Saya bukan penganut demokrasi, apatah lagi beriman dengan sistem ini. Namun, demokrasi yang membicarakan mengenai kebebasan, hak asasi, keadilan dan sebagainya itu, adalah perkara yang telah dibicarakan di dalam Islam. Islam lebih awal membicarakan hal ini sebelum Barat membicarakannya. Namun, Barat muncul dan memunculkan pula demokrasi mengikut versi mereka. Maka, dalam hal ini, kita sebagai Muslim yang bergerak dalam Harakah Islamiah hanya mengambil sedikit manfaat yang ada dari sistem ini dalam ruang lingkup yang mendatangkan maslahah dan manfaat untuk Islam dari hal-hal yang dibenarkan oleh Islam sahaja, bukan beriman kepadanya dan meyakini kebenarannya. Kaedahnya adalah, kita menghadapi musuh dengan senjata yang digunakan oleh musuh juga sebagaimana kata Saidina Ali, pedang dengan pedang…perbahasan mengenai demokrasi dan Islam telah dibahas panjang lebar dari puluhan sumber rujukan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam bukunya ‘Islam dan Demokrasi’ (2007).
Saya juga bukan pengamat politik yang layak untuk berbicara mengenainya. Namun, tidak sampai menyampingkan kepedulian terhadap permasalahan politik. Jika ada yang menyebut Harakah Islamiah memperalatkan agama untuk kepentingan politik, kita katakan kepada mereka bahawa, ini kerana Harakah Islamiah berpolitik mengikut agama, bukan seperti gerakan sekular dan nasionalis yang berpolitik, tetapi tidak menggunakan agama. Jika ada yang mengatakan bahawa, politik itu kotor kerana melahirkan perpecahan, perkelahian, perebutan dan sebagainya, katakan kepada mereka, yang kotor itu bukan politik, tetapi orang yang berpolitik tersebut kerana berpolitik tidak mengikut agama.
Politik bahagian dari ajaran Islam. Menolak politik bermakna membuang satu bahagian dari isi kandungan Islam. Memisahkan politik dari agama (Islam), maka itu adalah ajaran sekular. Antara fahaman sekular adalah, politik mesti dipisahkan dan jangan terikat dengan ajaran agama. Maka, penganut Kristian meletakkan urusan agama yang khusus kepada persoalan ibadat kepada paderi-paderi mereka. Urusan politik dan pemerintahan diserahkan pada raja-raja. Umat Islam pun meniru mereka. Urusan ibadat dan sedikit mengenai hukum hakam agama diserahkan pada ulama’, namun soal pemerintahan dan politik tidak pernah dirujuk ulama’.
Saat ini, Indonesia masih ribut dan hingar bingar mengenai kes hilangnya wang negara berjumlah puluhan juta rupiah dari Bank Century tahun lalu, namun terbongkar pada akhir 2009. Rasanya sudah hampir 2 bulan media membicarakannya. Kadang-kadang naik menyampah dan boring apabila membuka TV. Pagi, petang sampai ke malam berita dan siaran langsung kes Bank Century ini. Pernah perbahasan disiar secara langsung sampai jam 3.30 pagi. Pun begitu, saya ingin berbicara dari satu sisi yang agak positif yang perlu dibuka mata oleh pihak pemerintah Malaysia yang sering melaungkan, “kita negara demokrasi”.
Pertama: Peranan Media
Untuk makluman, hampir semua channel TV di Indonesia adalah swasta seperti TRANS, Metro TV dan lain-lain. Hanya sebuah channel dibawah pemerintah iaitu TVRI yang berperanan memaparkan berita-berita terkini mengenai pemerintahan, bukan suara kepada parti politik tertentu. Maka, dalam hal ini, media cukup berperanan dalam mengulas isu-isu menarik dan penting baik berkaitan dengan negara dan sebagainya. Kita tidak nafikan, apabila disebut syarikat, maka yang dilihatnya adalah keuntungan. Begitulah juga dengan syarikat penyiaran. Namun, peranan media Indonesia wajar dipuji pada satu sisi. Rakyat menjadi golongan cerdik dan dapat menilai apabila media berperanan memaparkan isu-isu ‘panas’ Indonesia. Bayangkan, perbicaraan kec Bank Century disiarkan secara live di setiap channel television sehingga perbicaraan yang memakan masa sampai jam 3.30 pagi. Persidangan di mahkamah disiarkan secara live walaupun pada kes-kes yang melibatkan tokoh-tokoh politik.
