Jumaat, 25 Disember 2009

Memahami Kisah Hud-Hud Dalam Konteks Gerakan Islam

[ Hasil perbincanganku bersama teman-teman dalam usrah mingguan ]


Berpedomankan Surah An-Naml dari ayat 20 sehingga 44, marilah sama-sama kita memahaminya guna menjadikan perjuangan Islam yang kita intima’kan diri ke dalamnya ini bertambah gagah melangkah mendepani mehnah dan tribulasi yang pelbagai serta berjaya mencapai hadaf dan ghayahnya disebalik latar belakang pendokong dan simpatisan yang pelbagai rupa dan warna.


Umumnya sudah mengetahui jalan cerita kisah menarik antara Hud-Hud dan Nabi Allah Sulaiman a.s yang sangat mengasyikkan dan menyimpan seribu ibrah tersebut. Kelewatannya tiba dalam himpunan bersama haiwan-haiwan lain di hadapan Nabi Sulaiman dan penemuan menarik Hud-Hud kepada sebuah kerajaan yang rakyatnya menyembah matahari di bawah pemerintahan Ratu Balqis sudah di hadam sebaik mungkin oleh semua pencinta Sirah Anbiya’. Sekarang kita bicarakan pula peristiwa shohih yang terdapat dalam Al-Qur’an ini dari sisi pergerakan Islam.


Pertama: Nabi Allah Sulaiman umpama seorang Murabbi atau Qo’id atau Naqib dalam peristiwa ini. Pertemuan ini boleh diibaratkan seperti ijtima’ penting antara seorang Murabbi dan anggotanya. Ini tergambar dalam sikap dan tindakan Nabi Sulaiman yang hadir dan memeriksa seluruh burung-burung tersebut dengan penuh tertib.


Kedua: Murabbi, Qo’id atau Naqib seharusnya dan sewajibnya menjadi orang yang peka terhadap pengikut walaupun kedapatan seseorang pengikut atau anggotanya yang tercicir dan tidak hadir dalam sebarang pertemuan yang ditetapkan. Tiadanya Hud-Hud menjadi sebuah kebimbangan besar kepada Nabi Sulaiman. Logiknya, apalah sangat dengan seorang pengikut atau anggota yang tidak muncul dan bersama dalam pertemuan tersebut. Masih banyak pengikut yang lain yang bersama. Namun, dalam proses dakwah dan perjuangan Islam, ketiadaan seorang anggota ada hal yang besar. Kesimpulannya, dalam memacu gerak kerja Islam, sesuatu yang kebiasaan dianggap remeh dan kecil, jangan diamalkan. Inilah tanggungjawab seorang Pembina.


Ketiga: Ijtima’ para burung ini terlihat tinggi tahapnya. Seolah-olah ijtima’ antara seorang komandan dengan para prajurit persis di markaz tentera. Lihatlah bagaimana ‘iqab (hukuman) yang bakal diberikan oleh Nabi Sulaiman kepada Hud-Hud iaitu hukuman yang berat atau disembelih. Gayanya, burung-burung ini adalah pasukan yang hebat, tinggi dan penting sehingga begitu berat hukuman yang bakal dihadapi oleh Hud-Hud jika gagal datang dengan membawa alasan yang kukuh dan meyakinkan. Di sini jelas terpancar bagaimana sikap seorang ketua terhadap pengikut atau anggotanya. ‘Iqab dan ketegasan sangat perlu khasnya kepada para pejuang yang telah melalui proses tarbiyyah yang panjang. Adapun, kepada para mujahid-mujahid baru atau mad’u yang masih baru, kesederhanaan dan kelembutan mestilah diutamakan. Jangan menghukum anggota yang belum cukup tahap kefahamannya terhadap perjuangan Islam. Maka, pertanyaan seorang pimpinan kepada anggota dibawahnya yang gagal menghadirkan diri adalah sebuah hak yang perlu dilaksanakan.


Keempat: Seorang pengikut yang baik tidak seharusnya mencipta alasan yang terlalu banyak kecuali ketidakhadiran dengan alasan yang sangat kuat dan meyakinkan. Lihatlah Hud-Hud tiba dihadapan Nabi Sulaiman dengan membawa alasan yang sangat meyakinkan iaitu keterlewatanku adalah kerana mendapatkan sebuah informasi yang besar dalam misi dakwah. Bukan keterlewatan atau ketidakhadiran dengan alasan-alasan yang sengaja dibuat yang hakikatnya memang tidak mahu sertai dan bersama. Perbicaraan Hud-Hud dimulai dengan gaya bahasa yang boleh menjadi perhatian penting kepada burung-burung lain bahkan Nabi Sulaiman sendiri. Katanya “aku melihat seorang perempuan yang memerintah dengan singgahsana yang besar dan aku dapati kaumnya menyembah matahari”. Perbicaraannya sudah tentu menjadi tumpuan apabila dimulai dengan khabar tentang seorang perempuan.


Kelima: Kelewatan Hud-Hud hanyalah kerana sebuah misi dakwah. Bukan kesengajaan yang dicipta. Gambaran jelas bahawa Hud-Hud hidup dalam situasi memikirkan peranan terhadap gerak kerja Islam yang akhirnya informasi inilah yang menjadi titik tolak kepada Islamnya Balqis dan seluruh kaumnya yang sebelum ini mensyirikkan Allah. Inilah sumbangan besar Hud-Hud iaitu sebagai pembawa informasi.


Keenam: Dalam perjuangan Islam jangan amalkan budaya memandang remeh dan kecil terhadap sesuatu perkara. Boleh jadi, dengannya mendatangkan mudarat yang besar dan boleh jadi dengannya menjadi manfaat yang besar. Lihatlah keprihatinan Nabi Sulaiman tersebut.


Gambar: Wajah-wajah para mujahidah Palestin yang gugur syahid dalam Amaliyyah Al-Istisyhadiyyah (operasi untuk mendapatkan syahid: pengebom berani mati (istilah kuffar dan pengikutnya)

Tiada ulasan: