Pandangan 3 > aktivis dakwah
Bi’ah Sholehah adalah istilah atau kalimah Bahasa Arab yang bermaksud ‘persekitaran yang Islami’. Didalam Bahasa Inggeris, ia disebut Islamic Environment. ( Rujuk kamus Bahasa Arab ejaan Bi’ah, jangan tertukar dengan Bai’ah ! ).
Bagi sebuah gerakan dakwah yang murni perjuangannya, hadaf membentuk lingkungan atau persekitaran yang Islami adalah satu tuntutan yang perlu dilaksana dengan serius. Ia bukan agenda diatas kertas kerja yang di’taqwim’kan sebagai program tahunan, bulanan atau mingguan semata-mata. Ianya wajib dijadikan agenda harian semua aktivis dakwah sekalipun ia tidak didokumentasi secara bertulis atau diarah secara rasmi oleh ketua sekalipun. Gerakan dakwah yang saya maksudkan, adalah gerakan dakwah di kampus.
Inilah Manusia
Membentuk manusia tidak semudah membentuk binaan bangunan. Bangunan dibina dari batu bata dan simen yang tidak mempunyai nafsu, otak dan aqal. Maka, dia akur dengan segala kehendak pekerja binaan yang menyusunnya satu persatu tanpa sedikitpun perasaan mahu memberontak. Manusia makhluk bernafsu, berotak dan beraqal. Iman mereka tidak akan stabil atau naik berterusan sampai ke kemuncak yang paling tinggi. Ianya perlu sering diperhati, ditegur, dibimbing bahkan sekali-sekala perlu juga dirotan dan diketuk jika terlajak degil.
Persekitaran yang baik atau Islami bakal membentuk peribadi manusia. Manusia yang sudah lali dalam persekitaran yang kotor, jijik dan padat dengan kotoran munkar dan jauh dari akhlak Islam bakal melahirkan menjadi manusia yang cinta dan berminat juga dengan persekitaran begitu walaupun dia dari anak kepada ibu dan bapa yang bertaqwa sekalipun. Itulah kesukaan nafsu. Membunuh nafsu satu kerja yang tidak waras dan professional. Nafsu adalah anugerah Allah. Yang diminta adalah mengawal, bukan membunuhnya, kerana ada beberapa waktu dan ketika, kita juga memerlukan nafsu itu. Makan, minum, tidur, berkahwin, mahukan anak dan sebagainya, itu juga bahagian dari proses keperluan yang melibatkan nafsu.
Kebiasaannya, manusia yang berada dalam persekitaran yang baik, akan ke mana-mana sahaja dengan satu perasaan cinta dan rindukan suasana yang baik dan begitulah sebaliknya. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga segelintir yang sudah lali dalam persekitaran yang baik, namun ditempat-tempat yang lain, ia berubah dan berminat dengan suasana muram dosa dan mungkar. Pun begitu, beberapa kes-kes terpencil sebegini, bukan menjadi dan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita mengungkapkan bahawa ‘arghhh…sama sahaja bi’ah baik atau tidak..kalau nak jadi jahat, jahat jugak !..”
Ciri-Ciri Bi’ah Sholehah
Mendefiniskan konsep atau ciri-ciri Bi’ah Sholehah agak sukar. Bukan sukar kerana kalimah ini adalah kalimah Arab. Memang istilah-istilah dakwah ini kebanyakannya dan sangat banyak dari Bahasa Arab. Islam itu sendiri dari bahasa ini. Aslinya sesuatu ilmu dan fahamnya sesuatu itu dengan ‘fahmud doqiq’
Melibatkan diri dengan gerakan dakwah adalah satu ‘rahmat dan nikmat’ bagi mereka yang bukan dari pengajian Islam, kerana disinilah Allah membuka ruang luas bagi mereka mendekati dan bermanja dengan bahasa Nabinya. Bahkan, beberapa kalimah Arab hasil dari mengikuti program-program tarbiyyah oleh aktivis dakwah, kini menjadi kalimat biasa dalam perbualan harian. Subhanallah.
Makin ramai membicarakan apa itu Bi’ah Sholehah, maka makin banyaklah pendefinisian yang dikeluarkan. Tidak berkesudahan kerana luasnya ilmu Allah sehingga aqal manusia sentiasa berfikir-fikir dalam memberikan pendefinisian yang dikira terbaik bagi dirinya.
Jika anda mengaggap bi’ah sholehah itu hanya soal pemakaian jubah bagi muslimah, berkopiah bagi muslimin, kalimah ‘ana anta’ atau ‘akhi ukhti’ jadi bualan, solat berjama’ah di masjid dan penjagaan ikhtilat antara ikhwah dan akhawat semata-mata, ketahuilah bahawa pemahaman anda masih sangat terbatas dan perlu ditingkatkan. Jika kita sudah bercelaru mencari ta’arif Bi’ah Sholehah, maka cuba kita pusing kebelakang sebentar dan mencari apa ta’arif Bi’ah Sayyi’ah ( persekitaran yang jahat / buruk ). Andai gagal juga, maka marilah kembali melihat Sirah Rasul yang lumat dikhatamkan untuk dijadikan silibus usrah untuk adik-adik dibawah.
Didalam Sirah ada menerang apa itu Jahiliyyah. Arab digelar Jahiliyyah bukan kerana bodohnya dalam pelajaran. Mereka sudah mampu membina bangunan, mampu berniaga, mampu bergerak jauh dipadang pasir, mampu bercucuk tanam dan mengembala. Maka, Jahiliyyah disandarkan kepada mereka lebih dari itu adalah kerana mereka hidup tanpa naungan petunjuk. Petunjuk itu adalah Islam. Menolak Islam sebagai system kehidupan bermakna menolak petunjuk. Mereka mempunyai undang-undang, namun undang-undang yang hanya menguntungkan kelompok tertentu. Mereka berjual beli dan bermuamalah, namun mereka mengenepikan akhlak. Maka lawan bagi Islam adalah Jahiliyyah.
Hijrah ke Madinah adalah permulaan kepada pertukaran zaman gelap Jahiliyyah kepada cahaya Islam. Madinah dijadikan kerajaan Islam kerana Islam perlu di’kerajaan’kan. Jika tidak, ia hanya menjadi teori-teori dibilik kuliah atau dimasjid sahaja. Penguatkuasaan berlaku bila Islam memerintah, bukan diperintah. Negara Madinah dibentuk persekitaran menjadi Islam. Makkah dimasuki dan di Islamkan. Islam dimulai dengan pemahaman Aqidah, kemudian Ibadah, kemudian Akhlak, muamalah dan seterusnya bergerak pantas meliputi semua aspek kehidupan. Apabila teori ini dipraktiskan dalam kehidupan, Madinah berhak menerima penghormatan sebagai Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur. Maksudnya ‘Negara yang baik dan berada dibawah keampunan Allah’. Baiknya Negara hanya dengan Islam. Jika Negara maju, aman damai sekalipun, ia tidak berada dibawah keampunan Allah jika kebaikan atau kemanan dan kemajuan itu dengan mengenepikan Islam.
Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur di wilayah kampus
Melaksanakan hukum hudud atau syariat Islam didalam kampus, suatu yang tidak masuk aqal, bahkan itu bukan tugas gerakan dakwah atau Presiden mahasiswa atau rector pusat pengajian. Ia adalah tugas pemerintah. Namun, unsur-unsur atau syiar-syiar Islam itu boleh diterapkan dikampus sebatas kemampuan yang kita mampu laksanakan.
Kempen-kempen menutup aurat, ajakan solat berjama’ah di masjid-masjid atau surau-surau kampus, budaya memberi salam kepada yang dikenal atau tidak (asalkan Muslim), mempertahankan penampilan pemakaian yang baik dan tidak berfesyen yang ‘menakutkan’ mata memandang, menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan, bertemu dengan muslimin jika ada keperluan dengan cara berteman, mewujudkan budaya membaca Al-Qur’an dimana-mana lingkungan dalam kampus, wujud budaya membaca dimana-mana tempat, suasana masjid dan musolla yang tidak lekang dari kuliah-kuliah pengajian……………baaaaanyak sangat !
Apa yang betul dengan Islam, usahakan penebarannya. Apa yang tidak betul dengan Islam, itu Jahiliyyah namanya. Pelajar perempuan ke kuliah dihantar teman lelaki (belum berkahwin), itulah Jahiliyyah. Masuk ke kelas, terjerit-jerit dan bertepuk peha sesuka hati lelaki dan perempuan, itulah anasir Jahiliyyah. Kulaih dimasjid disekat dihalang, itulah Jahiliyyah.
So, laksanakanlah apa unsur-unsur Islam ini setakat yang termampu. Mudah-mudahan konsep Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur itu berjaya diterapkan sedikit sebanyak dikampus. Pedulikan soal kampus anda besar dan berbilang kaum sekalipun. Optimislah anda akan usahakannya. Setidak-tidaknya dalam lingkungan anda: pelajar-pelajar Muslim atau setidak-setidaknya di Fakulti anda atau dikediaman anda.
Mudah-mudahan tidak timbullah lagi bunyi-bunyi sinis “ bi’ah sholehah ini kena cakap ana anta ye? Kena panggil muslimat ye, tak boleh panggil perkataan perempuan ye?”…:)
Kesan Bi’ah Sholehah
Jiwa-jiwa yang sudah hidup dalam persekitaran yang baik atau Islami ini, akan keluar dari kampus. Melihat Negara yang persekitarannya kotor dengan debu-debu dan habuk-habuk dosa dari pusat pemerintahan Negara sehingga ke ceruk kampung membuatkan hati, jiwa dan kepalanya senak. Suasana ‘Sayyi’ah’ ini perlu dirubah segera. Puncanya kerana dia telah terbit dari zon yang baik yang mewajibkan dirinya untuk membaikkan pula setiap lingkungan persekitaran yang bakal ditempuhnya diluar kampus, walaupun persekitaran diluar yang jahat itu sudah dirasai dan disaksikannya dari kampus lagi.
Toleh ke belakang sebentar
Saat awal kita mendayung perahu dan menarik sauh bahtera gerakan dakwah dengan kelompok yang sangat kecil dan sering diperkecilkan, maka agenda atau kalimah Bi’ah Sholehah itu tidak kering dibibir dizikirkan setiap kali bertemu sesama aktivis dan ma’du-mad’u baru.
Kita bangkit bermodalkan agenda Bi’ah Sholehah sehingga ratusan simpatisan akhirnya tertarik untuk bergerak bersama kita. Akhirnya, gelombang pemikiran Islam ini diterima dengan baik dan kita berjaya menjadi penguasa kampus. Maka, tika kita sudah dipuncak ketinggian itu, sekali sekala cuba lihat ke bawah agar kita melihat bahawa tempat tinggi itu kita capai bermula dari agenda Bi’ah Sholehah yang kita laung-laungkan.
Jika kita tidak mahu atau sudah bosan membicarakan laungan ini kepada public sekalipun, sekurang-kurangnya kepada telinga-telinga para aktivis dakwah ini perlu juga diteriak pekikkan agar setiap waktu mereka melihat kepimpinan adalah wasilah dakwah, kepimpinan adalah wasilah tarbiyyah, kepimpinan adalah amanah Allah dan Islam, bukan sekadar amanah mahasiswa umum yang mengimpikan ‘kebajikan-kebajikan’ peribadi semata didalam kampus. (namun, bukan bererti pemimpin mengenepikan urusan kebajikan kerana kebajikan yang terjaga juga adalah kredit mahal bagi gerakan dakwah menagih sokongan bahkan kebajikan juga salah satu dari amanah Allah yang perlu dilaksanakan).
Pandangan boleh berbeza
Wahdatul Fikr iaitu kesatuan dalam pemikiran. Namun konsep pelaksanaanya bukan sampai menyekat kita untuk berbeza pandangan. Pelbagaikanlah pandangan. Kecuali keputusan yang mutlaq dari Allah, jangan kalian bahaskan lagi.
Begitulah dalam soal Bi’ah Sholehah, jika ada yang berpandangan berbeza dengan kita, terimalah dan bisikkan didalam hati ‘mungkin ini ijtihadnya’ sahaja. Jika betul, beruntunglah 2 pahala untuknya. Jika tidak, dapat juga satu.
Akhir kalam
Yang penting, jangan terbit istilah bosan sudah membicarakan Bi’ah Sholehah. Murnikan kembali laungan Bi’ah Sholehah ini yang bisa sahaja diupgrade dengan ‘versi baru’ yang anda rasakan asal tidak menyalahi bimbingan wahyu Ilahi. Maka, melihat kepada keperluan, dan kepentingannya, wajarlah hadaf Bi’ah Sholehah ini dipekikkan dan dihingar bingarkan lagi khas kepada aktivis dakwah dikampus.
Cita-cita berfikiran setinggi Negara, berfikir sebagai seorang bakal pemerintah Malaysia, bukan sebagai ‘pihak pembangkang’ lagi, berbicara seperti ‘kerajaan dalam penantian’, insyaAllah tidak akan terbantut dan mengaibkan atau ketinggalan zaman jika agenda Bi’ah Sholehah ini masih lekat dibibir anda: Pimpinan Mahasiswa ! – salam perjuangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan