Islam dan Demokrasi’ karya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang antara yang terbaik untuk dirujuk. Benarkah demokrasi datang dari Barat atau musuh Islam dan jika benar dari mereka, adakah Islam menolaknya total? Dan jika para ulama’ membenarkan menggunakannya, apakah batasan yang dibenarkan? Semua itu perlu difahami, dikaji dan diteliti agar nantinya jangan sampai mengudang kita bersikap dingin terhadap pergerakan Islam yang menerima sistem pilihanraya seolah-olah tiada ulama’ yang benar-benar faqih didalam pergerakan Islam tersebut yang membahasnya. Anda yang meyakini kaedah lain untuk mencapai kemenangan Islam, silakan dipakai tanpa menafikan peranan pergerakan Islam yang lain.


Kesepuluh: Pilihanraya adalah jalan aman atau selamat yang kita yakini bagi menghadapi pihak lawan. Kaedah ini disebut sebagai Muwajahah bis Silmiyyah iaitu berhadapan dengan aman/selamat/tenteram. Kita memakai kaedah ini kerana kita bukan berhadapan dengan orang kafir, tetapi sesama Muslim juga. Bezanya mereka mempunyai hadaf, kefahaman yang bermasalah. Maka mereka adalah mad’u kepada kita atau objek dakwah yang tidak boleh dihadapi dengan kekuatan (Muwajahah bil Quwwah). Kita mahukan mereka terus hidup bersama dan menjadi ruang serta peluang untuk kita sampaikan kebenaran dan seruan dakwah.


Ini sahaja yang dapat saya kongsikan dengan teman-teman mahasiswa sekalian hasil dari kefahaman, pembacaan, kuliah-kuliah dan pengajian dan serta lain-lain sumber. Memang agak sulit untuk memahami sepenuhnya hal sebegini. Kita tidak cukup hanya memahami teori-teori ilmiah mengenai urusan kepimpinan dengan mengenepikan pemahaman terhadap waqi’. Dan tidak cukup memahami waqi’ dengan menafikan teori-teori ilmiah dalam Islam tersebut. Maka, gabungkanlah kedua-duanya. InsyaAllah kita akan menjadi ahli politik Islam yang benar-benar berjaya. Mohon maaf atas kekurangan atau perbezaan dalam memberikan pandangan. Jika ada pandangan yang terbaik,silakan dikongsi demi manfaat kita bersama. Wallahua’lam.

Tiada ulasan: