Jumaat, 7 Mei 2010

Pesawat Seulawah: Mercu Tanda Jihad Umat Islam Aceh Yang Dikhianati

Semalam saya menemani kekanda dari Malaysia yang bertandang ke bumi Aceh Darussalam. Selain membawa beliau menziarahi tempat-tempat tinggalan sejarah Tsunami, saya singgah di sebuah tempat yang sangat penting bagi sejarah perjuangan umat Islam Aceh khasnya bagi mereka yang menghargai sejarah dan mengetahui nilainya. Jarang kami membawa tetamu-tetamu dari Malaysia ke tempat tersebut walaupun lokasinya di tengah-tengah Banda Aceh juga. Tempat itu adalah ‘Monumen Perjuangan RI-001 Seulawah’.


Bagi sebahagian umat Islam di Aceh yang sempat hidup di zaman Republik Indonesia dipimpin oleh Sukarno sebagai Presiden pertama (1945-1967), mungkin air mata mereka akan mengalir lagi apabila mengenangkan pesawat Seulawah ini. Manakan tidak, di saat hampir keseluruhan bumi Indonesia dikuasai pihak kuffar Belanda, akhirnya Sukarno bergegas menuju ke bumi Aceh Darussalam selepas sempat ditawan pihak Belanda. Beliau bertemu ulama’ terkenal di Aceh saat itu sekaligus pimpinan para Mujahid Aceh, Teungku Daud Beureueh, yang berasal dari Beureueh, Sigli, Aceh.


Dengan mengalirkan air mata, Teungku Daud di minta pertolongan oleh Sukarno bagi menghadapi pihak Belanda. Di ciumnya Teungka Daud yang sering disapa dengan panggilan ‘Abu’ kerana ia dianggap bapa kepada umat Islam di Aceh saat itu. Bukan sekadar memohon bantuan para Mujahid Aceh, bahkan Sukarno berjanji akan memberikan ruang yang seluasnya kepada Aceh untuk menegakkan Syariat Islam jika Belanda berjaya dihalau keluar dari seluruh muka bumi Indonesia dan disaat beliau naik menjadi pemerintah Indonesia.


Wala’ dan ketaatan umat Islam terhadapa ‘Abu’ tidak berbelah bagi lagi. Mereka bukan sekadar menyiapkan para Mujahid bagi mempertahankan kawasan sekitar Sumatera, bahkan umat Islam di Aceh mengirim beras kepada Tentera Nasional Indonesia, mengirim wang dan yang paling besar dalam sejarah adalah, mereka sanggup menggadai emas-emas mereka semata-mata untuk mendapatkan sebuah pesawat bagi kegunaan tentera Indonesia. Malangnya….sebaik sahaja Belanda berjaya dihalau keluar dengan darah dan air mata para Mujahid ini, Sukarno mengkhianati umat Islam di Aceh. Pasukan tentera dihantar bagi memburu para Mujahid Aceh termasuk Teungku Daud. Entah berapa jumlah yang dihumban ke penjara, dibunuh, hilang tanpa khabar…kemuncaknya, Teungku Daud menyusun pasukan Mujahid menghadapi tentera Indonesia dengan misi menegakkan Negara Islam Indonesia. Perjuangan beliau sering disebut sebagai ‘Darul Islam (DI)’ atau ‘Tentera Islam Indonesia (TII).


Inilah gambaran bagaimana wajah golongan Nasionalis Sekular dalam menghadapi umat Islam yang ingin menegakkan Syariat Allah. Suasana ini jugalah yang berlaku di negara-negara umat Islam yang lain khasnya Negara-Negara Arab.


Gambar ini penulis rakam pada 27 0kt 2009 dan di dindingnya tercatat tulisan berikut yang sudah hampir pudar :


Peranan Pesawat Dakota RI-001 ‘Seulawah’ Dalam Perang Kemerdekaan


Pesawat jenis inilah yang dsumbangkan oleh rakyat Aceh kepada pemerintah Republik Indonesia pada masa perjuangan kemerdekaan dengan nomor RI-001. Dengan pesawat ini, blockade Belanda dapat diterobos dan hubungan antara pemerintah pusat di Yogyakarta dengan daerah-daerah di Sumatera khususnya Aceh dapat diwujudkan sehingga memperlancar jalannya roda pemerintahan.


Agresi militer Belanda II pada tahun 1948 memaksa pesawat RI-001 ‘Seulawah’ berpangkalan dan beroperasi di Rangoon, Burma.

Perjuangan yang dilakukan selama di luar negeri antara lain penerobosan pada malam hari terhadap blockade Belanda dengan mengangkut senjata dan mesiu ke pangkalan udara Lho’ Nga (di Aceh).


Mendirikan Indonesia Airways dalam membantu membiayai pengadaan senjata dan mesiu, pengadaan peswat C-47 Dakota RI-007 dan RI-009, membantu membiayai perwakilan-perwakilan RI di luar negeri dan pendidikan calon penerbang serta teknisi, auri di luar negeri.


Melalui pemancar radio ‘Indonesia Airways’ berita-berita perjuangan di tanah air diteruskan ke beberapa perwakilan RI di luar negeri dan Perserikatan Bangsa-Bangsa (PBB).


Pengabdian rakyat Aceh dalam perjuangan menegakkan dan mempertahankan kemerdekaan negara kesatuan Republik Indonesia yang diwujudkan dengan sumbangan pesawat ini mencerminkan jiwa kejuangan yang patut ditauladani dan dilestarikan oleh seluruh rakyat Indonesia sepanjang masa.


Udep Sare Mati Sahid.


Banda Aceh, 29 Julai 1984.


Di sebuah batu disekitar pesawat, tercatat pula maklumat berikut:


Dengan Rahmat Allah s.w.t

Monumen Perjuangan RI – 001 ‘Seulawah’ ini dibangun sebagai tanda penghargaan yang tulus ikhlas dari Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara kepada rakyat Aceh dalam rangka menegakkan dan mempertahankan kemerdekaan negara kesatuan Republik Indonesia yang berdasarkan Pancasila dan Undang-Undang Dasar 1945 pada masa 1948-1950.


Banda Aceh, 29 Julai 1984

Kepala Staf TNI Angkatan Udara

(Sukardi)

Marsekal TNI


Gubernor / Kepala Daerah Istimewa Aceh

(H.Hadi Thajeb)


Catatan: Udep Sare Mati Sahid adalah slogan umat Islam Aceh yang berbahasa Aceh yang digunakan ratusan tahun lamanya sejak menghadapi penjajahan kuffar Belanda sehinggalah regim Sukarno dan Suharto. Artinya adalah ‘Hidup Mulia Atau Mati Syahid’. Di dalam bahasa Arab sering disebut عش كريما أو مت شهيدا.

Tiada ulasan: