dari Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam saya menulis:
44 partai politik mewarnai Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 09 April ini. Poster, banner dan lambang-lambang pelbagai partai politik memenuhi setiap ceruk kota sehingga ke hujung desa. Pelbagai tawaran dan janji diwar-warkan. Yang masuk akal dan yang tidak masuk akal, semua ada. Yang berjanji untuk memberikan pelbagai perkhidmatan percuma apabila berjaya dipilih nanti terdapat juga. Perkhidmatan kesihatan percuma, pengajian percuma dan pelbagai tawaran mereka. Namun, rata-rata rakyat bijak menilai tawaran-tawaran tersebut dan memahami benar sikap ‘orang politik’ dan partai mereka.
Jika di Malaysia, berlaku provokasi merosakkan poster-poster partai lawan, di Indonesia juga begitu. Di Aceh, menjelang Pemilu hampir setiap hari berita kerosakan lambang-lambang partai dilaporkan akhbar harian disini. Antaranya, Partai Aceh (PA) yang merupakan lanjutan dari Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang kini menguasai pemerintahan Aceh melalui wakilnya yang kini menjawat jawatan Gubernor Aceh, Irwandi Yusuf ( foto ). Wajah calon PA di poster dibeberapa tempat ditampal dengan gambar monyet. Ada dua kemungkinan, pertama, ia dilakukan oleh mana-mana individu dari partai lain dan kedua, boleh jadi tindakan individu dipihak mereka juga yang sudah ‘menyampah’ dengan PA seperti orang-orang GAM yang benar-benar bersusah payah berjuang puluhan tahun lalu, namun ‘nikmat’ perjuangan dirasai oleh pihak lain. GAM pada awalnya dipimpin oleh ulama’ yang berjuang menghadapi pemerintah pusat yang ‘menjajah’ Aceh. Kini, PA (Gam) dilihat tidak jelas lagi dan sudah berhaluan secular.
Jika di Malaysia berlaku budaya ugutan kepada petugas-petugas dari partai lain, disini juga berlaku khasnya kepada partai-partai baru yang mula bertapak di Aceh. Contohnya, kader-kader dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang bertugas dibeberapa kawasan yang agak hulu atau ceruk Aceh sedikit. Mereka sering diugut, bahkan ada yang dipukul. Tidak boleh ditutup lagi siapa dalangnya melainkan ‘orang-orang’ PA sendiri yang menganggap partai-partai lain ‘mengganggu’ kawasan mereka. PA (Gam) sinonim dengan masyarakat di kampung-kampung kerana perjuangan mereka dahulu dikawasan-kawasan tersebut. Jika di kota-kota seperti Banda Aceh, kibaran bendera PA sudah berjaya ditenggelamkan oleh puluhan bendera dan lambang partai-partai lain.
Kampanye
Kebebasan di Indonesia tidak memerlukan partai-partai politik berpenat lelah menyusun jadual ceramah setiap malam seperti di Malaysia yang sangat tidak demokratik menyekat pihak lawan berbicara di media. Ruang untuk mana-mana partai mengiklankan partai mereka di TV terbuka seluas-luasnya. Tinggal lagi, mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak atau tidak untuk promosi di media tersebut. Jika tidak mampu, mereka masih ada ruang di akhbar-akhbar harian.
Hampir kesemua partai mempunyai gaya dan penampilan yang sama dalam berkampanye. Melalui rapat-rapat umum, program-program kebajikan menjelang Pemilu, dibuka rawatan percuma, memberikan sticker partai kepada semua golongan dan sebagainya. Istilah ‘merayu undi’ iaitu pergi ke rumah-rumah yang sering dilakukan oleh kader-kader PKS disebut sebagai ‘direct selling’.
GOLPUT
Kontroversi Golput kini menebar ke seluruh kelompok masyarakat. Golput adalah akronim kepada ‘golongan putih’ iaitu mereka yang mengambil keputusan untuk tidak keluar memilih atau berpihak kepada mana-mana partai.
Pro dan kontra meletus gara-gara fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) lebih sebulan yang lalu yang mengharamkan mereka yang menjadi Golput iaitu tidak mahu memilih. Kecaman demi kecaman menerjah keputusan MUI tersebut. Menurut MUI memilih pemimpin adalah kewajipan dan semua pihak bertanggungjawab memilihnya.
Bagi beberapa pihak seperti Hizbut Tahrir Indonesia, mereka berpenat lelah menyampaikan penerangan-penerangan melalui risalah dan majlis-majlis mereka yang meminta agar umat Islam di Indonesia tidak keluar memilih atau menjadi Golput. Ini kerana, bagi mereka, menglibatkan diri dengan system demokrasi adalah haram dan bukan penyelesaian masalah. “Khilafah perlu menggantikan demokrasi’. Itulah slogan mereka yang sangat baik, namun masih kekurangan apabila penjelasan bagaimana system itu bisa tertegak, melalui kaedah dan step-step yang bagaimana, tidak digariskan secara jelas. Sedangkan perubahan system itu bisa berlaku melalui ‘islah al-hukumah’ terlebih dahulu iaitu memperbaiki kerajaan dan kerajaan itu mesti diserahkan kepada orang-orang yang terpercaya matlamat Islam sebagai perjuangannya.
Namun, bagi pihak-pihak sebegini, mereka berkeyakinan bahawa semua calon-calon pemilu tidak cukup syarat untuk menjadi pemimpin umat Islam dari sudut keimanannya, kethiqahannya dan taqwanya. Kaedah, mengambil mudarat yang paling ringan apabila bertemu dua mudarat yang besar sukar difahami bagaimana mereka membahasnya. Wallahua’lam.
Terkini
Sebuah website terkenal Indonesia iaitu http://www.detik.com/ yang telah membuat Polling SMS mengenai partai-partai yang menjadi pilihan pembaca, sehingga tarikh 25 Mac jam 07.36 pagi tadi ( 8.36 Malaysia) mendapati keputusan setakan ini seperti berikut:
a) Partai Kadilan Sejahtera (PKS) : partai no 8
46%
b) Partai Demokrasi Pembaruan (PDP) : partai no 16
13%
c) Partai Demokrat (Susilo Bambang) : partai no 31
12%
d) Partai Damai Sejahtera (PDS) – partai Kristian : partai no 25
08%
e) Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) : partai no 5
04%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan