Isnin, 8 September 2008

Sekolah Menengah Agama ( SMA ) : Kilang Pengeluar Pemimpin Ummah ?

Dedikasi buat sahabat-sahabatku golongan pendidik….
Dunia sekolah menengah telah saya tinggalkan secara rasmi hampir 5 tahun bermula 2004. Namun secara tidak rasmi, saya masih komited memerhatikan perjalanan institusi ini melalui adik-adik yang masih berada di bangku sekolah, guru-guru yang sempat diajak berbicara serta program-program yang saya berkesampatan melibatkan diri…walaupun kadangkala terpaksa menelan sedikit kata-kata dari segelintir sahabat yang menyebut , “ untuk apa sibuk-sibuk lagi di sekolah menengah ? ” . Ya, mesti ditelan dengan memujuk hati untuk menganggap itu hanya gurauan..mungkin.. Tapi, saya yakin budak itu akan membesar juga dan diperlukan nanti !

Bila berbicara soal Sekolah Menengah Agama , sudah tentu perbicaraannya akan berbeda dari Sekolah Menengah Kebangsaan. Kenapa ? Sebab sekolah ini berorientasikan ‘ Agama ‘ ! Mungkin kalian yang pernah berada di zon ini memahami dan cukup mengerti betapa tingginya pandangan serta harapan masyarakat kepada kelompok yang lahir dari institusi ini. Bila pulang ke kampung atau mana-mana kawasan Felda sendiri, paling koman ahli qariah meminta melaungkan azan di masjid. Special sikit sekali sekala ditolak kehadapan menjadi Imam menggantikan tok imam yang sakit perut atau balik kampung. Jika ke kenduri kendara , diajak turut serta berzanji dan marhaban. Kalau ada kematian, dijemput untuk mengimamkan solat mayyit . Kalau ada jamuan-jamuan kesyukuran diminta membaca doa. Kalau ada majlis-majlis, disusun jadual untuk membaca Al-Qur’an sebelum perasmian. Anak-anak jiran berjalan kaki untuk bertemu dengan ustaz-ustaz dan ustazah-usatazah ini untuk mengaji Al-Qur’an.Tapi…..

Adakah semua penuntut di institusi ini dipandang, diperlukan dan dilihat sepenting itu ? Tidak ! Kenapa ? Berapa ramai mereka ini yang pulang ke kampung bercuti, kelihatan solat berjamaah di masjid ? Kadangkala bila ditanya siapa Pengerusi Masjid , siapa imamnya, siapa bilalnya , ada yang tersipu-sipu malu untuk menjawab kerana tidak tahu. Kadangkala sengaja dilewatkan kehadiran ke masjid hampir dengan waktu iqamah agar tidak digesa menjadi imam. Benarkah mereka ini muncul ditengah-tengah kesibukan jiran tetangga mengadakan walimatul ‘urus untuk turut membantu, mengangkat hidangan atau membasuh pinggan ? Saat dimaklumkan mengenai pemergian seorang hamba Allah di kampung sendiri yang dilaungkan oleh tuan imam di pembesar suara masjid, bergegaskah mereka untuk bersama solat jenazah ? Inilah kebiasaan yang berlaku kepada orang yang luar biasa. Mengapa saya gelarkan mereka ini golongan luar biasa ? Tika manusia sebahagian besarnya tidak berminat dengan agama , mereka sanggup hidup dalam institusi ini. Tapi sayang…mereka sekadar mahu jadi orang yang biasa-biasa je , bukan luar biasa.

Soalnya kenapa mereka jadi begini ???
………………………………………………………………………………
Maaf, saya juga individu yang lahir dari SMA ( kalau di Kelantan disebut Sekolah Menengah Arab ). Jadi kritikan saya ini bersifat terbuka dek kerana melihat dengan penuh kebimbangan terhadap institusi agama yang sering dipermainkan oleh sang penguasa jahiliyah yang cukup prejudis terhadap agama dari dahulu sehingga sekarang. Inilah sifat nasionalis sekular yang tidak bertunjangkan agama.

Natijahnya, golongan pendidik yang kita gelarkan mereka guru, cikgu , ustaz , ustazah dan pengetua atau mudir sebahagiannya menjadi golongan yang semacam ‘mati rasa ‘. Tanggungjawab mendidik anak-anak ummat Islam seolah-olah sudah menjadi alat untuk penjanaan ekonomi dan kewangan peribadi sahaja. Maka, tidak hairanlah kalau seorang ustaz sudah merasakan cukup mengajar murud-muridnya di dalam kelas untuk menghabiskan silibus. Kita betul-betul amat merindukan pendidik yang menyampaikan ilmu dengan penuh perasaan bertanggungjawab dan meyakini tugasnya merupakan wasilah dakwah dalam membentuk peribadi dan memupuk nilai kepimpinan dikalangan pelajar. Namun…tidak ramai yang begitu !

Tamat jam 2.00 petang, maka berakhirlah tugasannya sebagai pendidik. Selepas itu, mengenai apa yang terjadi pada anak didiknya tentang solat atau tidak dirumah, siapa individu yang menjadi temannya, akhlaknya, kehidupan sosialnya langsung tidak pernah ditanya. Malang…saya yang pernah berada di zon ini merasainya dan saya yakin generasi dibawah yang sedang belajar berdiri sedang merasainya.

Wujud sekolah yang hanya menekankan soal prestasi pencapaian akademik pelajar, tapi mengabaikan soal untuk membentuk dan membina pelajar dengan kehidupan amal Islami. Program-program menjawab soalan peperiksaan hampir setiap bulan berjaya dibuat. Namun, untuk bertemu guru-guru, ustaz dan ustazah, pengetua atau mudir yang menjayakan Qiamullail bersama pelajar, amat sukar. Jika ada, memang luar biasa ! Individu yang menggemari sukan, maka sukanlah yang diberi penekanan kepada pelajarnya. Yang meminati dunia hiburan, macam-macam jenis bunyi alat muzik diajar pada anak muridnya guna untuk memenangi pertandingan-pertandingan antara sekolah. Yang meminati kadet-kadet dan berkawat, itulah kempen yang paling hebat disampaikan untuk menarik penyertaan pelajar.


Bila wujud kelompok-kelompok kecil dikalangan pelajar yang menyedari keperluan tarbiah digerakkan melalui organisasi, keperluan program-program bersifat pembetukan insan, ifthor , qiamullail, kem-kem solat dan seumpamanya, maka pergerakan mereka pasti terbatas. Sukarnya memohon kewangan untuk program sebegini. Tapi bila melibatkan program jalan-jalan, makan-makan angin..wah mudahnya.Disebalik malang ini, ada yang paling malang !

Malang apabila tenaga pengajar yang berkelulusan agama yang pulang dari Timur Tengah gagal berperanan di sekolah yang mereka berikan perkhidmatan. Malang apabila ustaz sukar untuk memakai kopiah dan rokok erat dibibir mulut. Malang apabila ustazah ke sekolah bersolek mengalahkan artis, sarung kaki tidak mampu dibeli, kasut berketak-ketuk bila berjalan. Malang apabila guru yang berada disekolah agama sanggup mengecil-ngecilkan peranan gerakan dakwah dikalangan pelajar. Saya masih teringat kata-kata seorang guru yang mengajar agama disekolah menengah kepada adik-adik saya yang menggerakkan tarbiah “ eleh, kamu waktu ni cakap pandai. Dulu waktu mula masuk sekolah tak macam ni pun. Saya tahulah perangai awak macam mana .” Adusss..nampak sedikit ketidakmatangan kan?. Kenapa tidak diungkit kejahatan Umar r.a sebelum masuk Islam. Hamzah r.a sebelum masuk Islam ?
………………………………………………………………
Ya, jangan pelik, pening, musykil jika melihat situasi pelajar agama apabila berkecimpung dengan masyarakat mereka. Mereka tidak diajar, dilatih, dipupuk dan dididik sebegitu. Inilah realiti sekolah menengah agama yang saya sampaikan secara jujur.Jadi, benarlah tajuk di atas – Sekolah Menengah Agama : Kilang Pengeluar Pemimpin Ummah ? Fikir-fikirkan…

Ya Allah, Jadikanlah Kami Lulusan Agama Yang Istiqamah Di Atas Jalan Mu. Janganlah Engkau Uji dan Datangkan Fitnah Yang Tidak Mampu Kami Hadapi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cerita lah sikit ramadhan di acheh guana? di syam sangat menarik.. buka blog aku