Sabtu, 7 November 2009

Tips Komunikasi Dengan Mad’u

Kami agak terkejut dan sedikit janggal dalam beberapa hal di Indonesia. Di sini istilah ‘usrah' disebut ‘halaqah’. Jika kita menyebut ‘usrah’, kalimah ini asing bagi mereka. Maksudnya, jarang digunakan. Namun, hal yang asing pula bagi kami apabila kalimah ‘Murabbi’ disini digunakan untuk ‘Naqib’ usrah. Wah ! Hebatnya...Iya, dari sudut makna, Murabbi bermaksud ‘Guru’. Tetapi dalam marhalah tarbiyyah Gerakan Islam, istilah Murabbi sangatlah tinggi sebenarnya dan tidak mudah untuk kita menerima status itu. Syarat-syarat untuk menjadi Murabbi itu besar dan berat...Tidak mengapalah, ini sudah menjadi cara mereka yang tidak perlu dipertikaikan.

Hari ini saya akan kongsikan sedikit pengisian yang kami terima pagi tadi dari Al-Fadil Ust Bustanul bertajuk ‘Tips Komunikasi Dengan Mad’u’. Saya akan gunakan istilah Murabbi juga ganti kepada istilah Naqib :

1) Apabila disebut Murabbi ( Guru ), maka lawannya adalah Mutarabbi ( orang yang dididik / murid ). Istilah Murabbi terdapat di dalam Al-Qur’an di dalam Surah Al-Imran : 79 yang bermaksud : …hendaklah kamu menjadi golongan Rabbaniyyin ( hanya mengabdikan diri kepada Allah – dengan ilmu dan amal yang sempurna )...

2) Tarbiyyah adalah perkara yang perlu dilaksanakan dan diikuti sepanjang hayat.

3) Murabbi bukan bertugas sebagai ‘pengajar’ semata-mata. Tetapi seorang Murabbi mesti memiliki sekurang-kurangnya 4 kriteria iaitu :

i) Sebagai seorang ayah – dari sudut hubungan antara Murabbi dan mad’unya ( mutarabbi ) mestilah ada kedekatan sebagaimana seorang ayah dengan anaknya. Jika seorang anak bermasalah, maka ditanya masalahnya. Jika anaknya lewat pulang ke rumah, maka dicarinya. Maksudnya, murabbi mesti menjadi pendengar kepada mutarabbinya. Sifat sayang tidak boleh terpisah dari diri seorang Murabbi kepada anak-anaknya.

ii) Sebagai seorang guru – dari sudut memahamkan mutarabbinya mengenai Islam. Beliau mengeluarkan anak-anaknya dari kejahilan. Beliau mesti dijadikan tempat rujukan. Maka, sewajarnya seorang Murabbi perlulah memahami keperluan ilmu dan pengetahuan yang banyak untuk dirinya berhadapan dengan mutarabbinya, apatah lagi jika ada dikalangan mereka yang lebih tua atau lebih alim darinya.

iii) Sebagai seorang Qo’id ( pemimpin ) – dari sudut memberikan arahan atau tugasan. Maka, sifat qo’id yang ada padanya menyebabkan anak-anak buahnya boleh melaksanakan arahan, namun dengan penuh kerelaan tanpa terkesan merasakan dirinya dipaksa. Ini juga memerlukan kebijaksanaan dan teknik yang baik dalam memberikan arahan atau tugasan. Apatah lagi jika mereka baru di permulaan bersama gerakan dakwah. Jika sudah lama, maka arahan wajib dengan ketegasan.

iv) Sebagai seorang Sheikh – dari sudut kesufian, ibadah, pembentukan rohani anak-anak ( mutarabbi ). Murabbi mesti menjadikannya dirinya benar-benar berakhlak, boleh dicontohi, urusan ibadahnya dengan Allah terjaga, jiwanya lembut dan baik. Inilah cirri-ciri seorang sheikh yang disegani. Jika ahli hanya menghormati kita dari sudut ilmu, namun memperlekehkan kita dari sudut sifat sheikh yang tidak ada, maka ini bakal mengundang sikap hilang hormat kepada Murabbi.

Namun, dari 4 perkara ini, tidak mungkin kita mampu memiliki kesemuanya. Namun, jangan sampai sifat yang kedua iaitu sebagai ‘Ustaz / Guru ‘ tidak ada. Kekurangan ilmu dan pengetahuan dikalangan Murabbi sangatlah merbahaya. Timbul kebosanan dikalangan ahli bila berhadapan dengan Murabbi yang sering tidak mampu memberi penjelasan dan pandangan dengan baik.

Apa yang kita mahukan dari Mutarabbi / Mad’u ?

Terlalu banyak yang kita mahukan. Antaranya inginkan mereka benar-benar memahami Islam dan lebih dari itu mengetahui tanggungjawab pada Islam dan bekerja sebagai aktivis Islam. Namun, ada satu hal yang perlu kita fahami juga daripada apa yang kita mahukan dari mad’u iaitu :

a) Mad’u yang taat – perlu diingat bahawa kita mengadakan usrah / halaqah bukan untuk menjadikan dia sebagai orang alim sahaja. Jika anak buah datang usrah sekadar untuk belajar, maka berkemungkinan dia akan menjadi lebih alim dari kita selepas itu. Maka, tidak mustahil alimnya itu boleh menimbulkan hilangnya taat dan penghormatan kepada Murabbinya. Baginya, semua yang disampaikan dalam usrah adalah perkara yang sudah dia ketahui. Maka, untuk apa lagi datang ke usrah ? Ini adalah masalah besar yang bakal berlaku.

Maka, tanamkan dalam diri kita membentuk mad’u untuk menjadi orang yang taat, penuh kesetiaan pada jama’ah dan pimpinan, menghormati sesiapa sahaja. Bukan sekadar datang untuk belajar di dalam usrah. Jika dia memiliki ‘taat’ , maka diajak mengikuti apa program, apa aktiviti sekalipun, dia siap dan sedia.

Jika yang membimbingnya itu lebih rendah darinya, maka dia siap akur, terima, taat dan hormat. Contohnya, seorang Murabbi yang berstatus ‘guru sekolah’ mempunyai ahli usrah yang berstatus ‘pensyarah universiti’.

b) Dia menjadikan kita qo’id (pimpinannya ) – inilah antara yang kita harapkan dari mad’u kita. Maka, qoid mestilah menjadi penunjuk jalan kepada ahli dalam pelbagai hal. Setiap jalan yang ditunjuk, mestilah jalan-jalan yang sudah ditempuhi oleh seorang Murabbi, bukan sebaliknya.

Jika kita memberi arahan, dia bersedia menerimanya dalam erti kata, siap dipimpin dan siap memimpin’. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Jangan ada sikap hanya mahu memimpin dan tidak bersedia dipimpin !.

Beberapa Permasalahan

Ada beberapa masalah dalam soal komunikasi antara Murabbi dan mad’u. Antaranya adalah :

a) SMS – jangan jadikan SMS sebagai alat untuk memberi sesuatu kefahaman apatah lagi kefahaman tentang Islam. SMS adalah ‘sistem pesanan ringkas’. Maka, sifatnya hanya sebatas alat menyampaikan informasi, bukan alat memberi kefahaman sesuatu hal. Contoh, kita menghantar SMS memaklumkan program, jam, tempat, pengkuliah dan lain-lain, maka itu tidak menjadi masalah.

Banyak masalah timbul dari kesalahan penggunaan SMS. Antaranya, bahasa dalam SMS yang ringkas kadang-kadang difahami dengan pelbagai pemikiran. Boleh jadi, kita mahukan kecepatan. Lalu, ditulis ringkas. Akhirnya, ada bahasa-bahasa kita yang dianggap oleh mad’u sebagai bahasa menyindir dan lain-lain. Padahal bukan itu yang kita maksudkan.

Maka, selain dari SMS, amalkanlah budaya menelefon, menziarahi, makan minum bersama untuk bertanya khabar.

b) Minta izin – sering terjadi kesalahan dikalangan kita baik pimpinan sesama pimpinan atau mad’u dan murabbi. Contohnya, program bermula jam 9 pagi. Kita menghantar SMS meminta izin kerana tidak dapat masuk ke program tersebut. Namun, SMS itu dihantar pada jam 9 juga. Ini bukan minta izin ! Izin mesti diminta beberapa waktu sebelum jam 9. Bagaimana Murabbi atau pimpinan ingin memberikan keizinan jika memang pukul 9 itu kita sudah tidak hadir. Jika jam 9 baru dihantar SMS, itu bukan mohon izin. Itu adalah informasi. Tidak hadir pertemuan yang telah disepakati bersama, sebenarnya adalah sebuah dosa. Apatah lagi, pertemuan membincangkan urusan Islam.

Allah s.wt berfirman : sesungguhnya orang-orang yang beriman yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan apabila mereka turut bersama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan mereka berhimpun ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang yang minta izin kepadaMu ( Muhammad ) itulah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila mereka meminta izin kepadamu menjalankan urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki antara mereka dan mintalah ampun pada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Alllah Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih. ( Surah An-Nur : 62 )

Inti ayat : Bila ada pertemuan yang sudah disepakati bersama, wajib hadir. Jika mahu keluar atau tidak datang dengan keperluan mendesak, wajib minta izin. Pimpinan berhak memberi izin kepada orang-orang yang dirasakan keperluannya sangat penting. Namun, perlu mohon ampun kepada Allah untuk mereka atas kegagalan mereka bersama dalam pertemuan tersebut.



Tiada ulasan: