Khamis, 3 Jun 2010

Hasan Tiro: Pendiri GAM Meninggal Dunia

Dr.Hasan Muhammad Di Tiro, pendiri Gerakan Aceh Merdeka (GAM) meninggal dunia di Rumah Sakit Zainal Abidin sekitar jam 12.15 (1.15 t.hari Malaysia) tadi. Beliau mengidap infeksi paru-paru telah sekian lama. Jenazahnya akan dimakamkan bersebelahan Makam Teungku Chik Di Tiro, seorang pejuang Aceh zaman perang Belanda.


Hasan Tiro dilahirkan di Tanjong Bungong, Pidie sektiar 20 kilometer dari Kota Sigli, pada 25 September 1925. Hasan Tiro merupakan anak kedua dari pasangan Tengku Pocut Fatimah dan Tengku Muhammad Hasan. Ibu Hasan Tiro merupakan cucu dari Tengku Chik Muhammad Saman di Tiro atau yang kita kenal dengan Chik Ditiro.


Pada 4 Desember 1976 bersama rekan-rekannya, Hasan Tiro memproklamirkan Gerakan Aceh Merdeka. Karena gerakan yang dibangunnya ini, Hasan Tiro kemudian menetap di Stockholm, Swedia. Setelah ditandatanganinya perjanjian damai antara Pemerintah Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka Agustus 2005, akhirnya Hasan Tiro kembali ke Aceh. Rabu kemarin, Hasan Tiro kembali mendapatkan kewarganegaraan Indonesia dari Pemerintah Indonesia.


Ringkasan Perjuangan GAM dan umat Islam di Aceh:


1873: Sejarah mencatatkan bahawa jihad umat Islam di Aceh terhadap penjajahan kuffar Belanda bermula sejak 6 April 1873 sehinggalah tahun 1914. Data menunjukkan dalam tempoh tersebut, Belanda terpaksa mengorbankan 37,500 orang dan umat Islam Aceh yang terkorban sekitar 70,000 orang atau kedua-dua belah pihak terkorban tidak kurang dari 100,000 orang ditambah dengan 500,000 orang yang tercedera. Bermakna Aceh gagal ditakluk Belanda walaupun puluhan tahun berusaha. Bahkan Belanda telah mula masuk ke Aceh sejak tahun 1599 lagi iaitu di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Mukammil (1588-1604) dengan misi perdagangan sambil memahami kondisi Aceh sebelum dilancarkan peperangan.


1953-1962: Perlawanan umat Islam Aceh terhadap pemerintah Indonesia. Antaranya disebabkan pengkhianatan Presiden Soekarno ke atas umat Islam Aceh. Ketika Belanda menguasai Indonesia, beliau bertemu rakyat Aceh dan meminta bantuan para Mujahidin. Beliau berjanji jika Indonesia merdeka nanti, Aceh diberi kebebasan melaksanakan Syariat Islam dan kuasa memerintah sendiri. Umat Islam Aceh sanggup berkorban wang, makanan bahkan sampai mengeluarkan emas untuk membantu Indonesia termasuk membeli 2 buah kapal terbang Garuda Indonesia.


Sebelumnya, Soekarna dan wakilnya (timbalannya), Hatta ditangkap oleh Belanda. Akhirnya mereka melarikan diri ke Aceh dan di situlah mereka bertemu dengan pimpinan umat Islam Aceh yang berjihad melawan penjajah Belanda. Namanya Teungku Dawud Beureuh. Di hadapan beliaulah, Soekarno tunduk dan menangis sambil menabur janji yang akhirnya dikhianati oleh beliau selepas Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945.


Umat Islam di Aceh dikhianati beliau. Sudahlah Aceh dimasukkan ke Indonesia, pelaksanaan Syariat Islam pula disekatnya bahkan sampai memerangi umat Islam di Aceh dengan menggunakan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Saat itulah Teungku Dawud Beureuh menggerakkan jihad menghadapi pemerintah pusat atas nama perjuangan Darul Islam (DI) atau Tentera Islam Indonesia (TII). Beliau sempat merengkok di penjara di era regim Soekarno.


1997-2005: Perlawanan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) terhadap pemerintah Indonesia. GAM digerakkan oleh ‘orang-orang lama’ dalam DI/TII. Ia diketuai oleh Dr.Hasan Muhammad Di Tiro dengan pendeklarasian GAM pada 4 Dis 1976 di Bukit Halimon, Luengputu, Pidie dengan nama Aceh Merdeka. Akhirnya beliau lari meninggalkan Aceh secara diam-diam sekitar tahun 1979 sehinggalah mengunjungi Aceh semula pada pertengahan Oktober 2008 dan berucap dihadapan ribuan rakyat Aceh pada 11 Okt bulan tersebut di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh setelah 29 tahun lamanya menghilangkan diri.


Namun, perjuangan GAM tidaklah boleh disamakan langsung dengan perjuangan DI/TII pimpinan Teungku Dawud Beureuh yang benar-benar berjuang di atas dasar Islam. Hala tuju GAM semakin kabur. Islam bukan lagi menjadi prioroti utama untuk mereka perjuangkan. Hanya lebih kepada perjuangan tuntutan ekonomi dan mahukan kemerdekaan dari Indonesia untuk bebas memerintah sendiri.


Bahkan, ketika mengunjungi Aceh pada 11 Okt 2008, Hasan Tiro dalam ucapannya yang dibacakan oleh Malik Mahmud iaitu Perdana Menteri era pemerintahan GAM, isu perjuangan Syariat Islam langsung tidak disentuh dalam ucapannya. Tiada ucapan ‘marilah kita pertahankan dan perjuangkan Syariat Islam di bumi Aceh’. Hanya yang diucapkan adalah ‘marilah bersatu padu, marilah menjaga keamanan dan kedamaian’. Apakah kerana terpaksa melayani tetamu-tetamu dari negara-negara Eropah yang turut hadir dalam majlis berkenaan dan mereka antara yang terlibat dalam mengatur perdamaian di Aceh ( rujuk MoU Helsinki pada tahun 2005 ).


Wallahua’lam.


Al-Fatihah

Tiada ulasan: