Sabtu, 11 Oktober 2008

Sekitar Majlis Sambutan dan Pidato Menyambut Wali Nanggroe

12.30 malam:
Semua jalan menuju ke Bandar Acheh sesak dengan kenderaan yang mengangkut ribuan massa. Sejak Zohor semalam mereka telah mula bergerak dari daerah masing-masing. Masa perjalanan melebihi 10 jam dari daerah-daerah yang jauh. Bendera merah putih Partai Acheh (PA) dikibarkan di motosikal oleh ratusan anak muda yang berkonvoi. Lebih 100 buah bas dipenuhi dan dibalut bendera PA. Puluhan trak-trak mengangkut warga memenuhi jalan-jalan utama Acheh persis era darurat dulu. Massa dibahagikan beberapa lokasi sebagai tempat berehat mengikut daerah-daerah.

11.00 pagi:
Pihak penganjur menyampaikan taklimat dihadapan ratusan ribu warga Acheh yang sebahagian besarnya adalah anak muda. Dengan lilitan kain merah putih di kepala, yang memakai baju-baju tentera, menggalas panji-panji Partai Acheh. Kekecohan berlaku beberapa kali akibat tindakan ‘nakal’ baling membaling botol air oleh peserta bagi mengarahkan orang dihadapan supaya jangan berdiri. Himpit menghimpit dan suasana panas menyebabkan pihak bomba berkali-kali terpaksa menyembur air dari kenderaan mereka. Pihak penganjur terpaksa mengarahkan peserta himpunan duduk bagi mengelakkan ada warga yang pengsan dalam suasana panas tersebut.

Beberapa buah motosikal diangkat keluar kerana diletakkan didalam pagar masjid. Pagar-pagar dan pintu gerbang menjadi sasaran anak muda untuk berdiri dan memanjat tinggi bagi mendapatkan posisi yang terbaik. Keliahatan lori panjang milik TVRI yang dinaiki oleh petugas media bagi membuat liputan dan siaran langsung.

Puluhan ribu memenuhi halaman masjid Baturrahman.Ribuan lagi berada diluar kawasan masjid akibat kesukaran masuk dan memenuhi kedai-kedai,bangunan tinggi, atas bas,trak-trak dan seluruh Bandar Acheh.

11.30 pagi:
Solawat Badar dialunkan oleh seorang panitia dan diikuti oleh ratusan ribu massa bagi meredakan suasana kecoh dan hingar bingar. Selepas itu sekumpulan anak-anak Acheh menyampaikan lagu-lagu Acheh berunsur nasihat serta lagu berkenaan MoU Helsinki dengan menggoyangkan kepala ligat keatas kebawah seperti dikir barat.Cuma tak tepuk tangan sahaja. Antara lafaznya “ perdamaian antara TNI dan mujahidin”.

12.20 t.hari:
Bacaan ayat suci Al-Qur’an kedengaran menandakan hampir masuk waktu Zohor.

12.35 t.hari:
Azan dilaungkan dan serentak dengan itu rombongan Teungku Hasan Tiro pun tiba dikawal oleh ratusan petugas berbaju hitam dan berselempang kain berwarna merah, putih dan hitam. Ribuan massa berebut-rebut untuk bersalam dan mengambil gambar Wali.

12.55 t.hari:
Hasan Tiro berdiri diatas pentas dan melambaikan tangan kepada warga Acheh. Beliau mengucapkan ' Assalamualaikum. Lon ka troh teuka di Acheh (Saya sudah tiba di Acheh)'. Lalu beliau duduk.Solawat diteruskan dan majlis berehat sebentar memberi peluang kepada mereka yang menunaikan Solat Zohor.

01.15 t.hari:
Malik Mahmud ( mantan PM GAM ) menyampaikan ucapan mengalu-alukan kedatangan Hasan Tiro dengan menyebut ‘marhaban ya Amirul Mukminin’ ‘sami’na wa atho’na’.Laungan takbir dilaungkan oleh beliau disambut oleh warga Acheh. Beliau membacakan sedikit latar belakang sejarah Acheh dan perjanjian MoU Helsinki.

01.25 t.hari:
Ucapan Teungku Dr Hasan Muhammad Ditiro dibacakan oleh Malik Mahmud berikutan Wali Nanggroe yang agak kelelahan.Pergerakan Hasan Tiro kelihatan agak perlahan dengan usianya yang menjangkau 83 tahun. Beliau menyebut bahawa 200 ribu warga Acheh menjadi korban dalam konflik puluhan tahun lalu sejak 1976 yang berakhir 15 Ogos 2005 dengan MoU. Biaya peperangan sangat mahal, tapi harga sebuah perdamaian lebih mahal. Perjanjian perdamaian ini sangat mahal dan perlu dipelihara bersama, katanya.Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Susilo Bambang Yudhoyono (Presiden) dan Yusuf Kalla (wakil Presiden) kerana diera pemerintahan merekalah bermulanya usaha-usaha kearah perdamaian sejak tahun 2000. Perdamaian dengan rundingan, bukan kekerasan, kata Hasan Tiro. Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada beberapa negara yang menjadi 'penaja' utama dalam membantu Acheh kearah perdamaian melalui MoU selepas Tsunami seperti Amerika, Jepun, Sweden, Norway dan lain-lain.

Beliau turut menyebut beberapa perkara penting dalam MoU, antaranya: Mantan pejuang GAM tidak akan dipanggil gelaran 'separatis' iaitu kelompok yang ingin memisahkan diri dari kesatuan kerana mereka telah terlibat dalam perjanjian perdamaian. Keduanya, selepas Tsunami Acheh menjadi perhatian dunia internasional untuk dapat dibantu terhadap kepentingan rakyat yang tertinggal dalam segenap bidang. Ketiganya, Acheh akan dapat kebebasan dalam bentuk hak-hak sipil (rakyat) , politik, hak-hak ekonomi, sosial dan budaya melalui proses demokrasi, adil dan bermartabat.

Beliau turut memperingatkan warga Acheh agar tidak terpancing dan terhasut dengan beberapa usaha kelompok subversif yang melakukan tindakan-tindakan yang mensabotaj perdamaian. Jauhi dan berhati-hati dengan mana-mana pihak yang mengadu domba sesama kita. Ucapan diakhiri dengan beliau mengucapkan Salam ‘IdulFitri.

01.40 t.hari:
Bacaan Al-Fatihah kepada seluruh pimpinan terdahulu, para ulama’ dan syuhada’ yang telah berkorban harta dan nyawa bagi mendaulatkan Acheh.

Hasan Tiro (tengah) diapit oleh Malik Mahmud(mantan PM GAM) yang bertali leher merah

0.145 t.hari:
Ribuan warga brgerak perlahan meninggalkan perkarangan Masjid Raya Baiturrahman dan acara berikutnya nasyid dan ucapan-ucapan wakil-wakil rombongan. Anggota polisi sibuk menjaga lalu lintas. Sehingga waktu Asar tadi barulah jalan utama Bandar Acheh lancar sepenuhnya. Alhamdulillah,tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini atau provokasi dari mana-mana pihak.Keselamatan dikendalikan sepenuhnya oleh 'Unit Amal' Partai Acheh. Polisi hanya menjaga lalu lintas.Tidak ada tembakan gas pemedih mata dan semburan air asid kearah massa.

Catatan: Benarkah GAM berjuang untuk menegakkan Negara Islam? Masih samakah keadaan pendokong Partai Acheh dengan pejuang-pejuang GAM yang lampau? Adakah GAM dipimpin oleh ulama’? Bagaimana dengan keadaan pimpinan Partai Acheh sekarang? Benarkah unsur-unsur Islam dan Syariat yang tertegak sedikit sebanyak di Aceh ini kerana Acheh diperintah oleh mantan-mantan GAM ? atau wujud ‘tangan-tangan’ lain yang berusaha kea rah menjadikan Syariat Islam bertapak dibumi Acheh? Apakah pelaksanaannya dijalankan dengan telus tanpa memilih bulu? Apa pendirian Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang merupakan Partai Islam Indonesia terhadap beberapa sikap GAM atau Partai Acheh (sekarang) ? InsyaAllah, saya akan cuba dapatkan maklumat dari pelbagai pihak dan sumber kerana setakat ini saya masih tidak dapat jawapan yang memuaskan mengenai apa sebab atau tujuan GAM berjuang menghadapi pemerintah Republik Indonesia? Wallahua’lam.
p/s: gambar-gambar dari kamera saya mengalami masalah.Gambar ini diambil dari kompas.com.

Tiada ulasan: