Muslim Rohingya merupakan satu etnik yang tinggal disempadan antara Bangladesh dan Myanmar. Di Myanmar mereka dizalimi oleh pemerintah kuffar yang menggunakan sepenuhnya kekuatan tentera untuk membantai umat Islam. Muslim Rohingya berketurunan Benggali, Panthay dan campuran Burma-China. Sejak abad ke-7 masihi, mereka telah mendiami kawasan Arakan, sebuah wilayah seluas 14,200 mil persegi yang terletak di Barat Myanmar. Walaupun tinggal didalam wilayah Myanmar, namun junta tentera tidak mengiktiraf kewarganegaraan mereka. Maka mereka dianggap manusia tanpa Negara atau orang tanpa kewarganegaraan (stateless people). Untuk menjalankan urusan ibadah sangat rumit bagi mereka dengan suasana ratusan masjid mereka dimusnahkan, madrasah-madrasah dimusnahkan, Al-Qur’an diinjak-injak dan dibakar oleh tentera Myanmar. Mereka disiksa dengan dahsyat.
Antara Negara yang menjadi sasaran pelarian mereka adalah Malaysia, Indonesia dan Thailand. Mereka digelar ‘manusia perahu’ kerana terpaksa berlayar dari satu Negara ke satu Negara yang lain untuk mencari tempat perlindungan yang baik. Biasanya mereka sampai ke Thailand sekitar bulan Nov – April kerana ketika itu laut dalam keadaan paling tenang.
Fakta rasmi yang diperolehi dari pemerintah Thailand menunjukkan bahawa jumlah pelarian Muslim Rohingya yang tiba di Thailand seperti berikut:
a) Tahun 2005-2006 seramai 1225 orang.
b) Tahun 2006-2007 seramai 2763 orang.
c) Tahun 2007-2008 seramai 4886 orang.
d) Sejak 26 Nov 2008-25 Dis 2008 seramai 659 orang Muslim Rohingya ditangkap di 8 tempat yang berasingan.
Pada bulan Disember 2008, dimaklumkan sebanyak 412 Muslim Rohingya ditahan diwilayah perairan Thailand, namun dilepaskan begitu sahaja di utara perairan antarabangsa Koh Surin (Pulau Surin) . Angka itu menambah jumlah ‘manusia perahu’ yang ditangkap menjadi 800 orang sejak tentera Thailand terlibat dalam operasi ini setahun lalu. Kini sebanyak 80 orang Muslim Rohingya masih dalam tahanan di Koh Sai Daeng dan sekitar 500 orang hilang ditengah laut setelah ‘dibuang’ oleh tentera Thailand.
Beberapa orang Muslim ini yang berjaya diselamatkan oleh penjaga pantai India setelah terapung selama 12 hari mengungkapkan, beragam siksaan yang mereka alami. Tangan mereka diikat dalam keadaan dipaksa naik tongkang dibawah acuan senjata tentera Thailand. “Mereka mengarahkan kami naik perahu. Kami semua menolak. Lalu mereka menodong senjata kepada kami, tetapi kami tetap tidak mahu bergerak. Diatas perahu, beberapa orang kemudian diikat kakinya dan 4 orang dihumban kedalam laut’ terang Muhammad, salah seorang ‘manusia perahu’ yang selamat.
Segala kezaliman ini sering dinafikan oleh pemerintah Thailand, namun para pelancong asing mengaku menyaksikan tindakan angkatan laut Thailand keatas para pelarian Muslim ini di pulau pelancongan Thailand, Koh Phayam yang popular. Mereka mengaku melihat para pelarian ini dipukul oleh tentera laut dalam keadaan terikat. PM Thailand, Abhisit Vejjaiva menganggap bahawa para pelancong ini salah faham ketika menyaksikan tindakan tentera Thai pada para pelarian itu. “Pemerintah akan mengambil tindakan tegas terhadap imigran illegal. Jika terlalu banyak dari mereka yang datang, akan mempengaruhi keamanan Negara. Namun, tindakan tersebut tidak akan melanggar hak asasi manusia’ katanya.
Mengenai kehadiran pelarian Muslim Rohingya ke Indonesia khasanya Acheh, maklumatnya adalah seperti berikut:
a) 17 Mei 2006 – seramai 77 orang terdampar di perairan Sabang, Acheh. Mereka akhirnya dipindahkan ke Belawan, Sumatera Utara dan mereka mengaku ingin menuju ke Malaysia mencari penghidupan baru kerana kesukaran mencari nafkah disana.(Myanmar) kerana tekanan.
b) 07 Jan 2009 – seramai 193 orang terdampar di Sabang, Acheh (pelarian dari Bangladesh juga ada).
c) 03 Feb 2009 – seramai 198 orang terdampar keletihan di Acheh Timur (pelarian dari Bangladesh juga ada).
Kini, jumlah pelarian Muslim Rohingya di Acheh menjadi 391 orang dan semuanya diletakkan di pusat penempatan pelarian Idi Rayeuk, Acheh Timur. Saat ini, pihak pemerintah Indonesia berkira-kira untuk menghantar mereka pulang semula ke Myanmar atau Bangladesh dengan alasan bahawa mereka ini datang untuk tujuan ekonomi (cari kerja).
Sampai bilakah nasib Muslim Rohingya ini dalam kezaliman tanpa pembelaan? Nasib mereka sama sahaja dengan kezaliman yang berlaku kepada Muslim Uighur di Negara China yang diperintah oleh Komunis itu. Entah apa fungsi OIC yang diketuai oleh Malaysia, wallahua’alm. Kalau isu Palestin yang besar itu pun, tiada ketegasan OIC, maka apatah lagi nasib umat Islam di Myanmar yang tidak diketahui oleh dunia seluruhnya. Pemerintah Malaysia wajib menekan pemerintah Myanmar melalui kedutaannya di Kuala Lumpur dengan segera. Jangan tunggu sampai angka korban mereka tidak mampu dihitung lagi !
Diringkaskan dari: Modus Acheh, tabloid berita mingguan edisi II, Feb 09.
Foto: Modus Acheh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan