Di Aceh, suasana mereka menyambut hari-hari kebesaran Islam memang sedikit berbeza dengan Malaysia. Jika tiba hari kebesaran Islam seperti Tahun Baru Hijrah (awal Muharram) atau Maulid Nabi dan lain-lain, sambutannya di Malaysia hanya 1 hari atau paling lama 1 minggu. Di Aceh, umat Islam menyambutnya sehingga 1 bulan. Pelbagai aktiviti mereka laksanakan, bermula dengan majlis-majlis ceramah, perarakan, bersolawat, jamuan dan lain-lain. Paling menarik, penglibatan anak-anak mudanya dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan sebegini sangatlah memberangsangkan, bahkan merekalah antara panitia pelaksana program-program tersebut.
Di bawah ini adalah gambar-gambar yang saya foto dalam majlis Tabligh Akbar (pidato2 keislaman) sempena memperingati Maulid Nabi yang diadakan di halaman Masjid Blang Krueng, Kecamatan Baitussalam, Kabupaten Aceh Besar, Nanggroe Aceh Darussalam selepas solat Isya’ hari ini (Rabu). Blang Krueng adalah desa tempat kami anak-anak Malaysia menyewa rumah serta hidup bersama masyarakatnya. Ada yang bekerja sebagai pegawai negeri sipil (pegawai kerajaan: guru dll), sawah padi, berniaga dan lain-lain.
Acara ini dianjurkan dan digerakkan oleh remaja masjid (persatuan yang ada hampir disetiap masjid di Aceh). Majlis dimulai dengan bacaan ayat suci Al-Qur’an, solawat bersama, ucapan pengarah program dan diteruskan dengan ceramah oleh Teungku Yasir Putih, seorang penceramah terkenal berasal dari Aceh Utara yang merupakan antara tokoh utama di pesantren (pondok). Teungku adalah ustaz. Di Aceh jarang digunakan perkataan ‘ustaz’.
Kaum ibu bersama anak-anak memenuhi ruangan dihadapan sekolah rendah yang berhadapan dengan masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan