Tanggal 02 Nov 2008 yang lalu, saya telah mengenalkan kepada teman-teman semua tentang tempat bersejarah di Acheh iaitu Makam Sultan Iskandar Muda. (rujuk Arkib November). Untuk kali ini, dalam ruangan Kenali Nanggroe Acheh Darussalam, kita akan mengenali pula salah satu tempat menarik di Acheh iaitu Yayasan Makam Syiah Kuala ( YAMSIKA).
Yayasan Makam Syiah Kuala ( YAMSIKA)
Yayasan Makam Syiah Kuala (YAMSIKA) yang terletak sekitar 10 minit sahaja dari Bandar Acheh iaitu di Desa Dayah Raya, Kecamatan Syiah Kuala. Disinilah letaknya makam Sheikh Abdul Rauf bin Ali Al-Fansuri As-Singkili. Beliau dikenali oleh masyarakat Acheh dengan gelaran Syiah Kuala. Ulama’ yang sinonim dengan masyarakat Acheh ini dilahirkan pada tahun 1591 M dan meninggal dunia pada tahun 1696 M (23 Syawal 1106) ketika berusia 105 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tempat ini iaitu Gampong Menasah Dayah Kuala Acheh (nama lama) sesuai permintaannya.
Ketika masih hidup, Sheikh Abdul Rauf pernah menjadi Kadhi Malikul Adil pada zaman pemerintahan kerajaan Acheh Darussalam dipegang oleh para Ratu :
1) Ratu Sapiatuddin Syah 1641-1675 Masihi.
2) Ratu Nakiatuddin Syah 1675-1678 Masihi.
3) Ratu Zakiatuddin Syah 1678-1688 Masihi.
4) Ratu Kamalat Syah 1688-1699 Masihi.
Diatas catatan di hadapan Yayasan ini juga menyatakan bahawa, pada zaman pemerintahan ratu-ratu ini, hakikatnya yang memegang kendali pemerintahan ialah para ulama’ termasuk Sheikh Abdul Rauf. Khadam yang menjaga makam ini tidak boleh berpindah tangan dari keturunan Sheikh Abdul Wahid. Kini nama Al-Marhum Sheikh Abdul Rauf (Syiah Kuala) diabadikan disebuah institusi pengajian tinggi di Acheh iaitu Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH).
Selain makam Sheikh Abdul Rauf, terdapat banyak sekali makam-makam lain yang dikatakan sebagai kerabat Al-Marhum dan penduduk sekitar yang berasal di kampung ini. Kuasa Allah s.w.t mengejutkan seluruh rakyat Acheh dan dunia amnya kerana saat musibah Tsunami berlaku tanggal 26 Disember 2004, makam Sheikh Abdul Rauf tidak terjejas dan tenggelam sedikitpun saat makam-makam lain disekelilingnya ditenggelami air. Padahal kedudukan kesemua makam ini hanya 150 meter dari laut. Maklumat yang diterima menyatakan, sebelum musibah Tsunami, perbuatan khurafat sering dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab di makam ulama’ ini.
Dihadapan pintu masuk , terdapat papan tanda peraturan memasuki Yayasan ini seperti larangan mendedahkan aurat, memakai pakaian menyerupai lelaki bagi perempuan, memakai pakain menyerupai perempuan bagi lelaki, larangan bagi non-Muhrim, berseluar pendek, larangan mencium atau memeluk batu nisan, merokok, mengambil batu-batu kerikil atau tanah kuburan dan lain-lain.
Lebih 40 buah makam terletak dibawah bumbung Yayasan Makam Syiah Kuala (YAMSIKA) dan berpuluh-puluh lagi sekitarnya. Kesan-kesan runtuhan bangunan yang hanya tinggal lantai-lantai sahaja masih terdapat di kawasan makam-makam ini yang musnah dalam tragedy 26 Disember.
Dihadapan YAMSIKA terbentang luas laut yang sangat indah, yang pernah meragut ratusan ribu nyawa umat Islam di Acheh tahun 2004 yang lalu. Pulau Sabang yang sayup kelihatan dari jauh. Jika menaiki bot biasa untuk sampai ke pulau tersebut, masanya hanya sekitar 2 jam. Sekiranya menggunakan bot laju, 45 minit sudah boleh sampai ke pulau yang ada penduduk tersebut. Airnya yang sangat jernih menggamit kedatangan anda. Pulau inilah yang pernah menjadi benteng kerjaan Negeri Melaka satu ketika dahulu.
( Ejaan Syiah, namun bacaannya ialah Syiyah. Ketika kami sampai dulu tersilap juga kerana mengingatkan Syiah di Iran :) Rupa-rupanya ejaan Syiyah ialah Syiah dan Syiah (mazhab) itu dieja Shi’ah. Tetapi ada kemungkinan memang ada unsur-unsur Syiah (mazhab) itu kerana mengikut pandangan beberapa individu disini, ketika zaman Sheikh Nuruddin Ar-Raniry ,berlaku pertembungan antara beliau dengan Sheikh Abdul Rauf yang dikaitkan dengan penyebaran Syiah. Wallahua’lam )
Siapakah Sheikh Nuruddin Ar-Raniry ?
Beliau adalah seorang ulama ‘ besar dan Mufti Kerajaan Acheh Darussalam yang sangat berpengaruh pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Tsani ( II) iaitu selepas Sultan Iskandar Muda. Pemerintahan Sultan Iskandar Tsani bermula pada tahun 1637-1641 dan saat itulah Sheikh Nuruddin menjadi mufti Acheh.
Sheikh Nuruddin Ar-Raniry berasal dari Ranir (sekarang Rander) di India dan telah memberikan sumbangan besar dan meramaikan bursa percaturan pemikiran Islam di Nusantara pada umumnya dan Acheh khsusunya. Kini nama Sheikh Nuruddin diabadikan kepada Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry, Acheh.
Klik di atas gambar untuk dibesarkan.
Makluman: Jika ada yang mengetahui adanya kesalahan dalam sejarah ini, mohon dimaklumkan. Sejarah Sheikh Abdul Rauf diambil dari catatan dihadapan Yayasan Makam Syiah Kuala dan sejarah Sheikh Nuruddin diambil dari buku Panduan Program S1 dan D3 IAIN Ar-Raniry.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan