Ahad, 1 Februari 2009

PKS : Ideologi Haraki Politik Pragmatis ?

Menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2009 yang khabarnya akan dilaksanakan sekitar pertengahan April ini, pelbagai isu-isu menarik dan kontroversi timbul serta berlegar menghantui fikiran rakyat sebagai pengundi yang berhak memilih partai-partai yang mereka dokongi. Di peringkat Nasional, Indonesia mempunyai sebanyak 38 partai dan di Acheh terdapat 4 partai local (tempatan). Maka jumlah keseluruhan partai-partai yang layak bertanding kali ini adalah sebanyak 44 partai. Sebahagian besar partai-partai Nasional ini juga turut berada di Acheh seperti Demokrat (SBY), Golkar (Yusuf Kalla) dan sebagainya.


Kehangatan kampanye (kempen) semakin terasa khas buat warga Indonesia. Kibaran bendera-bendera pelbagai partai memenuhi Banda Aceh dan sekitarnya. Bagi warga yang ingin meletakkan harapan kepada partai-partai yang berbasic Islam yang wujud diseluruh Indonesia termasuk di Acheh, mereka boleh memilih Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Partai Bulan Bintang, Partai Kebangkitan Nasionall Ulama’ (PKNU), Partai Persatuan Nahdhatul Ummah Indonesia (PPNUI), Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), Partai Matahari Bangsa (PMB), Partai Persatuan Pembangunan (PPP), Partai Bintang Reformasi (PBR) dan beberapa lagi yang lain. Adapun, partai Islam yang hanya berada di Acheh adalah Parti Aceh Aman Sejahtera (PAAS), Parti Bersatu Aceh (PBA), Parti Daulat Aceh (PDA) dan Suara Independen Rakyat Acheh (SIRA). Rujuk artikel tentang politik Aceh di http://arruhuljadid86.blogspot.com/2008/11/pemilu-april-2009-terjaminkah-masa.html


Ditengah kesibukan menjelang Pemilu ini, tiba-tiba Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dikritik hebat oleh Majlis Mujahidin Indonesia (MMI) melalui majalah bulanannya, Risalah Mujahidin (RM) keluaran Jan, edisi 25 yang terbit minggu lepas. MMI pada awalnya diketuai oleh Ust.Abu Bakar Ba’asyir yang pernah dituduh sebagai ketua jaringan pengganas Jama’ah Islamiyyah (JI) oleh Amerika dan di’angguk’ oleh pemerintah Indonesia dan Malaysia. Kini MMI dipimpin oleh Ust Muhammad Talib sebagai Amir ke 2 menggantikan Us.Abu Bakar yang meninggalkan MMI tanggal 13 Julai 2008 lalu dan menubuhkan pula Jama’ah Ansar Tauhid (JAT) tanggal 17 Sept 2008 lalu kerana pertembungan beberapa masalah kefahaman berkaitan system perjuangan.


Dalam Risalah Mujahidin (RM) ini, PKS antara partai yang mula menonjol dan mendapat tempat dihati rakyat Indonesia didakwa telah lari dari prinsip perjuangan dan dasar Islam yang diwar-warkannya saat dideklarasikan pada 09 Ogos 1998 yang lalu. Daripada Partai Keadilan, namanya ditukar menjadi Partai Keadilan Sejahtera beberapa tahun kemudian. RM mendakwa bahawa PKS yang dahulunya dikenal sebagai partai dakwah dan partai tarbiyyah, ideology haraki dari Ikhwan Muslimin, para pengurusnya anak muda yang mempunyai idealism Islam, mempunyai ahli dan kepimpinan yang sangat mantap, berakhlak dan berimej Islami, system perkaderan (perekrutan) untuk naik ketahap-tahap berikutnya dalam PKS disusun kemas bersistematik dengan marhalah yang hebat melalui usrah yang menjadi program wajib pimpinan sehingga kepada anggota dibawah, kini mula berubah arah.


Semuanya dikatakan bermula setelah Musyawarah Kerja Nasional (Mukernas) PKS yang diselenggarakan di Bali awal Februari 2008 lalu. Antara kritikan MMI melalui risalahnya itu adalah:


a) Ketika Hidayat Nur Wahid dinobat sebagai Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), beliau menyebut tidak akan memperjuangkan Syariat Islam menjadi hukum Negara , tetapi menjelang Pemilu 2009, beliau merengek minta fatwa Syariat Islam.


b) PKS sudah menjadi partai terbuka dari citra moderat dan santun kepada egois dan agresif antaranya kerana:

i) Mula ‘berkawan’ dan berganding bahu dengan beberapa partai secular seperti Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan Partai Damai Sejahtera (PDS) iaitu partai Kristian.

ii) Mula mengangkat calon Gubernor (cagub) dan calon wakil gubernor (cawagub) golongan wanita.

iii) Tifatul Sembiring (Pres.PKS) membuka ruang Non-Muslim menjadi calon PKS ke lembaga legislative (parlimen) dikawasan-kawasan Kristian.

iv) Melantik beberapa orang Kristian menjadi pengurus PKS bagi kawasan Papua, termasuk juga di kawasan Maluku, Maluku Utara, Papua, Papua Barat dan Bali yang majorotinya Kristian.

v) Menaja program dangdut dan jogetan.

vi) Membiarkan perempuan tampil bertabarruj (berhias-hias) dan berlumba karier politik.


c) Hidayat Nur Wahid akhirnya menyebut bahawa sesiapa yang tidak keluar memilih telah melakukan perbuatan membazir dan membazir amalan syaitan. MMI mempersoalkan bila Pemilu menjadi wajib sehingga beliau menyebut perbuatan tidak memilih adalah membazir.


d) Iklan kempen yang disiarkan oleh TV saat menjelang Hari Pahlwan menuai kontroversi kerana PKS memunculkan tokoh Nasional seperti Ahmad Dahlan (pendiri Muhammadiyyah), Hasyim Asyaari, (pendiri NU), Sukarno, Bung Hatta, Bung Tomo, M.Natsir, Jenderal Soedirman yang digandingkan dengan gambar Suharto. Di akhir iklan itu dimunculkan suara “terima kasih guru bangsa, terima kasih pahlawan, kami akan melanjutkan langkah bersama PKS’. MMI menyoal jika PKS ingin rekonsiliasi antara tokoh Islam dan Nasionalis, mengapa tidak dimasukkan sekali SM.Kartosuwiryo, Qahar Mudzakkar dan Daud Beureuh. Adakah PKS takut digelar fundamentalis?


e) Mengapa PKS meletakkan Suharto sebagai pahlawan sedangkan Suharti penuh dengan sumbangan peradaban yang buruk dan tindakan ini seperti menangguk di air keroh.


Bukan sekadar itu, bahkan Nahdhatul Ulama’ (NU) menganggap PKS sebagai ancaman kerana memperalatkan masjid dan kegiatan remaja menjuruskan kepada ‘baju politik’ yang sangat berbahaya bagi ukhwah ummah. Bagi pertubuhan Muhammadiyyah (di Malaysia disebut Wahabi rasanya) pula, mereka mempersoalkan mengapa disejumlah daerah, PKS ikut bertahlil, anjur Maulid dan doa qunut, tetapi didaerah lain mereka menolak amalan ini.


MMI akhirnya menyimpulkan bahawa PKS yang mengambil lambing Ka’abah, bulan sabit, dan garis dengan latar belakang putih itu kini telah hilang orientasi ideologinya dan bersikap pragmatis (matlamat menghalalkan cara) dalam perjuangan semata-mata berjuang inginkan jawatan dan kerusi dengan mengenepikan dasar Islam. Bahkan artikel-artikel khusus tentang PKS dalam majalah ini ditulis ‘Partai Dakwah Berbuah Masalah’, ‘Dulu Dakwah Islam-Kini Dakwah Partai’, ‘Haraki Ideologis Politisi Pragmatis’ dan ‘Pramatisme Politik PKS’.


Kita Sebagai Pemerhati Yang Menilai ?


Baiklah, sekarang pembaca sudah memahami sedikit sebanyak perkara yang melatarbelakangi kritikan MMI kepada PKS ini. Disini, suka saya menyebut bahawa, dalam mendepani isu-isu sebegini, kita harus bersikap adil dalam membuat penilaian agar jauh dari lemparan-lemparan label tidak enak kepada mana-mana pihak dalam keadaan kita sendiri kurang mengetahui apatah lagi berkait soal hukum hakam yang kita sangat dhoif mengenainya.


Justeru itu, rasanya ada satu homework yang saya yakin boleh kita manfaatkan daripada isu yang dianggap kontroversi oleh MMI terhadap PKS ini. Kita ketepikan sebentar point-point yang kita tidak jelas dan kurang maklumat tentangnya seperti PKS sponser joget dan dangdut, tabarruj dan lain-lain, dan kita tumpukan kepada perkara yang jelas sahaja untuk dikaji dengan penuh ilmiah.


1) Apa hukum melantik pemimpin dikalangan bukan Islam? Bagaimana jika dilantik dikawasan yang majoroti Non-Muslim? Bagaimana pula jika mereka juga dilantik memegang beberapa jawatan didalam organisasi Islam?

Catatan: Kaitkan dengan kondisi dibumi Malaysia sama seperti calon India di Johor 2008 dan lain-lain.


2) Apa hukum bergabung dan ‘berkawan’ (tahalluf siyasi) dengan partai-partai secular untuk kepentingan Islam, bahkan PKS bergabung dengan PDS (Kristian)? Jika boleh, apa dalil-dalilnya dan apa syarat-syaratnya? Adakah sejarahnya dalam Sirah Rasulullah?

Catatan: Kaitkan dengan pakatan PAS bersama DAP (non-Muslim) dan lain-lain.


3) Apa hukum wanita menjadi calon dalam pilihanraya/pemilu? Bagaimana dengan peringatan Nabi bahawa tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita menjadi ketua? Apakah keterangan sebenar hadis ini? Jika dibenarkan, apakah jawatan yang dibenarkan dan apakah syarat-syaratnya?

Catatan: Kaitkan juga dengan calon-calon wanita dalam pilihanraya di Malaysia khasnya yang dimunculkan oleh parti Islam.


Timbulkan lagi apa-apa sahaja persoalan yang anda rasakan ada kaitan dengan 3 soalan yang penulis sediakan ini.


Akhiran, sekali lagi, saya memaklumkan bahawa, tugasan bersama ini kita usahakan bukan kerana keterkaitannya dengan mana-mana parti politik, tetapi lebih dari itu sebagai kajian ilmiah yang dipenuhi hujjah dan dalil untuk manfaat kita sebagai mahasiswa yang berhak untuk mengkaji apa sahaja untuk perkembangan minda mereka khasnya mereka yang berada di pengajian Islam. Isu-isu sebeginilah yang perlu kita dalami dengan lebih mendalam bahkan mungkin menarik jika dibincangkan bersama teman-teman dalam usrah-usrah dengan bimbingan mereka yang dalam ilmunya. InsyaAllah, untuk tempoh kedepan, kita akan bincangkan pula isu-isu lain yang boleh mengembangkan daya fikiran serta ilmu kita.Wallahua’lam.-penulis.


Makluman: Apa-apa komentar anda tentang tajuk diatas, bolehlah ditulis diruangan komentar dibawah.

Tiada ulasan: