Ahad, 9 Mei 2010

Detik-Detik Cemas dan Mendebarkan 9 Mei 2010

Sukar untuk saya kongsikan detik-detik cemas yang kami lalui sekitar jam 2.30 petang (3.30 Malaysia) tadi pasca gempa di Meulaboh, Aceh yang berlaku pada jam 12.59 t.hari (1.59 Malaysia) dengan kekuatan 7.2 skala richter. Berikut catatan yang dapat saya sampaikan kepada teman-teman:

12.00: Saya sampai di rumah setelah menghantar abang yang datang ke Aceh 5-9 Mei ke Airport Bandara Sultan Iskandar Muda. Pesawatnya sekitar jam 12.45 t.hari. Tiba di rumah, sempat berehat sebentar.


12.45: Saya dan teman-teman satu rumah sewa solat Zohor berjama’ah di Masjid Desa Blang Krueng, Kecamatan Baitussalam, Kabupaten Aceh Besar. Rumah sewa kami anak-anak Malaysia di desa ini dan beberapa desa lain yang berdekatan. Pulang dari masjid, terus menghadap laptop.


12.59: Rumah sewa kami terasa bergegar. Semua lari keluar dari bilik dan menjerit “gempa..gempa..”. Dulu, kalau kami rasai gegaran gempa, hanya beberapa orang sahaja yang akan rasai iaitu mereka yang duduk atau berbaring. Kini tiada pengecualian lagi. Gegaran kali ini agak kuat berbanding 4 kali yang kami rasai sebelum ini. Tempoh gegaran pula lebih lama kali ini iaitu sekitar 2 minit lamanya. Dahulu hanya sekitar 15 saat – 30 saat sahaja. Lampu gantung dirumah bergoyang. Jiran tetangga keluar dari rumah masing-masing. Lama kami berdiri diluar rumah dalam keadaan gegaran masih kami rasai. Beberapa minit kemudian, kami masuk semula ke rumah setelah gegaran terhenti.


02.14: Berita singkat gempa terus saya update di blog. Dimana pusat gempa pun kami tidak tahu.


02.22: Berita kedua gempa saya update apabila mendapat maklumat dari website http://www.detik.com/ bahawa gempa berlaku dengan kekuatan 7.2 Skala Richter di kawasan laut Meulaboh, Aceh. Jaraknya dengan kami sekitar 4-5 jam perjalanan. Maklumat korban atau kerosakan bemul diketahui. Kami terus mengikuti maklumat dari televisyen yang segera memaparkan berita gempa di Meulaboh. Saat ini sebahagian teman-teman di rumah ada yang pergi makan kenduri Maulid dan lain-lain tempat.


02.30: Dua orang sahabat serumah yang turut ke kenduri Maulid di rumah seorang teman Aceh, iaitu Husaini dan Aizam tiba di rumah. Mereka berlari masuk ke rumah sambil bertempik meminta keluar dari rumah segera dan bawa passport serta IC. Awalnya, kami antara percaya dengan tidak, sebab memang kami banyak kaki kuat bergurau. Namun,keseriusan mereka yang memaklumkan kepada teman-teman dalam rumah yang lain agar membawa passport, menyebabkan kami percaya. Kata mereka “keluar rumah cepat..bawa passport dan IC je..air laut nauk dah…Tsunami…orang dari kampung sana dah lari masuk kampung nih…tinggal benda-benda lain..jangan peduli dengan laptop..”

Anda bayangkan kepanikan kami…jiran tetangga berhamburan keluar dari rumah. Saya keluar rumah, masuk semula. Tak tahu nak buat apa. Bayangan air hitam menerjah badan sudah terbayang. Masuk semula ke rumah. Kain pelekat saya gantikan dengan seluar. Cari passport. Keluar semula. Tengok depan rumah, kawan-kawan semua dah start motor dan membonceng untuk lari ke kawasan kampus. Saya pun keluar rumah. Tengok ada motor seorang teman yang saya pinjam untuk ke Airport tadi. Adusss..motor orang nih…hanyut dalam Tsunami..naya aku..itu yang terlintas. Lari masuk ke rumah seorang diri, cari kunci motornya. Lambat pula nak jumpa. Cari HP, lambat pula nak jumpa. Mulut tak henti-henti sebut ‘Allah…Allah..”. bayangan air sudah berada di kepala. Kami bergegas ke rumah kawan-kawan Malaysia di belakang rumah kami untuk memaklumkan agar tinggalkan rumah. Pintu pagar kami tutup. Sama-sama melintasi jalan di tengah sawah padi yang boleh tiba di IAIN Ar-Raniry.


Ketakutan jelas terlihat pada wajah jiran-jiran yang sempat ditemui. Manakan tidak, desa yang kami duduk ini pernah ranap dibantai Tsunami. Trauma 26 Dis 2004 masih ada di kepala mereka. Kami yang tidak dapat membayangkan bagaimana Tsunami tersebut pun, menggelabah yang teramat sangat. Wajah mak dan ayah di kampung mula bermain. Aduhhh…Ya Allah.

Seorang pak cik menahan saya untuk tumpang. Saya berhenti dan memandu dengan laju. Beliau menegur “jangan ngebut-ngebut…perlahan-perlahan aja..” . dia mohon diturunkan beberapa ratus meter sahaja dihadapan. Ibu-ibu kelihatan keluar dari rumah. Saya pula terus memandu seorang diri dan tiba di belakang Fak.Tarbiyyah, IAIN Ar-Raniry. Jarak antara rumah kami (Blang Krueng) dengan kampus hanya sekitar 1 km sahaja. Sampai di situ, orang ramai memenuhi sekitar jalan. Ibu-ibu ada yang membawa anak. Terus saya bertanya “abang, benar air laut naik bang?”..Beliau menjawab “nggak ada..udah dihubungi orang-orang sekitar desa di kawasan laut..nggak ada”. Antara percaya dengan tidak, saya mengambil HP dari poket seluar. Beg dibahu saya hanya smepat saya ambil passport dan beberapa buku bank.


No HP ayah di Malaysia saya hubungi. Ibu mengangkat. Air mata saya sudah tidak mampu ditahan lagi. “Assalamualaikum…mak…” Saya terhenti. “Mak..” Terhenti lagi. Akhirnya ia bertanya “kenapa nih..ada apa???”. Saya menggagahkan juga meneruskan bicara “mak..doalah kami selamat…sekarang tengah lari dengan motor dengan kawan-kawan lain…air laut dah naik..tadi gempa jam 1…doa je lah kami selamat mak..” . “Ya Allah..” itu sahaja ucapan yang dibalas ibu di Malaysia. Lama saya bersama orang ramai di sekitar jalan. Dalam kepala saya sudah terbayang mayat-mayat bergelimpangan nanti dan mungkin…saya dan kawan-kawan juga…air bergulung-gulung mula difikirkan.. Ya Allah…Ya Allah…


Sekitar 10 minit terus bergerak ke rumah teman-teman Malaysia yang lain. Mereka masih terpinga-pinga. Saya hanya sampaikan pesan YDP PKPMI-CA, “ok dah..takde apa-apa..apa-apa hal,standby je lah…”


Saya pulang semula ke Desa Blang Krueng. Belum ada yang pulang. Entah ke mana mereka lari, saya tidak tahu. Di desa, kelihatan warga masih ramai di luar rumah dan ditepi-tepi jalan. Ibu-ibu masih erat memegang anak kecil dalam dakapan. Motor bersimpang siur. Saya baru mendapat maklumat, mahasiswa Malaysia yang lain saat itu sedang berkumpul di MES PKPMI-CA. Pelan-pelan saya membuka pintu pagar rumah. Rasanya sudah selamat. Namun, hati masih ragu. Keluar semula dan bertanya kepada jiran-jiran. Mereka meyakinkan tidak ada Tsunami. Alhamdulillah…pulang semula ke rumah.

Anda tahu apa perasaan orang yang mendengar berita gempa atau Tsunami? Cukuplah saya sebagai contohnya:


1) Kalimah Allah tidak henti-henti diucapakn.

2) Dada sebak teramat sangat dan air mata mengalir.

3) Tidak peduli lagi barang penting lain. Lantaklah dengan tesis dalam laptop tu…boleh buat lain kali.

4) Peratus memikirkan orang lain sangat rendah. Rata-rata hanya memikirkan keselamatan diri sendiri.

5) Bayangan maut sudah menerjah jiwa.


Anda bisa bayangkan saat Allah jadikan Qiamat? Tiada lagi orang yang akan memikirkan pada anak dan isterinya..


Sebaik pulang ke rumah, barulah kami tahu dari televisyen, bahawa amaran Tsunami memang ada dimaklumkan. Ia adalah kerana di Meulaboh, selepas gempa, air laut kelihatan surut sedikit. Apabila surut, itu petanda Tsunami akan datang menyerang. Namun, amaran tersebut mungkin disalahfahami menyebabkan kami di sekitar Darussalam pun berhamburan lari meninggalkan rumah. Manakan tidak, jelas kami melihat warga dari desa lain lari ke desa kami. Mereka agak hampir dengan laut. Yang di desa kami pula berkumpul untuk lari ke desa lain…


Alhamdulillah, kini suasana tenang kembali apabila mengetahui maklumat sebenar dan apabila media telah melaporkan amaran Tsunami di Meulaboh telah ditarik semula. Alhamdulilah, tiada korban dilaporkan. Saya menerima makluman dari abang yang tiba di LCCT, KLIA, gempa di Meulaboh turut dirasai di Negeri Kedah dan sekitarnya.


[ Maaf, bukan tujuan untuk menakut-nakutkan sahabat-sahabat kerana saya dan kawan-kawan yang berada disini yang perlu merasa takut. Namun, sekadar perkongsian pengalaman menghadapi detik-detik cemas, dan agar kita memahami di bumi mana pun kita akan menemui Allah. Yang terpenting kita sentiasa siap menghadapinya apatah lagi dalam kondisi sedang menuntut ilmu Allah. ]


Gambar-gambar sekitar Meulaboh,Aceh dari : www.detik.com


1 ulasan:

CT berkata...

Walaupun saya di Malaysia tidak merasai kesemuanya, namun simpati tetap ada sebagai seagama dan naluri manusia. Moga kalian semua tabah menghadapi musibah yang melanda...