Khamis, 30 Oktober 2008

Dato’ Duta Besar Malaysia bersama Mahasiswa Malaysia Acheh

Bertempat di Hotel Hermas, Banda Acheh pada jam 07.45 malam ini akan diadakan Majlis Perasmian Persatuan dan Sambutan ‘Idul Fitri bersama TYT Dato’ Zainal Abdin bin Zain, Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Pelbagai acara disusun oleh panitia pelaksana bagi memeriahkan aturcara program pada malam ini seperti persembahan nasyid, pentomen, dikir barat, persembahan slide show, cabutan bertuah dan lain-lain daripada mahasiswa Malaysia di sini.

Setelah tragedi Tsunami 2004, semua mahasiswa Malaysia meninggalkan Acheh. Kami yang datang ke sini boleh dikatakan antara generasi baru yang menjejakkan kaki ke bumi Acheh. Atas inisiatif dari beberapa pihak khasnya sahabat-sahabat yang agak lama tinggal disini sekitar tahun 2005, sebelum kedatangan kami, mereka menubuhkan persatuan mahasiswa Malaysia di Acheh yang dikenali dengan nama Malaysian Student of Nanggroe Acheh Darussalam (MASNA). Bilangan mereka sekitar 20 orang sahaja. Matlamatnya bagi menjaga kebajikan dan hak-hak mahasiswa Malaysia di Acheh. Ianya adalah rentetan dari persatuan mahasiswa yang telah ada sebelum itu, tetapi tidak ada maklumat yang mereka tinggalkan pada generasi selepas Tsunami.

Akhirnya, atas maklumat dari beberapa mahasiswa Malaysia yang tinggal di daerah-daerah lain seperti Jakarta, Jambi, Riau dan sebagainya terhadap kewujudan beberapa mahasiswa Malaysia di Acheh, mereka lalu mencadangkan agar MASNA bernaung di bawah Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI). Lalu, pada tarikh 12 Sept 2008, kami mahasiswa dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kelantan yang tiba ke IAIN Ar-Raniry tanggal 25 Ogos 2008 seramai 45 Muslimin dan 72 Muslimat dijemput menghadiri majlis taklimat berkenaan MASNA yang disampaikan oleh sahabat-sahabat lama yang tinggal di sini.

Hasilnya, pada malam tersebut, MASNA ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia Indonesia Cawangan Acheh (PKPMI-CA). Kami dimaklumkan bahawa Acheh merupakan cabang PKPMI yang terbaru selepas daerah-daerah lain seperti Jakarta, Jambi, Riau, Padang, Medan dan lain-lain. Antara lain PKPMI juga dimaklumkan bernaung dibawah Kedutaan Malaysia di Indonesia dan tidak ada kaitan dengan Kelab UMNO Indonesia. Wallahua’lam.

Kedatangan kami dari KIAS akhirnya berjaya meramaikan mahasiswa Malaysia disini dan mengukuhkan pergerakan MASNA (sekarang PKPMI) yang hanya mempunyai beberapa individu sahaja yang memegang jawatan didalam persatuan sebelum itu. Kini, semua jawatan-jawatan yang kosong kerana kepulangan beberapa mahasiswa lama yang telah tamat telah diisi sepenuhnya melalui Majlis Pemilihan Exco-Exco PKPMI-CA pada 25 Okt 2008, Sabtu yang lalu. Alhamdulillah, semua jawatan-jawatan yang dipertandingkan pada malam tersebut berjaya dikuasai lebih 50% oleh mahasiswa dari KIAS setelah ‘berhempas pulas’ menangani beberapa insiden-insiden kecil yang tidak diingini. Mudah-mudahan dengan berbekalkan sedikit pengalaman bersama Persatuan Mahasiwa KIAS (PMKIAS) dan tarbiah-tarbiah yang diterima di bumi Kelantan dapat memandu kami ketika berada di atas. InsyaAllah.

Pada malam ini, Dato’ Zainal Abidin Zain, Duta Malaysia ke Indonesia sudi untuk bersama kami dalam Majlis Sambutan Idulfitri serta merasmikan PKPMI-CA. Untuk mahasiswa Muslimin, kami diminta untuk memakai songkok hitam bagi yang ingin memakai atau tidak memakai langsung.

Catatan: Organisasi lengkap PKPMI-CA akan saya sampaikan dalam masa yang terdekat dan maklumat mengenai majlis pada malam ini akan disiarkan lewat malam ini atau selewat-lewatnya pagi esok.

2 ulasan:

Muhd Shaharuddin berkata...

Assalamualaikum,
Semoga saudara sentiasa dalam lindungan Allah. Untuk pengetahuan sdr. sebenarnya PKPMI-CA telah pernah wujud sejak 1985 yang lalu lagi & ana adalah salah ex ahli PKPMI-CA periode 1992-1997. Mungkin selepas tragedi tsunami 2004 PKPMI-CA yang lama telah terkubur. Buat pengetahuan sdr. mes PKPMI-CA tersebut terletak di Rukoh atau lebih tepatnya No. 7 JL. FK (Fakultas Keguruan)Desa Rukoh Kecamatan Darussalam Banda Aceh. Mungkin maklumat ana ini boleh menjadi arkib sejarah penubuhan PKPMI-CA yang lampau. Salam Ukhuwwah....

Akhukum Fillah :
Muhd Shaharuddin Bin Mat Salleh
Alumni Fak. Tarbiyah
Jurusan TPA (Pendidikan Agama)
1992-1997

alumni IAIN / PKPMI-CA berkata...

Sejarah wujudnya PKPMI bermula di Pulau Jawa pada tahun 1945. Ketika itu organisasi pelajar-pelajar Malaysia yang ditubuhkan adalah Kesatuan Pelajar-Pelajar Malaya (KPM) yang berpusat di Yogyakarta. Organisasi Pelajar-Pelajar Malaya yang kedua didirikan di Sumatera pada tahun 1948; yang berpusat di Medan, yang dinamakan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaya di Medan. Pada tahun 1965, KPM dibubarkan dan membentuk sebuah persatuan baru yang diberi nama Himpunan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (HMPI) yang berpusat di Yogyakarta. Pada tahun terjadinya konfrontasi Malaysia- Indonesia, tidak terdapat sebarang catatan tentang kegiatan pelajar Malaysia di Indonesia kerana semua pelajar pulang ke tanah air. Pada tahun 1967, pelajar-pelajar Malaysia mulai datang lagi ke Indonesia.

Pada 18 Mei 1968, HMPI mengadakan kongres. Dalam kongres tersebut dipersetujui untuk HMPI menjadi PKPMI iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia Di Indonesia dan menetapkan Jakarta sebagai pusat manakala Yogyakarta adalah cawangan PKPMI. Sejak itu, PKPMI terus berkembang terutama di Pulau Jawa bagi membentuk beberapa cawangan PKPMI yang di antaranya adalah :-

* Cawangan Jakarta (18 Mei 1968 )
* Cawangan Yogyakarta ( 18 Mei 1968 )
* Cawangan Bogor ( 23 Mei 1968 )
* Cawangan Bandung ( 12 April 1969)
* Cawangan Surabaya (10 November 1972)
* Cawangan Bali (30 September 1986)
* Cawangan Ujung Pandang ( 17 Oktober 1987 )

Setelah konfrontasi tamat, pelajar-pelajar Malaysia di Sumatera kembali ke Indonesia dan mendirikan Himpunan Mahasiswa Malaysia Sumatera (HMMS ) yang berpusat di Medan. Pada tahun 1982, HMMS dibubarkan dan bersatu dengan PKPMI. Dengan perkembangan ini, semakin bertambah cawangan- cawangan PKPMI di seluruh Indonesia. Penubuhan cawangan- cawangan PKPMI di Sumatera bermula dengan :-

* Cawangan Medan ( Mei 1982)
* Cawangan Acheh ( 25 Disember 1985)
* Cawangan Padang ( 25 Mac 1986)

Dengan bertambahnya umur PKPMI, maka jumlah cawangan PKPMI turut bertambah. Sehingga sekarang ini terdapat 13 cawangan PKPMI di seluruh Indonesia , iaitu Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Surabaya, Malang, Medan, Bali, Palembang, Jambi, Pekan Baru,Padang, Solo dan Makassar.