Rabu, 14 Oktober 2009

Musibah Dunia : Bagaimana Memahaminya ?

Gempa bumi, tanah runtuh, banjir, tsunami, ribut taufan, hujan batu...


Sudah lebih 2 minggu gempa menghentam muka bumi Padang, Sumatera Barat, Indonesia dan beberapa tempat disekitarnya. Ribuan bangunan hancur luluh menyembah tanah. Lebih 800 nyawa terkorban. Di Samoa, Amerika, Tsunami yang berlaku tanggal 2 Okt lalu juga meragut lebih daripada 150 nyawa. Banjir, ribut taufan dan tanah runtuh di Filipina menyaksikan lebih 500 nyawa hilang. Tempias banjir turut dilalui oleh rakyat Negara Vietnam. Lebih 100 orang terkorban dalam banjir di India, bahkan musibah-musibah yang berlaku ini turut membantai Malaysia, tempatnya di Jerantut, Pahang dengan puluhan rumah rosak dihentam hujan ais batu…


Ketakutan, kebimbangan dan keraguan untuk menyebut semua hal ini sebagai bala’ atau peringatan dari Allah, menjadi sebuah fenomena yang cukup mengharukan khasnya kepada kita sebagai seorang Muslim. Jika dikatakan ini adalah azab atau peringatan dari Allah, dibimbangi timbulnya kesedihan atau mengguris hati mangsa atau waris mereka yang masih hidup. Maka, solusinya, semua musibah ini diberi tajuk ‘Fenomena Alam’ dan tidak lebih dari itu. Dalam erti kata lain, ianya adalah proses alam yang melalui pelbagai peringkat perubahan dan sebagainya yang natijahnya menghasilkan musibah-musibah tersebut. Seolah-olah tiada campur tangan Allah dalam hal-hal berikut. Akhirnya, melihat semua ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan kepada Allah tidak terjadi secara keseluruhan, hanya kepada segelintir mereka yang memahami sahaja. Fenomena inilah yang perlu diperbetulkan dan diluruskan.


Ø Semua musibah yang berlaku adalah dibawah kekuasaan dan kawalan Allah s.w.t. Bahkan jika disebut Fenomena Alam sekalipun, siapa yang mengatur berlakunya fenomena tersebut kalau bukan Allah ? dan juga menjadi hak Allah untuk menghantar ‘tenteraNya’ ini kemana tempat atau dimana Negara sekalipun baik dengan ada sebab (dosa dll) atau tidak ada sebab (dosa dll).


Ø Azab atau bala’ daripada Allah turun di tempat tersebut secara melata tanpa memilih orang yang sholeh atau orang yang durhaka. Jika orang yang sholeh diselamatkan, itu anugerah Allah kepada mereka.


Ø Sekurang-kurangnya ada 3 kategori manusia didalam musibah ini : 1) Orang-orang yang kufur, durhaka dan hidup dalam dosa. 2) Orang yang sholeh dan bertaqwa kepada Allah dan hidup melaksanakan amar ma’aruf nahi mungkar. 3) Orang yang sholeh, tetapi hanya baik dirinya sahaja dan tidak melakukan amar ma’aruf nahi mungkar.


Ø Bagi yang durhaka, musibah ini menjadi azab dan bala’ sesuai dengan tindakan mereka. Begitulah juga dengan mereka yang sholeh, tetapi sekadar baik dirinya sahaja. Maka Islam mengajar soal tanggungjawab dan peranan berdakwah kepada manusia lain.


Ø Bagi mereka yang sholeh dan juga memperbaiki masyarakat dengan amar ma’aruf nahi mungkar, maka musibah ini menjadi ruang untuk Allah mengangkat darjat dan keimanan mereka dan jika mereka mati, ia adalah peluang untuk mereka menikmati mati sebagai syahid ( syahid kecil ) dan bagi kita yang tidak ditimpa musibah ini, mudah-mudahan ia menjadi peringatan agar sentiasa berhati-hati dalam kehidupan sesuai dengan kehendak Islam.


Firman Allah s.w.t : Maka masing-masing (umat yang terdahulu) Kami binasakan mereka dengan sebab dosanya. Diantara mereka ada yang Kami hantarkan angina ribut taufan menghujaninya dengan batu, dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara (guruh dan kilat) yang menggempakan bumi dan ada yang Kami timbuskan didalam bumi dan ada yang Kami tenggelamkan didalam laut. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri. ( Al-‘Ankabut : 40 )


Sabda Nabi s.a.w : Tidak akan berlaku Hari Qiamat sehinggalah terjadinya banyak gempa bumi ( H.R Al-Bukhari ).


p/s: Rujuk hadith-hadith Akhir Zaman berkaitan dengan tanda-tanda hari Qiamat dan dosa-dosa yang manusia lakukan.



MUKJIZAT AL-QUR’AN :

Gempa bumi di Padang berlaku pada tarikh 30 Sept tepatnya jam 17:16 petang dan gempa susulan berlaku pada jam 17:58 petang. Keesokannya, gempa berlaku pula di Jambi pada jam 08:52 pagi. Di dalam Al-Qur’an, surah ke-17 adalah Surah Al-Isra’ dan Surah ke-8 adalah Surah Al-Anfal.


Ø Firman Allah s.w.t : Dan apabila tiba tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan ( terlebih dahulu ) kepada orang-orang yang hidup mewah dinegeri itu ( agar mentaati Allah ). Tetapi mereka melakukan kedurhakaan didalam negeri itu. Maka berhaklah negeri itu dibinasakan . Lalu Kami menghancurkan sehancur-hancurnya –

( 17:16 ).


Ø Firman Allah s.w.t : Dan tiada sebuah negeripun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari Qiamat atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab yang berat. Yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Luh Mahfuz) – ( 17:58).


Ø Firman Allah s.w.t : ( Keadaan orang-orang kafir itu ) samalah seperti keadaan Fir’aun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka kufur ingkar pada ayat-ayat Allah, lalu Allah mengazab mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat Lagi Maha Dahsyat seksaanNya- ( 08: 52 ).


Mengapa waktu kejadian gempa dengan surah serta nombor ayat ini bertepatan dan mengapa ayat-ayat ini, Allah s.w.t menggambarkan tentang kaum-kaum yang durhaka kepadaNya ditimpakan azab bertepatan juga dengan kejadian gempa ini, Wallahua’lam. Mudah-mudahan menjadi sebuah renungan bagi kita yang masih berakal…

Tiada ulasan: