Isnin, 19 April 2010

Sekitar Sambutan Maulid Nabi Di Desa ku (2)

Petang semalam selepas Solat Asar, diadakan kenduri Maulid Nabi di Meunasah Desa Blang Krueng. 3 ekor lembu disembelih. Majlis solawat juga diadakan sebelum menikmati jamuan. Di peringkat warga desa pula, mereka membuat kenduri di rumah masing-masing pada waktu tengah hari sehingga mendekati waktu Asar. Tidak semua rumah melaksanakannya, tetapi bagi yang berkemampuan. Mereka mengundang jiran-jiran dan kenalan dari mana-mana tempat. Jika dalam sebuah desa ada 200 buah rumah, kita akan melihat sekitar 50 buah rumah yang membuat kenduri Maulid pada hari tersebut. Di desa-desa lain ada yang sudah selesai dan ada yang belum. Di desa kami tinggal diadakan pada hari semalam.


Pada waktu malam pula selepas Solat Isya’, sekali lagi warga memenuhi lapangan Meunasah Desa Blang Krueng untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh Teungku Sulaiman Ibrahim. Beliau adalah pimpinan di sebuah dayah (pondok) yang terletak di Sigli, Kabupaten Aceh Pidie. Sebelum beliau menyampaikan ceramah, warga desa dihiburkan dengan persembahan kebudayaan adat Aceh seperti nasyid yang dipersembahkan oleh anak-anak di desa ini. Di dalam bait-bait nasyid tersebut, antara lain mereka menyeru agar mempertahankan Syariat Islam di Aceh sebagai Serambi Mekah.


Ceramah pula disampaikan sepenuhnya di dalam bahasa Aceh. Saya tidak memahami sepenuhnya bahasa Aceh. Mungkin hanya 15% sahaja isi kandungan ceramah selama 3 jam pada malam tadi yang saya fahami. Antaranya, Teungku Sulaiman menyentuh mengenai sejarah di adakan Maulid secara besar-besaran iaitu di zaman Solahuddin Al-Ayubi. Beliau menegur sikap sebahagian golongan yang sering disebut ‘intelektual’, namun banyak melakukan kegelisahan di tengah masyarakat (maksudnya adalah fenomen membid’ahkan amalan dalam masyarakat). Selain itu beliau juga menyoal warga apakah selayaknya Aceh digelar Serambi Mekah lagi. Kalau dahulu, itu betul. Namun saat ini perbuatan mabuk, berjudi,berzina, merompak dan sebagainya sudah mula jelas kelihatan.


Beliau juga menempelak sikap sebahagian mahasiswa dan mahasiswi yang belajar agama, namun berpacaran (berpasangan) di atas motor. Kebetulan, desa kami berdekatan dengan kampus dan kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi menyewa rumah di desa-desa sekitar termasuk Desa Blang Krueng. “ini intelektual pacar!!!” tegas beliau. Ambil tindakan jika masuk ke kampung ini berpacaran. Jangan biarkan anak-anak perempuan menunggang motor bersama lelaki, katanya. Selain itu, beliau juga mengulas mengenai permasalahan umat Islam yang bersifat global iaitu penindasan dan sikap Amerika terhadap umat Islam. Dengan berakhirnya ceramah pada malam tadi, maka berakhirlah acara menyambut Maulid Nabi di peringkat desa ini.


[ Untuk makluman, di Aceh, pertentangan antara golongan pengajian pesantren (pondok) khasnya pondok tradisional dengan golongan pengajian dari Timur Tengah seperti Mesir dan khasnya Madinah dalam persoalan bid’ah dan khilafiah masih kuat terjadi. ]

Tiada ulasan: