Rabu, 27 Januari 2010

Surat-Surat Sejarah Kerajaan Aceh Darussalam

Gambar-gambar di bawah ini saya foto dari Muzium Aceh Darussalam pada 26 Jan 2010. Ia adalah surat-surat penting dalam sejarah Kerajaan Islam Samudera Pasai dan Kerajaan Islam Aceh Darussalam satu waktu lalu. (klik pada gambar untuk besarkan)


Dibawah ini adalah surat Sultan Aceh, Alauddin Johar Al-Alam Syah yang dikirim kepada Thomas Stanford Raffles di Melaka bertarikh 3 Rabiul Akhir 1226 H / 27 April 1811 M dengan tulisan Jawi yang berbahasa Melayu. Sultan menganugerahkan gelaran ‘Seri Paduka Orang Kaya Berpedang Mas’ kepada Thomas Stanford Raffles. Demikian bangganya sehingga sampai pada tahun 1817, gelaran tersebut disatukannya ke dalam lambang lencananya sendiri. Bukan Raffles seorang yang pernah diberi anugerah. Ada pula orang-orang Inggeris yang lain yang pernah menerimanya sebelumnya dari Sultan Aceh. Contohnya Thomas Forest beroleh gelar pada 1779 M. Tahun 1660 Sultanah Tajul Alam Safiatuddin salah seorang Sultanah Aceh menggelari Henry Gary dengan ‘Orang Kaya Putih’.

Dibawah ini adalah surat Sultan Alauddin Johar Alam Syah.( 1795 – 1823 ) untuk Lord Minto iaitu Gubernor Jenderal Inggeris di Benggali yang bertarikh 3 Rabi’ul Awwal 1226 H / 28 Mac 1811 M dengan bahasa Portugis. Walaupun tidak diketahui apakah sultan dapat berbahasa Portugis atau tidak , namun ayahnya, Sultan Alauddin Muhammad Syah seperti kenyataan Thomas Forrest, beliau fasih berbahasa Perancis mahupun Portugis. Surat tersebut ditulis secara bolak balik diatas kertas Inggeris berukuran lebar dengan cop surat berupa stempel (cop) kerajaan. Pada bagian akhir surat ditutup dengan tanda tangan sultan dalam tulisan Jawi tertulis ‘Sultan Johar Al-Alam Syah Ibn Muhammad Syah. Ragam penyajian seperti ini diakibatkan oleh pengaruh Eropah, sedangkan tanda tangan secara tradisional digunakan dalam surat-surat Melayu. Surat untuk Lord Minto ini adalah sebuah salinan dari surat sebelumnya yang tampaknya tidak pernah tiba sehingga sultan menyertakan surat ini bersama suratnya yang dikirimkan kepada Raffles ditulis pada hari yang sama dengan permintaan untuk diteruskan kepada Lord Minto.

Dibawah ini adalah surat Sultan Iskandar Muda kepada Raja Inggeris, James I pada tahun 1615 M. Tiga perempat bahagian awal surat ini diabadikan untuk melukiskan keagungan Sultan Iskandar Muda beserta kekayaan dan keluasan wilayah kekuasaannya. Menginjak bagian utama surat ini, menjelaskan penolakan Sultan Aceh itu atas permohonan pihak Inggeris untuk berdagang di Tiku dan Pariaman serta sebaliknya mengundang Inggeris untukberniaga hanya di Aceh. Sungguh ini benar-benar ‘surat emas’ .yang teramat berharga. Tidak mudah mencari kata-kata yang cukup tepat untuk memujinya. Surat raja yang dijuluki ‘Sultan Perkasa Alam’ ini ditulis dalam bahasa Melayu, memiliki hiasan, tertua, serta terindah. Dan melihat tingginya yang mencapai hampir 1 meter, menjadikannya surat terbesar dan paling spektakuler.


Dibawah ini adalah surat izin berdagang di daerah kekuasaan Aceh yang diterbitkan Sultan Alauddin Riayat Syah (1589-1604) untuk kapten Henry Middleton dalam bahasa Melayu. Walau tanpa tarikh, namun dapat dipastikan bahawa surat beraksara Jawi ini dikeluarkan pada tahun 1602. Pada tahun yang sama pula, dengan kapal ‘Susan’ East India Company yang baru saja berdiri menempuh pelayaran pertama ke Indonesia, di Aceh pada Jun 1602. Middlteon diangkat menjadi nakhoda, sebelum kemudiannya ditugaskan ke Pantai Barat Sumatera iaitu Pariaman tempatnya. Di Pariaman inilah, Maddleton berhasil mengisi kapalnya dengan lada dan cengkih. Setahun kemudian , 21 Jun 1603 ia tiba kembali di Inggeris.

Dibawah ini adalah surat Sultan Muhammad dari Pidie, Aceh untuk Raja Portugal, John III, Malaka bertarikh 16/11/1543. Versi bahasa Portugis oleh Rodrigo Marques dengan aksara Jawi.

Di bawah ini adalah surat dari Raja Kerajaan Samudra Pasai, Sultan Kamis untuk Raja Portugal, John III, Cochim bertarikh 14/12/1527. Alih aksara Portugis dengan tanda tangan aksara Arab.

Dibawah ini adalah surat Raja Kerajaan Samudra Pasai, Sultan Zainal Abidin V (1519-1521) untuk Diogo Lopez de Sequeira bertarikh 21/7/1520 dan ditulis dalam bahasa Arab.

Dibawah ini adalah surat Raja Kerajaan Samudera Pasai, Sultan Zainal Abidin IV (1512-1517) untuk Gubernor Timur India (Estado da India) iaitu Alfonso de Albuquerque pada tahun 1512. Salinan di dalam bahasa Portugis.

InsyaAllah, jika ada kelapangan, saya akan masukkan pula gambar-gambar salinan surat-surat yang dihantar oleh Sultan-Sultan Aceh kepada Sultan-Sultan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang membuktikan betapa eratnya hubungan antara dua kerajaan Islam ini pada zaman tersebut. Ini adalah salinan sahaja kerana kebanyakan surat-surat asal ini kini berada di Muzium Portugis atau Belanda atau Inggeris (Britain).