Kita tidak mengharapkan sampai pemerintah Malaysia menswastakan semua channel television kerana kita tahu mudarat yang akan berlaku sebagaimana berlaku di media-media di Indonesia. Apabila tidak diletak dibawah pemerintah, akhirnya atas nama kebebasan, pihak TV saling berebut menyiarkan apa sahaja yang mereka inginkan sehingga hal-hal yang merosakkan akhlak umat Islam. Namun, cukup dengan memberi ruang pada hal-hal sebegini yang sepatutnya diketahui oleh rakyat. Bukan dengan perbicaraan dan perbahasan atau persidangan yang tertutup, lalu esoknya disiarkan di akhbar, kemudian rakyat diajar mempercayai berita akhbar semata-mata dalam keadaan akhbar juga dikawal untuk kepentingan pemerintah.
Selanjutnya, saya memuji media Indonesia dalam hal memberikan ruang pada semua pihak berbicara atau berkomentar. Dalam isu Bank Century sebagai contoh, wakil Partai Demokrat (SBY) diberi ruang berbicara, wakil partai Islam seperti PKS dan lain-lain juga diberi hak berkomentar. Sering media memaparkan rancangan-rancangan membahasa permasalahan negara dalam bentuk dialog dan debat yang diundang tokoh-tokoh politik, akademik, wakil partai dan lain-lain. Menjelang Pemilu, semua wakil setiap partai dibenarkan berbicara di kaca TV dan iklan setiap partai mewarnai kaca TV dan akhbar-akhbar. Maka, rakyat menjadi bijak membuat penilaian. Inilah yang BN dan UMNO tidak mahu kerana rakyat yang bodoh maklumat akan terus mengekalkan mereka sebagai pemerintah negara.
Bak kata Tn.Guru Hj Abdul Hadi, “muka kita keluar TV, mulut nampak bergerok, suare takdok !ni bukan demokrasi..demo keras!!! Ucapang kite dipotong-potong, ambil hujung, tak tahu awal..disiarkang..ambil awal..tak tahu hujung..sior..ambil tengah..tak tahu awal akhir papar di TV..rakyat jadi pening..”
Kedua: Perbicaraan Bebas Dari Pengaruh Pemerintah
Dalam kes Bank Century, anda bayangkan wakil Presiden (timbalan) kepada Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) iaitu Boediono turut disidangkan. Dahulu (sebelum jadi wakil Presiden dalam keputusan Pemilu 2009), dia adalah Gubernor Bank Indonesia. Dalam kes ini, beliau terlihat sebagai individu yang terlibat. Bayangkan jika dia juga disoal bertalu-talu oleh semua pihak dalam Panitia Khusus (Pansus) Bank Century, sebuah panitia bebas yang diwujudkan.
Pansus ini terdiri dari wakil beberapa partai politik yang mendapat kemenangan besar dalam Pemilu 2009 yang lalu seperti PKS, PAN, Demokrat, GOLKAR dan lain-lain. Maka, wakil PKS dan partai-partai lain boleh bangun dan menyoal Boedino dalam isu ini dan disiarkan secara live di television bagaimana seorang wakil Presiden disidangkan. Antara yang disidangkan adalah Jusuf Kalla kerana beliau adalah wakil Presiden (timbalan) kepada Susilo sebelum ini iaitu zaman hilangnya wang negara tersebut. Sri Mulyani juga disidangkan kerana dia Menteri Kewangan di zaman tersebut. Kini dia masih kekal sebagai Menteri Kewangan.
Anda bayangkan betapa jahatnya sistem kehakiman dibawah pemerintah Malaysia! Nama Dato’ Najib disebut oleh sepupu Altantuya, namun beliau tidak pernah dipanggil masuk ke dalam persidangan. Berapa banyak lagi kes-kes lain yang tidak diketahui oleh rakyat secara umum termasuk isu Memali, Al-Ma’unah, KMM dan lain-lain. Percayalah, jika mahkamah terbuka dan bebas, UMNO dan BN akan menghadapi sebuah kematian secara mengejut!
Ketiga: Hak Rakyat
Sebahagian rakyat Indonesia khasnya mahasiswa, mereka adalah golongan yang peka tentang permasalahan negara. Peka, bukan PEKAK! Mahasiswa sering memimpin rakyat ke tengah kota apabila ada hal yang menyangkut mengenai kepentingan rakyat terabai atau teraniya. Semuanya bermula akhir 2008 apabila mahasiswa memimpin rakyat menjatuhkan regim Suharto yang kejam. Namun, bayaran untuk menjatuhakn seorang diktator zalim ini, perlu dibayar dengan mengorbankan beberapa mahasiswa yang ditembak oleh pihak polis dalam himpunan raksasa tersebut. Antara yang terkehadapan memimpin massa adalah Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI). Mereka tahu pemerintah naik hasil suara (undi) mereka. Maka, meluruskan pemerintah yang naik hasil suara mereka ada sebuah kewajipan.
Sejak isu Bank Century terbongkar, rasanya mungkin sudah hampir 100 kali mahasiswa berdemonstrasi di kampus masing-masing dan di kantor-kantor pemerintah di setiap daerah baik di kantor Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta, di Makasar, Jogjakarta, Bali, Medan, Aceh dan sebagainya. Habis gambar Boediono dan Sri Mulyani dipijak dan dibakar. Pelbagai sepanduk mendesak kedua-dua individu ini meletak segera jawatan dibawa ke demonstrasi. Namun, sedikit pun tidak ditindak keras oleh pihak polisi melainkan kepada individu-individu yang bertindak agresif dan radikal dengan membawa senjata atau merosakkan bangunan DPR dengan lontaran batu dan sebagainya. Fungsi polis membantu melancarkan demonstrasi secara aman dan tertib. Bukan mengganggu demonstrasi seperti di Malaysia yang akhirnya kekacauan berlaku berpunca dari mereka!
Anda bayangkan di Malaysia ! Shazni Munir, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang juga merangkap Tim.Presiden GAMIS 09/10 dan 50 teman-teman mahasiswa yang hanya berhimpun dan melaungkan sedikit slogan menuntut dihapuskan E-Undi dihadapan KPT, Putrajaya Jumaat baru-baru ini tanpa membawa senjata pun, tanpa merosakkan bangunan pun, tanpa menyekeh kepala Menteri Pengajian Tinggi pun, sampai di layan kasar oleh pihak polis! Anda tahu, di Indonesia, ahli Parlimen bertaraf Menteri pun dibaling kasut oleh mahasiswa. Mahasiswa Malaysia tidak begitu. Lalu, untuk apa sampai ditarik baju, ditolak dan dikasari sebegitu? Anda tahu bahawa mahasiswa itu bakal memimpin negara. Atau anda mahukan mahasiswa yang kelu, lesu, tidak bermaya dan tidak berani menyatakan pendirian mengganti pemerintahan negara nantinya?
Setahu saya, setiap kali sebelum demonstrasi dibuat oleh mana-mana pihak, mereka akan bertemu terlebih dahulu kepada individu atau tokoh yang ingin dibantah tersebut seperti Pemuda PAS bertemu Sisters In Islam dan lain-lain. Namun, selepas isi hati dan hasrat tidak diendahkan, barulah demonstrasi dilaksanakan. Bukan terus dengan pendekatan demonstrasi walaupun demonstrasi atau himpunan secara aman itu dibenarkan dalam Perlembagaan pada Artikel 10 (1) (b) dengan syarat tidak membawa senjata.
Lalu, jika semua hal-hal ini ternyata gagal diterapkan di bumi Malaysia, apa yang boleh dibanggakan dengan laungan, “Malaysia Negara Demokrasi”? Jadi, mahu dibilang negara apa? Negara Islam pun tidak! Negara Demokrasi pun tidak ! …negara Mongolia?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan