Khamis, 19 Februari 2009

Fahami Kaedah Sir dan Hazar !

Kepada > aktivis dakwah kampus


KERAHSIAAN YANG MEMBANTUTKAN

11:50 Perkongsian Oleh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

Sejak awal-awal lagi, saya, bukan sahaja saya sebenarnya telah dimomokkan dengan kerahsiaan yang melampau dan membantutkan. Istilahnya ialah, “sir wa hazar”.

Sir ialah kerahsiaan. Hazar pula ialah kewaspadaan. Pernah Ustaz Azizan, bekas ahli PMIUM yang kini menjadi pegawai agama dalam ketenteraan menyebut, kerahsiaan wujud kerana takut. Saya terfikir ketika itu,

“Jadi, apabila ketakutan sudah hilang, maka tidak perlulah lagi kepada sir tersebut”.

Sir perlu untuk menjaga keselamatan gerakan. Itulah yang saya pegang selama ini. Pantang sekali perkataan-perkataan Arabic yang berbaur gerakan disebutkan di hadapan ramai. Perkataan bai’ah, tamrin, amir, dan sebagainya menjadi satu fenomena yang sepatutnya dielakkan.

Saya juga begitu. Tidak berani menyebut perkataan Arabic tersebut di khalayak. Saya bimbang dengan itu, rahsia akan terbongkar dan akan menimbulkan satu ketakutan.


Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang berbaur gerakan, saya juga dilarang untuk mendedahkan fakta ceramah kepada orang lain. Jika saya mendengar ceramah tentang aqidah dan perjuangan sebagai contoh, atau jihad jalan kami, maka fakta ceramah tersebut adalah satu perkara yang rahsia dan harus dirahsiakan. Malah masih ada ceramah yang mana pendengar dilarang mencatitnya untuk menjaga keselamatan. Yang perlu, cukuplah dengan hanya mengingat, menggunakan otak.

Alangkah, saya terperosok dalam lingkungan sir yang terlampau.

Banyak lagi fenomena sir yang tragis menimpa dogma ahli gerakan. Saya kemukakan beberapa contoh. Saya tidak diizinkan berjalan seiring dengan ahli gerakan kampus di hadapan khalayak lantaran saya adalah Presiden Gamis. Tempat program dipindahkan ke satu tempat yang jauh untuk menjaga keselamatan. Ketakutan kepada polis adalah melampau-lampau. Begitu juga ketakutan dengan pihak pentadbir.

Kenapa sampai begitu? Saya melihat, sir adalah strategi manakala hazar adalah satu perkara yang lebih penting.

Kesan daripada sir yang biasa diamalkan dalam kebanyakan gerakan ialah:

• Dakwah tidak tersampai dengan lebih meluas lantaran maklumat ceramah dan program ditutup serapat-rapatnya.
• Lahirnya ahli yang penakut dan tidak berani, bukannya melahirkan ahli yang bijak dan berani berdepan
• Kefahaman tentang gerakan Islam tidak meluas sebaliknya bersifat eksklusif kepada ahliyang terpilih sahaja

Saya ingin bertanya kepada yang terlalu menjaga rahsia. Apakah tarbiah ini hanya eksklusif untuk sesetengah orang? Apakah kamu ingin menyembunyikan hasil tajuk ceramah sedangkan buku-buku yang membincangkan tentang jihad sudah melebar? Bahkan tajuk tentang gerakan Islam sudah pun dibincangkan secara terbuka sebenarnya.

Apa yang perlu dirahsiakan sebenarnya? Maklumat atau hanya tanzim? Mengapa kita perlu takut sedangkan Hammas yang berdepan dengan kematian lebih berani menzahirkan gerakan mereka. Kerahsiaan yang terlalu rapat berlaku lantaran ketakutan yang menyelimuti.

Saya tidaklah mengetepikan kepentingan sir itu sepenuhnya. Bahkan saya mengerti banyak hadis nabi yang menyeru kepada sir, namun lihatlah pula kepada kondisi hadis tersebut. Bahkan saya ingin menunjukkan bukti, betapa Ikhwan dan beberapa gerakan yang lain secara terbuka mengemukakan beberapa strategi tarbiah mereka. Kita pula?

Kita mesti membuka ruang sebanyak mungkin. Buka pintu sir itu secepat mungkin. Cara membukanya tidak lain dan tidak bukan adalah dengan membentuk keberanian dan kekuatan. Maka saya memberanikan diri mengadakan tamrin Gamis secara terbuka. Saya mengemukakan tarbiah gamis secara zahir. Namun masih ada perkara yang saya rahsiakan untuk kebaikan yang lebih baik.

Kewaspadaan yang terpenting. Waspada dengan sesiapa sahaja. Dalam dunia risikan, tutup mulut, buka mata dan pasang telinga. Atau lempar tangan kanan dan sembunyi tangan kiri. Jangan mempercayai sesiapa sahaja. Ini dalam dunia risikan, atau ketenteraan.

Kewaspadaan diamalkan oleh nabi SAW namun dalam masa yang sama, banyak kali juga nampaknya nabi ‘menolak’ kewaspadaan. Baginda mencabar Romawi yang terlatih. Baginda menghantarkan surat kepada banyak kerajaan yang besar termasuk Hercules. Hasilnya, nabi dipukul berkali-kali.

Tolong fahami kewaspadaan bagaimana sebenarnya yang diamalkan oleh rasul kita yang terjunjung. Lalu sepatutnya, kita menceritakan semua hasil ceramah dan hasil program kita kepada orang lain. Tentang program, rahsiakanlah. Kita mesti berkongsi dengan orang lain apakah manhaj dan bentuk tarbiah kita. Jangan sorok-sorokkan.

Saya rasa, kita perlu memahami satu konsep fiqh usul, “Islam, apabila ia sempit, maka luaskanlah. Jika luas, maka sempitkanlah”. Fikirlah sendiri…


Dipetik dari: http://dzulkhairi.blogspot.com/

Tiada ulasan: