[ Dedikasi buat sahabat-sahabat yang diamanahkan sebagai penyambung mata rantai perjuangan bagi sesi 2010/2011: YDP (Al-Akh Zulkarnain b.Aman Razali), Tim.YDP (Al-Akh Hafiz b.Fathil), Setiausaha (Al-Akh Shahrul Hazlan), Bendahari (Al-Akh Azree bin Abdullah). Peng.Helwani (Al-Ukht Ummu Najah Abdul Shukur), Tim.Peng.Helwani (Al-Ukht Nor Alifah bt.Abu Naim), Tim.Setiausaha (Al-Ukht Shuhada Abd.Rahim), Tim.Bendahari (Al-Ukht Husna).]
Tanggal 16 Mei 2010, secara rasminya saya tinggalkan kerusi kepimpinan dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cabang Aceh (PKPMI-CA) bersama teman-teman yang lain. Entah siapa yang bakal mengisi kekosongan Biro Dakwah & Pembangunan Insan nantinya, kami serahkan kepada anggota Majlis Tertinggi PKPMI-CA yang sudah terpilih melalui pilihanraya 15 Mei kelmarin dan diumumkan pada Muktamar Sanawi semalam. Mereka tahu siapa yang terbaik dan selayaknya untuk jawatan tersebut dan lain-lain biro di dalam persatuan sesi 2010/2011 mendatang.
Muktamar Sanawi (Muktamar Tahunan) sudah melabuhkan tirainya. Sebahagian besar dari jumlah mahasiswa Malaysia yang berada di Aceh tepatnya sebagai penuntut di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry hadir sebagai perwakilan muktamar. Al-Fadhil Ust Isra’ Ahmad Syah, pensyarah Fakultas Syariah yang merupakan antara penasihat dan pembina kepada PKPMI-CA sudi meluangkan masa sebagai perasmi muktamar. Banner muktamar tercatat tulisan ‘Muktamar Sanawi PKPMI-CA Kali Ke-20”. Khabarnya, persatuan ini sudah bertapak di Aceh sejak tahun 1985 disebalik hiruk pikuk kebisingan konflik. Lalu tenggelam pula di tengah-tengah badai Tsunami yang mengganas.
Muktamar adalah medan muhasabah ahli terhadap pimpinan selama tempoh mereka memimpin. Ia medan untuk sama-sama memberi krtikan atau teguran yang membina guna memperbaiki atau meningkatkan kualiti sebuah organisasi. Ia adalah sesi muhasabah di dunia sebelum sesi ‘muhasabah’ khusus dihadapan Allah kelak. Organisasi yang tidak diamanahkan kepada mereka yang memahami dakwah, tarbiah dan perjuangan Islam, tentu sangat asing dan sulit untuk memahami keperluan muktamar. Bahkan terasa kekok dan janggal menggunakan kalimah ini. Bahasa Melayunya boleh sahaja disebut ‘Perhimpunan Agung’, namun jangan jadi perhimpunan agung UMNO yang bukan menjadi medan muhasabah, tetapi medan pengampu berlatih menjadi pengampu terbaik dan pembodek belajar menjadi pembodek berjaya. Datang, duduk, dengar dan dapat duit (4D).
Tanpa ada muktamar, maka organisasi pun terus meluncur laju tanpa kawalan di bawah kepimpinan tanpa teguran. Maka bergeraklah ia tanpa ada penambahbaikan. Tanpa ada muktamar, maka tenang dan senanglah para pemimpin yang terpilih, namun tiada apa-apa perancangan. Tiada penegurnya, tiada pengkritisinya. Namun, muktamar bukan pula medan memaki hamun tanpa akhlak dan mengkritik tanpa cadangan.
Suka, duka, ceria, tegang dan tenang mewarnai muktamar kami semalam. Yang tahu atau pernah bermuktamar, pasti tiada yang memeranjatkan. Yang tidak tahu dan tidak pernah menyaksikan, tentunya merasai sebuah hal baru bercampur sedikit kekekokan. Ada yang baru kali pertama mendengar istilah ‘ucapan dasar’, ‘speaker muktamar’, ‘pencatat minit’, ‘perbahasan laporan dan usul’ dan sekitarnya. Ada yang memegang buku laporan muktamar, namun tidak tahu untuk membahaskan apa-apa. Semuanya itu sebuah pelajaran dan pengalaman. Pengalaman barang mahal. Ia tiada di bilik kuliah. Ia ilmu dan ilmu tidak semestinya tercatat di dalam buku. Maka, carilah ilmu dimana-mana.
Muktamar bukan sesi mengeluarkan hujjah atau alasan untuk melepaskan diri bagi menutup kelemahan dan kesalahan. Fakta atau data yang salah perlu diluruskan. Namun, kesilapan jangan dipertahankan. Muktamar juga bukan sesi membalas dendam atau melepas geram. Ia ruang kritikan membina agar kebaikan dikecapi bersama. Pengkritik muda dicari tanpa perlu diundang. Namun, pemberi solusi tersangatlah sulit untuk ditemui.
Muktamar menghasilkan bebarapa keputusan, maka hargailah dan hormatilah keputusan tersebut. Jika kita berikrar untuk menjaga kesatuan bersama, maka tolonglah siap berdiri dengan penuh kegarangan menghadapi musuh-musuh yang berusaha merosakkan kesatuan yang terbina ini baik dari musuh yang terlihat dimata kasar atau sebaliknya atau musuh yang mempunyai nama atau tidak bernama atau musuh yang berorganisasi atau tidak berorganisasi. Peliharalah kedaulatan PKPMI-CA. Pelihara ia dari unsur-unsur yang tidak Islam.
Kami bersyukur kepada Allah kerana memudahkan kami merencana dan melaksanakan sebuah muktamar kepada sebuah persatuan. Kami adalah organisasi Islam. Maka muktamar adalah sebuah hal yang sangat-sangat perlu dijaga dan dipertahankan oleh kepimpinan dalam organisasi Islam. Jangan bermudah-mudah soal naik turun kepimpinan. Jika benar ini mesyuarat agung persatuan kali pertama yang dilakukan secara muktamar, maka kami memohon kepada Allah agar memasukkan kami dikalangan mereka yang disabdakan oleh Rasulullah SAW sebagai ‘orang yang melakukan sunnah yang baik, lalu diikuti oleh orang lain’. Mudah-mudahan pemikul-pemikul amanah baru yang telah tersedia ini, meneruskan sunnah yang baik ini.
Tahniah kepada teman-teman yang terpilih untuk menerajui PKPMI-CA. Tahniah kerana anda dibebankan dengan kerja-kerja kebaikan untuk ummah. Peliharalah ia sebaik mungkin agar ia benar-benar menjadi ruang hidayah dan redho Allah pada kalian. Takziah kepada kalian yang terpilih memimpin PKPMI-CA. Takziah kerana anda diamanahkan dengan beban yang berat yang akan disoal Allah. Berhati-hatilah!
Buat diriku dan teman-teman yang turun dari kerusi kepimpinan semalam, kita hanya melepaskan jawatan rasmi di persatuan, namun jawatan sebagai khalifah (iqamatuddin wa siyasatud dunya bih) tidak bisa ditanggalkan. Khalid Al-Walid dipecat oleh Umar ditengah berkecamuknya peperangan, namun terus memacu kuda menggempur musuh. Saat ditanya bagaimana perasaannya, ia hanya menjawab “aku bekerja bukan kerana Umar”. Menjadi Khalid bukanlah mudah, namun kita berusaha ke arahnya. Kita tidak dipecat saat berperang pun. Membantu urusan ummah bukan hanya saat ada jabatan. Wallahua’lam.
1 ulasan:
b erjuang mulai dari diri sendiri, yg membuat hidupmu berarti bagi lingkunganmu adalah perjuangan yang baik
Catat Ulasan