Rabu, 11 Mac 2009

Pembentukan Keluarga Islam ( Baitul Muslim )

Sambungan artikel lalu mengenai pemahaman Unit Bait Muslim dan peranannya…


Pada bahagian pertama dan didalam bab ke-4 iaitu “ Saya Mestilah Muslim di Sudut Keluarga” , Ust Fathi Yakan menerangkan kepada kita mengenai persedian yang perlu dilakukan sebelum dan selepas perkahwinan agar ianya benar-benar menjadi ibadah kepada Allah dan matlamat mewujudkan suasana keIslaman dalam keluarga benar-benar tercapai.


Tanggungjawab Sebelum Perkahwinan


1) Saya mestilah berkahwin kerana Allah atau dalam erti kata lain membina rumahtangga Muslim, untuk melahirkan keturunan yang sholeh, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan hidayah Allah itu secara berterusan sebagaimana firman Allah:


“ ( mereka kembang biak sebagai ) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain “ ( Al-Imran: 34 )


2) Saya mestilah menjadikan perkahwinan saya untuk tujuan menjaga pandangan saya, memelihara kemaluan saya serta bertaqwa kepada Allah. Sabda Rasulullah :


“ 3 golongan yang Allah berhak menolong mereka. Pertama: Orang yang berjihad di jalan Allah, kedua: hamba mukatab ( yang berjanji untuk menebus diri ) yang menunaikan bayarannya dan ketiga: orang yang berkahwin tujuan untuk memelihara dirinya “ ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )


3) Saya mestilah memilih bakal isteri yang baik kerana dengannyalah saya berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan.


4) Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan kecantikan. Sabda Rasulullah:


“ janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikannya, kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu kahwini wanita kerana kekayaannya kerana boleh jadi itu akan menjadikannya rosak. Maka kahwinilah kerana pegangan agamanya. Hamba perempuan yang cacat dan hodoh tetapi baik agamanya, adalah lebih baik”. ( Hadis Riwayat Ibnu Majah )


5) Saya mestilah berhati-hati supaya tidak menyalahi perintah Allah dalam urusan ini kerana takut kemurkaan Allah dan seksaNya. Sabda Rasulullah:


“ sesiapa yang mengahwini wanita kerana memandang kemuliaannya ( kedudukannya ) sahaja, maka Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya melainkan kehinaan, sesiapa yang berkahwin kerana kekayaannya, maka Allah tidak akan menambahkannya melainkan kefakiran, sesiapa yang berkahwin kerana keturunannya, maka Allah tidak akan menambahkan apa-apa kepadanya melainkan kerendahan. Tetapi sesiapa yang berkahwin kerana menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya (dari perbuatan haram), atau kerana menghubungkan silaturrahim, maka Allah akan memberkatinya dan isterinya” ( Hadis Riwayat Abu Nu’aim ) .


Tanggungjawab Selepas Perkahwinan


1) Saya mestilah berlaku baik terhadapnya dan memuliakan dalam hubungan mu’amalah untuk membina jambatan saling percaya mempercayai diantara saya dan dia. Sabda Rasulullah:


“ orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik perlakuan pada isterinya dan akulah orang yang paling baik perlakuan terhadap isteri” ( Hadis Riwayat : At-Tirmidzi dari Aisyah r.a )


2) Hubungan saya dan isteri tidak seharusnya hanya terbatas setakat hubungan ditempat tidur dan melepaskan keinginan syahwat semata-mata. Malah hubungan diantara kami mestilah hubungan yang dapat menjalin persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan dan kasih sayang. Kami sama-sama membaca, menunaikan sebahagian dari ibadat bersama-sama , turut mengatur urusan rumah tangga dan meluangkan masa tertentu untuk bergurau senda dan bermanja.


Dalam hal bermanja ini, Rasulullah sampai pernah berlumba kejar mengejar dengan Aisyah r.a , manakala dalam urusan rumahtangga, Rasulullah banyak melakukan kerja antaranya menjahit dan memperbaiki kasut.


3) Selain dari urusan diatas, seluruh hubungan saya dan isteri mestilah tidak keluar dari batas-batas Syariat , tidak menjatuhkan nama baik Islam dan tidak tercebur kedalam hal-hal yang haram.


Sabda Rasulullah: “ tidak seorang yang tunduk menurut kehendak wanita, melainkan Allah akan mencampakkannya kedalam neraka”

Sabda Rasulullah: “ Celakalah orang yang menjadi hamba isterinya”


Tanggungjawab Bersama Dalam Mendidik Anak-Anak


Perkahwinan antara lelaki dan wanita yang sholehah dan membentuk pasangan suami isteri yang serasi adalah saham yang sangat besar dalam pendidikan Islam kepada anak-anak . Sebaliknya, kesilapan awal dalam soal pemilihan ini adalah antara punca keburukan dan keruntuhan ke atas rumah tangga keseluruhannya.


Pertentangan antara suami dan isteri akan mempengaruhi langsung dalam soal pendidikan anak-anak dan jiwa mereka. Ekoran itu, sifat kekusutan jiwa dan penyimpangan juga bakal diwarisi oleh anak-anak.


Maka anasir yang pertama dalam menjamin pendidikan anak-anak adalah: melaksanakan perkahwinan yang menurut ajaran Islam.


Sumber rujukan: Apa Ertinya Saya Menganut Islam – Ust Fathi Yakan.

Sila rujuk buku ini untuk penjelasan lanjut dan dalil-dalil lain yang disertakan yang penulis tidak memetik sepenuhnya. Afwan.



Catatan: Permulaan perhubungan dengan jalan yang haram dan penuh syubhah akan merosakkan matlamat pembinaan keluarga Islam. Hindarilah hubungan haram sebelum perkahwinan yang sudah menjadi kebiasaan dan perhubungan yang melampau seolah-olah sudah hidup sebagai suami isteri. Semuanya sudah dikongsi bersama, dibantu bersama, dirasai bersama dan sebagainya. Mengharapkan kehidupan yang baik dalam rumahtangga, namun memulai perhubungan dengan cara yang jelas haram, maka usah diharap rahmat Allah dan barakah daripadaNya. Fikirkanlah…

Tiada ulasan: