Isnin, 6 September 2010

Memang Memilih Itu Sukar dan Sulit

Saya belum berkahwin. Tetapi sering juga diminta pandangan atau nasihat dari beberapa orang teman mengenai hal yang berkaitan dengan perkahwinan, alam rumah tangga dan lain-lainnya. Tidak wajar menolak untuk memberi nasihat atau pandangan setelah diminta. Lalu, saya berikan juga secara sederhana dan tidak melampau pandangan dan nasihat yang selayaknya sebagai seorang yang juga masih belum sampai ke dunia perkahwinan tersebut.


Pokok pertanyaan sering tertumpu kepada hadis Nabi s.a.w dimana Nabi mengarahkankan agar wanita itu dikahwini kerana agamanya. Artinya, kita melihat kepada sejauh mana pemahaman agamanya, pegangannya terhadap agama dan yang berkaitan. Jaminan kebahagian oleh Nabi ada di situ.


Antara pertanyaan yang sering diajukan adalah: Pertama: Apa pandangan jika saya memilih teman hidup yang bukan dari pengajian agama, sekolah biasa? Bermasalahkah? Kedua: Saya terlibat dengan organisasi islam, organisasi dakwah di kampus, bermasalahkah jika saya mencari teman hidup yang tidak pernah mengikuti atau melalui hal-hal seperti ini? Ketiga: Bagaimana kalau saya berkahwin dengan orang biasa, bukan belajar agama tinggi sangat, tapi niat saya ikhlas, sekurang-kurangnya boleh bimbing dia, dakwah dia, fahamkan dia tentang agama dan lain-lain? Sebenarnya pertanyaan-pertanyaan ini hampir sama.

Memang sukar dan menyulitkan untuk saya memberikan nasihat atau pandangan hal semacam ini yang saya sendiri belum lalui. Namun, secara sederhana sahaja saya ingin berkomentar. Mudah-mudahan bermanfaat untuk difikirkan dan direnungi.


Di sebabkan pertanyaan pertama diajukan oleh teman-teman mahasiswa pengajian agama, maka saya menyarankan agar ia mencari juga pasangan hidup dari bidang yang sama. Jika dia bukan di bidang pengajian agama, saya hanya mampu menjawab, berusahalah mencari teman hidup yang faham agama dan baik pegangannya terhadap agama. Itu kayu ukurnya yang perlu dipakai iaitu pegangan terhadap agama. Sebab kalau semata-mata meletakkan kefahaman terhadap agama, itu belum cukup kerana terbukti berapa ramai yang faham terhadap agamanya, namun tidak berpegang pada agamanya. Jika hal ini difahami dengan baik, baik di peringkat lelaki atau perempuan, maka saya kira bukanlah permasalahan yang besar jika seorang ustaz bertemu pasangan hidupnya seorang doktor dan sebaliknya.


Maka, tidak timbul lagi persoalan samada ia dari pengajian agama atau sekolah biasa. Namun, jangan tersalah pula! Diantara dua insan yang mempelajari agama secara mendalam di bidang agama dan mempelajari agama secara lebih kurang di sekolah biasa, apakah masuk akal kita yang mempelajari agama tidak tahu memilihnya? Fahamilah secara jelas dan benar matlamat besar dan utama dalam perkahwinan. Selain dari mengikuti sunnah para Rasul, kita mengharapkan lahirnya zuriat yang soleh, yang baik, yang boleh menjadi aset atau saham untuk ummah. Lalu, wanita yang bagaimanakah kita harapkan untuk membentuk anak-anak ini kearah tersebut di saat kita sibuk berusaha mencari nafkah hidup? Kepada wanita yang tidak tahu urusan agamakah? Artinya, kedua-dua hal diatas iaitu kefahaman pada agama dan pegangan pada agama, kedua-duanya perlu dinilai secara bijak.


Tentang keterlibatan dengan organisasi Islam atau organisasi dakwah di kampus, ingin saya persoalkan adalah, kita (lelaki) yang masih berstatus mahasiswa, masih berstatus bujang ini, sebenarnya saat meninggalkan dunia kampus, ke mana hala tuju kita sebenarnya? Apakah ingin menjadi manusia yang bebas tanpa terikat lagi dengan organisasi Islam seperti di kampus atau bagaimana? Jika ingin bebas tidak terikat dengan ‘jama’ah’, ya silakan dipilih dan diterima sahaja siapa pun teman hidup anda. Namun, jika mempunyai keazaman, keyakinan dan merasakan keterikatan dengan jama’ah Islam itu sebuah kewajiban, fikirlah secara matang dan jauh, sebenarnya apakah wajah sebuah perjuangan dan jamaah Islam tersebut? Perjuangan dan jamaah Islam itu sudah tentu terisi dengan kesibukan, ketegangan, pelbagai permasalahan yang memerlukan kesabaran, pengorbanan, masa dan sebagainya. Lalu, bagaimana seorang teman hidup yang tidak pernah melalui atau memahami hal-hal seperti ini mampu menghadapinya saat bergelar sebagai isteri? Fahamkah ia? Mampu menerimakah ia hal-hal semacam ini?


Saya tidak pernah menafikan ada beberapa insiden yang berlaku dimana, sepasang suami isteri yang sama-sama pernah terlibat dengan perjuangan, dakwah dan seumpamanya, namun saat berumahtangga, ternyata kebahagian, saling faham memahami tidak terwujud juga. Ya, saya akui itu ada, bahkan sampai kepada perceraian. Na’uzubillah min zalik! Baik, tugasan kita adalah melakukan segala upaya atau usaha mencari teman hidup yang ‘sekufu’. Artinya, sama-sama berada di medan yang sama. Soal dipertengahan jalan nanti, berlaku kerosakan bahtera atau karam, itu diluar kemampuan akal kita untuk berbicara mengenai hal yang belum tiba. Nabi s.a.w hanya mengarahkan kita mencari wanita yang baik fahamnya dan pegangannya pada agama. Jika dia faham, tentunya dia juga akan bersama dalam urusan dakwah dan perjuangan. Adapun soal adanya beberapa kes keretakan rumahtangga suami isteri yang satu perjuangan, satu jalan dakwah, seharusnya kita tidak meletakkan faktornya kepada satu hal sahaja. Masih banyak kemungkinan-kemungkinan atau sebab-sebab keretakan atau ketidakbahagian yang perlu kita teliti secara mendalam.


Pertanyaan ketiga, berkahwin niat ikhlas untuk berdakwah. Pertama, ingin saya pertanyakan kepada individu-individu seperti ini. Anda bertemu dengan wanita yang kurang baik agamanya, akhlaknya, urusan ibadahnya dan lain-lain, apakah membantu mendakwahnya hanya ada satu jalan iaitu perkahwinan? Dengan berkahwin sahajakah anda mampu berdakwah kepadanya? Sempit sangatkah ruang untuk berbicara kepadanya tentang Islam sampai jalan mudahnya adalah perkahwinan? Kedua, apa jaminan anda mampu berdakwah kepadanya sebaik sahaja anda bergelar suami isteri? Mampukah anda memulai dari awal satu persatu untuk memahamkannya tentang agama, tentang urusan ibadah, hukum hakam dan lain-lain? Atau anda yang bakal ‘didakwahnya’?


Saya tidak nafikan ada yang benar-benar ikhlas soal ini. Ya, silakan. Namun, berbicaralah secara realiti, berpijaklah di bumi nyata. Mampukah segala-galanya dimulai dengan pernikahan tersebut?


Mungkin pula ada yang akan mempersoalkan, lalu bagaimana dengan wanita-wanita yang seperti ini? Siapa yang ingin menyelamatkannya? Saudara, seperti yang saya katakan tadi, niat berdakwah tidak hanya terhenti dengan pernikahan. Allah s.w.t sediakan lelaki yang baik untuk wanita yang baik dan sebaliknya. Allah mengetahui yang terbaik untuknya. Namun, disaat Allah bentangkan kepada kita wanita yang baik, yang mengerti urusan agama, jangalah pula bertindak bodoh melarikan diri menuju kepada wanita yang ‘bermasalah’ atas hujjah dakwah dalam keadaan kita sendiri tidak mampu memberi jaminan apakah kita mampu membimbingnya.


Mungkin ada yang mengatakan betapa cerewetnya kaum lelaki dalam membuat pemilihan. Secara peribadi saya katakan, cerewet atau banyak sangat memilih itu perlu. Kita mahukan isteri yang baik, yang mampu memperingatkan kita disaat kelalaian, mendidik anak-anak dengan baik dan lain-lain. Bahkan kita mengharapkan percintaan itu sampai ke syurga, bukan sebatas didunia yang hanya tersisa beberapa tahun lagi ini. Kita bukan memilih ikan di pasar atau baju dipasar raya. Ikan buruk boleh dibuang atau dibeli lain. Baju ketat atau singkat boleh ditukar. Namun, setelah seseorang wanita menjadi teman hidup kita, anda ingat dia itu ikan di pasar atau baju dipasar raya yang boleh dibuang atau ditukar-tukar dengan mudah setelah ada permasalahan? Maka, biar kita sedikit cerewet atau bersusah payah sedikit sebelum pernikahan. Bukan lagi selepas tangan sudah halal bersentuhan.


Akhir kalam, jika bertemu beberapa pilihan yang baik, istikharahlah kepada Allah. Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita. Dan jika telah membuat keputusan, berdoalah kepada Allah agar ditetapkan pendirian dan dipelihara dan dipermudahkan sampai kepada hari yang dinantikan tersebut. Jika mengharapkan pertemuan dengan wanita yang solehah, berusahalah menjadi orang yang soleh dan jika berharapkan pertemuan dengan lelaki yang soleh, berusahalah menjadi wanita yang solehah. Wallahua’lam.

Tiada ulasan: